Sudah terang lagi bersuluh, semakin
hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan bermulanya
titik permulaan masyarakat dunia terutamanya negara Malaysia dalam mendepani
pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat masyarakat kontemporari
hari demi hari.
Mutakhir
ini, masyarakat dunia marcapada sedang dicanangkan dengan dibelenggu kekangan
kenaikan harga barang akibat daripada persekitaran ekonomi dunia yang semakin
tidak menentu selain disebabkan impak Perubahan Iklim Global (GCC) ke atas
industri pertanian. Di samping itu, permintaan barangan di peringkat global semakin
meningkat tinggi terutamanya bagi sektor agromakanan. Ironinya, fenomena ini telah
menyaksikan dunia-dunia pengeluar kini semakin rancak menghasilkan
produk-produk bagi keluaran negara mereka masing-masing termasuklah juga di
negara kita kerana menyedari akan peluang dan ruang untuk meningkatkan dan
meneguhkan lagi ekonomi negara masing-masing.
Menyedari
hakikat ini, kerajaan Malaysia turut memberikan fokus yang sepenuhnya bagi
mengalakkan pengeluaran hasil dan produk agromakanan bertujuan untuk dieksport ke seantero dunia. Umum mengetahui, produk
agromakanan hasil keluaran bumi Malaysia terbukti dijamin berkualiti tinggi,
berkhasiat dan selamat untuk dimakan. Hal ini telah menaikkan reputasi negara
ke puncak jagat selain dapat memastikan industri agromakanan negara kini sudah mampu
untuk bersaing dalam suasana perdagangan produk-produk agromakanan di seluruh dunia
yang mampu menjana seribu satu manfaat kepada pembangunan ekonomi negara
Malaysia bagi tempoh jangka masa yang panjang.
Buktinya,
pada tahun 2006 sahaja, negara
kita mencatatkan nilai eksport bagi sektor pengeluaran produk-produk berasaskan
agromakanan mencecah sehingga lebih RM76.50 billion yang menyumbang sebanyak 12.91
peratus kepada jumlah eksport Malaysia bagi tahun berkenaan. Tambahan lagi, sektor
ini turut menyumbang sebanyak lima peratus kepada hasil Keluaran Dalam Negara
Kasar (KDNK) negara pada setiap tahun. Selain itu juga, pada tahun 2009, Pendapatan
Negara Kasar (PNK) negara turut mencatatkan pengeluaran domestik agromakanan
dengan nilai anggaran sebanyak RM16.6 bilion yang merangkumi 80 peratus lebih
daripada jumlah keseluruhan sumbangan sektor ini kepada pembangunan ekonomi
negara. Hal ini secara tidak langsung dapat membuktikan bahawa sektor ini mampu
menjulang nama Malaysia ke puncak jagat bagi pengeluaran sektor agromakanan
menjelang tahun 2020.
Bertepatan
dengan pengertian sebenar di sebalik slogan, “Pertanian adalah perniagaan”,
maka segala bentuk kepentingan sektor agromakanan dalam pembangunan negara akan
saya huraikan secara terperinci berteraskan kepada pendapat yang menyatakan
bahawa, pembangunan negara mestilah melibatkan proses menyusun dan
mengorientasikan semula sistem ekonomi dan sosial (Todaro, 1977).
Sejak akhir-akhir ini, sektor agromakanan
merupakan antara sektor terpenting yang sering mendapat tumpuan masyarakat
dunia termasuklah dalam negara kita. Sektor ini turut berfungsi sebagai
pembekal makanan dan sumber bahan mentah yang utama kepada penduduk dunia.
Kebolehan dan kejayaan sesebuah negara dalam memajukan sektor ini diukur
melalui keupayaan negara tersebut bagi membekalkan keperluan makanan yang
mencukupi kepada rakyat jelatanya. Oleh hal yang demikian, negara-negara maju
seperti Amerika Syarikat, Australia dan juga Belanda tidak pernah meminggirkan
pembangunan sektor ini di negara mereka masing-masing, lebih-lebih dimajukan
sebagai salah satu entiti perniagaan yang berdaya saing dan menguntungkan
kerajaan secara total.
Di Malaysia, sektor ini turut dianggap
sebagai sektor yang boleh memperkasakan lagi pendapatan negara yang sekali gus
menyumbang kepada kelestarian pembangunan negara yang seimbang mencakupi
segenap aspek kepentingan. Sektor agromakanan sudah tidak asing lagi dalam
negara kita. Penambahan pengeskportan produk agromakanan melalui KDNK seperti
kelapa sawit, lada hitam dan sebagainya secara tidak langsung dapat
mengurangkan aliran wang ke luar negara dalam usaha menjimatkan perbelanjaan
kerajaan demi kepentingan semua pihak. Hal ini akan dapat menimbangi imbangan
pembayaran negara melalui hasil eksport yang semakin bertambah menerusi sektor
agromakanan.
