Firman ALLAH berbunyi:
“Sesungguhnya,
Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang
berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah
menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan
(suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.
Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.(Surah Al-Nisa
Ayat 58).
Pengenalan surah:
Menurut Ibnu Kathir, beliau telah menjelaskan bahawa selepas
pembukaan kota Mekah pada tahun 8H, Rasulullah SAW telah meminta kunci Ka’bah
daripada Usman bin Thalhah. Baginda membuka serta memasuki Ka’abah. Setelah
keluar daripadanya, Rasulullah SAW membaca ayat daripada petikan surah An-Nisa
ini yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikannya”.
Baginda
memanggil Usman bin Thalhah dan menyerahkan kunci Ka’bah kepada beliau sambil
bersabda yang bermaksud, “Ambillah kunci ini wahai Bani Thalhah dan ianya akan
kekal selama-lamanya di tangan kamu, tidak ada orang yang mengambilnya daripada
kamu kecuali orang zalim”.
Menurut
Ibnu Kathir, ramai ulama’ tafsir mengatakan bahawa ayat ini telah diturunkan kepada
Usman bin Thalhah. Disebabkan itu, Rasulullah SAW menyerahkan kunci tersebut
kepadanya.
Selepas
kewafatan Usman pada pada tahun 42H, beliau tidak mempunyai anak lalu kunci
Ka’bah telah diberikan kepada sepupunya iaitu Syaibah bin Usman bin Abi
Thalhah. Kemudian anak-anak Syaibah mewarisi kunci itu secara turun-temurun
sehingga hari ini dan sampailah pada Hari Kiamat. Malah, mereka dikenali
sebagai dengan nama ‘As-Syaibiyyin’.
Sebagaimana
yang tersebut dalam hadis, “Kekal selama-lamanya di tangan kamu” menunjukkan
bahawa keturunan Abu Thalhah akan kekal sehingga Hari Kiamat dan penjagaan
Ka’bah berada dalam tangan mereka. Hal ini merupakan salah satu daripada mukjizat
Rasulullah SAW.
Pengajaran
daripada cerita di sebalik turunnya ayat ini adalah sifat amanah dalam keluarga
dan keturunan Abu Thalhah yang menjaga kunci Ka’bah yang panjangnya 40 sentimeter
itu secara turun-temurun dan kekal ke hari ini. Maka inilah sifat amanah yang
dianjurkan oleh Islam kepada umatnya kerana menjaga amanah merupakan sifat yang
tergolong dalam sifat mahmudah dan barangsiapa yang tidak menjaga amanah, maka
tunggulah pembalasan Allah yang setimpal sebagaimana sabda Nabi yang berbunyi,
“Empat perkara sekiranya kamu memilikinya kamu tidak akan ditimpa(balasan)
terhadap apa yang kamu tidak buat di dunia: jaga amanah, bercakap benar,
berakhlak baik dan mengawal permakanan(halal dan haram)”.
Tafsir surah An-Nisa Ayat ke-58:
Ayat yang
ke-58 daripada petikan surah An-Nisa ini menerangkan konsep amanah. Amanah
adalah perkataan yang berasal daripada perkataan Bahasa Arab “Al-Amanah” dan
diambil daripada kata dasar “Alif di atasnya hamzah, mim, nun” disebut “Amina”.
Selanjutnya, daripada perkataan ini terbitlah perkataan “amaanun” yang juga
diserap ke dalam Bahasa Melayu, membawa erti aman, dan daripada perkataan ini
jugalah, terbit pula perkataan “Al-amiin”.Perkataan ini memberi dua maksud yang
berbeza iaitu satu daripadanya ialah yang bermaksud orang yang sangat jujur dan
amanah dan satu gelaran pergi kepada gelaran masyarakat Arab Jahiliyyah Quraish
kepada Nabi Muhammad SAW sebelum baginda diutus menjadi Rasul.
Manakala,
perkataan yang menjadi lawan kepada perkataan amanah ini ialah “Khianat” yang
juga berasal daripada perkataan “Al-Khianah” yang sering kita dengar diberi
makna sebagai “pecah amanah” atau “tidak jujur” atau “curang” dalam Bahasa
Melayu. Orang yang memegang amanah biasanya dinilai oleh pemberinya agar dapat
memelihara dengan baik apa yang diberikannya itu. Sebagai contoh, seseorang
yang bakal memimpin sekelompok
masyarakat dalam kawasan itu akan dinilai akhlaknya terlebih dahulu oleh
masyarakat sebelum orang itu diangkat menjadi seorang pemimpin rakyat kerana kebaikan
seorang pemimpin adalah lebih baik daripada kebaikan zaman.Tambahan lagi, ayat daripada petikan surah
ini berbentuk jamak daripada perkataan amanat. Hal ini sudah pasti jelas
menunjukkan, amanat bukan sekadar bersifat kebendaan, bahkan juga bersifat
bukan kebendaan.
