AkuSuffianFauzi

Nuffnang Adds

Follow My Facebook, Twitter, Instagram

 Add Me Follow Me Follow Me

Thursday 11 September 2014

GAGASAN 1MALAYSIA SEBAGAI WADAH PEMBINAAN NEGARA BANGSA



Pada ketika ini, cabaran globalisasi yang melanda seluruh dunia telah menyaksikan setiap negara menyusun strategi masing-masing agar tidak tersisih dan ketinggalan dalam mengharungi arus dunia yang penuh dengan onak duri ini sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan masalah global yang mungkin juga boleh melanda negara kita seperti kata peribahasa, sediakan payung sebelum hujan. Hal ini penting agar negara kita tidak menjadi mangsa penindasan pihak tertentu. Namun, bagi keadaan negara di Malaysia, kita perlulah berganding bahu tanpa mengira keturunan dan anutan agama dengan bertindak sebagai satu rumpun bangsa, yakni bangsa Malaysia yang sentiasa berfikir ke hadapan dan bertindak seiring dengan tindakan untuk menjadikan negara Malaysia sebagai negara yang aman, damai dan harmoni untuk didiami setanding dengan masyarakat di dunia lain.

        Sebagaimana yang kita sedia maklum, Malaysia terdiri daripada beberapa bangsa dan kaum yang pelbagai. Bagi merapatkan hubungan sesama kaum dan bangsa di negara kita ini jelaslah memerlukan satu dasar yang bertindak ke arah kesamarataan dalam menyemai semangat nasionalisme dan kecintaan kepada negara bangsa dan seterusnya mewujudkan perpaduan kaum yang utuh tanpa perlu ada sebarang bentuk racun perpecahan seperti kata peribahasa, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. 

        Menyedari hakikat ini, maka YAB Dato Seri Najib Tun Razak memperkenalkan satu konsep yang menuju ke arah menyatupadukan bangsa dan kaum di Malaysia melalui konsep 1Malaysia dengan mendasari nilai-nilai yang terkandung dalam konsep ini. Malah, konsep ini juga selari dengan apa yang telah termaktub dalam prinsip-prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia yang telah banyak membawa aspirasi kepada rakyat marhaen untuk memperbaiki hubungan kaum dalam memastikan rakyat Malaysia sentiasa menjalinkan ikatan yang teguh dan erat sesama kaum walaupun terdapat perbezaan agama, budaya, bahasa dan sebagainya.

Konsep Gagasan 1Malaysia

        Seperti yang telah kalis ditegaskan oleh YAB Dato Seri Najib Tun Razak, 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.
        Kelantangan dalam luahan kata-kata Perdana Menteri Malaysia seperti yang di atas menjelaskan kepada kita bahawa konsep ini merupakan satu konsep yang unik dan seharusnya perlu diterima oleh semua pihak dalam negara kita sebagai lambang komitmen dan usaha rakyat demi kepentingan negara. Malah, sebagaimana yang sudah  mangli ditegaskan oleh YAB Dato Seri Najib Tun Razak bahawa gagasan 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru dan matlamat akhirnya ialah perpaduan nasional yang juga merupakan wawasan utama semua Perdana Menteri kita terdahulu yang telah diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan prakarsa sepanjang lebih lima dekad negara merdeka.

        Dengan erti kata yang lain, gagasan 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, budaya, dan kepercayaan dengan berteraskan beberapa nilai penting yang seterusnya menjadi amalan setiap orang rakyat Malaysia tanpa mengira usia. Jika dikaji dengan sedalam-dalamnya, apa yang berubah adalah pendekatan dan gerak kerja menurut kesesuaian zaman dan generasi yang silih berganti. Begitulah yang harus difahami oleh kita sebagai rakyat Malaysia terhadap gagasan terbaru 1Malaysia hasil cetusan minda YAB Dato Seri Najib Tun Razak ini.

        Melalui gagasan 1Malaysia ini juga bertujuan untuk menjadikan satu tindakan strategik dalam mewujudkan kesatuan bangsa Malaysia yang terdiri daripada kepelbagaian kaum dan budaya. Konsepnya amat penting seperti yang digagaskan dalam lapan nilai murni yang menjadi teras gagasan ini iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti. Nilai-nilai murni semua ini adalah merupakan amalan baik yang diamalkan oleh masyarakat kita pada hari ini bermula seawal dari peringkat akar umbi yang merangkumi amalan seperti tolong menolong dan hormat menghormati. Senario ini merupakan budaya bangsa Malaysia yang terbentuk dalam kalangan semua kaum dan etnik negara kita sejak sekian lama lagi.

