AkuSuffianFauzi

Nuffnang Adds

Follow My Facebook, Twitter, Instagram

 Add Me Follow Me Follow Me

Thursday 11 September 2014

PENDAPAT SAYA TENTANG GAGASAN 1MALAYSIA



Pada 2 April 2009, negara telah menyaksikan satu gagasan atau konsep baru yang diperkenalkan oleh YAB Dato Seri Najib Tun Abdul Razak iaitu gagasan 1Malaysia yang telah memperlihatkan rakyat Malaysia menerima baik kedatangan gagasan tersebut. Melalui tema ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan’, konsep ini merupakan kesinambungan Perdana Menteri terdahulu dalam agenda utama untuk memajukan negara bangsa ini. Tambahan lagi, konsep ini menjadi aspirasi YAB Dato Seri Najib Tun Abdul Razak untuk menterjemahkan formula pentadbirannya bagi mencapai status negara maju menerusi Wawasan 2020 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menjadi lebih cemerlang, gemilang dan terbilang yang diperjuangkan Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Sebagaimana yang sudah mangli ditegaskan oleh YAB Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa gagasan 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru dan matlamat akhirnya ialah perpaduan nasional yang juga merupakan wawasan utama semua Perdana Menteri negara kita terdahulu yang telah diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk dan jelmaan prakarsa sepanjang lebih lima dekad negara merdeka.
Hal ini telah menjelaskan kepada kita bahawa gagasan 1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan kaum yang konkrit di bawah payung pentadbiran yang berkonsepkan keadilan kepada semua dan juga selari dengan tema gagasan 1Malaysia ini. Berkata Buya Hamka yang berbunyi, ‘Adil ialah menimbang yang sama berat, menyalahkan yang salah dan membenarkan yang benar, mengembalikan hak yang empunya dan jangan berlaku zalim di atasnya’.
     Pada pendapat saya, gagasan 1Malaysia adalah merupakan prakarsa dan kesinambungan usaha dalam mengukuhkan perpaduan di peringkat nasional melibatkan seluruh rakyat Malaysia dalam membentuk negara bangsa Malaysia. Hal ini dapat dibuktikan melalui gagasan 1Malaysia yang dikonsepsikan oleh YAB Dato Seri Najib Tun Abdul Razak dalam usaha untuk menjadikan konsep 1Malaysia sebagai batu loncatan kepada satu pelan tindakan strategik untuk mewujudkan kesatuan bangsa Malaysia yang terdiri daripada kepelbagaian kaum dan budaya dengan mendasari lapan nilai yang menjadi teras gagasan ini, iaitu budaya cemerlang, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.
     Pada waktu yang sama juga, gagasan 1Malaysia memang tidak dapat dinafikan lagi sebagai merupakan satu usaha yang padu lagi teratur dalam mengumpul nilai dan amalan baik agar dapat difahami secara menyeluruh melibatkan semua rakyat marhaen dalam negara kita amnya. Hal ini penting bagi memupuk semangat nasionalisme dalam kalangan masyarakat demi kepentingan bersama. Memperkuatkan lagi pemahaman kita, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra bersama-sama dengan rakan seperjuangannya Tun Tan Siew Sin dan Tun Sanbanthan adalah merupakan antara tokoh perjuangan kemerdekaan yang lantang berjuang bagi menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dan juga menjadi perwakilan di antara tiga kaum terbesar di tanah air pada masa itu. Mereka mengamalkan dasar toleransi yang cukup tinggi dalam menjaga kesepaduan kaum dan bersama-sama membangunkan bangsa dalam semua aspek.
     Dalam pada itu,  konsep keadilan adalah menjadi teras kepada gagasan 1Malaysia dengan memfokuskan tidak ada satu pun kumpulan yang akan dipinggirkan daripada pembahagian yang sama rata merangkumi segala bentuk bantuan serta peluang berdasarkan kepada keperluan dan merit. Prinsip ‘Rakyat Didahulukan’ bermakna kerajaan akan menumpukan perhatian kepada bidang yang sangat diperlukan dan dikehendaki oleh rakyat dan kerajaan akan mengagihkan sumber yang terhad lebih kepada bidang-bidang itu. Manakala, dengan ‘Pencapaian Diutamakan’, satu tahap baru telah ditetapkan bagi ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan. Keberhasilan yang ketara yang dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat dan disampaikan dengan serta merta adalah diperlukan.