Ketika
Allah memerintahkan dan menetapkan hukum dengan adil, ayat ini dimulai dengan
mengatakan, “Apabila kamu menetapkan
hukum di antara manusia”. Tetapi
sebelum itu, kita dihidangkan dengan maksud ayat yang memerintahkan untuk menunaikan
amanat. Hal ini menjelaskan akan syariat bahawa setiap manusia telahpun
menerima amanah secara potensial sebelum kelahirannya dan apabila dia mencapai
tahap umur akil baligh. Menetapkan sesuatu hukum tidak semudah yang kita
sangkakan. Terdapat syarat-syarat yang seharusnya kita ikut dalam melaksanakan
amanah. Tamsilnya, kita seharusnya penuh dengan ilmu pengetahuan tentang hukum-hakam
dan tatacara menetapkannya serta masalah yang harus dihadapinya ketika
melaksanakan amanah. Bagi memenuhi syarat-syarat inilah, maka diturunkan
petikan ayat daripada surah An-Nisa ini dan ditujukan perintah dengan kamu harus menetapkan untuk berlaku
adil.
Ayat
daripada petikan ini juga memerintahkan kepada kita semua untuk menunaikan
amanat, ditekankan bahawa amanat tersebut harus ditunaikan kepada ahlinya yakni
pemiliknya, dan ketika memerintahkan menetapkan hukum dengan adil, dinyatakan
pula apabila menetapkan hukum kepada manusia. Hal ini bermaksud bahawa perintah
berlaku adil itu ditujukan terhadap manusia secara menyeluruh. Dengan itu, baik
amanat mahupun keadilan harus ditunaikan dan ditegakkan tanpa membezakan
keturunan dan ras. Hal inilah yang menyebabkan keadilan dikatakan sebagai
timbangan kebenaran.
Kategori Pembahagian Amanah
Berpandukan
kepada firman Allah dalam surah An-Nisa ayat ke-58 ini,kita dapat mengklasifikasikan bahawa amanah yang
melibatkan diri manusia terbahagi kepada tiga bentuk. Pertamanya adalah hubungan
amanah antara manusia dengan Allah. Hal ini memberi erti kepada memelihara
hukum Allah dengan berusaha untuk menjadi seorang khalifah yang baik di bumi
Allah ini melalui pelaksanaan amanah yang berkaitan dengan hak Allah meliputi
kewajipan mematuhi perintah yang diperintahkan kepada kita dan menghindari
larangan-larangan-Nya.
Keduanya
adalah amanah manusia dengan manusia. Seseorang yang diberikan amanah harus
mengembalikannya kepada sang pemilik tanpa ditambah dan dikurangi. Hal ini
meliputi perkara-perkara seperti memberikan hak kepada orang yang berhak,
menepati janji, bersifat adil dan saksama, bercakap benar, dan melakukan ihsan
kepada masyarakat sekeliling. Hiduplah kita seperti lilin yang menerangi orang
lain dan janganlah kita hidup seperti duri mencucuk diri dan menyakiti orang
lain.
Ketiga,
amanah yang ada pada diri manusia itu sendiri seperti usia, kekuasaan, kemampuan
jasmani dan mental. Jika dipandang dari sudut agama, semua itu adalah amanah
Tuhan yang ada dalam tangan kita. Hal ini menjelaskan kepada kita tentang kewajipan
menggunakan tubuh badan dan segala kurniaan Tuhan kepada kita demi
menghampirkan diri (taqarrub) kepada-Nya. Pelaksanaan amanah yang berkaitan
dengan diri peribadi meliputi kewajipan menunaikan hak diri menepati pesan
Nabawi, “Sesungguhnya bagi dirimu ada hak yang wajib kamu tunaikan”. Oleh itu, seorang Muslim sejati yang amanah
tidak melakukan sesuatu selain yang bermanfaat dari segi agama dan kehidupan
dunia-akhiratnya. Tambahan lagi, kita dituntut untuk tidak melakukan sesuatu
yang memudaratkan dirinya sama ada di dalam dunia mahupun akhirat, dan tidak
mendedahkan dirinya kepada serangan penyakit dengan mengamalkan gaya hidup
sihat.