Gagasan 1Malaysia: Wadah Pembentukan Negara Bangsa

        Gagasan 1Malaysia mempunyai nilainya yang tersendiri dan merupakan satu konsep yang unggul dalam menjadi wadah kepada pembentukan negara bangsa Malaysia. Menurut fakta, pembinaan negara bangsa merupakan antara perkara utama yang hendak dicapai oleh sesebuah negara yang mempunyai masyarakat multietnik termasuklah negara Malaysia. Malah, kemuncak kepada kejayaan pembinaan dan pembentukan negara bangsa dapat diukur melalui kejayaan sesebuah negara melalui pentadbirannya yang sistematik dan wujudnya semangat perpaduan yang utuh antara penduduknya yang tidak ubah seperti aur dengan tebing. Tamsilnya, tanpa perpaduan yang kukuh dan wujudnya rasa etnosentrisme dalam kalangan penduduk negara Malaysia akan menyebabkan berlakunya perbalahan dan perpecahan antara kaum yang secara tidak langsung akan menggugat kedudukan ekonomi negara.

        Dalam kita melangkah dan menuju abad ke-21 ini, terdapat banyak pendapat yang dilontarkan oleh pemikir-pemikir terkenal dunia tentang kemunculan suatu bentuk dunia yang baru yang akan mengakhiri sistem negara bangsa. Sebagai contoh kepada pendapat ini yang di anggap releven buat masa ini ialah sistem negara-wilayah. Menurut kepada sesetengah pendapat, sistem yang dikatakan relevan ini adalah selari dengan zaman yang semakin canggih yakni dengan sistem dunia tanpa sempadan dan juga zaman globalisasi. Hal ini persis dengan kecanggihan dunia yang dapat dibuktikan dengan lambakkan teknologi baru, komunikasi yang melepasi sempadan, benua dan negara serta kehebatan ilmu pengetahuan sains yang mampu menggegar dunia. Maka dengan sebab inilah, lahirnya dunia tanpa sempadan atau yang dikatakan dunia di hujung jari dan pada masa yang sama juga memperlihatkan kebebasan mengakses maklumat di seantero dunia. Pemikiran terhadap gelombang globalisasi dan kehidupan bersama di dunia tanpa sempadan mula tercetus sebagai alternatif terbaik bagi setiap warganegara dunia. Topik-topik seperti ini juga adalah merupakan topik yang hangat dibahaskan terutamanya dalam kalangan pemikir-pemikir terkenal seperti Ohmae, Fukuyama dan Naisbitt.       

        Seperti yang kita sedia maklum, negara kita tidak pernah menolak proses pembangunan dan perkembangan di seluruh dunia. Malah, pendapat yang mengatakan bahawa negara bangsa akan lenyap apabila menerima kehadiran era globalisasi turut diakui oleh negara Malaysia. Menurut fakta sejarah, Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu menerima kesan penjajahan pihak barat selama hampir 446 tahun. Hal ini memakan masa yang agak lama dalam proses pembinaan negara bangsa kerana berlakunya kesukaran menyatupadukan kumpulan etnik di peringkat bawahan.

        Peristiwa 13 Mei 1969 menjadi manifestasi kepada keadaan cabaran sebenar yang digambarkan dalam usaha pembentukan pembinaan negara bangsa. Tindakan kerajaan dengan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah untuk merapatkan jurang di antara semua kaum terutamanya tiga kaum terbesar di Malaysia di samping menyusun semula rakyat terutamanya di peringkat bawahan. Rentetan daripada peristiwa itu, pelbagai dasar diperkenalkan, antaranya Dasar Kebudayaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan, Rukun Negara dan pembentukan parti politik pelbagai kaum seperti Barisan Nasional yang jelas memberi ruang dan peluang kepada tujuan murni kerajaan untuk membina negara bangsa.

