AkuSuffianFauzi

Nuffnang Adds

Follow My Facebook, Twitter, Instagram

 Add Me Follow Me Follow Me

Thursday 11 September 2014

GAGASAN 1MALAYSIA SEBAGAI WADAH PEMBINAAN NEGARA BANGSA



Malaysia adalah merupakan negara yang didiami oleh rakyat berbilang kaum, bahasa, agama dan budaya. Hal ini diserikan lagi dengan masyarakat yang hidup berdampingan dan bercampur gaul dalam keadaan penuh kasih sayang antara satu sama lain tanpa adanya sebarang bentuk racun perpecahan yang boleh mengugat keamanan negara Malaysia amnya. Yang paling penting, rakyat sentiasa berpegang kepada falsafah hidup sandar-menyandar bagai aur dengan tebing kerana menyedari akan peri pentingnya semangat perpaduan yang konkrit dalam kalangan kaum di Malaysia.
Mewarnai lagi semangat perpaduan yang terbina utuh ini, maka pada 2 April 2009, satu konsep perpaduan secara total telah diwujudkan yang dinamai konsep 1Malaysia dengan fokus utamanya adalah untuk mengangkat negara Malaysia sebagai negara yang mampu membentuk perpaduan kaum yang teguh dalam kalangan masyarakat berbilang kaum tanpa perlu adanya sebarang bentuk perpecahan kaum yang sudah pasti akan merugikan semua pihak.
Justeru, marilah kita meluaskan gawang minda kita dengan memahami erti sebenar konsep 1Malaysia itu diwujudkan kerana bak kata pepatah, tak kenal, maka tak cinta. Sebagaimana yang telah mangli ditegaskan oleh YAB Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, gagasan ini merupakan satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.
Ketegasan dalam luahan kata-kata Perdana Menteri Malaysia yang ke-6 ini jelas menggambarkan kepada kita tentang konsep 1Malaysia yang  sudah pastinya berkait rapat dengan pembinaan negara bangsa kita sekarang. Bahkan, matlamat konsep ini adalah untuk mengekalkan dan meningkatkan lagi perpaduan dalam kepelbagaian kaum negara kita yang selama ini menjadi aset dan senjata penting kepada pembinaan kekuatan negara Malaysia. Hal ini penting bagi negara kita membuat persediaan yang rapi bagi menghadapi sebarang bentuk kemungkinan cabaran millennium yang mendatang dan sekaligus bertujuan untuk memecahkan segala bentuk tembok perbezaaan kaum di Malaysia.
Untuk memahami dengan lebih dekat lagi gagasan 1Malaysia, YAB Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyatakan bahawa, “Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua etnik dalam negara kita”. Petikan kata-kata beliau itu bukanlah beerti kerajaan mengetepikan dasar afirmatif yakni dasar untuk menolong kaum bumiputera, tetapi dengan syarat dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil kerana kata Hamka, “Adil adalah menimbang yang sama berat, menyalahkan yang salah, membenarkan yang benar, mengembalikan hak yang empunya, dan jangan berlaku zalim”. Secara tidak langsung juga, gagasan 1Malaysia ini menuntut rakyat pelbagai kaum dalam negara kita agar sentiasa berfikir melepasi tembok sempadan kepentingan etnik dan kaum masing-masing dengan disertai tindakan-tindakan yang menjurus ke arah melepasi tembok sempadan itu.
Sebagai contoh, bagi menjelaskan lagi maksud pemikiran melepasi tembok ini, kita diminta untuk tidak hanya berfikir kepada skop bangsa kita sahaja, bahkan melibatkan semua perkara yang memperlihatkan kepentingan kaum-kaum yang lain agar wujudnya kesamarataan dalam hidup masyarakat berbilang bangsa ini demi mencapai impian membina negara bangsa melalui konsep 1Malaysia kerana sejunjung bak sirih, seikat bak serai, sekali berkasih, tak ingin bercerai yang sudah pasti dijadikan pegangan untuk kita terus kekal menjadi juara perpaduan dalam kepelbagaian etnik dan kaum di Malaysia.
