AkuSuffianFauzi

Nuffnang Adds

Follow My Facebook, Twitter, Instagram

 Add Me Follow Me Follow Me

Thursday 11 September 2014

Kemajuan ICT dan Kaitannya Terhadap Budaya Inovasi Dalam Menjamin Transformasi Produktiviti Sektor Awam



Kecemerlangan adalah hasil daripada sikap yang sentiasa ingin melakukan yang terbaik. Itulah yang boleh digambarkan dalam benak fikiran kita sekarang akan bagaimana setiap organisasi diseru untuk sentiasa melakukan perubahan ke arah penambahbaikan  dan pada masa yang sama, kecemerlangan sesebuah organisasi mengikut keadaan semasa ditentukan melalui perubahan dalam penambahbaikan kualiti pencapaian seseorang penjawat awam di mata masyarakat amnya.
Hal inilah yang menjadi kepentingan utama pemupukan budaya inovasi dalam sektor awam kerana peribahasa Melayu ada menyebut, tembak yang beralamat, tujuan yang bermaksud.  Namun, jika perubahan dan transformasi itu dipandang enteng oleh sesetengah pihak dengan tidak melakukan sebarang transformasi tindakan yang menjurus ke arah yang lebih baik, maka tunggulah kejatuhan sesebuah organisasi itu terhadap pesaingnya yang akhirnya akan menyebabkan sesebuah organisasi itu akan mengalami kebankrapan  dan terus berkubur sedikit demi sedikit.
Menyedari hakikat ini, inovasi berterusan merupakan rencah dan formula terbaik dalam mempelbagaikan dimensi yang bukan hanya mencakupi dan melibatkan prosedur kerja sahaja, bahkan turut melibatkan budaya inovasi dalam cara berfikir, bertindak dan sanggup berubah selari dengan keperluan semasa supaya terus relevan dalam meniti peredaran zaman yang berlalu. Hal ini penting bagi menjamin produktiviti marcapada sesebuah organisasi itu terus kekal cemerlang dan gemilang di mata masyarakat.
Inovasi menerusi urus tadbir yang melibatkan perkhidmatan khususnya dalam sektor awam merupakan perkara yang amat ditekankan oleh sesebuah organisasi yang menyaksikan perkara ini turut menjadi agenda utama negara menerusi Bajet 2012 dalam menyahut seruan kerajaan untuk membentuk budaya inovasi yang menyeluruh meliputi segenap aspek kepentingan organisasi tersebut untuk persediaan mengharungi onak ekonomi yang tidak menentu hari demi hari ini.
 Tambahan juga, inovasi atau pembaharuan serta transformasi ke arah kebaikan merupakan ciri-ciri penting dalam memastikan perkhidmatan yang diberikan terutamanya kepada pelanggan sentiasa berada pada tahap cemerlang dan dapat memenuhi kepuasan pengguna secara total.
Seyogia diingatkan, usaha-usaha ke arah  menjadikan eleman inovasi sebagai pemangkin kecemerlangan produktiviti perkhidmatan perlulah diterapkan kepada semua kakitangan bermula daripada pengurusan tertinggi hinggalah kepada kumpulan sokongan. Hal ini menjelaskan kepada kita bahawa segala tindakan dan usaha untuk menjadikan inovasi sebagai akar dan tunjang kepada pembentukan kecemerlangan organisasi yang hakiki mestilah melibatkan semua pihak  dan tidak hanya bergantung kepada sesetengah pihak sahaja.
Namun, di sebalik impian dan harapan, terselit pula dugaan dan cabaran dalam kita memurnikan budaya inovasi sesebuah organisasi. Sebagai analoginya, segala usaha penerapan inovasi dalam perkhidmatan seringkali menemui kegagalan disebabkan budaya organisasi yang tidak secocok dengan keperluan untuk melakukan perubahan. Malahan, perlaksanaan inovasi memerlukan warga kerja untuk berfikiran lebih terbuka dan sentiasa bersifat dinamik dalam menjauhi sifat jumud seperti katak di bawah tempurung demi memperkukuhkan diri dengan ilmu pengetahuan yang diperlukan selari dengan perubahan yang ingin dilaksanakan.
Kegagalan untuk bergerak cepat bersama perubahan ini akan menutup peluang besar yang menyebabkan kakitangan awam akan ketinggalan jauh hari demi hari. Keadaan yang sama juga akan berlaku sekiranya kakitangan awam tidak berupaya menguruskan perubahan mendadak ini secara bijaksana dan teratur. Perkara ini perlulah dielakkan demi menjayakan perkhidmatan yang cemerlang  meliputi semua pihak dalam organisasi tersebut.
Dalam konteks era pascamoden ini, dunia kita juga tidak terlepas dalam mengalami satu revolusi teknologi maklumat yang berlaku secara beransur-ansur mengikut kitaran peredaran zaman. Melalui perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) juga telah memberi peluang kepada usaha-usaha untuk menerapkan budaya inovasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan. Malah, perkembangan ICT kini secara tidak langsung telah mengubah cara bekerja dalam organisasi. Bertepatan dengan kemajuan ICT yang kita alami pada hari ini membolehkan ketua-ketua jabatan memahami dan mengikuti serta mendalami perkembangan ICT tidak kiralah dari segi kecanggihan mahupun potensi ICT itu sendiri untuk diaplikasikan secara kolektif dan produktif dalam sesebuah organisasi yang dipimpin.
