Tajuk esei: Pemahaman
Anda Tentang Perubahan Iklim
“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan
tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat)
perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)”
Firman
Allah SWT dalam surah Ar-Rum ayat ke-14 sebagaimana di atas merupakan antara peringatan
tegas Allah SWT kepada umat manusia hari ini. Umum mengetahui, ayat ini
mengaitkan betapa tangan manusialah yang mengheret kepada berlakunya kebinasaan
dunia sama ada di laut mahupun di darat. Bahkan, sejak akhir-akhir ini, sikap
manusia yang berlumba-lumba membina bangunan pencakar langit telah mengakibatkan
kedudukan bumi semakin menjadi tidak seimbang lantaran ruang udara di
sekeliling kita juga semakin terganggu.
Dalam
pada itu, kita sebagai umat Islam sewajarnya meningkatkan keimanan kepada Allah
SWT dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebagai
contoh, dalam apa jua situasi yang dihadapi umat kontemporari, Allah melarang
kita bersikap berlebih-lebih sehingga melewati batas-batas yang telah
ditetapkan syariat. Bahkan, sikap sebegini merupakan antara sikap tercela yang ditegah
Allah sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW, “Janganlah
kamu bersikap berlebih-lebihan. Sesungguhnya, faktor penyebab kehancuran
umat-umat yang sebelum kamu adalah berlebih-lebih.”
Namun,
apakah yang dimaksudkan dengan sikap berlebih-lebih? Menurut Imam ar-Raaghib
al-Ashfahani, sikap berlebih-lebih adalah sikap yang melampaui batas dalam
segala bentuk perbuatan yang dilakukan seseorang manusia. Manakala, pemahaman sebenar
di sebalik takrifan ini secara izharnya boleh digambarkan melalui hubungan di antara
manusia dengan alam sekitar amnya. Masakan tidak, manusia yang melampaui batas
selalunya tamak bagai enau dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing dalam menguasai kekayaan sumber alam
sehinggakan alam semesta menjadi mangsa akibat daripada kerakusan mereka
sekalian.
Walhal,
Allah menganugerahkan alam semesta ini kepada manusia, dengan harapan untuk
menjadi khalifah di muka bumi yang dapat memanfaatkan alam ini demi kepentingan
sejagat. Sungguhpun demikian, apa yang berlaku di dunia mutakhir ini ibarat indah khabar dari rupa. Tanpa kita sedari,
penerokaan hutan, pembangunan tidak terancang dan sebagainya sedang rancak berlaku
di sekeliling kita sekarang ini sehinggakan, berlakunya perubahan iklim yang
telah mengundang pelbagai kesan negatif kepada masyarakat seantero dunia amnya.
Sementara
itu, perubahan iklim lazimnya dipengaruhi secara langsung atau tidak langsung
oleh aktiviti manusia, Hidayati (2001). Bahkan, keserakahan manusia menggondol hutan demi memenuhi tuntutan pemodenan sejak kebelakangan
ini telah banyak merubah komposisi atmosfera sehinggakan, perubahan iklim berlarutan
pada masa yang panjang.
Bukti
konklusif menunjukkan, kesan penyimpangan iklim secara umumnya boleh dilihat
melalui apa yang disebut sebagai fenomena El-Nino. Bahkan, apabila kita menyingkap
kembali sejarah El-Nino yang pernah melanda negara pada tahun 1998, nescaya berlegar-legar
di fikiran masyarakat bagaimana keadaan pada masa itu tidak ubah seperti mimpi
buruk yang terpaksa dihadapi masyarakat sejagat. Pada masa itu, catuan air, cuaca
yang panas terik, bekalan makanan asas berkurangan, tanam-tanaman kering
kontang telah melanda negara kita sehinggakan mengundang 1001 kesusahan kepada negara
dan rakyat jelata sekalian, malar-malar pula negara pada masa itu sedang sibuk
membuat persiapan penganjuran Sukan Komanwel 1998.
Bertitik
tolak daripada peristiwa itulah, maka dapat disimpulkan di sini bahawa,
perubahan iklim merupakan perubahan jangka panjang yakni dalam tempoh masa sepuluh
hingga berjuta-juta tahun lamanya. Manakala, corak perubahan ini pula biasanya bergantung
kepada faktor-faktor perubahan dalam purata keadaan iklim seperti corak suhu,
angin, musim dan sebagainya.
