Bertepatan
dengan maksud peribahasa bagai cendawan tumbuh selepas hujan, seni kraf
merupakan industri yang tidak asing lagi dan merupakan industri yang sedang
berkembang secara drastik dalam negara Malaysia sama ada secara kecil-kecilan
mahupun sebaliknya. Malah, negara kita amat bertuah kerana memiliki hasil alam
yang dapat menyumbang kepada pendapatan dan ekonomi rakyat marhaen melalui penglibatan
usahawan kraf dalam industri seni kraf ini. Hasil rimba seperti bahan daripada
kayu, buluh, rotan, mengkuang, pandan dan sebagainya merupakan anugerah alam
yang amat bernilai untuk diusahakan usahawan kraf tempatan dalam penghasilan
produk kraf tangan. Malah, industri ini mendapat sambutan yang hangat dalam
kalangan penduduk luar bandar amnya yang menjadikan seni ini sebagai sumber
pendapatan sampingan mereka seharian. Penghasilan seni kraf ini ternyata
memerlukan pengorbanan tenaga, masa dan idea yang tinggi demi menghasilkan
suatu produk yang bermutu tinggi untuk diedarkan dalam pasaran semasa. Tambahan
juga, seni kraf memerlukan adunan idea dan pemikiran yang kreatif serta
inovatif daripada seseorang pengusaha itu demi mendapat kepuasan kepada kualiti
produk seni kraf yang akan dihasilkan kelak. Kepuasan pelanggan kepada kualiti
penghasilan produk ini merupakan salah satu aset kepada percambahan dan peningkatan
jualan seni kraf ini dalam pasaran semasa sejak akhir-akhir ini. Sebelum padau
karangan ini digali dengan lebih dalam lagi, tidak sempurna kiranya kita tidak
dihidangkan dengan pengertian sebenar seni kraf itu sendiri. Definisi atau
maksud sebenar kraftangan mengikut sumber Akta-222 iaitu Akta Perbadanan
Kemajuan Kraftangan Malaysia tahun 1979, kraf adalah barangan yang dihasilkan
dengan menggunakan kemahiran tangan sama ada dikeluarkan tanpa menggunakan alat
atau peralatan mudah yang diusahakan secara sendirian atau secara tidak
langsung oleh pengusaha-pengusaha kraf. Lanjutan itu, keluaran kraf tangan juga
diberikan definisinya yang tersendiri sebagai apa-apa keluaran artistik yang
mempunyai daya tarikan kebudayaan atau tradisional yang penghasilannya sudah
pasti bermula daripada sesuatu proses yang bergantung sebahagiannya atau
semata-mata kepada kemahiran tangan dan termasuklah apa-apa jua barang, yang
mempunyai reka bentuk batik pada mana-mana bahagiannya yang tersendiri.
Jelaslah, mengikut takrifan yang dinyatakan, seni kraf merupakan industri yang
menjadi tarikan utama masyarakat kerana
tarikan kepada keindahan, kehalusan dan keaslian yang tersembunyi pada
produk kraf itu sendiri. Malahan, industri ini boleh dikategorikan sebagai seni
yang memerlukan kesabaran yang maksimum dalam usaha untuk menghasilkan kualiti
produk yang terbaik kepada permintaan pasaran semasa nanti. Sebagai contoh,
kehalusan dan keindahan corak dalam industri batik mula mendapat tempat dalam
pasaran antarabangsa apabila batik mampu menerjah ke seantero dunia apabila
kerajaan Malaysia berjaya mendapatkan tempat pameran baru yang sangat
berpengaruh dan popular iaitu di Harrods, London. Malah, usaha Datin Seri Endon
Mahmood juga mendapat sokongan daripada pihak kerajaan demi memurnikan hasrat
dalam melonjakkan industri kraf tangan terutamanya industri batik di negara
kita. Tindakan pelbagai pihak bagi melonjakkan industri seni kraf di peringkat
global ini tidak ubah seperti patah tongkat berjeremang, hulubalang habis
bersiak. Hasilnya, pada tahun 2003, hasil jualan batik berjumlah kira-kira RM33
juta dan meningkat kepada RM39.7 juta pada tahun 2004. Sememangnya, usaha yang
padu daripada pelbagai pihak dapat memendekkan masa untuk mencapai misi
memartabatkan industri kraf negara kita. Jelaslah keunggulan pelbagai hasil
keluaran seni kraf negara kita mampu memacu kepada pertumbuhan ekonomi negara
dan seterusnya menjadi lambang kepada budaya bangsa negara.