     Selain itu, kita juga harus faham bahawa perjuangan menuntut kesepaduan seharusnya memerlukan satu konsep ‘berganding bahu’ dan sanggup berkorban demi kesejahteraan sejagat dengan menunaikan tanggungjawab masing-masing tanpa perlu berpihak kepada kepentingan satu kaum yang tertentu sahaja. Sesuai dengan hal ini, banyak bidang keberhasilan negara yang diinstitusikan dengan hasrat untuk mencapai matlamat gagasan tersebut dengan memfokuskan beberapa tindakan yang sesuai dengan masa dan keadaan terutamanya yang melibatkan sesetengah kementerian dalam kerajaan yang sudah pasti harus dicapai secara bersama-sama demi merealisasikan matlamat ini.
     Bagi maslahat dalam kalangan rakyat, rakyat perlulah memahami hakikat bahawa segala sesuatu yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara dan perundangannya masih tetap kekal terpakai sebagai sesuatu yang telah diterima oleh semua rakyat. Hal ini persis dengan beberapa konsep seperti kesamarataan, keadilan, hak istimewa, status Raja berperlembagaan dan sebagainya yang seharusnya ditafsirkan dalam keadaan yang betul. Hal ini kerana, sesetengah masyarakat mengatakan bahawa gagasan 1Malaysia disalahertikan sebagai sesuatu yang mutlak dan mengatasi Raja berperlembagaan yang sudah pasti bertentangan dengan konsep 1Malaysia ini. Tambahan lagi, gagasan 1Malaysia tidak lain dan tidak bukan adalah dianggap sebagai merupakan satu institusi dan mekanisme pelan tindakan untuk pembangunan bangsa dan negara Malaysia yang bersatu.
Sedarlah kita, walaupun berbeza etnik, bahasa, warna kulit, agama dan cara hidup, tetapi kita disatukan di bawah langit Malaysia yang indah lagi makmur. Malah, kesanggupan kita untuk melupakan sementara perbezaan taraf hidup dan sebagainya amatlah ditagih bagi membentuk kesatuan dalam kedamaian dan kemakmuran yang hakiki seperti peribahasa, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Lantaran itu, pasakkan dalam pemikiran kita bahawa gagasan 1Malaysia adalah satu formula yang menjadi pra-syarat kepada pembentukan negara maju menjelang tahun 2020 dan bukanlah satu pendekatan yang terpisah daripada dasar-dasar kerajaan sebelum ini. Konsep ini juga merupakan pelengkap kepada pendekatan yang sedia ada sebelum ini demi mencapai aspirasi secara bersama untuk membentuk dan mengukuhkan lagi perpaduan yang konkrit di antara kaum-kaum terbesar dalam negara.
Terpampang dalam matlamat akhir wawasan 2020 yang jelas ingin membentuk ‘Bangsa Malaysia’ sebagai matlamat akhirnya, maka gagasan 1Malaysia merupakan penunjuk jalan ke arah matlamat itu. Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia ini amat berbeza dengan negara-negara lain yang rata-ratanya mengamalkan konsep asimilasi dalam sistem pentadbiran negara mereka. 
Jauh panggan dari api. Itulah yang boleh digambarkan oleh sesetengah pihak yang menyamakan ‘Malaysian Malaysia’ adalah sama seperti konsep ‘1Malaysia’. Manakan tidak, konsep 1Malaysia tidak pernah menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang sama ada yang tersirat mahupun tersurat. Malah, gagasan 1Malaysia akan terus kekal menjunjung kesemua peruntukan teras yang terkandung dalam Perlembagaan Pesekutuan itu. Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa gundah-gulana atau menaruh syak wasangka ataupun bimbang bahawa gagasan ini akan terpesong daripada apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh negarawan-negarawan kita suatu ketika dahulu.
