Dewasa
ini, sering meniti daripada bibir ke bibir manusia di segenap empat penjuru
dunia berkaitan polemik yang bersangkut paut dengan kebimbangan warga dunia terhadap
isu jaminan bekalan makanan yang semakin kompleks. Hal ini ditambah pula dengan
negara sentiasa dibelenggu kekangan bekalan sumber alam semula jadi seperti
tanah dan air yang semakin berkurangan. Kebimbangan ini telah mencetuskan
fenomena yang menyaksikan seluruh dunia marcapada memerlukan satu pendekatan
dan usaha yang strategik bagi mengatasi kemelut ini daripada terus melanda
dunia.
Menyedari
kebimbangan masyarakat seantero dunia berkenaan permasalahan ini, setiap negara
semakin rancak memainkan peranan dan menyusun strategi masing-masing untuk mengatasi
masalah ini. Secara umumnya, negara kita memerlukan satu pendekatan strategik
berteraskan daya saing dan kemampuan di sepanjang rantaian nilai industri
agromakanan bagi membuahkan impak yang positif kepada penyelesaian berkaitan perkara
ini.
Dalam
menongkah arus globalisasi ini, sektor agromakanan sering dikaitkan dengan
pengenalan dan penggubalan Dasar Agromakanan Negara (DAN) yang berfokuskan
kepada penekanan terperinci terhadap industri agromakanan. Kerajaan juga berharap
agar dengan wujudnya dasar ini mampu memberikan tamparan hebat kepada sumbangan
agromakanan terhadap pendapatan per kapita usahawan selain menambahkan lagi bilangan
usahawan tani kelak. Penggubalan dasar ini menterjemahkan maksud sebenar kesungguhan
dalam usaha kerajaan yang pragmatis untuk menjamin bekalan makanan yang selamat
untuk dimakan meliputi pelbagai sub-sektor agromakanan menjelang tahun 2020.Tambahan
lagi, dasar ini turut membuka jalan dan menjadi titik permulaan kepada agenda
pembangunan nasional dan dasar-dasar semasa kerajaan yang lain seperti Model
Ekonomi Baru, Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan
dengan harapan untuk mewujudkan negara Malaysia yang maju dan berpendapatan
tinggi suatu hari nanti .
Setelah meneliti dan mengkaji ke
peringkat akar umbi berkaitan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang
merupakan mekanisme terbaik bagi meningkatkan lagi produktiviti dan pengeluaran
makanan negara, maka, segala pendapat yang menyatakan bahawa sektor agromakanan
boleh mendatangkan banyak kepentingan kepada pembangunan negara selain mampu
mendatangkan impak yang positif kepada kesejahteraan dan kemajuan negara
Malaysia akan diperincikan demi kebaikan bersama.
Dimensi Baru Sektor Pertanian Dan Dasar
Transformasi.
Sektor pertanian memainkan peranan
yang amat signifikan bermula dari awal tahun 1920-an lagi menerusi industri
getah yang telah mengangkat nama Malaysia (dahulunya dikenali Tanah Melayu)
sebagai pengeluar getah asli utama dunia sehingga tahun 1980-an. Ekonomi negara
selepas merdeka kebanyakkannya
dipelopori oleh aktiviti-aktiviti pertanian dan perlombongan sehinggakan negara
kita telah menunjukkan prestasi yang amat memberangsankan kepada peningkatan Keluaran
Dalam Negara Kasar (KDNK) yang pada ketika itu mencecah sehingga angka 46
peratus.
Zaman berlalu dan beredar dengan
penuh pantas sekali yang menyaksikan sektor agromakanan telah diwarnai dengan elemen
inovasi dengan kepelbagaian dasar-dasar yang menjamin kepada produktiviti
keluaran yang seimbang. Secara analoginya, sektor pertaniaan negara kini
mengalami proses transformasi yang sepenuhnya bermula daripada Dasar Pertanian
Negara Pertama (1984-1991), Dasar Pertanian Negara Kedua (1992-1997) yang
diikuti pula dengan Dasar Pertanian Negara Ketiga (1998-2010) dan kini, Dasar
Agromakanan Negara (2011-2020) yang digubal bertujuan untuk memberi tumpuan
kepada tanaman-tanaman yang bersifat perindustrian seperti kelapa sawit, getah,
makanan dan tanaman kontan seperti padi, penternakan, dan produk khusus seperti
sarang burung yang sedia dimakan (EBN ) dan juga tanaman-tanaman herba.
