Melangkah masuk saja kita ke negeri
Kelantan, mesti terbayang di dalam gawang minda kita akan keindahan dan
kesejahteraan bandar Kota Bharu yang terkenal sebagai bandar raya Islam itu.
‘Kota Bharu Come Sokmo’. Itulah antara salah satu kempen kebersihan yang
dianjurkan oleh pihak kerajaan dalam mengistilahkan konsep kebersihan dan
keindahan dalam benak masyarakat warga kota amnya untuk menjaga kebersihan
bandar demi kesejahteraan hidup sejagat. Jadi benarlah kebersihan bandar raya
Kota Bharu merupakan antara intipati utama kepada lahirnya keindahan bandar
yang pada asasnya keindahan adalah sesuatu yang menyenangkan apabila mana
dilihat. (Thomas Aquinos, 1225-1274)
Setelah saya meneliti dan mengkaji dengan
sedalam-dalamnya beberapa aspek kebersihan dan keindahan bandar yang telah
dikonsepsikan dalam pelan induk Kota Bharu Bandar Raya Islam (2006-2015) yang
pada dasarnya pelan itu bertindak sebagai usaha yang pragmatik dan dinamik
daripada kesungguhan pihak kerajaan negeri Kelantan untuk melahirkan dan
mewujudkan sebuah yang bandar yang bersih berteraskan beberapa aspek utama
meliputi aspek keilmuan, kepatuhan, kebajikan, kebersihan dan kesejahteraan
itu, maka saya telah bersetuju dengan sebulat suara dengan pendapat yang
mengatakan bahawa kebersihan dan keindahan bandar adalah merupakan salah satu
langkah kepada penyelesaian yang holistik dan total ke arah menjadikan bandar
ini bersih dan sejahtera sepanjang masa demi kebaikan bersama seluruh warga
kota amnya yang akan saya huraikan satu per satu berteraskan beberapa aspek yang
berkaitan dengan perkara ini.
Sebagaimana
yang kita ketahui, pelancong juga berminat untuk datang berkunjung ke negeri
ini kerana keunikan bandar raya Kota Bharu yang penuh dengan keindahan bandar
dan pastinya mampu memukau mata mereka yang memandang. Pada masa yang sama
juga, terdapat banyak lokasi indah yang
boleh dikunjungi para pelancong seperti tempat-tempat bersejarah, tempat
rekreasi seperti Taman Tengku Anis yang ternyata akan meninggalkan memori indah
kepada mereka yang mengunjungi negeri Kelantan khususnya bandar Kota Bharu ini.
Hal
ini diceriakan lagi dengan keunikan bangunan-bangunan pentadbiran kerajaan yang
megah berdiri mencakar langit di sekitar bandar Kota Bharu. Pusat membeli-belah
yang moden juga turut dibangunkan di bandar raya Kota Bharu seperti KB Mall,
Billion, Parkson dan Tesco. Tidak lupa juga, hotel-hotel mewah seperti Hotel
New Pasific, Hotel Renaissance dan Hotel Riverview turut disediakan oleh pihak
kerajaan negeri bagi kemudahan pengunjung yang datang ke bandar Kota Bharu dan
saya pasti bahawa segala pembangunan dan pemodenan di bandar raya ini tidak
ubah seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
Tidak
cukup dengan itu, warga kota juga terkenal dengan amalan pelbagai seni budaya
yang cukup tinggi dan unik serta senantiasa terpelihara sepanjang zaman sebagai
sajian utama kepada pengunjung yang datang berkunjung ke negeri Kelantan kerana
yang indah itu budi, yang cantik itu bahasa. Keindahan bandar Kota Bharu juga
tidak berhenti di situ sahaja apabila gerai-gerai di sekitar pinggir bandar
dikhabarkan menyediakan makanan yang lazat-lazat belaka untuk dijual kepada
para pelancong yang datang berkunjung
dengan diserikan lagi oleh penduduk negeri Kelantan yang ramah menyambut
tetamu yang datang ke gerai-gerai mereka di samping melayan mereka dengan penuh
budi bahasa yang tinggi amnya. Hal inilah yang dikatakan antara katalis
utama kepada tarikan pelancong yang datang berkunjung ke negeri Kelantan.