Pemimpin kerajaan yang amanah dan bertanggungjawab
Pemimpin
sering dikaitkan dengan amanah dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas
sebagai seorang pemimpin. Adapun, kerajaan merupakan suatu badan
atau organisasi yang sah dalam suatu kawasan tertentu yang mempunyai bidang
kuasa tunggal bagi memegang jawatan dan kuasa tertentu. Kuasa yang diberikan
rakyat kepada para pemimpin kerajaan haruslah digunakan sebaik mungkin bagi
menegakkan dan melaksanakan hukum Allah serta sentiasa berlaku adil dalam
memimpin negara.
Manakala, perkataan tanggungjawab membawa maksud suatu
beban atau tugas yang perlu dipikul, atau bebanan tugas yang dipikulkan kepada
seseorang untuk dilaksanakan dengan penuh perhatian, prihatin serta ketelitian
sehingga sesuatu kerja itu dapat disempurnakan tanpa cacat celanya dengan
berdasarkan prinsip “minima masa, maksima usaha”. Terdapat banyak nas daripada
ayat-ayat Al-Quran dan Al-Hadith yang memperkatakan tentang sifat amanah yang
membuktikan betapa sifat ini merupakan sifat yang paling mulia dan wajib
dimiliki oleh manusia sejagat, khasnya mereka yang mengaku beriman kepada Allah
SWT, RasulNya SAW dan hari akhirat.
Malah, berpandukan mafhum daripada Surah An-Nisa ayat ke-58 tadi, ayat ini pada
zahirnya memfokuskan kepada golongan pemerintah kerana mereka banyak terlibat
dengan menjatuhkan sesuatu keputusan yang berkaitan dengan kebajikan rakyat
marhaen. Keadilan dalam konteks ini bermaksud bahawa para pemerintah mestilah
menjalankan segala tanggungjawab yang mereka pikul dengan penuh amanah dan
tanggungjawab sekali gus keadilan mestilah sampai kepada setiap rakyat jelata
tanpa mengira kedudukan mereka. Janganlah kita berlaku tidak adil terhadap
rakyat kerana sekiranya itu terjadi, maka hilanglah kepercayaan dan kehormatan
rakyat kepada kerajaan yang boleh membawa 1001 keburukan kepada perlembagaan
negara.
Aplikasi
surah An-Nisa[4]: 58
Melalui
petikan surah ini, kerajaan mestilah mengambil semua iktibar daripada apa
tuntutan yang Allah tegaskan terhadap pemimpin dalam membentuk kerajaan yang
adil dan saksama. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW
bermaksud: “Kepemimpinan itu satu amanah yang berat yang pada hari kiamat
nanti, ia adalah satu penyesalan dan kehinaan melainkan seorang pemimpin yang
melaksanakan dengan amanah dan adil kepada rakyat bawahannya.” (Riwayat Abu
Hanifah).
Justeru,
kuasa kepemimpinan bukanlah sesuatu yang boleh dibeli atau seumpama barangan
mainan yang boleh bertukar tangan. Sebaliknya, kuasa itu wajib diberikan kepada
orang yang benar-benar berkelayakan dan berkarisma dalam melaksanakan
tanggungjawab kepada rakyat.
Oleh itu,
seorang pemimpin yang adil tidak akan mengamalkan dasar kronisme, rasuah atau
politik wang, pilih kasih dan penyelewengan lain dalam pemerintahannya.
Sebaliknya, pemimpin haruslah sentiasa berfikir ke hadapan dalam memikirkan
masalah rakyatnya, di samping merencana pelan strategi untuk menjaga
kepentingan dan kebajikan masyarakatnya. Pemimpin tidak seharusnya menggadaikan
prinsip dan amalan dalam membina kerajaan yang adil dan berkebajikan seperti
pemimpin kerajaan yang membolot hasil perbendaharaan negara(duit rakyat) demi
kepentingan diri yang mengiurkan itu sahaja. Maslahat negaranya mengatasi
kepentingan dirinya dan keluarganya. Kerajaan haruslah peka dengan kehendak
rakyat yang mahukan keadilan demi kehidupan rakyat yang aman dan selesa bak
kata peribahasa pujangga Arab berbunyi, “Janganlah kita abaikan permintaan
orang(rakyat), kalau tidak mahu permintaan kamu(kerajaan) diabaikan orang”.