Sehubungan itu, NKEA pertanian turut
memberi tumpuan kepada sub-sektor pengeluaran agromakanan yang berpotensi tinggi
dan menjadi kayu ukur kepada pulangan ekonomi yang mampan seperti akuapultur,
pertanian rumpai laut, buah-buahan, sayur-sayuran dan sebagainya. Hal ini secara
tidak langsung membolehkan Malaysia menembusi pasaran antarabangsa yang bernilai
tinggi. Selain itu, subsektor ini turut dikenal pasti mampu menjamin kepada
keterjaminan makanan negara di samping memperkasakan lagi pengeluaran domestik
dengan nilai anggaran sebanyak RM16.6 bilion pada tahun 2009 merangkumi 82
peratus daripada jumlah keseluruhan sumbangan sektor pertanian kepada
Pendapatan Negara Kasar (PNK) negara.
Begitulah transformasi dasar-dasar
yang telah membuka lembaran baru kepada dasar pertanian negara dalam usaha
kerajaan untuk memastikan sektor pertanian bertindak sebagai ‘enjin ketiga’
pertumbuhan ekonomi negara yang saling melengkapi sumbangan sektor perkhidmatan
dan pembuatan yang lain.
Menjana Pembangunan Ekonomi Negara
Pada tahun 2000, satu kejadian
kebakaran hutan yang teruk telah berlaku di Kalimantan yang menjurus kepada
penghijrahan paksa burung walit ke Mukah,Sarawak. Rentetan itu, penghijrahan
burung walit ini telah mendatangkan rezeki kepada penduduk tempatan kerana
burung ini dikatakan boleh menghasilkan sarang burung sedia dimakan (EBN) yang
berkhasiat dan mampu memberi pulangan pendapatan yang tinggi kepada sesiapa
yang mengusahakannya.
Umum mengetahui melalui penyelidikan
yang telah banyak dilakukan sebelum ini, manfaat sarang burung walit telah
dapat dibuktikan khasiatnya yang menjadikan sarang burung ini elok dimakan oleh
semua peringkat lapisan umur. Malahan, penghijrahan ini juga telah membuka
peluang unik dan sistematik kepada lebih 50,000 penduduk di kawasan setempat
untuk memanfaatkan lagi aktiviti perladangan sarang burung.
Seorang petani Melanau bernama Encik
Burhan Aje Mohamed Roslan bergandingan bahu bersama-sama dengan saudara maranya
untuk mendapatkan modal daripada pelbagai pihak dan agensi kerajaan pemberi
pinjaman modal perniagaan berskala kecil untuk membina sarang burung walit
seluas 5.66 meter lebar dan 8.49 meter panjang di tanah pertanian kepunyaan
beliau. Dengan bantuan dan nasihat berkaitan teknik perladangan EBN daripada
pihak penyelidik-penyelidik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM),
keuntungan pendapatan bulanan hasil jualan daripada sarang burung walit yang
dahulunya hanyalah sekitar RM150 sahaja kini sudah bertukar kepada RM3000
sebulan menerusi keberkesanan pelaksanaan amalan tuai mampan dan amalan
pengekalan rangkaian dengan pengeluar yang mantap. Hasilnya, pengeluaran EBN
sudah mencapai pengeluaran yang maksimum untuk keperluan pengeluaran tahunan
sarang burung walit.
Hasil penjualan ini boleh
diklasifikasikan sebagai suatu usaha yang bersepadu daripada pihak keluarga
Encik Burhan dalam menggembleng tenaga secara bersama bagi menambahbaikan
pendapatan ahli keluarga mereka menerusi perladangan sarang burung walit
sehingga mencapai 20 kali ganda pendapatan berbanding sebelum ini.
Pada ghalibnya, sasaran impak PNK dalam
perladangan EBN adalah sebanyak RM 4.5 bilion menjelang tahun 2020 yang secara
tidak langsung dapat menjana hampir lebih 20,800 pekerjaan serta membolehkan
kedudukan Malaysia dikenali sebagai pembekal dan pensijilan utama sarang burung
walit bagi produk mentah ataupun yang telah diproses sekali gus dapat menaikkan
nama negara di peringkat global. Pengeluaran sarang burung walit boleh
dikategorikan sebagai sektor agromakanan yang boleh melestarikan impak positif
terhadap penjanaan ekonomi negara yang kukuh dalam merealisasikan Wawasan 2020 sebagaimana
yang telah digariskan melalui matlamat utama dasar ini diperkenalkan.
Sebagai analoginya, pasaran global
untuk sarang burung walit mencecah RM10.2 bilion setahun, dan mutakhir ini,
Malaysia sedang gah berada pada kedudukan pengeluar kedua terbesar sarang
burung walit dengan hasil daripada nilai jualan sebanyak RM1.5 bilion. Disebabkan
kualiti sarang burung yang lebih tekal dihasilkan, Malaysia mampu menyumbang sebanyak
20 peratus lebih hasil sarang burung walit di pasaran global setiap tahun
bermula sejak awal 20-an lagi.
