Pemahaman Anda Tentang Perubahan Iklim
Sejak mencapai
kemerdekaan, negara Malaysia telah berjaya menikmati pertumbuhan sosioekonomi
yang mantap dan memberangsangkan. Kejayaan membanggakan ini juga turut mendapat
pengiktirafan antarabangsa dek kewibawaan negara yang terus berdaya saing
setanding negara-negara maju yang lain. Bahkan, memang tidak dapat disangkal
lagi bahawa, pencapaian ini adalah hasil komitmen bersepadu pihak kerajaan
merencanakan pelbagai projek pembangunan ibarat cendawan tumbuh selepas hujan
demi kemaslahatan sejagat.
Kendatipun begitu, dalam kesibukan kita
memenuhi tuntutan permodenan, seharusnya masyarakat sedar bahawa arus
pembangunan fizikal sebenarnya mendatangkan implikasi besar kepada perubahan
landskap negara kelak selain mengheret kepada berlakunya kebinasaan dunia sama
ada di laut mahupun di darat. Hal ini persis firman Allah SWT yang bermaksud, “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut
disebabkan perbuatan tangan manusia,supaya Allah merasakan kepada mereka
sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka,agar mereka kembali (ke jalan yang
benar)” (Ar-Rum:14).
Lebih memburukkan lagi keadaan, sikap individualistik
penduduk bumi ibarat enau dalam belukar; melepaskan pucuk masing-masing serta ketidakacuhan
mereka akan isu-isu alam sekitar yang terjadi era ini telah mengundang
perubahan besar iklim global lantaran menempiaskan pelbagai kesan sampingan
kepada negara Malaysia, malar-malar pula terhadap kualiti hidup masyarakat sekalian.
Perubahan Iklim dan
Pemanasan Global.
Umumnya, perubahan iklim mengakibatkan berlakunya
ketidakstabilan komposisi atmosfera dunia dan lazimnya, ia dipengaruhi secara
langsung atau tidak langsung oleh aktiviti seharian manusia sementalahan perubahan
pada iklim ini berlaku dalam tempoh masa yang panjang yakni sepuluh hingga
berjuta-juta tahun lamanya (Trenberth, Houghton & Filho 1995; Hidayati 2001).
Manakala, menurut Effendy (2001), salah satu kesan dominan akibat daripada penyimpangan
iklim dunia zaman ini adalah dengan terjadinya fenomena yang disebut sebagai
fenomena El-Nino (penurunan jumlah curahan hujan) dan La-Nina (pertambahan
jumlah curahan hujan).
Jika
ditelusuri, kedua-dua fenomena ini pula ada kaitannya dengan peningkatan suhu
dunia yang sering digambarkan manusia dengan fenomena pemanasan global. Sementara
itu, pemanasan global berlaku bila mana terdapatnya peningkatan ekstrem purata
suhu atmosfera di permukaan bumi secara global dan ia selalunya dikaitkan
dengan aktiviti manusia sama ada secara semula jadi ataupun sebaliknya.
Dalam
pada itu, para saintis mendakwa, punca terutama fenomena pemanasan global ialah
berpunca daripada kesan gas rumah hijau. Umumnya, gas-gas rumah hijau seperti
gas karbon dioksida, karbon monoksida dan CFC menyerap dan memerangkap bersama sinaran
dan juga haba matahari serta mengeluarkan kembali sinaran tenaga tersebut
kepada bumi. Lantaran itu, pemerangkapan tenaga haba oleh gas-gas rumah hijau
ini akan menjurus kepada berlakunya peningkatan secara menyeluruh purata suhu
atmosfera bumi sekali gus mengakibatkan berlakunya pemanasan global besok lusa.