Sebagaimana
yang kita maklumi, gah dan popularnya bandar raya ini sudah lama tersebar ke
seluruh negeri dalam dan luar negara Malaysia sebagai bandar yang dikatakan
terbesar di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Terletak tidak jauh daripada
muara Sungai Kelantan, bandar ini juga adalah merupakan bandar yang tertua di
sebelah Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Memandangkan bandar ini juga menjadi
salah satu destinasi utama pelancong di negeri Kelantan, memang wajarlah bandar
ini bersih dan sejahtera sentiasa agar menjadi aset utama kerajaan negeri
Kelantan dalam mempromosikan sektor pelancongan.
Statistik
yang sahih lagi tepat telah dikeluarkan sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk
Takiyuddin Hassan yang telah menunjukkan bahawa dalam tempoh lima bulan pertama
tahun 2012 sahaja, dicatatkan 1.55 juta pelancong domestik dan 584,131 orang pelancong asing datang
melawat ke Kelantan sempena Tahun Melawat Kelantan tahun 2012. Faktor bandar
yang bersih dan indah sudah pasti dilihat antara salah satu penyebab kepada tarikan
utama pelancong dalam menjamin kepada kelangsungan pelancong untuk datang
berkunjung ke negeri Kelantan khususnya bandar Kota Bharu. Percayalah kita bak
kata orang tua-tua yakni ‘pesan tak berturuti, petaruh tak berhunyikan’, maka
jumlah pelancong yang cukup besar ini mengambarkan kepada kita akan peri
pentingnya keindahan dan kebersihan bandar dalam memberikan impak positif
kepada jumlah kedatangan pelancong yang datang berkunjung ke negeri Kelantan
amnya.
Selain
itu, amalan membudayakan kebersihan bandar amatlah dituntut warga kota dalam
menjamin keindahan bandar raya yang bercirikan agama Islam ini. Sebagaimana
yang telah mangli ditegaskan dalam hadis Baginda Rasulullah SAW, kebersihan itu
adalah merupakan sebahagian daripada iman. Sudah tentulah, kita wajar untuk
mengambil pengajaran bahawa agama Islam amat menekankan aspek kebersihan tidak
kiralah kebersihan diri, rumah, kawasan sekitar, dan sebagainya .
Dalam
konteks untuk menjadikan bandar ini sebagai antara bandar yang bersih yang
sejahtera, maka kita perlulah bersikap positif dengan menjauhi sifat jumud
seperti katak di bawah tempurung dengan membuka seluas-luasnya gawang minda
kita akan peri pentingnya menjaga kebersihan bandar. Pada realitinya, memang
tidak dapat dinafikan bahawa bandar yang kotor akan membawa banyak masalah
kepada penduduk khususnya warga kota yang secara tidak langsung akan dapat
menghakis minat pengunjung untuk datang berkunjung pada masa yang lain.
Mungkin
peribahasa ‘indah khabar daripada rupa’ tidak senang untuk kita dengari
daripada luahan hati yang kecil pelancong yang sudah datang melawat negeri
Kelantan. Namun, itulah hakikat yang patut kita hadapi sekiranya bandar yang
menjadi nadi utama kepada negeri Kelantan ini dicemari dengan kekotoran sampah yang sepatutnya tidak harus berlaku dalam
masyarakat kelas pertama ini. Pandangan sinis sesetengah masyarakat ataupun
daripada pihak pelancong haruslah tidak dipandang enteng oleh penduduk warga
kota amnya. Malahan, kita seharusnya menjadikan lontaran kata-kata sinis itu
sebagai pengajaran yang amat berguna kepada kita dalam membentuk masyarakat
yang tidak memandang rendah akan konsep kebersihan ini.
Ayuh
kita lebarkan skop pemikiran minda kita terhadap masalah yang dihadapi di
sekitar bandar Kota Bharu ini dengan meneliti berkenaan masalah kebanjiran
iklan haram. Pada hari ini, kita dapati iklan haram banyak ditampal atau
digantung di sekitar bandar ini yang ternyata mencemarkan pemandangan bandar
dan pada masa yang sama menyakitkan mata sesiapa sahaja yang memandang.
Tambahan
lagi, mereka menampal iklan di merata-rata tempat terutamanya tempat yang ramai
dikunjungi orang awam seperti di perhentian bas, pondok telefon dan sebagainya.
