Tak tumbuh, tak melata, tak sungguh,
orang tak kata. Begitulah yang boleh diibaratkan akan keindahan dan
kesejahteraan bandar raya Kota Kinabalu (dahulunya dikenali sebagai Jesselton)
yang terletak di Malaysia Timur ini. Sebagaimana yang kita ketahui, bandar yang
terletak di pantai barat laut Borneo menghadap Laut Cina Selatan ini adalah
merupakan pusat pemerintahan utama bagi Pantai Barat negeri Sabah yang
diberitakan bandar raya ini juga turut mempunyai kepadatan penduduk yang agak
tinggi jika hendak dibandingkan dengan bandar-bandar yang lain. Dianggarkan
sehingga tahun 2010 sahaja, populasi metro penduduk bagi kawasan bandar raya
yang diwakili oleh empat orang Ahli Parlimen (MP) di kawasan parlimen bandar
raya ini yakni parlimen Sepanggar, Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang telah
mencecah 628,725 orang penduduk merangkumi kawasan Kota Kinabalu seramai
452,058 orang selain kawasan daerah Penampang seramai hampir 176,667 orang amnya.
Selain itu, memang tidak dinafikan
lagi, keindahan bandar ini turut menjadi antara faktor pelengkap kepada
peningkatan industri pelancongan dalam dan luar negara yang datang berkunjung
ke negeri ini. Tidak cukup dengan itu, bandar ini juga adalah merupakan pintu
masuk yang paling popular dalam kalangan pelancong yang datang melawat negeri
Sabah dan juga Borneo ini. Tambahan lagi, Kota Kinabalu juga merupakan salah
satu peneraju pusat perindustrian komersial utama di Malaysia Timur itu yang
ternyata telah membuka seribu satu peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Malahan, kedua-dua faktor inilah yang menjadikan bandar raya ini sebagai sebuah
bandar yang paling berkembang dalam negara Malaysia menjelang tahun 2020.
Apa yang pasti, keindahan dan kesejahteraan
bandar raya adalah merupakan antara faktor utama kepada lahirnya sebuah bandar
raya bersih yang boleh mendatangkan banyak manfaat kepada kerajaan negeri
mahupun kerajaan pusat termasuklah juga dengan bandar raya Kota Kinabalu ini
amnya. Malah, kebersihan dan kelestarian bandar raya Kota Kinabalu merupakan
salah satu penyelesaian utama kepada wujudnya bandar raya bersih dan sejahtera
yang boleh mendatangkan banyak manfaat mencakupi segenap aspek kebaikan.
Sesungguhnya, dalam usaha untuk mengekalkan kebersihan dan keindahan bandar
raya Kota Kinabalu ini, perlu adanya beberapa langkah yang efisien ke arah
melahirkan sebuah bandar raya yang bersih secara total sebagaimana bandar-bandar
besar dunia seperti di Wellington, Minneapolis, Oslo yang masing-masing
terletak di New Zealand, Minn dan Norway itu.
Dengan berlatarbelakangkan peribahasa
Melayu menyebut, “tiada ubat yang tiada penawarnya”, maka segala langkah yang
konkrit, sistematik dan pragmatik haruslah dilaksanakan secara bersama dan
berperingkat-peringkat menerusi integrasi kukuh Dewan Bandar Raya Kota Kinabalu
(DBKK) dan masyarakat setempat dalam menjadikan bandar raya Kota Kinabalu ini
sebagai sebuah bandar raya peranginan semula jadi yang paling bersih menjelang
tahun 2020 sebagaimana yang telah diharap-harapkan demi kepentingan semua pihak
kelak kerana sesungguhnya kerja yang baik segerakan, jangan ditimpa kerja
buruk.
Realitinya, memang tidak dapat
dinafikan lagi bahawa isu kebersihan tandas awam sering menghantui keindahan
dan kebersihan bandar dalam negara kita ini. Hal ini demikian kerana, tandas
sering dikaitkan dengan suatu tempat yang mempunyai pelbagai versi kotoran yang
menjadi hasil kepada sisa kumuhan manusia setiap hari. Persoalannya, alangkah buruknya
pandangan masyarakat luar terhadap kebersihan sesebuah bandar tersebut jika
sekiranya bandar raya yang tersergam indah dengan bangunan-bangunan pencakar
langit itu telah dicemari dengan kebersihan tandas awam yang kotor, jijik dan memualkan
itu? Pastinya, dalam keadaan sebegini, pelancong akan menyisihkan tandas
yang kotor seperti ini dengan mencari alternatif lain untuk tidak menggunakan
tandas tersebut selain mereka akan melihatkan senario ini tidak ubah seperti
kinantan hilang taji dek kekotoran yang amat menggelikan itu.