Tambahan
lagi, dari segi kepimpinan dalam kerajaan pula, kerajaan yang adil meletakkan
kedudukan hukum Islam dalam sistem perundangan pada tahap tertinggi sekali dan
tidak ada sesiapa yang mampu melepasinya. Meletakkan hukum Islam di tempat yang
paling tinggi ini tidak ubah seperti peribahasa Latin yang berbunyi, “Biarpun
langit runtuh, hukum harus tetap ditegakkan”. Keadilan kerajaan terjelma ketika
memberikan kesaksamaan ruang dan peluang dalam segenap bidang meliputi sosial,
perekonomian dan politik kepada seluruh rakyatnya. Menurut Khalifah Abdul Malik
bin Marwan, katanya “Semulia-mulia manusia(pemimpin kerajaan) ialah siapa yang
mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika
berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat”.
Kebajikan
kerajaan yang tercerna dalam sikap tegas dasar yang digubal bagi memastikan
peluang pekerjaan yang mencukupi, sumber makanan yang meluas dan murah serta
kemudahan penginapan yang mampu dimiliki. Mengikut fakta cerdik pandai ekonomi,
rakyat yang berada dalam kepimpinan kerajaan yang berteraskan negara berkebajikan
sentiasa berada dalam keadaan yang tenteram, damai dan aman kerana keyakinan terhadap
kemurahan dan sikap berkepedulian kerajaan yang menaunginya. Hal ini yang
menjadi antara ciri-ciri kerajaan yang memperjuangkan keadilan tanpa mengira
dan melihat kepada keturunan, warna kulit, bangsa, kedudukan, miskin, kaya atau
perbezaan agama kerana seandainya kerajaan tidak mampu untuk mengutuskan
secebis kesenangan kepada rakyat,maka berusahalah supaya pihak kerajaan untuk
tidak mengirimkan walau sezarah kesusahan kepada rakyat jelata.
Firman
Allah dalam surah An-Nisa ayat ke-58 ini berhujung dengan peringatan bahawa
Allah Maha Mendengar dan Maha Melihat. Segala yang terjadi, terbuka atau
tertutup, terdedah atau tersembunyi, termasuk hal-hal yang berkaitan dengan
pelaksanaan amanah dan penegakkan keadilan tidak akan ada yang terlepas
daripada pendengaran dan penglihatan Allah yang bersifat sami‘ an basiran.
Segalanya akan dihisab dan seterusnya diberikan balasan berasaskan Keadilan
Illahi yang Maha Mutlak.
Berdasarkan
kepada keterangan maksud penghujung ayat dari surah An-Nisa ayat ke-58 ini, jelaslah
sesiapa yang melakukan kezaliman kepada rakyat dan tidak berlaku adil akan
disoal oleh Allah di akhirat kelak tentang apa yang mereka telah lakukan. Hal
ini kerana, prinsip keadilan dalam Islam menjamin kesemua yang berhak mendapat
haknya, tidak ada orang yang lemah yang tertindas, dan tidak ada orang yang
kuat yang memeras. Kerajaan haruslah berlaku adil dalam setiap aspek walaupun
berlaku adil itu merupakan tugas yang amat berat dan memerlukan pengorbanan
komitmen yang tinggi.
Pengajaran
surah An-Nisa[4]: 58
Daripada ayat petikan surah An-Nisa ayat
ke-58 ini, kita dapat
mengutip beberapa pengajaran yang berguna untuk pedoman diri sebagai seorang pemimpin
dalam membentuk kerajaan yang adil yang menjadi tuntutan utama dalam petikan
ayat ini.
Antara pengajarannya ialah setiap amanah
memiliki pemiliknya yang harus diserahkan kepada yang berhak. Penyerahan amanah
sosial seperti pemerintahan dan pengadilan kepada orang-orang yang bukan
ahlinya adalah bertentangan dengan tuntutan iman. Sebagai tambahannya pula,
amanah harus diserahkan kepada pemiliknya sama ada pemiliknya itu kafir atau musyrik
sekalipun. Dalam menunaikan amanah kemukminan ini, si pemilik tidak
disyariatkan.
Tambahan
lagi, sebagai khalifah di bumi Allah ini, manusia tidak terlepas daripada
memerlukan nasihat dalam kehidupan mereka sendiri dan nasihat yang terbaik
datang daripada Allah(Al-Quran) dan Rasulullah(Al-Sunnah).
Jelas
terbukti bahawa akidah yang suci mampu membina sifat amanah yang mulia. Orang
yang amanah dikasihi Allah SWT dan disukai oleh manusia.
No comments:
Post a Comment