Kendatipun terpaksa dibelenggu
masalah seperti pengawalseliaan yang tidak ketat, pengurangan bilangan burung
walit liar dan ketiadaan penyelidikan dalam memacu pembangunan produktiviti
yang lebih konsisten dan penggunaan hiliran, perkara ini tidak menjejaskan hasrat
negara Malaysia untuk mengapai status dan reputasi pembekal yang diiktiraf dan
mampu menyelesaikan cabaran-cabaran besar dalam industri ini suatu hari nanti.
Sasaran yang diletakkan oleh kerajaan Malaysia untuk sektor agromakanan sarang
burung walit ini diharap mampu mencapai dan menguasai 40 peratus daripada pasaran
global menjelang tahun 2020.
Kes-kes yang dipaparkan di atas
adalah satu daripada ribuan contoh sektor agromakanan yang mampu memberikan
pendapatan atau penjanaan ekonomi bukan hanya bersifat secara peribadi, bahkan
menjadi faktor dominan kepada kejayaan dasar agromakanan itu ditubuhkan demi manfaat
rakyat marhaen sejagat. Realitinya, industri melalui sektor agromakanan
sebenarnya berupaya memartabatkan ekonomi negara yang mantap dan sekali gus
dapat menampung lebih banyak keperluan pekerjaan bagi masyarakat setempat
kerana pembangunan negara yang seimbang mestilah terdiri daripada pembangunan
ekonomi, sosial dan politik yang stabil.
Walaupun terdapat juga beberapa
faktor yang mampu menjatuhkan sektor ini daripada terus berkembang, namun hal
itu tidak menjadi alasan untuk kita menerima hakikat bahawa agromakanan
sebenarnya membawa seribu satu makna yang amat bernilai kepada pembangunan
negara meliputi seluruh aspek kebaikan.
Inovasi Dalam Industri Agromakanan
Demi Pembangunan Negara
Apa yang penting, negara Malaysia telah bertindak seiring
tindakan untuk memastikan sektor agromakanan dapat memberikan sesuatu yang
bernilai terhadap pembangunan negara terutamanya pembangunan ekonomi negara. Rezeki
daripada hasil perut bumi yang melimpah ruah di depan mata jika tidak digarap
dengan sempurna melalui penglibatan pihak kerajaan dan dibantu oleh semua
agensi kerajaan dan bukan kerajaan hanya akan menjadi usaha yang sia-sia sahaja
bahkan mendatangkan kerugiaan yang amat besar kepada negara.
Kewujudan dasar agromakanan telah
membuka mata semua pihak untuk sentiasa maju ke hadapan dalam usaha menguna
pakai berbagai-bagai sektor dalam industri agromakanan untuk kepentingan
golongan marhaen dan seterusnya memberi pendapatan yang lumayan kepada pihak
kerajaan. Pelbagai inisiatif kerajaan untuk memajukan sektor agromakanan
sebenarnya mengajar kita untuk menghasilkan sesuatu yang amat bernilai kepada
pembangunan negara dan tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada negara sahaja.
Kini, sektor agromakanan semakin
hari perlu disuntik dengan elemen-elemen penambaikan demi meningkatkan lagi
nilai komersial yang sedia ada ke tahap yang lebih maksimum lagi agar mampu
mendapat tempat di pasaran ekonomi seantero dunia. Tamsilnya, kisah kejayaan
syarikat anak watan milik Datuk Yap, iaitu Evergreen Sdn Bhd yang mengendalikan
perladangan tenusu swasta terbesar di Malaysia dengan seluas 5000 ekor lembu,
2000 ekor rusa, rumah perah susu bersepadu dan sebuah rumah penyembelihan yang
ditanggung halal. Untuk mencapai penambahbaikan terhadap produk tenusu yang
sedia ada, maka Datuk Yap dengan sendirinya mengambil inisiatif untuk menubuhkan
program pembiakan sendiri menggunakan teknik permanian beradas.
Semen yang diketahui jantinanya
diimport daripada Amerika Syarikat untuk memastikan jantina anak lembu yang
bakal dilahirkan adalah betina, berkualiti dan lebih kuat daripada biasa. Hal
inilah yang dikatakan elemen inovasi yang disuntik kepada produk yang sedia ada
demi impak positif yang lebih maksimum. Ironinya, ladang Datuk Yap membekalkan
60 peratus daripada keperluan susu di Sabah dan amalan perusahaan ternakan ini
merupakan salah satu model yang berjaya untuk dicontohi oleh industri tenusu
tempatan. Kerajaan melalui organisasi yang telah dipertanggungjawabkan iaitu
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dari semasa ke semasa
sentiasa mencari usahawan pengeluaran agromakanan yang berpotensi sama ada
berskala kecil mahupun secara besar-besaran untuk dimajukan lagi secara lebih
sistematik demi kepentingan pembangunan negara melalui kepentingan sektor
agromakanan negara.