Gagasan 1Malaysia juga memfokuskan akan tanggungjawab besar yang harus dipikul oleh para pemimpin negara dalam melayani segala keperluan dan hak etnik serta kaum-kaum yang lain dalam negara Malaysia ini agar dapat ditunaikan secara adil dan saksama serta amanah dan tidak bersikap seperti memilih bulu dalam memenuhi keperluan rakyat marhaen ini. Tanggungjawab tersebut telah diamalkan oleh kerajaan semenjak bermulanya kemerdekaan negara lagi dengan cara melantik wakil kaum masing-masing dalam memenuhi segala keperluan setiap etnik melalui proses demokrasi yang cukup indah sekali. Hal ini ditegaskan dalam ucapan Tun Dr. Mahathir Mohammad pada 30 Ogos 1984 sempena Perutusan Hari Kebangsaan ke-27 yang berbunyi, “Amanah asas kejayaan dan berpeganglah kepada amanah setiap kali kita membuat sesuatu.”
Mari kita luaskan gawang minda kita dengan mengorak langkah kepada konsep 1Malaysia yang dianggap sebagai wadah pembentukan negara bangsa. Seorang pakar sosiologi pembangunan negara bangsa, Abdul Rahman Embong merupakan antara tokoh yang lantang membicarakan akan konsep negara bangsa. Beliau telah mentakrifkan negara bangsa dalam konteks Malaysia sebagai bangsa yang terdiri daripada pelbagai kaum Malaysia yang terbentuk dalam sejarah mempunyai perasaan sebangsa dengan nama kolektif (bangsa Malaysia) yang sama serta berkongsi wilayah, ekonomi, budaya, psikologi dan nasib masa depan bersama dengan rupa bangsa (identiti) yang sepunya.
Merujuk kepada perkara di atas, negara bangsa merujuk kepada kombinasi masyarakat dan negara yang berfungsi dalam wilayah yang mengkhusus persempadannya (Sodaro, 2001). Hal ini berkait rapat dengan kehidupan bermasyarakat pelbagai kaum tanpa adanya porak peranda dan konflik kaum yang semestinya akan merugikan banyak pihak semata-mata. Malah, pembinaan negara bangsa amat penting dalam mendepani cabaran globalisasi ini sebagai langkah awal kita bagi mengelakkan Malaysia terdedah kepada konflik perkauman seperti mana konflik yang telah berlaku pada 13 Mei 1969. Tragedi ini mengakibatkan banyak kehilangan nyawa berlaku serta harta benda amnya. Menyedari hakikat ini, konsep 1Malaysia diwujudkan sudah semestinya bertujuan menjadi pemangkin kepada kewujudan negara bangsa melalui amalan dan sikap kesaksamaan serta kekitaan antara satu sama lain dengan harapan setiap kaum menjunjung tinggi nilai perpaduan itu sendiri.
      Ayuh kita segarkan akal fikiran kita dengan mengingati kembali akan peristiwa perpecahan dan perbalahan antara kaum yang pernah berlaku dalam negara kita amnya. Pada Disember tahun 2005, Allahyarham Kpl. M. Moorthy@Mohammad Abdullah, seorang bekas pendaki Gunung Everest telah meninggal dunia akibat penyakit ‘cervical sick’ selepas terjatuh ketika latihan di Kem Sungai Udang, Melaka pada 14 Ogos 1998 yang menyebabkan beliau lumpuh dan hanya boleh bergerak menggunakan kerusi roda. Namun, selepas beliau meninggal dunia, berlaku satu kekecohan ketegangan kaum yang sudah pasti masih lagi segar dalam lipatan sejarah negara kita. Kekecohan yang berlaku di hadapan bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu terjadi apabila mayatnya menjadi rebutan di antara keluarga dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Hal ini kerana, JAWI mendakwa Moorthy telah memeluk Islam pada 8 Mac tahun itu. Sebaliknya, keluarganya tetap mengatakan Moorthy masih beragama asal iaitu Hindu.
Petikan akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 21 Disember 2005 itu adalah antara satu daripada ribuan kes yang bersangkut paut dengan sentimen perkauman yang menebal dan fahaman agama yang sempit dalam kalangan kaum minoriti dan juga di peringkat arus bawah yang sudah pasti menyebabkan mereka merasakan diri mereka tidak terbela malah diketepikan sesetengah pihak. Umpama telur sesangkar, pecah satu, pecah semua. Hal ini memberi gambaran jelas kepada peri pentingnya perpaduan masyarakat yang total melibatkan semua pihak.
Justeru, perkembangan peristiwa-peristiwa sebegini mengingatkan para pemimpin dan rakyat Malaysia bahawa perpaduan antara kaum dan agama tidak boleh dipandang enteng. Sekalipun muncul ketegangan kaum ekoran peristiwa ini, ketengangan ini telah berjaya dikendurkan secara objektif dan rasional melalui wujudnya beberapa usaha dan hasrat untuk berbincang dan mencari formula terbaik dalam menyelesaikan kekusutan masalah ini. Hal ini persis dengan konsep gagasan 1Malaysia yang inginkan kedamaian melalui wujudnya perpaduan dalam kepelbagaian demi menghargai dan meraikan kepelbagaian.