       
Tidak cukup dengan itu, proses pembinaan negara bangsa semakin hari diberi perhatian yang serius oleh pelbagai pihak yang menyaksikan usaha memartabatkan perpaduan kaum kini bergerak seiring dengan keperluan pembangunan ekonomi tanah air. Hal ini sudah pasti selari dengan cabaran untuk merealisasikan gagasan 1Malaysia yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri Malaysia iaitu YAB Dato Seri Najib Tun Razak. Tambahan pula, dasar ini merupakan perancangan masa panjang yang dirangka oleh kerajaan demi pembinaan negara bangsa yang utuh sepanjang zaman. Menyedari akan matlamat ini, kerajaan memerlukan satu kekuatan yang perlu digunakan sepanjang masa iaitu kekuatan dalam semangat nasionalisme. Semangat ini menjadi pegangan bagi pemilikan semangat kebangsaan oleh semua warganegara Malaysia dengan mendasari dan berasaskan nilai-nilai kebangsaan yang dikongsi bersama.

        Nasionalisme menyediakan asas-asas kepada sesebuah bangsa dan negara bagi mempertahankan kumpulan negara bangsa supaya terus wujud. Nasionalisme yang wujud dalam negara kita perlulah bersandarkan kepada nilai-nilai yang dapat dikongsi bersama oleh semua penduduk negara ini tanpa ada perbezaan. Hakikat yang perlu diketahui, konsep pembinaan negara bangsa adalah suatu proses yang melibatkan suatu jangka masa yang berpanjangan. Sekalipun sukar dan mengambil masa yang panjang, pembinaan negara bangsa adalah suatu perkara yang penting dalam sebuah masyarakat yang majmuk seperti Malaysia. Pembinaan negara bangsa yang mantap memerlukan penyertaan secara menyeluruh daripada setiap anggota masyarakat dan jentera kerajaan.
 
Peristiwa Kampung Medan 

Pada 4 Mac 2011, berlakunya peristiwa pergaduhan di antara kaum India dan Melayu yang berlaku di Kampung Medan selama empat hari berturut-turut. Peristiwa ini berlaku di beberapa buah kampung iaitu Kampung Medan, Kampung Gandhi, Kampung Lindungan, Kampung Datuk Harun, Taman Desa Ria dan sekitar Jalan Klang Lama yang menyebabkan 153 orang telah ditahan kerana berada dalam keadaan mencurigakan di tempat kejadian yang merangkumi 95 orang lelaki Melayu, 56 orang India dan dua orang warga Indonesia. Malah, dilaporkan terdapat 37 orang telah cedera termasuk 34 kaum India dan selebihnya daripada kaum Melayu.

        Pergaduhan berpunca di antara dua kumpulan yang bermula di Kampung Medan ekoran persediaan majlis kahwin dan majlis pengkebumiaan. Majlis perkahwinan itu diadakan di rumah orang Melayu dan sementara jiran Indianya mengadakan majlis pengkebumiaan. Seorang lelaki berbangsa India dikatakan membawa motorsikal dalam keadaan mabuk dan terbabas merempuh tapak perkahwinan Melayu. Perkara itu mendatangkan kemarahan orang kampung yang kemudiannya menengking lelaki India tersebut. Berang dengan teguran itu, lelaki India itu mengajak sekumpulan samseng sejumlah kira-kira 200 orang dan menyerang majlis perkahwinan Melayu tersebut.  

        Begitulah di antara satu contoh daripada ribuan kes yang bersangkut paut dengan sentimen perkauman yang menebal di kalangan sesetengah kaum. Di sinilah kita dapat fahami bahawa segala bentuk perpecahan kaum akan mendatangkan seribu satu masalah kepada keamanan anggota masyarakat setempat. Hal ini persis dengan peribahasa, umpama telur sesangkak, pecah satu pecah semua. Walaupun wujud ketegangan kaum seperti peristiwa di atas, ketegangan ini telah berjaya dikendurkan secara objektif dan rasional di antara wakil pemimpin kedua-dua kaum yang terlibat itu. Hal inilah yang dikatakan tujuan utama gagasan 1Malaysia diwujudkan demi membentuk perpaduan kaum yang terjalin utuh dengan berpegang teguh pada falsafah hidup sandar-menyandar seperti bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Halangan dan Langkah Merealisasikan Gagasan 1Malaysia

Sememangnya kita tidak boleh lari daripada segala bentuk cabaran dan halangan demi merealisasikan konsep 1Malaysia ini. Malah, salah satu punca mengapa kita masih lagi tidak mencapai objektif sebenar dalam membina negara bangsa yang bersatu teguh di bawah sistem pemerintahan yang satu adalah kerana kita masih lagi teragak-agak untuk menghampiri dan mendalami pemahaman serta penghargaan Perlembagaan dan Rukun Negara.