Mari kita fokuskan minda kita kepada
perkara yang pertama iaitu industri kraf dapat menjana ekonomi negara. Seperti
yang kita tahu, Malaysia mempunyai kawasan hutan yang bersifat semulajadi dan
unik hasil peninggalan zaman terdahulu. Hutan di Malaysia terdiri daripada
hutan kawasan tanah tinggi, kawasan tanah pamah dan kawasan paya termasuklah
hutan paya bakau. Semua kawasan hutan ini mempunyai kepentingan yang
tersembunyi dalam penghasilan industri seni kraf negara kita. Malah, Malaysia juga
dikenal pasti sebagai salah satu daripada 12 kawasan mega-diversiti di dunia
yang mempunyai sumber kekayaan biologi yang terunggul. Lantaran itu, Malaysia menggunakan
peluang ini untuk melonjakkan nama negara di persada dunia dengan berjaya
menjadi salah satu negara yang mengeluarkan produk kraftangan, perabot dan
pelbagai jenis produk lagi yang berasaskan kepada produk-produk kayu keras
tropika. Melalui statistik FAO(2006), nilai eksport kayu dan produk-produk yang
berasaskan kayu dalam negara Malaysia pada tahun 2004 ialah USD 3.53 bilion,
berbanding Kanada(USD29.4 bilion), Jerman(USD15.91 bilion), Amerika
Syarikat(USD15.69 bilion), Finland(USD13.54 bilion), Sweden(USD15.91 bilion),
Austria(USD6.2I bilion), dan China(USD5.2 bilion). Hal ini sudah terang lagi
bersuluh membuktikan negara Malaysia mampu memacu ekonomi negara melalui
produk-produk kayu seperti kraftangan dan perabot serta hasil kraftangan negara
yang lain. Bersesuaian dengan kata peribahasa seperti pegaga tumbuh melata,
produk seni kraf yang berasaskan industri kayu semakin bercambah dari segi
pemasarannya dalam pasaran tempatan mahupun global. Produk seperti almari, kerusi
rotan, meja, perabot dan sebagainya merupakan contoh kepada produk keluaran
seni kraf negara yang berasaskan industri kayu. Hal ini secara tidak langsung
dapat menjulang nama negara ke puncak jagat kerana kemampuan negara dalam
menghasilkan produk yang menjadi kebanggaan rakyat sebagai salah satu wadah
untuk memperkenalkan budaya seni tanah air di peringkat global. Selain itu
juga, seni kraf di Malaysia tidak menyerupai dengan hasil kraf tangan yang
dihasilkan daripada negara-negara lain seperti China dan Arab Saudi. Kraf tangan
yang dihasilkan dalam negara kita adalah yang berasaskan alam semulajadi yang maksimum.
Manakala, jika hendak dibandingkan dengan produk daripada China pula, produk
keluaran negara ini lebih bertemakan kepada haiwan seperti naga dan sebagainya.
Tambahan lagi, seni kraf keluaran daripada negara Arab Saudi lebih ke arah
bercorakkan keagamaan. Secara tidak langsung, seni kraf di Malaysia mempunyai
daya tarikan tersendiri yang sentiasa mendapat tempat dalam hati pengguna
tempatan mahupun pengguna antarabangsa seantero dunia yang sentiasa mengikuti
perkembangan industri kraf di Malaysia. Jelaslah, Malaysia boleh menjana
ekonomi melalui hasil kraf tangan yang dihasilkan oleh pengusaha-pengusaha kraf
tangan tempatan.