Seterusnya, pemanasan global boleh mengundang
kepada berlakunya perubahan iklim. Umum mengetahui, perubahan iklim secara
semula jadinya telah berlaku secara perlahan-lahan sejak dari Zaman Ais lagi (50,000
hingga 100,000 tahun lalu). Pada masa itu, banyak tumbuhan dan haiwan dapat
menyesuaikan diri dengan perubahan iklim secara perlahan-lahan ini termasuklah
juga manusia yang berpindah-randah mengikut keadaan perubahan glasier. Namun
demikian, sejak tahun 1980, pemanasan melampau dengan peningkatan suhu bumi lebih
drastik berbanding biasa telah mengakibatkan seluruh proses semula jadi ini
terjejas sehinggakan, perubahan radikal ini sedang menuju ke arah kepupusan biodiversiti.
Bahkan, menurut penilaian terbaru
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 20 hingga 30 peratus daripada spesies
flora dan fauna kini diancam kepupusan jika suhu panas bumi meningkat antara
1.5 hingga 2.5 darjah celsius dengan 12 rantau di seantero dunia dibimbangi
bakal terjejas ekosistem tumbuhan-tumbuhan hijaunya akibat kesan daripada
perubahan iklim secara mendadak yang berlaku hari ini khususnya di hutan hujan
Amazon.
Justeru, secara izharnya, proses pemanasan
global adalah ‘punca’, manakala
perubahan iklim pula merujuk kepada ‘kesan’
akibat daripada daripada proses tersebut. Pada waktu yang sama, gabungan di
antara kesan dan punca ini nescaya mengundang malapetaka besar kepada penduduk
dunia sama ada daripada aspek fizikal mahupun psikologi di samping kesannya
turut dirasai golongan marhaen di negara kita.
Kesan-Kesan Perubahan Iklim
di Malaysia
Pada hakikatnya, tanda-tanda
perubahan iklim yang berpunca daripada pemanasan global sejak belakangan ini
turut dirasai penduduk di negara kita amnya. Di Malaysia, perubahan iklim akan menyebabkan
berlakunya fenomena banjir kilat di beberapa tempat seluruh negara khususnya di
bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur, Shah Alam, Georgetown dan sebagainya. Bahkan, fenomena alam banjir
kilat ini secara umumnya didefinisikan sebagai satu fenomena alam yang terjadi
akibat daripada kerakusan manusia menerokai kawasan hutan untuk tujuan
pembangunan.
Selain
itu, pada tahun 2007, Kuala Lumpur pernah dilanda banjir kilat yang disifatkan terburuk
dalam lipatan sejarah negara sejak 2003. Diceritakan, beberapa kawasan utama
bandar raya itu juga turut ditenggelami air sehingga sedalam satu meter. Bahkan,
pada ketika itu, antara kawasan paling teruk dilanda banjir termasuklah
Jalan Masjid India, Jalan Ipoh dan Kampung Baru selain kawasan Sentul turut
terjejas secara total.
Manakala, Dataran Merdeka yang
meliputi kompleks bangunan Sultan Abdul Samad turut ditenggelami air separas
pinggang. Ekoran daripada kejadian banjir kilat itu, ibu kota dilaporkan
mengalami kesesakan teruk di beberapa jalan termasuklah Jalan Ampang, Jalan
Dang Wangi dan Jalan Kampung Pandan sekali gus menjejaskan aktiviti
sehari-harian masyarakat kota selain melumpuhkan seketika bandar raya
metropolitan ini semata-mata disebabkan perubahan iklim yang telah mengakibatkan
fenomena banjir kilat tersebut.
Dalam kita mendepani arus pemodenan
negara yang pantas berkembang ini, sememangnya diakui negara turut terkesan
akibat penyimpangan iklim dengan penurunan kadar taburan hujan. Bahkan, peningkatan
suhu global dewasa ini telah menyebabkan kadar kehilangan air berlaku dengan
cepat sekali akibat daripada proses penyejatan air yang tinggi ke ruangan atmosfera.