Malah, tandas yang kotor tentunya
akan menyebabkan kehidupan seharian pengguna dihujani dengan kehadiran pelbagai
jenis variasi penyakit yang sudah pasti akan menyusahkan hidup kita semua.
Masakan tidak, petikan ayat di dalam Al-Quran surah Ar-Rum, ayat ke-41 sudah
cukup mengingatkan manusia akan peri pentingnya kita bertindak seiring dengan tindakan
demi kepentingan sejagat agar segala bentuk tindakan kita ini tidak akan mendatangkan
kecelakaan kepada semua. Allah berfirman, “Telah nampak kerosakan di darat dan
di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki supaya
manusia merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, supaya mereka
kembali (ke jalan yang benar).” Secara
analoginya, Julie Horan, seorang Doktor Falsafah Pendidikan yang berasal
daripada Amerika Syarikat turut memberikan pendapat dalam hasil penulisannya
berjudul ‘The Porcelain God: A social History of the toilet’. Beliau menjelaskan
bahawa, “Ketamadunan sesebuah bandar boleh dilihat dari keadaan tandas awamnya”. Rentetan itu, jika sekiranya
tandas yang kotor menghantui diri masyarakat, adakah tamadun masyarakat warga
kota alaf ini masih lagi berada di tahap yang cemerlang ataupun sebaliknya?
Jadi, renung-renungkanlah perkara ini sebaik-baiknya agar kebersihan bandar
kekal bersih demi generasi mendatang.
Bercakap kita tentang kebersihan
tandas di bandar raya Kota Kinabalu ini, isu kebersihan tandas merupakan polemik
yang hangat diperkatakan oleh masyarakat kontemporari terutamanya penduduk
warga kota. Masakan tidak, tandas-tandas awam di bandar raya Kota Kinabalu
masih lagi berada dalam keadaan yang tidak memuaskan terutamanya daripada segi
kebersihan. Malah, perkara ini turut diakui sendiri oleh Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Abidin
Madingkir. Beliau mengakui bahawa kebanyakan tandas awam dalam bandar
ini masih lagi dalam keadaan yang kotor dek kedangkalan minda masyarakat yang
tidak menggunakan tandas dengan sebaik-baiknya. Bahkan, sikap masyarakat yang
boleh dikatakan bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing ini pastinya
merugikan banyak pihak khususnya hal-hal yang berkaitan dengan kesejahteraan
penduduk warga kota.
Dulu tidak
kisah tapi kini kena jaga,
Dulu kita simbah tapi kini senang sahaja,
Masuk bilik tandas walau cepat walau gegas,
Lepas guna, ‘flush’ bagi bersih baru kelas,
Walau Tandas awam perlu jaga kebersihan,
Bagi kesedaran secara berterus-terusan,
Supaya berkualiti dalam hidup seharian,
Tandas bersih, tandas selesa hidup berwawasan,
Dulu kita simbah tapi kini senang sahaja,
Masuk bilik tandas walau cepat walau gegas,
Lepas guna, ‘flush’ bagi bersih baru kelas,
Walau Tandas awam perlu jaga kebersihan,
Bagi kesedaran secara berterus-terusan,
Supaya berkualiti dalam hidup seharian,
Tandas bersih, tandas selesa hidup berwawasan,
Oo..Tandas
berkualiti,
Oo..Hidup berkualiti,
Oo..Hidup berkualiti,
Lirik lagu santai seperti yang di atas ini
jelas menggambarkan kepada kita, tandas yang berkualiti itu sudah pasti membuatkan
hidup kita sejahtera senantiasa. Lagu yang diterbitkan oleh Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan sekitar tahun 2006 ini adalah antara yang
lainnya merupakan salah satu bentuk kempen menjaga kebersihan tandas yang
diimplementasikan di peringkat nasional pada suatu ketika dahulu amnya.