Jika ditelusuri, kerajaan Malaysia sentiasa
berusaha memvariasikan kerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha untuk memperkukuhkan
lagi transformasi sektor agromakanan ke arah memartabatkan lagi sektor ini ke peringkat
yang lebih tinggi lagi setanding dengan sektor pembuatan dan sektor pemprosesan
yang lain. Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa, sektor
pertanian(agromakanan) telah banyak membantu pembangunan ekonomi negara yang
mampan sejak bermula dari awal tahun 1920-an hingga 1980-an lagi. Bahkan,
Malaysia (dahulunya dikenali Tanah Melaku) juga pernah mencatatkan peningkatan
KDNK yang amat memberangsangkan sehingga mencecah 46 peratus selepas Tanah
Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Dalam kita menongkah arus globalisasi yang
pantas berkembang ini, dasar-dasar yang mewarnai transformasi sektor ini
semakin dipandang serius oleh semua pihak. Masakan tidak, bermula daripada
Dasar Pertanian Negara Pertama (1984-1991), sektor ini kini disulami dengan
elemen-elemen inovasi dalam kaedah penyampaian itu sendiri. Pembaharuan
dasar-dasar ini turut mendatangkan kebaikan kepada sesetengah kumpulan sasar
terutamanya masyarakat setempat demi pembangunan sosial negara Malaysia
menjelang Wawasan 2020.
Pada 28 September 2011, negara Malaysia telah
mencipta dimensi baru dalam sektor pertaniaan negara kita. Hal ini kerana, Kabinet
Malaysia telah meluluskan Dasar Agromakanan Negara dalam tempoh jangka masa
sepuluh tahun bagi menggantikan Dasar Pertanian Negara yang berperanan untuk meningkatkan
lagi pengeluaran sektor agromakanan negara untuk kepentingan pembangunan negara
meliputi pelbagai sub-sektor agromakanan yang terlibat seperti getah, kelapa
sawit, makanan dan tanaman kontan seperti padi, penternakan, dan produk-produk
agromakanan yang khusus seperti tanaman-tanaman herba dan juga sarang burung
walit yang sedia dimakan (EBN). Perkara ini sekali gus akan dapat memberikan
nafas baru sektor ini untuk terus berkembang seiring peredaran zaman.
Justeru itu, kerajaan melalui kerjasama
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sentiasa memikirkan
kaedah dan langkah yang ideal dan dinamik bagi memperkukuhkan lagi perlaksanaan
dasar ini untuk meningkatkan lagi industri dan sektor agromakanan supaya mampu
menembusi pasaran antarabangsa yang bernilai tinggi demi kepentingan dan
kesejahteraan semua pihak. Serentak dengan itu juga, kerajaan turut menyediakan
peruntukan hampir RM6 bilion bagi memajukan lagi industri ini di seluruh negara
menerusi pelbagai sub-sektor agromakanan. Penambahan RM2 bilion berbanding
peruntukan RM4 bilion yang disediakan kerajaan bagi tahun-tahun sebelumnya
jelas membuktikan bahawa kerajaan begitu komited bagi menyediakan asas yang
cukup untuk pembangunan negara yang mampan terutamanya menerusi industri
agromakanan.
Di
sinilah, kita dapat melihat bagaimana dasar transformasi kerajaan ke atas
sektor agromakanan memainkan peranan penting bagi memartabatkan dan merangsangkan
lagi pembangunan ekonomi negara selain bertindak sebagai ‘enjin ketiga’
pertumbuhan ekonomi negara di samping menjadi unsur pelengkap kepada sumbangan
sektor perkhidmatan dan pembuatan negara yang lain. Tambahan lagi, isu keselamatan bekalan makanan dan
meningkatnya kos mengimport produk makanan pada setiap tahun telah mendorong
kerajaan untuk memberi penekanan yang sepenuhnya terhadap pembangunan industri
agromakanan yang ternyata akan dapat membantu negara dalam menjamin
kelangsungan pengeluaran sumber makanan negara yang selamat tanpa perlu
bergantung sepenuhnya kepada produk-produk import daripada negara-negara
pengeluar yang lain.
“Tiada
manusia yang berjaya dalam semua yang dilakukannya dan kewujudan kita ini
sebenarnya mesti menempuh kegagalan. Yang penting ialah kita tidak menjadi
lemah semasa kegagalan itu terjadi dan kekalkan usaha hingga akhir hayat”, (Joseph Conrad).