Mari kita lensakan skop pemikiran kita terhadap cabaran-cabaran yang terpaksa kita hadapi bersama demi membentuk kesatuan dalam kepelbagaian kaum di Malaysia. Sebagai contoh, cabaran globalisasi merupakan antara cabaran utama yang boleh merencatkan pembinaan negara bangsa ini. Kenichi Ohmae dan Francis Fukuyama adalah merupakan antara tokoh yang menganggap bahawa negara bangsa tidak lagi relevan. Hal ini kerana, pengaliran maklumat bagi jarak yang jauh tidak menghalang mereka untuk merebut pasaran. Dengan syarat, tempat yang jauh itu boleh terdedah dengan pengaliran maklumat dengan sepenuhnya tanpa terbatas dek jarak yang jauh. Manakala, jika dilihat daripada satu sudut globalisasi dalam batas-batas yang tertentu, hal ini telah melemahkan negara bangsa tetapi tidak mungkin dapat untuk menggantikannya.
          Sebaliknya, bagi Paul Kennedy dan Naisbitt pula, negara bangsa masih lagi relevan. Hal ini dibuktikan apabila Kesatuan Soviet yang pada awalnya telah runtuh kini kembali menjadi negara-negara yang kecil mengikut sempadan wilayah berkenaan. Maka, peristiwa ini tidak beerti negara bangsa adalah sesuatu perkara yang lapuk mengikut sesetengah pendapat. Tambahan lagi, pembentukan semula negara bangsa  itu jelas menunjukkan bahawa sentimen bangsa mempunyai gerak kuasa politik dan budaya yang cukup kuat dalam menentukan arah dan perkembangan sejarah zaman ini di dalam wilayah bekas blok Soviet.Oleh itu, kita dapat rumuskan akan peri pentingnya pembinaan negara bangsa yang menampakkan kita sebagai peserta yang sama-sama bersaing atau kita sebagai mangsanya.
        Cabaran seterusnya adalah struktur politik Malaysia itu sendiri. Menurut fakta, parti-parti politik di Malaysia ini rata-ratanya berlandaskan sifat perkauman yang menebal. Manakala, parti-parti politik yang berteraskan ideologi juga masih lagi terperangkap dan terpengaruh dengan sifat dan tuntutan kaum. Hal ini akan mewujudkan suasana yang sudah pasti jauh bertentangan dengan konsep 1Malaysia sebagai wadah pembinaan negara bangsa. Malah struktur politik seperti ini yang menjadikan kepentingan kaum sebagai landasan perjuangan parti telah mendorong ahli parti dan pengikutnya secara tidak langsung telah menyemai sentimen perkauman yang menebal dan tidak pula bertindak melepasi sempadan kaum-kaum yang lain dan hanya bertindak berdasarkan kaum itu sahaja. Hal ini tidak sesuai jika hendak dibandingkan dengan konsep sebenar berpolitik di tanah air ini yang seharusnya bertindak berteraskan perspektif nasional sebagai bangsa Malaysia dan bukannya berdasarkan perspektif kaum itu sahaja. Maka jelaslah perkara di atas menunjukkan kepada kita bahawa tuntutan menuntut negara bangsa mempunyai banyak cabaran dan halangan dalam merealisasikan konsep gagasan 1Malaysia ini.
        Bertepatan dengan kata peribahasa tiada kekusutan yang tidak boleh dileraikan, tiada masalah tidak boleh diselesaikan, maka beberapa penekanan perlu diberi perhatian dalam usaha memastikan langkah pembinaan negara bangsa menjadi kenyataan sejajar dengan konsep 1Malaysia yang diuar-uarkan oleh Perdana Menteri Malaysia agar segala cabaran dapat diatasi bersama.