Jika ditelusuri, orang tua-tua juga ada
berpesan, “Kalau hendak bersihkan kekotoran di atas permukaan meja ianya
memerlukan air dan tualanya juga bersih”. Sehubungan dengan itu, pasti jalan
yang paling mudah dan efektif dalam menyelesaikan masalah kebersihan tandas di
sekitar bandar Kota Kinabalu ini adalah dengan pihak kerajaan melalui DBKK
perlu mengadakan dan mempergiatkan lagi kempen kesedaran penjagaan tandas awam
secara besar-besaran meliputi seluruh masyarakat khususnya warga kota. Malah,
aktiviti kempen secara agresif seperti ini wajar dilaksanakan dan merupakan
instrumen yang paling efektif bertujuan untuk menyedarkan masyarakat akan peri
pentingya kita menjaga tandas awam dengan kaedah-kaedah yang sebetulnya agar
bandar raya Kota Kinabalu tidak akan dicemari dengan kekotoran tandas awam yang
ternyata boleh menyusahkan semua pihak mutakhir ini.
Selain itu, semua maklumat yang terdapat
dalam kempen ini mestilah boleh difahami masyarakat setempat terutamanya golongan muda agar mereka cakna
akan perkara ini kerana alang-alang mandi biar basah. Hal ini penting bagi
membangkitkan gelombang kesedaran masyarakat untuk menjaga kebersihan tandas
awam di bandar raya ini dalam jiwa mereka masing-masing kerana sesungguhnya
mengikut kepada beberapa kajian yang telah dijalankan sebelum ini, golongan
inilah yang sering menggunakan tandas terutamanya di kawasan bandar yang
terdapat pasar-pasar raya besar di sekitar Kota Kinabalu ini seperti City Mall
dan sebagainya. Tambahan pula, tindakan mengadakan kempen seperti ini amatlah mudah untuk difahami dan secara tidak langsung
dapat melestarikan impak yang positif dalam meluaskan horizon pemikiran para pengguna
untuk sentiasa menjaga kebersihan tandas awam di bandar Kota Kinabalu ini.
Pada masa yang sama, penguatkuasaan terhadap
kebersihan tandas awam perlulah ditingkatkan dengan lebih jayanya lagi pada
masa yang akan datang. Tamsilnya, semua tandas awam di bandar ini mestilah
mempunyai setidak-tidaknya seorang pekerja yang akan mengawasi tahap kebersihan
tandas tersebut. Dengan itu, sekiranya ada dalam kalangan pengguna tandas yang
tidak membersihkan tandas selepas menggunakannya, maka pekerja ini boleh menegur
pengguna tandas ini dalam usaha membentuk dan memperbetulkan kembali norma
masyarakat agar sentiasa suka untuk menjaga kebersihan tandas di mana-mana
sahaja mereka berada selepas daripada ini. Pada ghalibnya, penguatkuasaan yang
ketat dan tegas ini memang akan menerima kritikan masyarakat pada peringkat
awalnya, tetapi lama-kelamaan akan menjadi satu kebiasaan pula kerana
masyarakat mula sedar akan kepentingan untuk menjaga kebersihan tandas-tandas
awam ini kerana alah bisa tegal biasa. Hasilnya, tandas awam boleh menjadi
bersih jika sekiranya pihak penguatkuasaan bertindak tegas dengan mempraktikkan
peraturan yang lebih tegas terhadap pengguna yang tidak bertanggungjawab
seperti ini.
Jelaslah, kita hendaklah sentiasa menjaga
kebersihan bandar raya ini dengan mengambil kira beberapa langkah pencegahan
yang sesuai mengikut kepada masa dan ketika. Hal ini kerana, kebersihan tandas
awam di bandar Kota Kinabalu ini sudah semestinya menjadi tanggungjawab bersama
warga kota dalam menjamin kepada kebersihan bandar secara menyeluruh pada waktu
yang akan datang. Malahan, demi merealisasikan impian dan harapan kudsi DBKK
yang ingin melihatkan bandar raya ini bersih secara total menjelang tahun 2020,
maka marilah kita menggembleng tenaga dalam melakukan perkara-perkara yang
boleh mendatangkan faedah kepada kita semua terutamanya yang bertujuan untuk
mensejahterakan bandar raya ini dengan berteraskan kepada erti dan konsep
kebersihan bandar yang sebenarnya mengikut kaedah masing-masing bak aforisme,
bersekutu bertambah mutu. Ingatlah, cegah sebelum parah.