Mari kita lensakan skop pemikiran
kita terhadap kata-kata yang diucapkan oleh Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia,
Mohd Kamil Mohd Ali dalam kenyataannya yang berbunyi, “Penghasilan produk
kraftangan secara komersial dapat menjana pendapatan negara dan seterusnya
menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara”. Petikan akhbar Kosmo yang
bertarikh 14 Mac 2011 ini secara jelasnya membuktikan bahawa produk kraf tangan
negara mampu menjana pendapatan yang baik sekiranya diusahakan secara
sistematik dan bersungguh-sungguh. Bahkan, produk kraf tangan tempatan ini
mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri bagi mencerminkan budaya bangsa
tanah air kita amnya. Justifikasinya, harga bagi produk kraf tangan keluaran
tempatan lebih tinggi sedikit harganya jika hendak dibandingkan dengan barangan
plastik yang dijual di pasaraya. Malahan, industri kraf tangan Malaysia
mempunyai hubungan yang rapat dalam konteks pelancongan. Masakan tidak,
industri seni kraf ini boleh menarik minat pelancong datang berkunjung ke
negara kita semata-mata untuk melihat dengan sendiri seni kraf yang dihasilkan
dalam negara kita ini bak kata peribahasa, tak kenal maka tak cinta. Kesannya,
bilangan pelancong yang ramai berkunjung ke Malaysia ini boleh menyebabkan
ekonomi negara semakin utuh berkembang maju menjelang tahun 2020. Hal ini boleh
dibuktikan dengan para pelancong akan membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk
membeli kraf tangan keluaran negara Malaysia sebagai cenderamata
kenang-kenangan atau sebagai hadiah kepada rakan-rakan apabila pulang kelak.
Dalam hal ini, peribahasa Melayu ada menyebut bahawa "tak tumbuh, tak
melata, tak sungguh, orang tak kata". Hal ini menjelaskan bahawa kualiti
serta keunikan kraf tangan Malaysia akan menarik lebih ramai pelancong ke
negara kita. Ironinya, perkara ini bukan sahaja akan meningkatkan imej negara
Malaysia sebagai negara berbilang bangsa malahan dapat meningkatkan ekonomi
negara menerusi sektor pelancongan. Hal ini jelas membuktikan bahawa industri
kraf dapat menarik minat pelancong untuk berkunjung ke Malaysia. Tambahan lagi,
pelancong yang datang akan membelanjakan wang ringgit mereka mereka untuk
tujuan penginapan, pengangkutan, makan minum dan juga cenderahati. Pada tahun
2000 sahaja, negara kita mencatatkan jumlah pelancong asing yang datang ke
Malaysia seramai lebih kurang 10.2 juta orang, diikuti pula dengan tahun 2007
yang mencecah kepada angka 20.9 juta orang. Peningkatan ini memperlihatkan
betapa negara Malaysia berjaya menarik minat ramai pelancong asing yang datang
melancong dalam negara kita. Dengan ini, berlakulah proses aliran keluar masuk
dan pertukaran mata wang asing dalam negara kita yang pasti memberi kelebihan
kepada keutuhan ekonomi negara kelak. Kini, penghasilan barangan kraf tangan
telah mengalami perubahan yang drastik. Kewujudan industri kraf tangan negara
yang berskala besar merupakan bukti kepada industri kraf ini mampu menembusi
pasaran dunia yang semestinya memberi manfaat kepada ekonomi negara yang mapan.
Produk kraf tangan negara kita mempunyai nilai kelainan dan keistimewaan yang
mampu menarik minat para pelancong datang ke Malaysia sekaligus mampu
memperkenalkan produk keluaran negara di peringkat global. Secara
keseluruhannya, terdapat kira-kira RM73 juta disumbangkan oleh industri
kraftangan negara Malaysia bagi pasaran domestik dalam tempoh sembilan bulan
tahun 2010. Jelaslah, industri seni kraf negara mempunyai hubungan yang rapat
terhadap industri pelancongan yang secara tidak langsung menjana ekonomi negara
di samping menjulang nama negara dalam kedua-dua industri ini di peringkat
antarabangsa.