Sebagai contoh, kerajaan melalui Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) telah menjalankan pelbagai aktiviti untuk mengeratkan perpaduan dalam kalangan rakyat. Antaranya ialah penganjuran rumah terbuka bagi setiap perayaan di Malaysia. Sebagai contoh kerajaan telah menganjurkan majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2009 yang bertemakan “Perpaduan Melalui Perayaan”. Kerajaan cuba untuk mengukuhkan perpaduan melalui seni budaya warisan sesebuah masyarakat dengan penyertaan dan penglibatan semua kaum. Melalui penganjuran rumah terbuka ini, kita dapat melihat semua penduduk tanpa mengira bangsa dan agama keluar bersama-sama meraikannya dengan suasana gembira. Apabila perayaan-perayaan utama di Malaysia seperti Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Krismas dan lain-lain lagi disambut secara beramai-ramai, maka sudah pasti akan mencerminkan semangat kekitaan dan perpaduan serta keharmonian sesebuah masyarakat. Pendekatan ini diambil sebagai langkah awal untuk mengubah mentaliti  masyarakat tentang konsep perkongsian budaya menjadi satu identiti.
         Tambahan kagi, KPKK juga boleh menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam melaksanakan beberapa program atau acara yang boleh mengeratkan hubungan mahasiswa dan mahasiswi universiti yang berbilang kaum. Tambahan pula, penuntut universiti terdiri daripada pelbagai latar belakang yang berbeza dari segi agama, budaya, dan fahaman. Contohnya pada tahun 2007, Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan program Indian Cultural Nite (ICN) yang bertujuan untuk memperkenalkan budaya masyarakat India kepada umum. Sebagai pewaris kepimpinan negara, semua golongan berpendidikan perlu menguasai ilmu pengetahuan di samping mengetahui adat budaya masyarakat pelbagai kaum di negara ini agar mereka mampu memimpin diri sendiri, agama, bangsa dan negara suatu hari kelak.
         Dalam melaksanakan komitmennya terhadap rakyat, kerajaan telah mengutarakan tema ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ sebagai sebahagian daripada konsep 1Malaysia. Tema ini membawa maksud bahawa di samping menekankan peri pentingnya perpaduan rakyat Malaysia, kerajaan juga akan memberikan keutamaan kepada isu-isu yang dianggap penting oleh rakyat. Kerajaan juga menekankan prestasi dan pencapaian oleh semua kakitangannya apabila berurusan dengan rakyat. Dalam kata lain, kerajaan amat memahami betapa pentingnya kecekapan dan kualiti perkhidmatan awam dalam meningkatkan mutu hidup rakyat, justeru itu pendekatan mesra-rakyat akan diberi keutamaan oleh semua agensi-agensi kerajaan.
Sebagai intihanya, jelaslah gagasan 1Malaysia merupakan wadah pembentukan negara bangsa demi membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum dengan menganggap bahawa semua adalah berada dalam satu bangsa Malaysia yang segalanya perlu dinikmati bersama. Bahkan, nilai-nilai murni dan semangat 1Malaysia diharap dapat menyatupadukan rakyat Malaysia dengan segala tindakan dan usaha ke arah satu matlamat iaitu untuk kepentingan negara bersama. Semangat yang diperlukan sudah pasti merupakan perasaan saling hormat menghormati dan sikap saling mempercayai antara kaum.
        Tambahan lagi, Malaysia adalah di antara negara yang mengutamakan kebajikan rakyat marhaen tanpa adanya masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan dalam mengecapi kenikmatan pembangunan dan pembelaan menyeluruh daripada pihak kerajaan dalam segenap aspek. Malah, melalui konsep 1Malaysia diharap akan dapat mengelakkan wujudnya perasaan tidak puas hati terhadap mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah dianggap sebagai bangsa Malaysia.
Saya berharap agar rakyat Malaysia sentiasa bersama-sama menyokong kepimpinan dan kebolehan kerajaan dalam usaha kerajaan memurnikan dan menjayakan gagasan 1Malaysia dan seterusnya mewujudkan negara bangsa yang cemerlang, gemilang, dan terbilang dengan mendasari prinsip-prinsip utama 1Malaysia khususnya berteraskan prinsip kebersamaan dan semangat kekitaan. Hal ini kerana, pembinaan negara bangsa bagi sesebuah negara yang berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan daripada pelbagai negara.
“Manusia yang lemah sekalipun jika bersatu padu akan dapat menggoncang dunia. Demikianlah kesannya perpaduan.”
(Tun Dr. Mahathir Mohammad di Perhimpunan Agung Umno 2002, Kuala Lumpur)


1995 Patah Perkataan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...