Seterusnya, ayuh kita lebarkan sayap
pemikiran kita terhadap kebanjiran iklan haram yang sudah semestinya menjadi
isu paling dominan yang boleh mempengaruhi tahap kebersihan sesebuah bandar
raya zaman kini. Masakan tidak, di bandar raya Kota Kinabalu ini juga, masalah
ini tetap berlaku dalam kalangan penduduk kota yang menyaksikan iklan haram ini
banyak ditampal atau digantung di sekitar bandar raya ini seperti di perhentian
bas, pondok telefon, papan tanda jalan raya, pada dinding-dinding bangunan dan
sebagainya yang sudah pasti boleh mencemarkan pemandangan dan kebersihan bandar
dan sekali gus menyakitkan mata sesiapa sahaja yang memandangnya. Iklan-iklan
haram seperti pinjaman wang berlesen, perkhidmatan mengurut batin, perkhidmatan
membaiki rumah dan iklan jawatan kosong seperti ini dilihat antara faktor
penyebab kepada kemerosotan tahap kebersihan di bandar raya ini pada tiap-tiap
tahun dan pada masa yang sama perkara ini akan melahirkan stigma negatif para
pengunjung ataupun pelawat yang datang ke negeri Sabah, negeri di Bawah Bayu
ini.
Tambahan lagi, kebanjiran iklan-iklan
haram seperti ini akan mengakibatkan pengurangan jumlah kedatangan pelancong
yang datang melawat ke bandar raya Kota Kinabalu ini sementalahan akan
merugikan semua pihak yang terbabit khususnya kerajaan negeri Sabah itu
sendiri. Kita seharusnya sedar bahawa bandar raya yang cantik dan indah akan
mewujudkan sebuah bandar yang bersih secara menyeluruh dan sekaligus akan
mendatangkan seribu satu manfaat kepada kita semua suatu hari nanti. Walaupun
pada hakikatnya, usaha-usaha ke arah menghapuskan gejala kebanjiran iklan-iklan
haram seperti ini akan memakan masa yang agak panjang untuk dibasmi secara
menyeluruh bermula daripada peringkat akar umbi lagi bak peribahasa hujan tidak
sekali jatuh, simpai tidak sekali erat, namun hal ini tidak boleh dijadikan
alasan untuk kita tidak boleh mempraktikkan amalan-amalan pencegahan yang telah
diutarakan oleh pihak kerajaan dalam membasmi perkara ini seluruhnya agar
kebersihan bandar ini akan terus terjaga tanpa dicemari oleh lambakan iklan
haram dan gejala vandalisme yang berlaku marcapada khususnya dalam bandar raya
Kota Kinabalu ini. Renung-renungkanlah nasihat berguna yang telah dikiaskan
oleh seorang perawi hadis, Wahab bin Munabbih yang meriwayatkan bahawa,
akhlak-akhlak buruk seperti ini tidak ubah seperti tembikar yang pecah. Tidak
dapat dilekatkan lagi dan tidak dapat dikembalikan menjadi tanah.
Ibarat buruk dibuang dengan rundingan, baik
ditarik dengan muafakat, maka, beberapa langkah yang proaktif perlulah
dilaksanakan secara bijaksana agar perkara ini tidak terus berlanjutan hingga
mengundang kepada masalah yang lebih besar lagi waktu yang akan datang.
Antaranya adalah, pihak DBKK boleh mengambil inisiatif untuk mengkodifikasikan
undang-undang yang sedia ada dengan membatalkan kesemua nombor telefon yang ada
pada iklan-iklan haram ini dengan harapan agar segala operasi perkhidmatan
haram mereka ini dibatalkan dengan seberapa segera kerana sesungguhnya perkara
ini telahpun menyalahi Undang-Undang Kecil Iklan (Advertisement by-Laws 1983) dan Undang-Undang Kecil Vandalisme 1992.
Oleh hal yang demikian, bagi mencapai objektif itu juga, pihak DBKK boleh
mengadakan kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) untuk
mengenal pasti nama dan alamat pemilik nombor telefon sebelum tindakan
selanjutnya diambil secepat mungkin seperti memberikan kompaun dan mengenakan tindakan
mahkamah yang sewajarnya agar kebanjiran iklan-iklan haram seperti ini tidak
terus merebak lagi di tempat-tempat yang lain besok lusa.