Mari kita luaskan takrifan minda
kita kepada perkara yang seterusnya iaitu industri kraftangan dapat menjana
pertumbuhan ekonomi yang utuh melalui kewujudan peluang pekerjaan dalam
kalangan masyarakat. Kraf adalah seni warisan yang bergantung kepada kecekapan
seseorang individu sehingga hasil kerja mereka diberi nilaian yang tinggi.
Malah, seseorang yang ingin melibatkan diri mereka dalam industri seni kraf
mestilah menggabungkan tiga ciri utama yang terlibat dalam industri seni ini
iaitu hasil keluaran, kepercayaan budaya dan agama serta keperluan tradisional
untuk menghasilkan satu produk yang mempunyai nilai estetika yang tinggi di
mata pengguna. Sebagai contoh, sektor kraf memberi peluang pekerjaan kepada
kaum wanita yang melibatkan diri dalam menghasilkan kraf seperti tenunan,
tekatan, anyaman, dan lain-lain yang pasti meningkatkan pendapatan keluarga
mereka. Di samping kaum wanita dapat meningkatkan pendapatan keluarga mereka
sendiri, negara juga boleh menjana ekonomi melalui proses pemasaran produk kraf
ini dalam pasaran tempatan mahupun antarabangsa. Dalam pada itu, pihak Kraftangan
Malaysia mencatatkan sebahagian besar usahawan kraf di Malaysia merupakan
daripada golongan wanita iaitu seramai 4997 orang atau 70% daripada bilangan
keseluruhan usahawan kraf. Nilai yang direkodkan oleh pihak Kraftangan Malaysia
ini menjadikan bukti yang kukuh kepada keunggulan dan semangat tinggi serta
penat lelah wanita dalam menjana ekonomi sampingan keluarga di samping membantu
negara mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi melalui hasil kraf yang dihasilkan
oleh mereka sendiri. Tambahan lagi, majoriti daripada usahawan wanita ini
memilih untuk melibatkan diri mereka dalam bidang kraf kerana tidak melibatkan
kerja-kerja berat dan boleh dibuat di rumah. Bak kata pepatah, sambil menyelam
minum air. Golongan ini mempunyai kemahiran kreatif dan mampu menghasilkan
produk kraf yang berkualiti demi menyahut cabaran kerajaan untuk melihat
industri seni kraf ini mendapat sambutan daripada golongan wanita dalam memacu pertumbuhan
ekonomi negara pada masa yang akan datang. Malah, pada tahun 2009, usahawan
kraf wanita telah berjaya membuktikan kepada negara dengan saiz pasaran dan
jualan kraf yang dicapai melalui penglibatan wanita dalam sektor ini
mencatatkan keuntungan sebanyak RM83 juta atau 31% daripada saiz pasaran produk
kraf yang lain. Hal ini membuktikan, sumbangan wanita dalam menjana ekonomi
negara melalui penglibatan golongan wanita dalam seni kraf ini patut
dibanggakan kerajaan sentiasa. Secara faktanya, keluaran produk yang dihasilkan
oleh golongan wanita mungkin lebih cantik dan unik dari segi kekemasannya jika
hendak dibandingkan dengan keluaran usahawan kraf lelaki kerana golongan wanita
mempunyai sifat ketelitian yang tinggi dalam melakukan apa jua kerja mereka
seharian termasuklah dalam menghasilkan produk kraf itu sendiri. Malah, kita
patut berbangga dengan keupayaan golongan lemah ini yang mampu menghasilkan
pelbagai produk kraf yang mempunyai nilai estetik, berkualiti dan praktikal
untuk dipasarkan dalam pasaran semasa. Bak kata peribahasa, kecil jangan
disangka anak, besar jangan disangka bapa. Jelaslah, industri kraf tangan dapat
mewujudkan peluang pekerjaan dalam kalangan masyarakat setempat demi membantu
negara merealisasikan matlamat untuk menjadi sebuah negara yang maju ekonominya
menjelang tahun 2020 melalui keunggulan industri seni kraf tangan yang menjadi
warisan budaya bangsa kita sejagat.
