Dewasa ini,
perubahan persekitaran global dan tempatan yang begitu dinamik telah
mengakibatkan berlakunya persaingan sengit antara negara-negara seantero dunia.
Persaingan ini berteraskan kepada matlamat akhir setiap negara untuk mencapai status
penarafan daya saing yang diiktiraf di peringkat antarabangsa ke tahap yang lebih
maksimum lagi demi kepentingan sesebuah negara tersebut. Di Malaysia, elemen inovasi dan kreativiti merupakan faktor
perdana kepada penentuan pencapaian aspirasi negara yang telah digariskan oleh
pihak kerajaan termasuklah impian kudsi negara ini dalam membina negara ke arah
mengapai status negara maju berpendapatan tinggi melalui sasaran pertumbuhan
ekonomi yang mampan menjelang tahun 2020.
Inovasi
didefinisikan sebagai idea-idea baru dalam semua aspek kerja untuk menghasilkan
perkhidmatan yang berkualiti dan berterusan dalam apa jua perkhidmatan yang
ditawarkan pihak kerajaan untuk kesejahteraan rakyat. Umum mengetahui,
pemupukan budaya inovasi dalam kehidupan seharian terutamanya dalam sektor awam
akan melonjakkan lagi reputasi negara Malaysia ke puncak jagat dalam usaha
membuka mata dunia akan kehebatan negara Malaysia yang mampu berdiri teguh
dalam menghadapi sebarang bentuk cabaran dunia yang mendatang khususnya cabaran
persekitaran ekonomi yang tidak menentu bak kata pepatah, kecil jangan disangka
anak, besar jangan disangka bapa. Hal ini penting dalam usaha kita mengejar
impian negara untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi selari
dengan misi kudsi Wawasan 2020 yang
telah digariskan oleh pihak kerajaan dalam tempoh masa yang ditetapkan demi
kesejahteraan rakyat dan negara sejagat.
Tambahan
lagi, produktiviti yang digabungjalinkan bersama-sama dengan nilai kreativiti
dan inovasi akan menghasilkan lonjakan saujana kepada kecekapan dan
keberkesanan perkhidmatan awam di Malaysia. Hal ini penting bagi memacu agenda
transformasi sektor awam yang bertunjangkan kepada lima tonggak utama kerajaan
iaitu Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Program
Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang bersandarkan
kepada Model Baru Ekonomi (MBE), dan juga dua rancangan pembangunan yang
sistematik negara dalam jangka masa lima tahun sekali yakni Rancangan Malaysia
Kesepuluh (RMK-10) dan juga Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11). Malah,
tujuan utama pelaksanaan agenda-agenda ini adalah sebagai persiapan strategik
negara menjelang tahun 2020 yang turut menyumbang kepada pemacuan transformasi
negara secara menyeluruh demi impian dan harapan untuk membentuk negara
Malaysia yang cemerlang dan terbilang mencakupi segenap aspek kepentingan pada
masa hadapan.
Dalam kita
menongkah arus globalisasi yang penuh dengan cabaran marcapada ini, sektor awam
sering dianggap sebagai pemangkin kepada ekonomi negara Malaysia yang seimbang.
Rentetan itu, sektor awam memainkan peranan yang besar dalam memacu pembangunan
negara Malaysia kerana pembangunan negara mestilah melibatkan proses menyusun
dan mengorientasikan semula sistem ekonomi dan sosial (Todaro, 1977). Selain
itu, sektor awam mestilah mengenal pasti faktor-faktor dominan yang mampu
melestarikan impak yang besar kepada kepentingan golongan marhaen negara ini dengan
mengambil kira penekanan sepenuhnya kepada konsep inovasi ini selain sentiasa
bertindak seiring dengan tindakan-tindakan yang proaktif ke arah penambahbaikan
kreativiti serta bijak menjenama dan memasarkan produk serta perkhidmatan yang
ditawarkan kerajaan mengikut maslahat rakyat negara ini.
Sementalahan,
perkongsian idea di antara agensi-agensi kerajaan dan orang ramai melalui
konsep ‘pengurusan strategi’ amatlah ditagih dalam mencetuskan input-input
berguna kepada penambahbaikan sesebuah organisasi itu dalam usaha mentransformasikan
sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan serta menambahbaik amalan dan prosedur
sektor awam yang sedia ada. Tambahan
pula, setiap daripada penjawat awam perlulah merasai denyutan nadi rakyat dan
sentiasa bersedia untuk membantu dalam mempermudahkan urusan rakyat melalui
pendekatan yang kreatif serta inovatif kerana perkara ini mampu menghadirkan
sesuatu yang amat bernilai kepada tanggapan orang ramai terhadap tahap dan
keberkesanan amalan pekerjaan yang anda lakukan.
Dalam pada
itu juga, bagi meningkatkan lagi kemampuan penjawat di sektor awam, budaya
kerja berinovasi perlulah diperkasakan melalui pelbagai medium pembelajaran
secara langsung ataupun secara tidak langsung di samping sentiasa berusaha untuk
meningkatkan pengetahuan masing-masing khususnya untuk memenuhi tuntutan agenda
transformasi yang telah digariskan oleh pihak kerajaan. Hal iniseterusnya dapat mewujudkan daya saing yang tinggi
berteraskan kepada pemikiran kreatif yang disulami minda kelas pertama amnya.
