Tanggungjawab Saya Sebagai Pengguna
Akhir-akhir
ini, masalah kepincangan dalam dunia konsumerisme seringkali menjadi buah mulut
masyarakat sejagat. Umumnya, kekangan ini berpunca akibat kegagalan para peniaga
dan pengeluar untuk mematuhi etika-etika perniagaan lantaran mengundang malapetaka
besar kepada pengguna dewasa ini.
Zaman
bertukar, musim berganti. Namun, pengguna zaman ini dilihat semakin mudah
diperkotak-katikkan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab. Masakan tidak, akibat
kedangkalan ilmu pengetahuan mereka terutamanya yang berkaitan dengan
tanggungjawab mereka sebagai pengguna kontemporari secara tidak langsung telah menyebabkan
masalah ini semakin meningkat hari demi hari.
Buktinya,
statistik sahih lagi tepat berkaitan dengan kepincangan dalam isu kepenggunaan
alaf ini sebagaimana yang telah direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)
bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun 2013 menunjukkan bahawa, peningkatan sebanyak
593 kes penipuan menerusi laman web telah dilaporkan dengan nilai kerugian
sebanyak RM1,371,166 mencakupi 207 daripada kes tersebut bermula daripada laman
sosial Facebook amnya yang telah menokok kerugian kira-kira RM659,758.
Sementara
itu, isu kepenggunaan sebegini seringkali menjadi polemik yang hangat
diperkatakan masyarakat terutamanya yang tinggal di luar bandar mahupun di pinggir
bandar amnya. Lazimnya, golongan seperti ini kurang mendapat pendedahan
pendidikan kepenggunaan dalam kehidupan mereka seharian. Sehinggakan, kebanyakan
daripada mereka tidak mengerti akan tanggungjawab mereka sebagai pengguna akhir
amnya.
Apa
yang pasti, usaha-usaha yang dilakukan bagi mengatasi masalah ini masih lagi
kurang penghayatannya dalam kalangan masyarakat. Malah, sekiranya perkara ini
dibiarkan begitu sahaja, maka sudah pasti impak negatif bakal mempengaruhi norma
kehidupan manusia sejagat sekali gus merugikan semua pihak khususnya para pengguna
kelak.
Justifikasinya,
kita sebagai pengguna seyogianya sentiasa bersikap positif dalam memainkan
peranan masing-masing agar kata-kata Adam Smith yang menyebut ‘Pengguna Ialah Raja’ sebagaimana yang
dipetik daripada bukunya “The Wealth Of Nations” itu tidak hanya
tinggal kata-kata sahaja. Sebaliknya, apa yang berlaku mutakhir ini menunjukkan
bahawa, masyarakat marcapada dilihat semakin naif dengan mata kebendaan yang
melalaikan sehinggakan, ada kalanya mereka lupa akan tanggungjawab mereka
sebagai pengguna.
Tanggungjawab
Kita Sebagai Pengguna
Sehubungan
itu, tanggungjawab kita sebagai pengguna sebagaimana merujuk kepada risalah
kepenggunaan yang diterbitkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) ada menggariskan
bahawa, terdapat dua aspek penting yang harus dititikberatkan pengguna dalam
menjalankan tanggungjawab mereka sekalian yakni merangkumi aspek terhadap diri
sendiri dan juga terhadap masyarakat setempat.
Lain
daripada itu, bagi membebaskan pengguna daripada dibelenggu kejahilan, sudah
pasti aspek tanggungjawab terhadap diri
sendiri haruslah dipraktikan senantiasa dalam kehidupan kita seharian agar masyarakat
tidak akan mudah dinodai sebarang jenis penipuan yang banyak berlaku sekarang
ini.
Bahkan,
sebagai rakyat Malaysia yang cakna akan situasi dunia konsumerisme hari ini,
kita sebenarnya mempunyai tanggungjawab untuk mendapatkan maklumat kepenggunaan
demi keperluan diri sendiri amnya. Misalnya, pemahaman jelas berkenaan sesuatu maklumat
terutamanya berkaitan dengan barangan yang hendak dibeli sewajarnya dititikberatkan
pengguna agar kita semua tidak mudah tertipu dek barangan yang hanya indah khabar daripada rupa ini.
Seterusnya,
kita seharusnya bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan diri sendiri lebih-lebih
lagi tatkala menggunakan barang-barang berbahaya seperti barangan elektrik,
bahan-bahan kimia dan sebagainya. Hal ini kerana, kejadian tidak diingini mungkin
akan berlaku sekiranya kita memandang enteng akan perkara ini kerana
sesungguhnya, pepatah Arab menyebut, ‘ Mencegah itu lebih baik daripada mengubati.
’
Selain
itu, seandainya pengguna hari ini merasakan diri mereka menjadi mangsa penipuan
dek sesetengah pihak tidak bertanggungjawab, maka mereka sebenarnya mempunyai
tanggungjawab untuk mengutarakan aduan dan menuntut pampasan barangan jika
sekiranya barang yang ingin dimiliki itu terdapat kecacatan padanya.