Dimensi
baharu perubahan iklim dan sejarahnya
Pada keseluruhannya, perubahan iklim sebenarnya bukanlah
perkara baharu dalam sejarah dunia era kini termasuklah di Malaysia.Dikatakan,
sejak pembentukan bumi 6500 tahun yang lampau, terdapat banyak siri litupan ais
benua yang disabitkan dengan faktor keadaan aras laut yang bersifat relatif
rendah dan juga pencairan ais yang dikaitkan dengan keadaan aras laut yang
bersifat relatif tinggi. Dua keadaan ini memberikan gambaran jelas kepada
masyarakat dunia bahawa, kepelbagaian variasi suhu bumi yang berlaku zaman kini
boleh ditafsirkan melalui fenomena litupan ais benua (gambaran kepada keadaan
suhu yang rendah) dan juga pencairan ais (gambaran kepada keadaan suhu yang
panas).
Selain
itu, menurut laporan rasmi Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim
(IPCC), sejak lebih 10,000 tahun yang lalu, telah berlakunya pencairan mendadak
litupan ais sehingga mengakibatkan peningkatan paras air laut (Fairbridge 1961;
Kidson & Heyworth 1973; Tjia 1977). Hal ini mencerminkan dengan jelas akan
hakikat bahawa, terdapatnya peningkatan suhu dunia sejak dahulu lagi dan
peningkatannya sejak 10,000 tahun yang lalu masih lagi berlaku hingga era ini.
Contohnya,
laporan terperinci kajian kes yang diterbitkan IPCC juga menyebut bahawa,
purata suhu global kini meningkat sehingga 1.40 F berbanding
permulaan abad ke-20 sementalahan, kenaikan suhu bumi ini berterusan meningkat sebanyak
1.10 F sejak tiga dekad yang lalu. Secara puratanya, perubahan suhu
global ini naik 2.00 F hingga 11.50 F pada tahun 2011.
Bahkan, pemanasan menyeluruh empat dekad yang lalu bermula awal kurun ke-20 dan
penyejukan semenjak tahun 1950, serta pemanasan kembali sejak tahun 1975 telah menyedarkan
masyarakat bahawa dunia zaman ini sedang
mengalami ketidakstabilan iklim sejak dahulu hinggalah sekarang.
Justeru,
begitulah beberapa ilustrasi jelas berkaitan sejarah perubahan iklim global ini
yang berkait rapat dengan peningkatan suhu bumi sejak berkurun-kurun dahulu sementara
masih kekal meningkat sehinggalah saat ini. Sehubungan dengan itu, kita sebagai
manusia seharusnya cakna akan perkara ini dengan segala aktiviti manusia yang boleh
mengundang kepada berlakunya perubahan iklim terutamanya pemanasan global seyogianya
dielakkan sama sekali. Sesungguhnya, “Allah
tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada
diri mereka.”( Ar-Ra'd;11)
Perubahan Iklim Dan Kesan-Kesannya di Malaysia
Secara relatifnya, perubahan iklim di Malaysia boleh mendatangkan
kemudaratan kepada negara, masyarakat dan juga individu sama ada melalui aspek
fizikal mahupun aspek psikologi. Manakala, gabungannya sudah tentu menimbulkan
krisis besar kepada keselamatan awam, kestabilan politik dan keutuhan ekonomi jika
sekiranya ia tidak diuruskan dengan baik pada masa akan datang.Di Malaysia, tanda-tanda
perubahan iklim khususnya akibat pemanasan global dapat dilihat menerusi
kejadian bencana alam yang melanda beberapa kawasan di seluruh negara seperti
kenaikan paras air laut, jerebu, banjir, kekurangan sumber air bersih dan
sebagainya.