        Tambahan juga, setelah 55 tahun  kita mencapai kemerdekaan, kelompok besar bukan Melayu menolak untuk mengakui rumpun Melayu sebagai akar kepada identiti negara  walaupun hal ini menjadi sebahagian daripada landskap politik dan budaya kita. Memang tidak dapat dinafikan bahawa negara perlu adanya usaha yang berterusan melibatkan semua pihak berganding bahu bersama-sama dengan pucuk pimpinan kerajaan. Hal ini bertujuan untuk menghubungkan prinsip Perlembagaan dan matlamat Rukun Negara di samping mendukung hasrat untuk mencapai perpaduan negara ke tahap yang lebih konkrit.

       Salah satu prakarsa yang drastik untuk merealisasikan gagasan 1Malaysia bagi mewujudkan semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat Malaysia adalah dengan pengenalan sekolah wawasan. Hal ini demikian kerana, melalui sekolah wawasan, pelajar yang terdiri daripada variasi kaum akan belajar dan berinteraksi dengan bersama-sama. Lantaran itu, wujudlah perpaduan kaum yang dihiasi dengan kehidupan aman dan harmoni bak kata peribahasa, tegap rumah kerana sasaknya, teguh negara kerana keutuhan bangsanya. Hal ini merupakan langkah sulung kepada perjalanan seribu batu jauhnya demi mencapai impian dan harapan untuk membentuk negara bangsa Malaysia yang berlandaskan perpaduan jitu dan kukuh khususnya dalam kalangan semua kaum dan etnik di Malaysia.

        Seterusnya, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKKWA) juga boleh memainkan peranan penting dalam membentuk dan mengukuhkan perpaduan kaum. Sebagai analoginya, KEKKWA tentunya boleh mengadakan kerjasama dengan pihak-pihak yang berkenaan untuk mengadakan sambutan meriah bagi meraikan perayaan kaum dan agama di negara kita. Malah, sambutan seperti ini perlu diadakan di peringkat kebangsaan yang secara tidak langsung akan melibatkan segenap lapisan masyarakat di seluruh negeri dalam negara Malaysia. Bagi membuktikan perkara ini, contoh sambutan perayaan peringkat nasional yang boleh diketengahkan sebagai salah satu prakarsa untuk membentuk negara bangsa Malaysia melalui perpaduan yang menyeluruh ialah sambutan yang dikenali sebagai ‘Rumah Terbuka Malaysia’. Secara logiknya, sambutan perayaan seperti ini sudah pasti merupakan antara himpunan perpaduan terbesar setiap kali tibanya perayaan kaum-kaum utama di Malaysia. Tambahan juga, himpunan perpaduan seperti ini turut menarik minat pelancong asing seantero dunia yang kadang kala mereka juga turut serta dalam majlis-majlis seperti ini. Kesemua ini boleh menyumbang kepada pengukuhan perpaduan kaum yang jitu dalam kalangan rakyat negara ini di samping mewujudkan keamanan dan kemakmuran rakyat sejagat.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya, gagasan 1Malaysia adalah gagasan yang dijelmakan sebagai prakarsa kesinambungan usaha pengukuhan perpaduan nasional. Kita wajar bersyukur kerana dikurniakan Allah dengan kerajaan yang begitu bertanggungjawab terutamanya dalam usaha-usaha bagi mengukuhkan perpaduan antara kaum di negara kita dengan wujudnya pelbagai gagasan terutamanya gagasan 1Malaysia.

        Malah, semua gagasan yang digubal adalah mengarah kepada cita-cita perpaduan merentas kaum dan wilayah sebagai satu integrasi dalam kepelbagaian bangsa Malaysia. Apa yang jelas dengan tuntutan gagasan 1Malaysia ini ialah bukan sekadar batas-batas fizikal daripada sudut geografi dan demografi bahkan merangkumi pengertian luas fikiran dan semangat yang menyeluruh.

        Akhirnya, untuk merealisasikan gagasan 1Malaysia, sekalian rakyat haruslah beriltizam untuk mendaki puncak-puncak yang baru, memecah tembok-tembok prasangka, menyemai bibit-bibit persamaan dan mencipta ramuan-ramuan baru dalam saf yang padu bagi membangunkan ‘baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur’ yakni negara yang aman dan makmur lagi dirahmati Tuhan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...