Kata-kata pujangga yang di atas menjelaskan
kepada kita bahawa setiap pekerjaan mestilah diselangi dengan ketekunan untuk
mengatasi ketakutan dalam menghadapi kegagalan yang mendatang. Hal inilah yang terjadi
pada kisah kejayaan Encik Mazlan bin Yusuf, seorang anak jati Negeri Terengganu
yang telah lama berkecimpung sebagai seorang pengusaha ternakan air tawar dalam
sangkar yang berjaya bagi peringkat negeri Terengganu. Beliau yang memulakan
projek penternakan ikan air tawar seawal tahun 1995 itu kini telah berjaya
menjadi seorang penternak yang mampu mengubah kehidupan keluarga beliau untuk
jangka masa yang panjang. Dengan berkat kegigihan dan usaha berterusan beliau,
kini beliau berjaya mendapat keuntungan hasil pengeluran ikan air tawar
sebanyak RM30, 000 sebulan.
Hasil titik peluhnya kini telah membuahkan
hasil yang sangat lumayan dengan keluaran kasar bulanan ternakan ikan air tawar
jenis Talapia Merah, Patin Hitam, Baung dan Tapah ini telah mencecah sebanyak
tujuh tan metrik untuk dipasarkan ke serata tempat termasuklah di Kuala
Terengganu, Ipoh dan Kuala Lumpur. Sehingga kini, beliau telah berjaya
menambahkan bilangan petak sangkar ikan sebanyak 71 petak sangkar berbanding 50
petak sangkar sebelumnya. Benarlah kata orang tua-tua, usaha itu tangga
kejayaan.
Seperti yang kita sedia ketahui, industri
akuapultur juga merupakan sub-sektor kepada industri agromakanan yang merupakan
penyumbang kepada kelestarian pembangunan negara yang mantap. Sebagai
analoginya, pada tahun 2009 sahaja, industri akuapultur mencatatkan pengeluaran
sumber protein bagi KDNK negara sebanyak 478, 245 tan metrik yang bernilai lebih
RM2.4 bilion.
Fakta nombor yang konklusif ini sudah cukup
untuk membuktikan sektor agromakanan yakni industri akuapultur ini mampu
menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang mampan selain dapat
menaiktarafkan sosio ekonomi rakyat marhaen dalam menyahut visi dan misi utama
Dasar Agromakanan Negara itu diwujudkan. Menjelang tahun 2015 pula, sasaran
utama kerajaan melalui kementerian yang terbabit bagi pengeluaran akuapultur
negara adalah sebanyak 727, 300 tan metrik dengan nilai tidak kurang daripada
RM7 bilion.
Kes-kes yang dipaparkan di atas adalah
merupakan satu daripada ribuan kes yang menjadi bukti kukuh bahawa sektor
agromakanan mampu meningkatkan lagi pendapatan ekonomi negara seterusnya
menjamin kepada pembangunan negara yang teguh dan utuh sepanjang zaman. Pada realitinya, sektor agromakanan berupaya menjadi penjana ekonomi sekali
gus menampung keperluan pekerjaan bagi masyarakat setempat dengan
pembangunan-pembangunan negara yang dirancang dalam Bidang Ekonomi Utama
Nasional (NKEA) selari dengan matlamat akhir Program Transformasi Ekonomi
Negara demi pemantapan sumbangan sektor agromakanan dalam memacu pembangunan
negara selain sebagai wadah untuk menampung keperluan pekerjaan penduduk
setempat.
"Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air
hujan itu tanam-tanaman; zaitun, kurma, anggur dan segala macam buah-buahan.
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda (kekuasaan Allah bagi
kaum yang memikirkannya)”
(Al-Quran: Surah An-Nahl, ayat ke-11)
Jika dilihat daripada sudut agama pula,
maksud petikan surah di atas menunjukkan kepada kita bahawa negara kita
sebenarnya memiliki kekayaan hasil perut bumi yang melimpah ruah demi
kepentingan umat manusia. Pada ghalibnya, negara kita mempunyai kawasan tanah
yang luas dan menjadi faktor terpenting bagi meningkatkan lagi sumbangan sektor
ini kepada pembangunan negara dalam kita meniti arus modenisasi dewasa ini di
samping menjamin kelangsungan bekalan makanan yang seimbang.