Sesungguhnya, penggunaan ICT yang betul dan strategik akan meningkatkan lagi keupayaan untuk mencorakkan lagi strategi dan program-program pembaharuan terutamanya dalam perkhidmatan awam. Walaupun masih terdapat banyak yang perlu kita lakukan untuk mengecapi matlamat pembinaan budaya inovasi dalam perkhidmatan ini, namun apa yang lebih penting adalah ke arah manakah hala tuju organisasi, apakah agenda masa depan dan bagaimana caranya kita mengisi masa depan dengan agenda tersebut.
Sedarlah kita akan peri pentingya kemudahan serta kepantasan perkembangan teknologi ICT bagi menghasilkan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna mencakupi segenap bidang dalam perkhidmatan. Tambahan lagi, kecanggihan teknologi ini membolehkan sesuatu keputusan dapat dibuat dengan pantas, dan segala bentuk sebaran maklumat dapat disalurkan dengan lebih cepat bagi memenuhi tuntutan pengguna yang sekaligus meningkatkan lagi produktiviti sesebuah organisasi itu.
Lantaran itu, inovasi dalam sistem penyampaian perlu diberi penekanan yang sewajarnya demi penambahbaikan mutu perkhidmatan dalam negara kita agar segala tuntutan keperluan pengguna dapat ditunaikan secara menyeluruh. Tamsilnya, melalui perlaksanaan ‘kerajaan elektronik’ atau EG merupakan penunjuk jalan kepada tuntutan tersebut. Namun, sejauh manakah kecemerlangan perkhidmatan awam menerusi teknologi seperti ini dapat memenuhi tuntutan kepada rakyat jelata?
Memang tidak dapat dinafikan lagi, revolusi ICT dalam negara kita yang bermula pada tahun 1996 dan ditunjangi dengan kewujudan dan penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC). Kewujudan MSC ini telah membawa seribu satu impak positif kepada akses penyampaian perkhidmatan yang secara tidak langsung dapat menambahbaikan lagi perkhidmatan antara kerajaan dan rakyat serta dapat memperkukuhkan lagi ketelusan dan seterusnya dapat mengurangkan lagi amalan sistem birokrasi. Hal ini merupakan tindakan-tindakan kerajaan dalam meningkatkan lagi keupayaan produktiviti yang cemerlang terutamanya dalam kalangan perkhidmatan awam di negara kita.
Melalui penyediaan akses maklumat tanpa sempadan melalui portal perkhidmatan untuk golongan marhaen, kerajaan memperkenalkan ‘MyGovernment’ yang merupakan ciri-ciri utama kerajaan elektronik di Malaysia. Kandungan portal ini banyak menyediakan maklumat dan perkhidmatan yang hampir mencakupi semua agensi kerajaan termasuklah e-perkhidmatan, e-syariah, e-perolehan dan sebagainya yang secara rasminya bertujuan untuk memperkukuhkan lagi produktiviti perkhidmatan setiap aspek yang ditawarkan oleh semua pihak termasuklah pihak kerajaan dan bukan kerajaan.
Menerusi e-perkhidmatan, rakyat dihidangkan dengan kemudahan untuk mengakses segala bentuk kemudahan dalam internet di samping boleh membuat pembayaran-pembayaran melalui internet seperti pembaharuan lesen memandu, pembayaran untuk saman, pembayaran bil bekalan elektrik, telefon dan sebagainya. Hal ini akan memudahkan lagi rakyat Malaysia di samping dapat menjimatkan masa dan tenaga. Sekadar klik di laman sesawang e-perkhidmatan, kita sudah mampu untuk menjelajah ke semua portal rasmi kerajaan demi kemudahan bersama.
Sementara itu, kemudahan portal e-syariah yang disediakan bermula pada tahun 2005 bukan hanya bertindak untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan dan kecekapan dalam pengurusan dalaman, bahkan perkhidmatan ini juga memudahkan kita untuk bertindak dalam memfailkan kes-kes guaman sivil, faraid dan kes-kes jenayah yang lain.
Apa yang menarik menerusi portal ini adalah kemudahan akses yang boleh merentasi seantero dunia. Malah, kemudahan ini juga turut menawarkan dan membenarkan peguam-peguam, pendakwa, plaintif dan defendan untuk memfail afidavit-afidavit dalam talian yang sekali gus memudahkan pengguna untuk mengetahui bilakah tarikh perbicaraan dan lanjutan kepada kes-kes yang mereka utarakan. Dengan kemudahan ini diharap dapat membantu pengguna untuk menyelesaikan segala urusan dengan cepat dan sekaligus dapat meningkatkan lagi produktiviti dalam perkhidmatan melalui budaya inovatif seiring dengan kemudahan-kemudahan serta kecanggihan teknologi itu sendiri.
Kesimpulannya,  inovasi dalam sektor awam terutamanya untuk meningkatkan lagi penggunaan ICT dalam kalangan kakitangan dan pegawai adalah amat penting sebagai salah satu inovasi yang bertindak sebagai pemangkin kecemerlangan produktiviti pada masa yang akan datang.
Tanpa adanya kemahiran ICT dari segi penguasaan inovasi ini, maka kualiti perkhidmatan awam akan sentiasa berada pada takuk lama. Hal inilah yang menjadi hasrat utama kerajaan untuk menjadikan negara Malaysia berada dalam kalangan sepuluh negara yang paling cekap di dunia menjelang tahun 2020. Semoga budaya inovasi dapat menjana transformasi yang lebih cemerlang dengan bantuan dan dorongan daripada kemajuan dan kepantasan ICT demi kemajuan yang diimpikan sekalian sektor awam.













1194 Patah Perkataan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...