Ada juga iklan-iklan haram ini ditampal di papan tanda jalan raya dan di
dinding-dinding bangunan yang sudah pastinya mencacatkan lagi pemandangan
bandar raya ini. Iklan-iklan seperti pinjaman wang berlesen, perkhidmatan
mengurut batin, perkhidmatan membaiki rumah dan iklan jawatan kosong seperti
ini dilihat antara faktor kepada kemerosotan kepada keindahan bandar raya
berkonsepkan agama Islam ini.
Lebih
memburukkan lagi keadaan apabila pelancong dan pelawat yang datang melawat ke
bandar raya ini sudah semestinya akan melontarkan pandangan yang bersifat
negatif kepada keindahan bandar raya negeri ‘Serambi Mekah’ ini. Hal ini secara
tidak langsung akan mendatangkan seribu satu masalah kepada kesejahteraan
bandar ini dek rosaknya akan keindahan bandar raya ini disebabkan kebanjiran
iklan-iklan seperti ini.
Dalam
pada itu juga, perbuatan sesetengah individu tidak bertanggungjawab yang telah
melakukan vandalisme dengan menconteng bangunan-bangunan di sini dengan
tulisan-tulisan yang buruk dan ada kalanya berunsur kata-kata lucah. Lantaran
itu, keadaan ini akan memburukkan lagi pemandangan bandar Kota Bharu yang sudah
pasti akan merugikan semua pihak. Dan sekiranya keadaan ini dibiarkan tanpa
sebarang tindakan yang drastik ke arah memusnahkan dan menurunkan iklan-iklan
haram ini, maka sudah tentulah kesejahteraan bandar raya Kota Bharu akan
tinggal kenangan semata-mata.
Sebagai
contoh, Jalan Che Su, Jalan Kebun Sultan dan kawasan sekitar Pasar Siti
Khadijah menjadi tumpuan utama gejala vandalisme dan kebanjiran iklan haram
yang tidak terkawal ini. Kita harus sedar bahawa bandar raya yang cantik dan
indah akan membawa kepada kesejahteraan bandar yang sekaligus membawa seribu
satu manfaat kepada kehidupan yang sempurna kepada masyarakat terutamanya
penduduk warga kota. Tambahan lagi, bandar raya ini sepatutnya bebas daripada
kebanjiran dan lambakan iklan-iklan haram seperti ini demi mewujudkan bandar
yang bersih dan indah senantiasa.
Memang
tidak dapat dinafikan bahawa segala usaha ke arah menghapuskan iklan haram ini
memakan masa yang lama untuk menjadi kenyataan akibat daripada kesukaran
mendapat kerjasama di peringkat semua pihak, namun hal itu tidak boleh
dijadikan alasan untuk kita tidak memikirkan masalah ini. Hal ini penting bagi
kita agar kesejahteraan bandar ini terus terjaga tanpa dicemari dengan lambakan
iklan-iklan yang haram dan gejala vandalisme amnya. Apa yang pasti, keadaan ini
perlulah dicegah agar tidak menjadi semakin parah pada masa yang akan datang
khususnya generasi mendatang.
Ingin
saya memetik sepotong peribahasa ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’, maka
ingin saya lontarkan beberapa pandangan yang bernas kepada penambahbaikan
keindahan bandar raya ini pada masa yang akan datang kerana tiada penyakit yang
tidak boleh diubati melainkan mati sahaja. Pada hemah saya, MPKB-BRI boleh
mengambil langkah-langkah yang proaktif dengan bertindak seiring tindakan
dengan membatalkan segala nombor telefon yang ada pada iklan-iklan haram ini
dengan harapan operasi perkhidmatan mereka dibatalkan dengan sebebrapa segera
kerana menampal iklan secara haram ini adalah sudah pasti melanggar
Undang-Undang Kecil Iklan Wilayah Persekutuan 1982 dan Undang-Undang Kecil
Vandalisme 1992.
Bagi
mencapai objektif tersebut, MPKB-BRI boleh mengadakan kerjasama dengan
Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti nama dan alamat
pemilik nombor telefon sebelum tindakan selanjutnya diambil secepat yang
mungkin yang sekali gus dapat mengurangkan masalah ini pada masa hadapan.