Akibatnya, perkara ini telah mengundang
kepada berlakunya masalah kesukaran bagi masyarakat mendapatkan bekalan air
bersih untuk kegunaan sektor perindustrian dan pertanian selain kegunaan isi
rumah dan sebagainya. Sejarah telah membuktikan bahawa, krisis kesukaran mendapat
bekalan air bersih akibat kesan daripada perubahan iklim yang tidak terduga dek
akal fikiran ini telah mula melanda beberapa kawasan di negara bermula seawal
tahun 1997 lagi. Antara negeri yang paling
serius menghadapi masalah ini ialah Melaka, Selangor dan Lembah Klang.
Tambahan lagi, krisis ini berlaku
apabila proses agihan bekalan air bersih tidak dapat dilakukan dengan seimbang
dan dirumitkan lagi apabila fenomena El-Nino melanda negara pada waktu itu
(Noorazuan Hashim, 2000). Malahan, krisis air pada tahun 90-an itu telah
membawa kepada kesengsaraan besar yang terpaksa dialami masyarakat sejagat,
malar-malar pula pada masa itu catuan air terpaksa dilakukan secara menyeluruh
di seluruh negara amnya. Hal ini demikian kerana, beberapa batang sungai kekeringan
selain empangan air juga turut mengalami penurunan air secara mendadak seperti mana
yang berlaku di Empangan Klang Gates, Empangan Batu dan
Empangan Semenyih.
Selain itu, kesan perubahan iklim dan
pemanasan global turut mengancam keselamatan dan kesihatan manusia. Pada tahun
2007 misalnya, rekod baru suhu yang tertinggi telah dipecah akibat gelombang
panas melanda Amerika Syarikat pada ketika itu dengan daerah St. George telah
memegang rekod tertinggi dengan suhu maksimum iaitu sebanyak 48 darjah celsius.
Manakala, Las Vegas dan Nevada juga telah
mencapai suhu 47 darjah celsius, serta beberapa kota lain di Amerika Syarikat
yang juga tidak terlepas daripada bahang panas setinggi 40 darjah celsius itu.
Daerah Death Valley di California juga tidak terkecuali dengan mencatat suhu
sebanyak 53 darjah celsius. Peningkatan suhu pada ketika itu telah menyebabkan
kematian manusia, kerosakan hasil pertanian, peningkatan kebakaran hutan serta
kematian haiwan-haiwan ternakan.
Pada tahun 2003 juga, pernah berlaku satu
serangan gelombang panas di daerah Eropah Selatan yang telah mengakibatkan
lebih kurang 35,000 orang meninggal dunia dan kematian tertinggi dicatatkan
dari negara Perancis iaitu seramai 14,802 orang. Hal ini berlaku akibat
daripada ketidaksedaran masyarakat serta pemimpin pada ketika itu akan isu-isu
yang berlaku di sekeliling mereka khususnya peningkatan suhu global.
Walaupun penduduk di negara kita bukanlah terdedah
secara langsung akan masalah serta ancaman kematian akibat perubahan iklim dan
pemanasan global ini, namun begitu kita semua terdedah pula dengan penyakit-penyakit
berbahaya yang lain seperti kanser kulit serta strok panas yang boleh membawa
kepada kematian. Lumrahnya, strok ini akan menyerang golongan tua yang lemah
terutamanya dari segi sistem imunisasi badan mereka. Tidak cukup dengan itu, di
Malaysia, kesan perubahan iklim juga telah mengundang kepada bertambahnya kes-kes
penyakit yang disebabkan haiwan pembawa seperti malaria dan denggi amnya.
