Cara-cara Menjaga Kesihatan Badan
Dewasa ini, masalah kesihatan badan sering
kali menjadi polemik yang hangat diperkatakan masyarakat di segenap empat
penjuru dunia termasuklah juga di negara kita amnya. Umumnya, kesihatan badan
merupakan poin terpenting kepada proses penentuan tahap kesihatan seseorang itu
besok lusa kerana sesungguhnya, kesihatan
melambangkan kekayaan (Pepatah Cina). Persoalannya sekarang, apakah langkah-langkah
signifikan yang harus dititikberatkan bagi menjaga kesihatan badan kita
sekalian?
Ghalibnya, antara langkah terutama dalam
usaha memelihara kesihatan badan adalah dengan pengambilan diet yang seimbang
sepanjang masa. Melaluinya, kita digalakkan untuk memperbanyakkan makan
buah-buahan dan sayur-sayuran setiap kali hidangan agar badan kita sentiasa beroleh
khasiat yang secukupnya seperti serat, vitamin dan sebagainya. Bahkan, corak
pengambilan makanan yang teratur sebegini seyogianya diamalkan bermula daripada
peringkat awal lagi agar ia menjadi rutin permakanan kita seharian kelak persis
aforisme, hendak seribu daya, tak hendak
seribu upaya.
Selanjutnya, kita digalakkan untuk meluangkan
sedikit masa (sekitar 20 minit) setidak-tidaknya tiga kali dalam seminggu untuk
melakukan aktiviti-aktiviti senaman ringan ataupun bersukan seperti berenang, berbasikal,
berjoging dan lain-lain lagi. Hal ini penting agar kita dapat mengekalkan
kesihatan fizikal dan mental yang ideal senantiasa bak pepatah arab berbunyi, minda yang sihat berada pada badan yang
sihat.
Akhirnya,
kita hendaklah menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dua kali
setahun bersesuaian dengan usaha-usaha kita untuk mencegah diri daripada mendapat
penyakit-penyakit kontemporari seperti penyakit jantung, darah tinggi dan
sebagainya. Sebaliknya, jika seseorang itu didapati menghidap sebarang jenis penyakit
pula, maka berusahalah untuk mendapatkan rawatan pencegahan seawal mungkin
kerana sesungguhnya, Rasulullah SAW bersabda, “Tiap-tiap penyakit itu (ada) ubatnya. Apabila menepati ubat terhadap
penyakit tersebut, maka sembuhlah dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim dan
Ahmad)
Intihanya,
ayuhlah kita beriltizam untuk bersama-sama menitikberatkan soal kesihatan badan
ini kerana sesungguhnya, kesihatan badan yang sempurna itu adalah merupakan anugerah
yang amat berharga dikurniakan Allah SWT kepada umatnya sejagat. Janganlah sudah terhantuk baru terngadah kerana biar berkelahi dulu, jangan berkelahi
kemudian. Fikir-fikirkanlah.
300
Patah Perkataan
No comments:
Post a Comment