Mari kita segarkan akal fikiran kita
dengan perkara selanjutnya iaitu seni kraf tempatan mencerminkn budaya, warisan
dan identiti bangsa kita. Sejak zaman dahulu kala lagi, Malaysia (dahulunya
dikenali sebagai Tanah Melayu) telah menjadi tumpuan para pedagang luar seperti
Benua Asia, Asia Barat dan negeri China. Hal ini kerana, Tanah Melayu berada
pada kedudukan yang strategik di tengah-tengah Selat Melaka. Malahan,
kemakmuran kerajaan-kerajaan Melayu silam seperti Langkasuka, Kertaka dan
kemudiannya Kesultanan Melayu Melaka telah mengakibatkan budaya tempatan turut
dipengaruhi oleh hasil-hasil keseniaan daripada negara India, China, Parsi,
Arab dan Eropah. Perkara ini terserlah dalam motif-motif tradisional Melayu
yang sedia ada terdapat pada seni kraf negara kita. Bermula abad kesembilan
belas, pelbagai seni kraf tradisional giat berkembang terutamanya di
negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak. Jika sejarah industri kraf
tangan ini terus dijiwai oleh masyarakat, sudah pasti kita dapat menyemai
perasaan cinta akan budaya bangsa Melayu yang sungguh unik ini. Malah, seni
yang menjadi lambang budaya bangsa ini haruslah diberi peluang untuk semua
lapisan masyarakat terutamanya dalam kalangan anak muda tempatan untuk menjiwai
warisan dan budaya bangsa kita ini supaya tidak lapuk dek hujan dan tidak
lekang dek panas serta tidak hilang ditelan zaman. Sebagai contoh, seni kraf
perak, tembaga dan besi adalah seni pertukangan kraf warisan logam yang masih
kekal diusahakan hingga hari ini. Malah, kegagahan serta kreativiti para
pengusaha tukang logam terserlah melalui teknik-teknik kemahiran dalam
menghasilkan barangan kraf logam ini. Pengusaha industri seni kraf yang berasaskan
bahan logam perlu menguasai beberapa jenis teknik seperti teknik penghapusan
lilin dalam penghasilan kraf tembaga dan teknik tempa bagi penghasilan mata senjata
atau keris serta teknik memahat bagi
barangan kraf perak dan juga beberapa teknik yang lain. Kemahiran dalam
menguasai teknik ini penting bagi menghasilkan produk seni kraf berasaskan
barangan logam yang mendapat nilaian tinggi di pasaran tempatan mahupun global.
Kesederhanaan tukang kraf mengadunkan semua jalinan motif dalam menghasilkan
reka bentuk dan kreativiti produk kraftangan itu pastinya menonjolkan identiti
seni warisan kraf Melayu sebagai lambang kepada budaya bangsa kita yang amat
bernilai ini. Hasil pertukangan yang tidak keterlaluan dalam memperlihatkan
kemahiran dan juga kemampuan mengadun rupa bentuk, motif dan corak ini
mengambarkan keharmonian dan tatatertib dalam peradaban bangsa kita semua.
Jelaslah, hasil seni kraf tangan merupakan tinggalan warisan sepanjang zaman
dan menjadi lambang kepada keunikan dan kehebatan budaya bangsa tanah air kita
sejagat.