Begitulah
antara beberapa contoh daripada ribuan kajian kes kebersihan dan keindahan
bandar yang berlaku di negeri Kelantan ini serta beberapa cadangan saya yang
menjurus kepada mencari penyelesaian kepada kesejahteraan bandar ini. Apa yang
penting, jalan penyelesaian dan langkah-langkah untuk mencegah perlu dilakukan
dengan seberapa segera agar masalah ini dapat diatasi secepat yang mungkin.
Ayuh kita melangkah kepada perkara pertama yang menjadi
faktor dominan dalam merealisasikan hasrat murni kerajaan ini yakni hal-hal
yang berkenaan dengan kesedaran masyarakat dalam menggerakkan usaha ke arah
menjadikan bandar raya ini bersih dan indah serta sejahtera secara holistik
meliputi semua aspek. Peranan masyarakat amatlah besar dalam menjayakan
aspirasi kerajaan negeri Kelantan ini melalui MPKB-BRI kerana masyarakat adalah
merupakan faktor dominan yang menjadi tunjang kepada pihak kerajaan dalam
memenuhi impian dan harapan yang telah dirancang untuk kebaikan bersama.
Jika ingin dianalogikan, masyarakat merupakan tiang-tiang
ataupun cerucuk menara kerajaan yang sentiasa menyokong serta mendukung segala
hasrat serta harapan kerajaan. Jika tiada kerjasama serta sokongan yang padu
daripada umum, mungkin menara yang dibina berlandaskan misi kemajuan keindahan
dan kesejahteraan bandar ini akan tersungkur dan tumbang menyembah bumi.
Sebenarnya, jika ingin dianalisis serta dibedah siasat, amalan kebersihan ini
wajar bermula daripada kehidupan di rumah masing-masing.
Jelaslah, faktor kerjasama antara masyarakat dalam
merealisasikan perkara ini perlulah diambil perhatian yang serius agar segala
urusan akan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah dan pada masa yang
sama, semua pihak perlulah berganding bahu bersama-sama MPKB-BRI yang akhirnya
kesejahteraan hidup masyarakat warga kota akan sentiasa berada dalam keadaan
sejahtera amnya selain membantu pihak kerajaan negeri Kelantan untuk
meminimumkan seberapa banyak yang mungkin akan masalah kebersihan yang berlaku di
bandar ini.
Sebagai menggulung segala perkara yang telah diperkatakan
di atas, menghayati konsep kebersihan bandar ini adalah menjadi tanggungjawab
kita semua khususnya warga kota tidak kiralah muda ataupun tua, kecil ataupun
besar, kita haruslah memainkan peranan masing-masing agar segala keindahan
bandar akan terjaga dek terjaganya kebersihan bandar yang secara tidak langsung
akan mensejahterakan kehidupan seharian warga kota amnya. Masyarakat warga kota
merupakan pemacu utama kepada matlamat murni ini dalam usaha untuk menggerakkan
langkah dan semangat ke arah membentuk serta melahirkan bandar raya Kota Bharu
yang bersih serta rakyat yang sihat dan sejahtera sepanjang masa.
Di samping itu, peranan kerajaan dalam memperbanyakkan
lagi prasarana dan kemudahan bagi kegunaan umum mampu merealisasikan harapan
tersebut. Selain itu, pengiklanan atau promosi yang agresif serta
penguatkuasaan undang-undang yang berkesan juga menatijahkan satu hasil yang
cukup membanggakan kita semua. Melalui pendidikan kebersihan sejak setahun
jagung dianggap mampu mendidik serta melahirkan masyarakat yang bertamadun dan
pada masa yang sama membentuk budaya masyarakat yang mementingkan aspek
kebersihan terutamanya kebersihan bandar raya yang kita sayangi ini.
Hal ini diserikan lagi dengan kerjasama yang padu
daripada agensi-agensi luar serta NGO yang sedikit sebanyak membantu kerajaan
melaksanakan wawasan dan matlamat tersebut. Kesemua bahan perisa di atas jika
digaul dengan doa dan kesedaran akan menghasilkan satu adunan yang cukup baik
bagi melihatkan kebersihan bandar raya yang menjadi mercu utama kerajaan negeri
Kelantan ini sebagai sebuah negeri yang mempunyai bandarnya yang bersih dan
indah serta warga kotanya yang sihat dan sejahtera sentiasa hendaknya.
Tweet
No comments:
Post a Comment