Jika
diteliti dengan lebih mendalam, sinergi erat pihak kerajaan dengan pihak-pihak
media cetak era ini yang telah banyak membuat pendedahan kepada umum berkaitan kes-kes
kesalahan tribunal seharusnya diberi pujian masyarakat sejagat. Bahkan, dengan adanya
ruangan ‘Dari Tribunal Tuntutan Pengguna’
seperti yang diterbitkan akhbar Mingguan Malaysia pada setiap hari ahad itu
secara tidak langsung memberikan pemahaman sepenuhnya kepada pengguna marcapada
terutamanya yang berkaitan cara-cara menuntut ganti rugi dan sebagainya.
Contoh
yang boleh diketengahkan dalam hal ini adalah seperti apa yang berlaku kepada
bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Emeritus Datuk Dr. Sulaiman Md.
Yassin dan isterinya, Datin Noor Rohani Mohd Noor beberapa tahun yang lepas.
Menurut laporan yang diterbitkan oleh akhbar Harian Metro bertarikh 24 Februari
2011 itu, pihak Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) telah mengarahkan
kepada syarikat pakar perubatan rambut Yun Nam Hair Care Sdn. Bhd. untuk
membayar balik nilai pampasan sebanyak RM14,986 kepada pasangan tersebut.
Keputusan
tersebut dibuat setelah mendapati syarikat tersebut telah melanggar kod
perniagaan dan memerintahkan bayaran pampasan perlulah dilakukan kepada
pasangan berkenaan dalam tempoh dua minggu sahaja. Manakala, menurut pasangan
tersebut, mereka telah mengambil pakej rawatan rambut bernilai RM15,600 ( RM7,800
bagi setiap orang) dengan bayaran ansuran RM650 sebulan ekoran masalah kulit
kepala, yang dihadapi mereka.
Kes
yang dipaparkan di atas adalah satu daripada ribuan kes tribunal yang telah
direkodkan pihak TTPM dan ia menjadi pedoman bahawa, pengguna hari ini
bertanggungjawab untuk membuat aduan dan meminta pampasan sekiranya produk atau
perkhidmatan yang diterima pengguna itu tidak memenuhi kehendak masing-masing
amnya.
Selain
daripada tanggungjawab kepada diri sendiri, pengguna juga bertanggungjawab sepenuhnya
terhadap masyarakat setempat. Dalam erti kata yang lain, tanggungjawab
melibatkan diri secara proaktif dalam perwakilan sesetengah badan-badan
kerajaan dan bukan kerajaan khususnya yang bertindak mewakili kepentingan
pengguna hari ini seperti Gabungan Persatuan-Persatuan
Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA),
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Majlis Gerakan Pengguna Kebangsaan
(MGPK) dan lain-lain lagi amnya.
Hal
ini secara tidak langsung menunjukkan kepekaan kita terhadap apa yang berlaku di
sekeliling kita sekali gus menjadi tunjang kepada kita agar lebih berhati-hati
dengan isu-isu penindasan terhadap pengguna yang banyak berlaku sekarang ini.
Bertitik
tolak daripada itulah, pengguna juga mempunyai tanggungjawab untuk mendapat
pendidikan kepenggunaan yang mencukupi dan berterusan. Hal ini penting kerana, pembudayaan
ilmu kepenggunaan sebenarnya merupakan aset terpenting dalam melahirkan pengguna bijak lagi waras dengan isu-isu
kepenggunaan hari ini. Justeru, dalam konteks ini, pengguna mestilah bertindak
seiring tindakan dan sentiasa bersedia dalam melakukan anjakan paradigma kepada
perubahan sikap lebih positif kelak. Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah nasib
sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah nasib mereka sendiri (Al-Arad:11).
Kesimpulan
Segala
bentuk tanggungjawab kita sebagai pengguna dalam menunaikan hak kepenggunaan
masing-masing hendaklah berlaku seiringan sentiasa. Hal ini penting agar segala
transaksi pembelian barangan atau perkhidmatan akan sentiasa dapat memenuhi
aspirasi pembeli dan penjual jua kelak.
Bahkan,
tanpa adanya penggemblengan tindakan dan sokongan perlaksanaan tanggungjawab kepenggunaan
yang ideal di pihak para pengguna sekalian, nescaya sudah pasti undang-undang
dan agensi penguatkuasaan sahaja kini dilihat semakin sudah tidak mampu untuk menjamin
kepentingan pengguna hari demi hari.
Justeru
itu, ayuhlah kita beriltizam untuk tidak memandang remeh akan perkara ini
kerana sesungguhnya, kelekaaan kita hari ini mungkin akan memudaratkan diri
sendiri dan pengguna lain kelak. Ingatlah, kejayaan tidak akan datang kepada manusia yang
leka. (Charles Cahier)
999
Patah Perkataan
Tweet
No comments:
Post a Comment