Ayuh kita mengorak langkah dan mengkaji
dengan sedalam-dalamnya berkenaan beberapa contoh seni kraf negara yang
merupakan cerminan kepada budaya bangsa kita semua. Lambakan pelbagai jenis
seni kraf dalam industri ini termasuklah dari segi pengeluaran dan pemasaran bersesuailah
dengan kata peribahasa seperti pegaga tumbuh melata. Misalnya, seni kraf
seperti tekstil, hasil tanah dan aneka kraftangan yang lain membuktikan seni
kraf adalah antara lain dapat menonjolkan lambang budaya bangsa negara kita
semua. Seperti kita ketahui, batik, songket, tenunan Pahang Diraja, pua dan
dastar adalah antara kraf tekstil tempatan yang banyak menyembunyikan pelbagai
kisah dan lagenda di sebalik hasil seninya. Fakta daripada ilmuan berseni
mengatakan kraf tekstil yang unik dan beridentiti ini mula menjadi pilihan
pereka fesyen tempatan mahupun daripada luar negara. Kehalusan songket dan kain
tenun Pahang Diraja terus melonjakkan kedua-dua industri seni tekstil ini
sebagai lambang warisan agong kebanggaan bangsa yang setiap hasil tenunannya
menyimpan pelbagai mitos dan lagendanya yang tersendiri. Tambahan lagi,
tembikar merupakan salah satu hasil seni kraf yang dihasilkan daripada tanah
liat. Zawan, mangkuk, pinggan, pasu dan sebagainya merupakan barang-barang yang
diperbuat daripada tembikar. Malah, salah satu barangan tembikar yang begitu
popular dalam negara Malaysia ialah labu sayong. Namun, rekaan bentuk dan corak
hiasan pada tembikar itu berbeza mengikut pengaruh adat dan cara hidup
masyarakat setempat. Hal ini juga memberikan gambaran bahawa barangan tembikar
tradisional mengutamakan ciri fungsi dan perhiasannya. Beginilah lambang budaya
sesetengah pengaruh adat memainkan peranan pada seni kraf yang dihasilkan.
Setiap rekaan corak hiasan dan reka bentuk pada seni kraf itu mencerminkan
budaya bangsa dalam kalangan masyarakat kawasan tersebut. Hal ini membuktikan,
Malaysia kaya dengan segala seni, adat dan budaya yang mempunyai nilainya yang
tersendiri pada keluaran produk kraf yang dihasilkan itu. Begitu juga yang
berlaku pada aneka kraf tangan lain yang seperti lukisan pisau palet, bunga
roti, lukisan gelas, bonsai tiruan, napkin kertas, lukisan fabrik, kasut dan beg
manik serta gubahan hantaran. Semua ini mempunyai nilai seni bagi mencerminkan
budaya bangsa dan adat resam sesuatu tempat itu. Jelaslah, cerminan dan lambang
kepada budaya bangsa itu datang daripada ketinggian dan kehalusan serta
keunikan seni kraf yang berjaya dihasilkan.
Mari kita melangkah kepada perkara
yang terakhir iaitu produk seni kraf negara juga menghadapi beberapa unsur
cabaran dalam mendepani abad milenium ini.
Kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan, pepatah Melayu
ini merupakan gambaran tepat yang dapat merumuskan mengenai stigma masyarakat
Malaysia yang menghadirkan beberapa cabaran alaf glbal kepada industri seni
kraf negara dengan seolah-olah memandang sepi terhadap produk kraf tangan
buatan tempatan. Mentaliti masyarakat Malaysia yang suka mendewa-dewakan produk
kraf tangan moden dan berjenama antarabangsa, dilihat menjadi ancaman besar
kepada industri produk kraf tangan tempatan. Rentetan kelesuan permintaan dalam
pasaran tempatan ini, telah menyumbang kepada kesuraman industri kraf tangan
negara yang boleh diibaratkan seperti hidup segan, mati tak mahu. Sorotan
daripada kesuraman iklim ekonomi dunia yang kian meruncing ini, industri kraf
tangan negara bergelut untuk terus bernafas. Memburukkan lagi keadaan di kala
industri kraf tangan negara dilihat terumbang-ambing untuk kekal bertahan.