Justeru, petanda-petanda jelas akibat kesan
perubahan iklim yang dipaparkan di atas adalah merupakan tiga daripada ribuan
impak negatif yang menjadi bukti bahawa perubahan iklim dunia sekarang ini
turut dirasai kesannya terhadap negara kita sama ada secara langsung atau tidak
langsung. Sejajar dengan itu, kita perlu mengorak langkah untuk mengimplementasikan
langkah-langkah pencegahan proaktif bermula
daripada peringkat kerajaan hinggalah melibatkan komitmen dan pengertian serius
masyarakat sejagat. Hal ini penting agar kesan-kesan perubahan iklim yang
diakibatkan oleh pemanasan global mutakhir ini akan dapat diatasi secara
menyeluruh kelak. Sesungguhnya, hendak seribu daya; tak hendak seribu upaya.
“Alam ini sediakalanya cantik dan semua usaha dalam
alam ini asalnya cantik, tinggal kita saja nak bagi lebih cantik atau tak nak
bagi cantik.”
(Dr. Hm. Tuah Iskandar Al-Haj)
Intensif Kerajaan Dan Peranan Masyarakat Menghadapi Perubahan
Iklim
Di
Malaysia, sememangnya diakui kerajaan melalui kolaborasi erat pertubuhan serta
agensi kerajaan dan bukan kerajaan sentiasa menyokong dan mengamalkan
pembangunan lestari berlandaskan pertumbuhan ekonomi mampan, kesejahteraan
sosial dan perlindungan alam sekitar. Bahkan, dalam kita menangani cabaran
perubahan iklim yang pastinya menjanjikan cabaran besar ini, usaha sebegini seharusnya
diteruskan lagi secara bersama agar potensi sebenar negara benar-benar dapat
dipenuhi besok lusa.
Oleh hal
yang demikian, Dasar Perubahan Iklim Negara (diluluskan Jemaah Menteri pada 20
November 2009) diperkenalkan pihak kerajaan berperanan menjadi rangka kerja perdana
untuk menggerakkan serta memberikan panduan dan langkah-langkah adaptasi kepada
agensi kerajaan, industri, komuniti serta pihak berkepentingan dalam menghadapi
cabaran perubahan iklim secara holistik amnya. Hal ini penting agar kesan
jangka panjang akibat fenomena ini dapat ditangani secara lestari kelak di
samping kerajaan melihatkan perkara ini sebagai batu loncatan kepada kesedaran
menyeluruh masyarakat berkenaan ancaman perubahan iklim ini demi kepentingan
generasi mendatang.
Sementara
itu, bagi menyelaraskan usaha-usaha ke arah mencapai visi kudsi Dasar Perubahan
Iklim Negara ini, kerajaan mengambil langkah sederap, menubuhkan Jawatankuasa
Kabinet Mengenai Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau yang dipengerusikan
sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia amnya.
Manakala, bagi memanifestasikan
kesungguhan sumbangan negara di peringkat global dalam menangani perubahan
iklim pula, kerajaan mengambil langkah mitigasi dengan mengurangkan pelepasan
gas rumah hijau (GHG) berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga
40 peratus intensiti karbon menjelang tahun 2020 berbanding tahun 2005. Hal ini
sejajar dengan pengumuman yang diuar-uarkan Perdana Menteri Malaysia semasa
beliau menghadiri Persidangan Perubahan Iklim di Copenhagen pada Disember 2009
yang lalu.
Sebagai
strategi permulaan ke arah pengurangan 40 peratus intensiti tersebut, kerajaan telah
menyediakan ‘Road Map’ yang menggabungjalinkan
tiga program utama iaitu, Kecekapan Penggunaan Tenaga, Tenaga Boleh
Diperbaharui dan Pengurusan Sisa Pepejal. Gabungan perlaksanaan ketiga-tiga
program ini dijangka mampu mengurangkan pengeluaran 45 juta tan karbon dioksida
pada masa hadapan. Manakala, strategi serampang dua mata ini pula diperluaskan dengan
penglibatan pelbagai sektor seperti sektor pengangkutan, pertanian, perhutanan
dan sebagainya.