Bagi memperkukuhkan lagi pengeluaran sektor
agromakanan dan keberkesanan Dasar Agromakanan Negara secara maksimum bagi
maslahat semua pihak, sektor agromakanan perlulah sentiasa disuntik dengan elemen-elemen
inovasi yang terkini dengan dibantu oleh sinergi kukuh yang diimplementasikan
oleh pihak-pihak berkenaan bagi tujuan untuk meningkatkan lagi nilai komersial
yang sedia ada ke tahap yang lebih memberangsangkan agar sektor ini terus kekal
bernilai dalam pasaran ekonomi global setiap masa.
Bagi
membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan adalah melalui usaha
dan komitmen bersepadu kerajaan
yang sentiasa mencari peluang dan ruang dalam memberi penekanan yang sepenuhnya
terhadap sektor agromakanan ini. Umumnya, kerajaan juga telah memperluaskan
fokus kepada pembangunan sektor ini melalui Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).
Kita dapat menyaksikan sebanyak 16 projek permulaan (EPP) yang dirancang
meliputi tiga daripadanya adalah sektor padi, beras dan selebihnya adalah
seperti tanaman-tanaman seperti herba, ternakan dan akuapultur. Semua projek
ini telah diluluskan demi memperkasakan lagi industri agromakanan agar terus
berkembang setanding dengan sektor-sektor yang lain untuk negara mencapai
status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Bagi mengiktiraf golongan yang terlibat dalam
sektor agromakanan ini, inisiatif kerajaan
melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan kerjsama
pelbagai jabatan, agensi dan organisasi yang berkaitan turut mengadakan
pemilihan secara dwitahunan bagi pemilihan Anugerah Khas Sektor Swasta bagi
pencapaian dalam sektor agromakanan. Penganjuran ini telah diadakan bersempena Pameran
Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) Antarabangsa sejak tahun
2008 lagi.
Anugerah ini disediakan sebagai galakan bagi penyertaan
peladang, peternak, nelayan, usahawan dan syarikat-syarikat yang berdaftar
perniagaannya dalam menjamin pembangunan negara Malaysia. Hal ini akan memberikan
suntikan semangat kepada sesiapa yang mengusahakan sektor agromakanan agar
terus berdaya maju seiring misi kudsi kerajaan melalui pengenalan Dasar
Agromakanan Negara (2011-2020).
Tambahan lagi, kerajaan melalui organisasi
yang telah dipertanggungjawabkan iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas
Tani (MOA) dari semasa ke semasa sentiasa berusaha mencari usahawan yang
berpotensi untuk diberi latihan yang secukupnya demi meningkatkan lagi
pengeluaran bagi industri agromakanan rentetan daripada peningkatan bagi permintaan
negara-negara termiskin di seluruh dunia. Buktinya, pada tahun 2002 sehingga
tahun 2008 sahaja, import makanan kepada negara-negara ini telah meningkat
sebanyak 11 peratus, manakala bagi negara-negara pengeluar pula, nilai import
makanan telah meningkat sebanyak 20 peratus.
Dan begitulah betapa pentingnya sektor
agromakan yang ingin dicapai oleh kerajaan secara terperinci menjelang tahun
2020. Apa yang penting, kesanggupan untuk berubah selari dengan kehendak
kerajaan haruslah dipikul oleh semua pihak agar sektor agromakanan mampu
memberikan sesuatu yang amat bernilai kepada pembangunan negara.
Intihanya, keunggulan sektor agromakanan
sudah terbukti keberkesananya dalam menjana pembangunan negara yang teratur dan
sistematik seiring dengan matlamat akhir Dasar Agromakanan Negara itu digubal.
Kekayaan biodiversiti negara Malaysia merupakan antara faktor dominan yang
menyumbang kepada kejayaan sektor agromakanan untuk menembusi pasaran global.
Kewujudan Dasar Agromakanan Negara ini
sebenarnya merupakan antara langkah yang sistematik dan pragmatik daripada
pihak kerajaan yang sentiasa terkehadapan dalam mendepani segala permasalahan
yang berlaku. Diharap dengan penggubalan dasar ini akan menjadi titik tolak
kepada lahirnya agenda pembangunan nasional dan dasar-dasar semasa kerajaan
yang lain seperti Model
Ekonomi Baru, Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan
dengan harapan untuk mewujudkan negara Malaysia yang maju daripada segenap
aspek suatu hari nanti .
Haruslah diingatkan, kerajaan sentiasa
berfikiran terbuka dalam melakukan transformasi yang membina kepada sektor
agromakanan negara. Sesungguhnya, Allah
tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah nasib mereka
sendiri (Al-Quran: Al-Arad ayat ke-11).
1992 Patah Perkataan
Tweet
No comments:
Post a Comment