Melihat keadaan kelesuan terhadap produk kraf tangan ini, kerajaan melalui
agensinya telah berusaha untuk mempromosikan industri kraf tangan di peringkat
antarabangsa. Pihak kerajaan sedang mengambil langkah yang bijak temasuklah
dengan mengadakan promosi melalui kempen-kempen, pakej-pakej pelancongan dan
percutian di Malaysia. Baru-baru ini, Kementerian Pelancongan menggesa pihak
swasta yang terbabit dalam bidang perlancongan memberi diskaun 25 peratus
kepada pelancong yang datang melawat ke tempat mereka. Menterinya, Datuk Seri
Ng Yen Yen dipetik sebagai berkata, kementerian bercadang mencapai sasaran 36
juta pelancong datang ke negara kita pada tahun 2020. Dengan majunya industri
pelancongan, secara tidak langsung perusahaan kraf tangan akan semakin
mengalakkan kerana peribahasa melayu mengatakan, di mana ada gula, di situ ada
semut. Selain itu, pihak kerajaan boleh memberi peluang kepada pengusaha
industri kraf tangan untuk mengkomersialkan hasil keluaran mereka. Pihak
kerajaan juga boleh memberi pinjaman kewangan kepada mereka yang mengusahakan
industri kraf tangan negara. Contohnya, Majlis Amanah Rakyat (MARA), dan
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan Bahagian Kemajuan Masyarakat
(KEMAS) adalah antara agensi kerajaan dan swasta yang boleh menawarkan pinjaman
kewangan kepada pengusaha kraf tangan melalui skim pinjaman pengusaha
kecil-kecilan. Industri kraf tangan membuka banyak peluang pekerjaan apabila
permintaan hasil kraf tangan meningkat seperti industri batik. Sebelum retak
menanti belah, sebelum bisul menjadi nanah dan sebelum nasi menjadi bubur,
semua pihak termasuklah masyarakat setempat mahupun kerajaan perlulah bersedia
memerah otak dan keringat serta berikhtiar berhempas pulas bagi menyelamatkan
industri seni kraf tangan negara sentiasa terpelihara untuk mendepani zaman
moden ini pantas berlalu. Oleh itu, marilah kita semua berganding bahu dan
bersedia untuk mengubah mentaliti diri kita agar dapat menjadikan industri kraf tangan ini
salah satu industri yang boleh menjamin kelangsungan ekonomi negara yang mantap
di samping mencerminkan lambang budaya bangsa dan tinggalan nenek moyang kita
semua ini. Biarlah peribahasa melayu berbunyi biar mati anak, jangan mati adat
menjadi prinsip hidup masyarakat bagi mengekalkan industri kraf tangan yang
kita warisi turun temurun ini.
Secara tuntasnya, jelaslah
keunggulan kraf tangan Malaysia boleh menjana ekonomi negara dan menjadi
lambang kepada budaya bangsa negara kita. Kita hendaklah sentiasa berfikiran
positif dalam menyelamatkan industri ini terus kekal hingga generasi yang
mendatang. Sekiranya kita memandang enteng kepada usaha kerajaan yang sentiasa
berusaha untuk menjamin kelangsungan nafas industri kraf tangan negara ini,
maka kita mungkin akan kehilangan satu harta negara yang amat bernilai ini
untuk generasi masa hadapan. Hal ini kerana, industri seni kraf banyak membawa
kebaikan kepada setiap individu yang menjinakkan diri mereka dalam industri ini
di samping menjamin kepada keutuhan ekonomi negara menjelang tahun 2020.
Tambahan pula, rakyat jelata haruslah membuka minda untuk menerima kehadiran
industri ini dalam pasaran tempatan mahupun pasaran antarabangsa dan tidak pula
untuk mengagung-agungkan produk kraf moden dan berjenama antarabangsa.
Terimalah seadanya akan kehebatan industri kraf keluaran negara agar industri
ini maju setanding dengan produk kraf moden yang berada di pasaran.
RUJUKAN
Akta
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia 1979. Akta 222
SUMBER INTERNET
http://Ummiecraft.blogspot.com
di akses pada 16/9/2012
http://Industri-kraftangan.blogspot.com
di akses pada 16/9/2012
www.hmetro.com.my/articles/Minda_Budibahasatarikpelancong/Article
di akses pada 16/9/2012
http://kedaikraft.blogspot.com/2012/05/belajar-menganyam-rotan.html
di akses pada 18/9/2012
http://muzium-kraf.blogspot.com
di akses pada 21/9/2012
http://ccdkraf.blogspot.com/2012_02_01_archieve.html
di akses pada 22/9/2012
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Potensikrafhasilrimbatempatan/Article
di akses pada 22/9/2012
Tweet
No comments:
Post a Comment