Sikap ‘penerimaan’ adalah perkara yang ditekankan dalam gagasan 1Malaysia ini. Masakan tidak, sesuatu kaum itu seharusnya menerima segala keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat membentuk masyarakat yang saling hormat-menghormati dalam rumpun bangsa Malaysia. Asas kepada gagasan 1Malaysia ini ialah prinsip keadilan kepada semua kaum tanpa membezakan taraf hidup sesetengah kaum itu. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberikan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.
Jika kita mengkaji sedalam-dalamnya konsep gagasan 1Malaysia ini, akan kita ketahui bahawa gagasan ini adalah merupakan penerusan kepada agenda membina negara. Hal ini kerana, rakyat mesti dimajukan terlebih dahulu, dan barulah kita berusaha ke arah mencapai kemajuan untuk negara bangsa Malaysia. Usaha  pembangunan negara Malaysia akan menjadi mudah dan lancar sekiranya perpaduan kaum yang utuh itu  terbina dengan kesanggupan rakyat mendasari sikap penerimaan selari dengan tuntutan gagasan 1Malaysia ini.
Manakala, tema rasmi gagasan ini membawa maksud kepada menekankan peri pentingnya perpaduan di samping memberi keutamaan kepada isu-isu yang dianggap penting bagi maslahat rakyat. Tambahan pula, di peringkat pemimpin kerajaan dan setiap kementerian yang terlibat, prestasi serta pencapaian adalah perkara yang paling dititikberatkan agar kualiti perkhidmatan awam berada di tahap yang paling tinggi demi meningkatkan lagi mutu hidup rakyat marhaen.
Oleh itu, berdasarkan apa yang telah diterangkan di atas, saya percaya bahawa gagasan 1Malaysia dapat menjana satu transformasi ketara ke arah negara Malaysia yang maju dengan didokongi rakyat yang utuh perpaduan dan tinggi martabatnya. Janganlah kita memberi dan membuka peluang serta laluan kepada segala apa ketidakadilan untuk menembusi niat baik gagasan 1Malaysia ini dengan tidak berpijak di bumi yang nyata dan bersifat utopia. Hal ini boleh menyebabkan kegagalan sesuatu perkara dalam merentasi sempadan masa kerana kata peribahasa Melayu, sebab nila setitik, rosak susu sebelangga.
Tambahan lagi, jika aspek pengurusan kemajmukan kaum diambil kira, maka perkara ini akan menjadi perkara yang paling penting untuk kita bincangkan bersama-sama. Akan tetapi, sekiranya kita memandang acuh tak acuh akan perkara ini dengan tidak berwaspada, sudah tentu akan wujudnya suasana rasisme yang akan memperlihatkan kaum-kaum minoriti ditindas oleh kaum majoriti ataupun sebaliknya. Dengan itu, kerajaan Barisan Nasional di bawah pimpinan YAB Dato Seri Najib Tun Abdul Razak mengambil langkah yang drastik untuk mengangkat gagasan 1Malaysia dengan bertunjangkan beberapa teras utama antaranya penghijrahan daripada perpaduan yang berpaksikan toleransi kepada yang berlandaskan penerimaan, keadilan sosial dan nilai-nilai dikongsi bersama. Perkara ini turut mengambil kira realiti sejarah berpandukan keluhuran perlembagaan serta prinsip rukun negara.
Sejarah telah mencatatkan bahawa mantan Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman telah mengasaskan penubuhan Parti Perikatan yang merupakan langkah sulung pemimpin terawal negara bagi mencapai perpaduan kaum dalam bidang politik. Bahkan, masyarakat pelbagai ras pada masa itu sudah mampu membentuk kesepaduan yang teguh dengan bersama-sama mengorbankan masa dan tenaga demi mendaki tembok yang paling tinggi, menuruni lurah yang paling curam dan menyelami lautan yang paling dalam. Kerjasama yang utuh dan teguh ini telah membawa negara mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957 dan tertubuhnya Malaysia pada tanggal 16 September 1963.