Pihak kerajaan negeri Sabah melalui
kerjasama DBKK juga boleh menggabungjalinkan beberapa kaedah pencegahan yang
dituntut bagi mengawal kebanjiran iklan haram di bandar raya ini dengan
memperbanyakkan lagi kewujudan papan notis berbentuk amaran di kawasan-kawasan
‘panas’ yang bertujuan untuk mencegah perkara ini agar tidak terus menular lagi
kemudian hari. Malahan, integrasi dengan pihak polis, jawatankuasa penduduk
warga kota dan kontraktor pembersihan perlulah dipertingkatkan lagi agar
wujudnya langkah-langkah yang dinamik dalam usaha untuk melahirkan sebuah
bandar raya yang bersih secara holistik pada masa yang akan datang dengan
mendasari beberapa konsep kebersihan yang dianjurkan oleh agama Islam
bersesuaian dengan firman Allah yang berbunyi, kebersihan itu sebahagian
daripada iman. Selain itu juga, pihak kerajaan seharusnya mewujudkan skuad khas
yang dikhususkan untuk memantau kegiatan penampalan iklan-iklan haram seperti
ini daripada terus menular lagi dalam bandar raya Kota Kinabalu yang disayangi
ini.
Bukan itu sahaja, skuad khas yang
diwujudkan ini pula boleh bergabung dan menjalinkan kerjasama yang erat dengan
jawatankuasa penduduk warga kota dan badan-badan bukan kerajaan untuk mengawasi
kawasan-kawasan tertentu seperti ini agar gejala penampalan iklan-iklan yang
tidak mendapat lesen daripada pihak kerajaan ini dapat dicegah dengan
sepenuhnya dalam usaha melestarikan kebersihan bandar raya Kota Kinabalu yang
sebersih-bersihnya menjelang tahun 2020 kelak. Jadi, benarlah kebersihan akan
membawa kepada keindahan yang menyeluruh dan pada masa yang sama, keindahan
adalah merupakan kesatuan dan hubungan-hubungan bentuk yang terdapat di antara
pencerapan-pencerapan indrawi manusia (Herbet Read).
Maka, jelaslah bahawa isu kebanjiran
iklan haram yang berlaku dalam bandar raya ini sebenarnya bukanlah isu yang
asing lagi dalam kalangan penduduk warga kota waktu ini. Sehubungan dengan itu,
segala bentuk usaha dan kerjasama serta saranan yang sedang dan akan
dilaksanakan oleh pihak yang berwajib khususnya melalui pihak DBKK sebagai
sebuah badan kerajaan yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga kebersihan
dan keindahan serta kesejahteraan bandar raya Kota Kinabalu ini haruslah
diterima baik oleh setiap masyarakat warga kota agar perkara ini akan
mendatangkan kesan positif yang amat mendalam kepada diri masyarakat
konvensional sejagat.
Dalam pada itu juga, masalah
pembuangan sampah yang tidak terkawal terutamanya yang dibuang di merata-rata
tempat turut merupakan antara penyumbang utama kepada masalah kebersihan bukan
sahaja di bandar raya Kota Kinabalu ini sahaja, bahkan turut meliputi seluruh
bumi Sabah ini. Umum mengetahui, sampah yang dibuang di merata-rata tempat ini
pastinya akan mencacatkan lagi pemandangan khususnya bagi kawasan di sekitar
bandar raya ini yang sekali gus akan merencatkan lagi usaha-usaha pihak kerajaan negeri dalam
mempromosikan negeri Sabah sebagai kawasan ekopelancongan terbaik dunia
menjelang tahun 2020. Malah, apa guna jika sekiranya kerajaan negeri Sabah
memperuntukkan beribu-ribu ringgit wang rakyat pada setiap tahun hanya untuk
mempromosikan negeri Sabah sebagai kawasan ekopelancongan terbaik di seantero dunia,
namun pada hakikatnya, masyarakat kota tidak pernah langsung untuk mengendahkan
akan perkara ini dengan masih lagi bersifat jumud seperti katak di bawah
tempurung sahaja tanpa sebarang apa-apa bentuk perubahan yang ingin dilakukannya?
Pastinya perkara ini perlulah dielakkan sama sekali agar tidak lagi berulang
pada masa hadapan demi kepentingan generasi mendatang.
Bagi mengatasi kemelut
ini, sinergi semua pihak amatlah diperlukan terutamanya seperti semua pihak
hendaklah sentiasa memberikan komitmen yang sepenuhnya dalam usaha untuk
menjayakan kempen Anti Kutu Sampah yang telah dijalankan secara besar-besaran
oleh pihak DBKK sebelum ini dalam usaha kita untuk mempertingkatkan lagi tahap
kebersihan bandar raya ini ke arah yang lebih baik lagi belakang hari yang
seterusnya kempen sebegini boleh dijadikan uswah terbaik kepada pihak berkuasa
tempatan (PBT) di seluruh negeri yang lain agar bersama-sama dalam berganding
bahu untuk meningkatkan lagi tahap kebersihan di kawasan perbandaran negeri
masing-masing demi kemaslahatan generasi mendatang.