Sehubungan itu, tindakan yang
diketengahkan pihak kerajaan seperti yang di atas tidak lain bertujuan
memastikan kelangsungan hayat bumi kita, demi keperluan generasi mendatang
persis kata cendekiawan, “Kita bukan mewarisi alam ini daripada datuk nenek
kita tetapi kita meminjamnya daripada anak cucu kita”( Mahatma Gandhi).
Dalam pada itu, hasrat
kerajaan untuk menangani kesan-kesan perubahan iklim ini tidak akan
berjaya tanpa penglibatan semua lapisan masyarakat. Bahkan, peranan yang
dimainkan masyarakat juga amatlah signifikan dalam hal ini kerana ia mampu
mengadunkan satu kombinasi sinergi yang cukup padu ke arah pelestarian bumi ini
demi kepentingan sejagat kelak.
Oleh itu, masyarakat
hari ini digalakkan untuk mengitar semula barang-barangan terpakai dalam
kehidupan seharian mereka. Secara umumnya, menurut Akta Pengurusan Sisa Pepejal
Dan Pembersihan Awam 2007 ( Akta 672), kitar semula bermaksud memungut dan
mengasingkan sisa-sisa pepejal bagi tujuan menghasilkan sesuatu keluaran.
Selain itu, kitar semula
berlaku apabila bahan-bahan diproses dan menghasilkan produk yang sama. Kitar
semula mengubah bahan-bahan yang sepatutnya menjadi sisa kepada sumber-sumber
bernilai yang lain seperti sumber kepada alam sekitar, kewangan, faedah sosial
dan sebagainya. Secara analoginya, bahan-bahan seperti kaca, plastik dan kertas
akan dikumpul, diasingkan dan dihantar ke pusat pemprosesan untuk ditukarkan
kepada produk atau bahan baharu.
Bahkan, sememangnya
diakui, kitar semula bahan buangan akan mendatangkan 1001 manfaat kepada alam
sekitar dan masyarakat sejagat. Buktinya, dengan mengitar semula satu botol
kaca, kita secara tidak langsung menjimatkan tenaga untuk sebuah komputer yang
berfungsi selama 25 minit.
Manakala, jika
sekiranya masyarakat melazimkan diri mereka mengitar semula kertas, seolah-olah
masyarakat telah berjaya mengurangkan 70 peratus tenaga yang digunakan untuk
membuat kertas daripada bahan asasnya sementalahan kitar semula botol plastik pula
dapat menjimatkan tenaga untuk mentol 60 watt yang menyala selama tiga jam
penggunaannya.
Malahan, seyogia
diingatkan bahawa, masyarakat seharusnya membiasakan diri mereka dengan amalan
kitar semula seperti ini kerana jumlah sisa buangan semakin bertambah pada setiap
masa. Ketahuilah, kira-kira sebanyak 15,000 tan sampah yang dipungut setiap
hari dan jumlah ini mampu memenuhi bangunan KLCC dalam masa 9.6 hari sahaja. Lantaran
itu, fikir dahulu sebelum buang. Bertindaklah sekarang!
Tambahan lagi, bagi mencegah
berlakunya kesan yang lebih buruk akibat perubahan iklim, masyarakat disaran
untuk mengelakkan pembakaran secara terbuka. Hal ini kerana, disebabkan
pembakaran secara terbuka, negara akan terdedah kepada masalah jerebu dan pencemaran
udara yang lebih teruk jika ia tidak ditangani secara sistematik pada masa hadapan.
Namun demikian,
menurut tinjauan Jabatan Alam Sekitar Malaysia (JAS), dalam tempoh sehingga Mei
2013 sahaja, terdapat sebanyak 3,782 kes pembakaran terbuka telah dikesan di
seluruh negara iaitu pembakaran terbuka melibatkan kawasan hutan (810 kes),
kawasan pertanian (1,198 kes), kawasan industri (28 kes), kawasan pembinaan
(116 kes), tapak pelupusan sampah (66 kes), kawasan belukar (887 kes) dan
lain-lain pembakaran terbuka kecil (677 kes). Ekoran itu, fakta secara jelasnya
mencerminkan bagaimana masyarakat hari ini masih lagi rendah tahap kesedaran
mereka untuk menjaga alam sekitar demi kepentingan sejagat kelak.