Intensif Dan Komitmen Bersepadu
Kerajaan
Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat
berhormat, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan
ke-39, Persatuan Peladang Kebangsaan (NAFAS) turut menekankan bahawa unsur
inovasi melalui proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) perlulah
diterapkan kepada keseluruhan lapisan rantaian nilai sektor agromakanan bagi
memaksimumkan sebanyak mungkin tahap pengeluaran hasil dan produk serta
produktiviti demi pembangunan negara yang seimbang.
Melengkapi komitmen kerajaan dalam
menjadikan sektor agromakanan sebagai salah satu unsur yang mampu menyumbang
kepada pembangunan negara, beberapa inisiatif baru demi pembangunan dan
kemajuan bidang ini telah dirancang secara terperinci termasuklah
memperkenalkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang bertujuan untuk
menjadikan sesebuah tempat itu sebagai pusat pembelian dan pusat penempatan
semua jenis pengeluaran agromakanan di sekitar kawasan yang dimajukan itu. Kebergantungan
sepenuhnya kepada makanan yang diimport dari negara luar yang tidak dapat
diketahui kualiti dan khasiat barang tersebut perlulah dielakkan agar keperluan
makanan negara boleh bergantung kepada hasil bumi Malaysia itu sendiri.
Tidak cukup dengan itu, kerajaan
turut memperluaskan fokus dalam sektor agromakanan ini melalui Rancangan
Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dengan memberi fokus kepada 16 projek permulaan
(EPP) dan tiga daripadanya melibatkan sektor padi dan beras yang merupakan
makanan ruji masyarakat kontemporari selain tanaman-tanaman herba, ternakan dan
akuakultur. Hal ini penting bagi meningkatkan lagi pendapatan kumpulan sasar
dan menambahkan lagi sumbangan sektor agromakanan kepada pendapatan negara di
samping melengkapi NKEA yang digariskan oleh pihak kerajaan. Tambahan lagi,
inisiatif dan usaha kerajaan ini penting bagi persediaan untuk menghadapi krisis
bekalan makanan yang semakin meningkat hari demi hari.
Buktinya, sejak tahun 2002 sehingga
tahun 2008 sahaja, import makanan bagi negara-negara termiskin dunia seperti Zimbabwe,
Liberia, Somalia dan Burundi telah meningkat sebanyak 11 peratus, manakala bagi
negara pengeluar makanan, nilai import makanan telah meningkat sebanyak 20
peratus.
Dan begitulah keadaan betapa
pentingnya pengeluaran makanan terutamanya dalam sektor agromakanan yang pada
asasnya diwujudkan selari dengan matlamat kerajaan untuk meminimumkan
kebergantungan import makanan daripada negara-negara pengeluar dunia yang lain.
Apa yang penting, segala usaha untuk memajukan sektor agromakanan melalui
dasar-dasar yang digubal sebenarnya membawa kepada pembangunan negara yang mapan
untuk tempoh jangka masa yang panjang.
Kesimpulan
Keunggulan sektor agromakanan dalam
menjana pembangunan negara kini telah terbukti di mata dunia kita hari ini.
Bukan setakat itu sahaja, industri agromakanan akan menggunakan kekuatan negara
termasuklah sumber biodiversiti serta pengetahuan dan inovasi kepelbagaian
etnik untuk menghasilkan produk-produk baru yang menepati cita rasa pengguna
sejagat.
Penggubalan dan pengenalan Dasar
Agromakanan Negara pula telah mencerminkan usaha dinamik kerajaan yang sentiasa
terkehadapan dalam melakukan transformasi bagi sektor agromakanan ke arah
menjadi lebih moden secara menyeluruh. Matlamat akhir dasar ini sudah pasti
untuk menjamin bekalan makanan negara masa hadapan terjamin selain ingin menjadikan
sektor agromakanan mampu berdaya saing seiring dengan negara-negara pengeluar
yang lain dalam meningkatkan lagi pendapatan kumpulan sasar yang akhirnya dapat
menguntungkan negara kita amnya.
Seyogia diingatkan, kerajaan
sentiasa melakukan kerjasama yang erat bersama-sama dengan jabatan,
agensi-agensi yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam melakukan
transformasi secara menyeluruh bagi melahirkan sektor agromakanan yang mampu mendatangkan
banyak kepentingan kepada pembangunan negara yang seimbang seiring dengan
aspirasi Wawasan 2020 yang ingin dicapai.
1999
Patah Perkataan.
Tweet
No comments:
Post a Comment