Bertitik tolak daripada peristiwa berdarah 13 Mei 1969, maka Allahyarham Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia Kedua telah memperluaskan lagi konsep kerjasama antara kaum dengan menubuhkan Barisan Nasional termasuklah penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan penciptaan rukun negara sebagai ideologi rasmi kebangsaan. Kemudiannya, usaha murni pemimpin negara diteruskan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn dan dilonjakkan ke tahap yang lebih baru oleh Tun Dr. Mahathir melalui konsep Bangsa Malaysia dan Gagasan Wawasan 2020 yang selanjutnya dilestarikan oleh Tun Abdullah melalui Misi Nasional. Hal inilah yang dikatakan realiti yang menunjukkan bahawa penyuburan perpaduan nasional tidak boleh dianggap sebagai usaha bermusim sebaliknya usaha ini memerlukan komitmen yang berterusan.
Seterusnya, pengagihan yang sama adil dan saksama merupakan teras kepada perpaduan yang teguh dalam kalangan kaum majmuk di Malaysia. Bagi mencapai matlamat ini, pertumbuhan ekonomi negara seharusnya berada dalam keadaan yang dinamik dan mapan. Menyedari keperluan kepada hakikat ini, maka kerajaan Malaysia sentiasa bersedia untuk berdepan dengan kemelut ekonomi global yang melanda dengan telah membuat kemaskini dan penggubahan kepada dasar-dasar yang sedia ada. Hal ini penting bagi meminimakan sebanyak mungkin kesan kegawatan ekonomi global dalam usaha untuk keluar daripada kemelut ekonomi yang sekaligus membantu rakyat menangani keperitan hidup yang dialami.
Tamsilnya, bagi mengecapi impian negara membentuk negara yang berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, maka kerajaan di bawah pimpinan Menteri Kewangan dan juga Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato Seri Najib Tun Abdul Razak telah melaksanakan banyak pembaharuan dan perubahan struktural secara komprehensif berasaskan kepada satu model baru ekonomi. Sehubungan dengan itu, tindakan wajar kerajaan dalam melantik satu majlis penasihat ekonomi khas adalah amat wajar sekali dalam menjayakan model ekonomi baru ini dengan menimbang segala bentuk opsyen yang berkaitan.
Sementara itu, bagi menjayakan konsep ini, maka kerajaan telah mengambil langkah dan mengkaji semula sistem pendidikan negara dengan memasukkan elemen-elemen inovasi, kreativiti, keusahawanan dan nilai-nilai budaya tinggi. Saya yakin bahawa rakyat Malaysia mengenali dan memahami peribahasa melentur buluh biarlah daripada rebungnya yang persis dengan tindakan awal kerajaan dalam usaha menjayakan konsep ini. Diharap dengan langkah ini, Malaysia akan dapat melahirkan tenaga kerja bertaraf global yang mampu menghadapi sebarang bentuk cabaran ekonomi dalam mendepani persaingan era ekonomi baru ini.
Saya berharap agar gagasan ini dapat memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat Malaysia dan berusaha secara bersama-sama dalam menjayakan gagasan ini menjelang tahun 2020.  Sedarlah kita bahawa gagasan ini adalah sesuatu yang bertepatan dengan kehendak agama Islam amnya. Namun begitu, segala cabaran dan halangan dalam menjayakan gagasan ini hendaklah diatasi secara rasional dan mengikut undang-undang yang sedia ada. Hal ini kerana, cabaran menyatupadukan masyarakat majmuk ini ternyata merupakan tugas yang amat berat untuk dilaksanakan disebabkan oleh terdapat banyak perbezaan daripada segi keturunan, etnik, budaya dan latar belakang. Apabila berlakunya perpaduan, maka secara tidak langsung berlaku juga proses perkenalan, perundingan, dan persefahaman antara kaum yang selari dengan tuntutan gagasan 1Malaysia ini.
Konklusinya, gagasan 1Malaysia adalah berlatarbelakangkan cita-cita untuk membentuk perpaduan kaum yang teguh dan merupakan ikhtiar kerajaan dalam meneruskan kesinambungan perpaduan kaum yang telah terjalin sejak sekian lama dahulu. Walaupun terdapat juga cabaran dan halangan dalam menyatupadukan kaum di Malaysia ini, namun segala bentuk dasar dan program yang telah digubal kerajaan adalah semata-mata untuk menangani segala bentuk cabaran itu.
“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita.”
( YAB Dato Seri Najib Tun Abdul Razak)

1916 Patah Perkataan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...