Bertitik tolak daripada tinjauan yang telah
dilakukan agensi tersebut, jelaslah pembakaran terbuka seyoginya dihentikan
sama sekali masyarakat kontemporari pada masa hadapan. Hal ini penting dalam
usaha kita semua untuk meminimumkan kesan-kesan akibat perubahan iklim yang berlaku
disebabkan pemanasan global sejak akhir-akhir ini sekali gus akan
dapat membantu kerajaan dalam menangani permasalahan ini demi keperluan membina
impian masa depan alam yang lebih terpelihara kelak.
Ibarat melentur
buluh; biarlah daripada rebungnya. Ibu bapa afdalnya menerapkan anak-anak
mereka dengan pendidikan menjaga alam sekitar dan kebersihan bermula dari rumah
lagi. Tamsilnya, ibu bapa boleh memenuhi
aktiviti waktu senggang mereka pada hujung minggu dengan memperbanyakkan
aktiviti rekreasi alam sekitar seperti di kawasan rekreasi air terjun, sungai,
pantai dan sebagainya di samping mengurangkan amalan membeli belah di
pusat-pusat beli-belah. Malahan, pembudayaan ilmu ini perlu dipupuk dan dibajai
oleh generasi muda masa kini agar anak-anak akan lebih menghargai betapa bernilainya
alam ini apabila mereka meningkat dewasa besok lusa.
Justeru,
jelaslah terdapat banyak langkah ideal yang
telah direncanakan pihak kerajaan dari semasa ke semasa demi menangani kesan
akibat perubahan iklim yang berlaku di negara kita sejak belakangan ini.
Bahkan, peranan yang dimainkan masyarakat marcapada pula ibarat melengkapkan lagi
usaha bersepadu pihak kerajaan ini demi kelestarian alam ini kelak. Sesungguhnya,
“Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri
yang mengubah apa yang ada pada diri mereka.”( Ar-Ra'd;11)
Kesimpulan
Telah terbukti bahawa kesan-kesan
akibat perubahan iklim global kini telah melanda negara kita dengan beberapa
siri kejadian bencana alam yang berlaku seperti banjir kilat, kekurangan sumber
air bersih, jerebu dan sebagainya. Apa yang pasti, perubahan iklim ini telah
mengundang pelbagai masalah kepada kita semua. Sejajar dengan itu, seharusnya
masyarakat sedar akan keperluan bagi kita semua untuk menjaga alam sekitar demi
kelestarian alam yang kekal berpanjangan besok lusa sekali gus mengurangkan
kesan akibat perubahan iklim ini demi generasi mendatang.
Manakala, pelbagai intensif pihak
kerajaan bagi menangani permasalahan akibat perubahan iklim ini sewajarnya
menyentap kesedaran sivik masyarakat secara total terutamanya berkaitan isu-isu perubahan iklim
yang sememangnya diakui berpunca daripada pemanasan global sejak kebelakangan
ini. Ingatlah, walaupun kita hidup harmoni dalam negara Malaysia yang berdaulat
sekarang ini , namun pada hakikatnya, masyarakat kontemporari sedang berhadapan
dengan ‘peperangan’ yang boleh mengganggu kesejahteraan rakyat yang bernaung di
bawahnya.
Justeru, sebelum nasi menjadi bubur,
maka ayuhlah kita beriltizam untuk melazimi sifat keterbukaan dengan tidak
memandang enteng akan kesan akibat perubahan iklim ini kerana sesungguhnya, kealpaan
kita hari ini mungkin akan memudaratkan diri sendiri dan generasi akan datang persis
aforisme, sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.
2499
Patah Perkataan
Tweet
No comments:
Post a Comment