Selain itu juga, kita
hendaklah sentiasa mengambil berat akan masalah ini dengan sentiasa bertindak
untuk melaporkan kepada pihak berkuasa khususnya kepada pihak DBKK jika
sekiranya ada ternampak dalam kalangan masyarakat kota masa ini yang sering
membuang sampah di merata-rata tempat untuk diambil tindakan yang sewajarnya
dalam usaha kita untuk mencegah mereka-mereka ini yang sentiasa degil dan
ingkar dengan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa
agar golongan delinkuen seperti ini tidak lagi sewenang-wenangnya membuang
sampah di merata-rata tempat khususnya di sekitar bandar raya Kota Kinabalu ini
kemudian hari pula. Hal ini turut diperkukuhkan lagi dengan kenyataan ringkas
yang dinyatakan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, YAB Datuk
Masidi Manjun yang telah mangli menegaskan akan perkara ini dan beliau sentiasa
mengharapkan masyarakat setempat sentiasa peka akan masalah ini agar perkara
ini tidak merebak ke tahap yang lebih kronik lagi yang kesudahannya boleh
mengakibatkan kebersihan bandar raya Kota Kinabalu tercemar teruk dek
kedangkalan fikiran masyarakat kontemporari yang tidak cakna akan perkara ini
sementalahan akan merugikan semua pihak jika sekiranya masalah ini terus
dipinggirkan oleh masyarakat setempat amnya.
Malah, kita dituntut agar tidak
sesekali bersekongkol dengan gejala membuang sampah di merata-rata tempat dalam
bandar raya ini kerana sesungguhnya kejayaan sebenar sesuatu perubahan yang
ingin dilakukan oleh seseorang itu sebenarnya bermula dalam diri kita
masing-masing jua. Hayatilah konsep di sebalik kempen ‘Jumpa Sampah Kutip’ yang
telah dianjurkan oleh pihak kerajaan negeri Kelantan Darul Naim itu dengan
kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) yang secara jelasnya masyarakat
telah diterapkan dengan amalan-amalan murni yang boleh dipraktikkan dalam diri
masyarakat masing-masing khususnya bagi para penduduk di bandar raya Kota
Kinabalu ini agar aspirasi murni pihak kerajaan negeri Sabah yang ingin
mewujudkan bandar raya yang bersih secara menyeluruh menjelang tahun 2020 akan
menjadi kenyataan jua akhirnya kelak. Ingatlah, kita hidup untuk saat ini, kita bermimpi untuk masa depan, dan
kita belajar untuk kebenaran abadi. (Chiang Kai-shek)
Jelaslah, sinergi daripada semua pihak perlulah dipupuk umpama sakit
sama mengaduh dan luka sama menyiuk bagi membentuk anjakan paradigma yang
menjamin kepada kelangsungan hidup bermasyarakat yang bebas daripada masalah
pembuangan sampah sarap yang tidak terkawal di bumi Sabah ini khususnya dalam
bandar raya Kota Kinabalu itu sendiri. Malah, segala bentuk kempen dan nasihat
serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa haruslah
diterima baik dalam kalangan masyarakat agar bandar raya ini bersih seluruhnya
sebagaimana yang kita harap-harapkan selama ini.
Sebagai pengitlakan, masyarakat haruslah sedar akan peri
pentingnya untuk kita sentiasa menjaga kebersihan bandar raya Kota Kinabalu ini
dengan mendasari beberapa langkah yang proaktif dan pragmatik untuk
dilaksanakan di semua peringkat khususnya dalam kalangan warga kota bermula
seawal peringkat akar umbi lagi agar bandar raya ini akan terus kekal bersih
dan indah sentiasa demi kesejahteraan bersama. Berusahalah kita menjauhi pemikiran
sempit dengan sentiasa melazimi sifat keterbukaan untuk melakukan transformasi
diri ke arah yang lebih baik lagi agar kita dapat bersama-sama dalam merealisasikan
impian dan harapan kerajaan yang sentiasa menginginkan bandar raya Kota
Kinabalu berada dalam keadaan bersih senantiasa demi kesejahteraan bersama persis
peribahasa Melayu, tak ada
gunung yang tinggi yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang dalam yang tak
dapat dituruni. Fikir-fikirkanlah.
2999 Patah Perkataan
Tweet
No comments:
Post a Comment