Selanjutnya,
inisiatif serta usaha inovasi dan transformasi sektor awam sentiasa dikaitkan
dengan semua agenda dan program kerajaan terutamanya yang melibatkan
penjenamaan semula sistem penyampaian sektor awam. Malah, langkah ini dianggap
sebagai suatu usaha bersepadu kerajaan dalam mempromosikan dan mengarus
perdanakan inisiatif inovasi dan transformasi dalam sektor awam.
Contoh yang
boleh diketengahkan dalam menyumbang kepada peningkatan daya saing sektor awam itu
ialah melalui pengenalan inisiatif My-CoID sebagai nombor pemerbadanan syarikat
yang telah diterbitkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai sumber
rujukan tunggal negara. Melaluinya, inisiatif yang telah diperuntukkan ini
membolehkan agensi-agensi perintis kerajaan seperti Perbadanan Perusahaan Kecil
dan Sederhana (SME Corp. Malaysia), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),
Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan sebagainya menggunakannya sebagai
asas kepada rujukan untuk segala urusan-urusan pendaftaran dengan pelbagai
agensi berkonsepkan ‘sentuhan satu titik’ dan memberi impak strategik terhadap
persekitaran perniagaan yang kondusif dengan memendekkan lagi tempoh memulakan
perniagaan dari 11 hari kepada tiga hari sahaja.
Bagi menjamin
kepada kesinambungan usaha ini pula, kerajaan melalui agensi-agensi yang
berkaitan turut memperkenalkan Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) demi
mengiktiraf dan memberi suntikan semangat serta inspirasi kepada sektor awam
untuk menampilkan lebih banyak penyelesaian kreatif ke arah pengukuhan
pengurusan kerajaan yang efektif dan berlestari yang menyahut seruan misi kudsi
Wawasan 2020 yang ingin dicapai secara bersama.
Dengan
pengenalan AIPM yang bermula tahun 2010 itu, anugerah yang terunggul dan
berprestij itu adalah untuk mengiktiraf penghasilan inovasi yang signifikan dan
berimpak tinggi yang mampu menyumbang kepada kepentingan negara pada masa
hadapan. Hal ini merupakan antara pendekatan baru bagi mengiktiraf
kecemerlangan sektor awam yang berorientasikan inovasi dan kreativiti bagi
menggantikan Anugerah Kualiti Perdana Menteri (AKPM) yang memfokuskan terhadap
kualiti penyampaian perkhidmatan itu.
Pada
ghalibnya, pengiktirafan ini akan dianugerahkan kepada mereka yang berimpak
tinggi dan signifikan dengan hasil akhirnya yang sentiasa memenuhi ekspektasi
pelanggan dan pemegang saham dalam kehidupan mereka sebagai penaik semangat
kepada mereka yang lain dan menjadi uswah terbaik untuk kepentingan sesebuah
organisasi itu. Dalam pada itu juga, kerajaan turut merasakan pengiktirafan
yang setimpal dengan hasil kerja yang kreatif dan berimpak besar ini diberikan
kepada mereka yang melaksanakan dan mengamalkan budaya inovasi dalam kehidupan
bekerja seharian kerana kerajaan sedar bahawa inovasi dan dan transformasi yang
dilaksanakan akan mampu meletakkan negara di landasan yang tepat ke arah
kesejahteraan rakyat dan negara untuk kepentingan generasi mendatang.
Menangkap
mesej yang diutarakan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat, Dato' Seri Mohammad Najib Abdul Razak, beliau mengutarakan
akan peri pentingnya kita yang berkhidmat dalam sektor awam ini untuk berganjak
kepada satu perubahan yang baru dalam menampilkan kesemua elemen-elemen
produktiviti, kreativiti dan inovasi secara menyeluruh. Beliau turut
menjelaskan jika selama ini kita mengukur pencapaian daripada segi
produk-produk, kini proses pengukuran ini perlulah ditambah baik lagi melalui
kreativiti dan inovasi secara total.
Secara rasionalnya, jika kita memberikan tumpuan kepada produktiviti
semata-mata, maka perkara ini akan menghasilkan penambaikan secara bertokok
sahaja. Walhal, jika elemen produktiviti itu digabungkan secara bersama dengan
elemen kreativiti dan inovasi, hasilnya cukuplah membanggakan dengan
penambahbaikan hasil secara anjakan berganda kepada sektor awam itu. Rasional
inilah yang menjadi batu loncatan kepada usaha-usaha dalam meningkatkan budaya
inovasi seharian menerusi segenap aspek kerana sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum
sehingga kaum itu mengubah nasib mereka sendiri (Al-Quran:
Al-Arad ayat ke-11).
Izharnya, proses inovasi dan
transformasi perkhidmatan awam dibuat atas dasar memberikan perkhidmatan terbaik
kepada pelanggan dan mengerakkan enjin pembangunan negara dengan lebih efektif
selari dengan slogan ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.
Mutakhir ini, perkhidmatan awam kini bertambah pesat yang mengalami
transformasi dan pembaharuan serta percambahan cara berfikir ke arah mendokong
aspirasi negara demi mewujudkan persekitaran perkhidmatan bertaraf global yang
mampu menjulang reputasi negara ke puncak jagat.
“Untuk menjayakan sebuah
transformasi pastinya melibatkan perubahan, pembaikan dan pengukuhan kepada
tiang seri institusi serta struktur perkhidmatan awam itu sendiri. Ertinya,
pertama, perubahan pada cara berfikir, kedua, pembaikan kepada sistem nilai dan
ketiga, pengukuhan kepada gerak kerja”
(Perdana Menteri, YAB
Datuk Seri Najib Tun Razak)
1118 Patah Perkataan
Tweet
No comments:
Post a Comment