Malah,
bencana alam banjir tamsilnya, dengan sembilan peratus daripada kawasan daratan
di Malaysia (lebih kurang 29,000 kilometer persegi) yang terdedah kepada fenomena
ini, maka dianggarkan sejumlah 2.7 juta masyarakat negara kita akan menjadi
mangsa akibat bencana alam itu. Sementara itu, pada tahun 2006 dan 2007, fenomena
banjir besar di negeri Johor akibat daripada kesan perubahan iklim juga pernah
direkodkan dalam lipatan sejarah negara.Pada ketika itu, banjir besar ini telah
mengakibatkan kemusnahan secara total infrastruktur seperti jambatan jalan raya
selain tanah-tanah pertanian, harta benda penduduk dan sebagainya. Bahkan,
keadaan ini telah mengakibatkan kerugian terbesar direkodkan negara akibat
masalah banjir dengan kerugian mencecah RM1.5 bilion
Dalam
mendepani masa depan yang tidak menentu, Malaysia turut terkesan akibat
perubahan iklim ini dengan penurunan kadar taburan hujan lantaran mengakibatkan
kesukaran kepada isi rumah, sektor pertanian dan perindustrian untuk
mendapatkan bekalan air bersih. Umum mengetahui, walaupun bumi Malaysia amat
bertuah kerana mempunyai sumber air yang banyak dek kedudukannya di tengah-tengah
Garisan Khatulistiwa dengan penurunan hujan berjumlah lebih daripada 2,000 mm
setahun sementara purata kira-kira 5,000 mm di kawasan Pantai Timur, namun begitu,
terdapat juga krisis air bersih berlaku di negara kita seperti mana yang berlaku
di Lembah Klang pada bulan Januari tahun 1998.
Pada
masa itu, tiga empangan air di Lembah
Klang iaitu Empangan Klang Gates, Empangan Batu dan Empangan Semenyih mengalami
penurunan air secara mendadak disebabkan fenomena perubahan iklim. Lantaran
itu, hal ini telah menyebabkan berlakunya kekurangan sumber air bersih yang menjejaskan
hampir keseluruhan penduduk negara khususnya penduduk di Lembah Klang. Krisis
ini berlanjutan sehingga kerajaan terpaksa mengambil langkah sederap, mencatu
bekalan air secara besar-besaran di seluruh negara.
Selain
itu, kesan perubahan iklim dan pemanasan global turut mengancam keselamatan dan
kesihatan manusia. Malah, menurut laporan rasmi yang dikeluarkan Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO), perubahan iklim global secara langsung atau tidak
langsung menyebabkan kira-kira 77,000 kematian setiap tahun di rantau Asia
Pasifik.
Walaupun
rakyat di negara kita tidaklah terkesan secara jelas akan masalah ini, namun ancaman
lain pula banyak menghantui penduduk di negara kita sehinggakan adakalanya menyebabkan
kematian orang tersayang. Buktinya, akibat kesan-kesan perubahan iklim dunia, rakyat
di negara ini boleh dikatakan secara keseluruhannya terdedah dengan masalah
seperti penyakit katarak, kanser kulit dan sebagainya.
Malah,
perubahan cuaca ekstrem kesan daripada perubahan iklim menjurus kepada
berlakunya pertambahan kes wabak penyakit yang berpunca daripada haiwan-haiwan
pembawa seperti malaria dan denggi amnya. Tidak cukup dengan itu, perubahan
suhu turut menyebabkan gelombang haba berlaku di beberapa tempat sementalahan
hal ini akan mengakibatkan penduduk terutamanya warga tua akan mudah diserang strok
haba yang kebanyakannya berakhir dengan kematian.
Seperti
mana yang kita ketahui, peningkatan paras air laut akibat kesan perubahan iklim
sedikit sebanyak akan menghasilkan gelombang ganas yang boleh mengancam garis
pantai dan struktur hakisan pantai lantaran ia sekali gus akan mengundang
kemusnahan menyeluruh zon-zon penampan paya bakau sehingga mengakibatkan
kerosakan habitat asli kehidupan akuatik seperti ikan, udang, ketam dan
lain-lain lagi.
Malah,
kajian yang dilakukan oleh Ketua Program Geo-Informasi, Bahagian Perhutanan dan
Alam Sekitar, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr. Khali Aziz
Hamzah bersama saudara Hamdan Omar yang bertajuk, ‘Vulnerability Assestment of Coastal Zones Using Geospatial Technologies’
turut memetik laporan IPCC 2001 yang menjangkakan, peningkatan tambahan 48
sentimeter air laut, menjelang 2100, iaitu dua kali ganda kadar peningkatan
untuk abad ke-20. Tambahan pula, menurut kajian tersebut, peningkatan paras air laut akan mengakibatkan
terjadinya masalah banjir dan hakisan, malar-malar pula kenaikan satu
sentimeter boleh menghakis pantai kira-kira satu meter secara mendatar.
Selain
itu, kajian itu turut memetik sumber daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam
Sekitar, (NRE) tahun 2008 yang menjelaskan bahawa, sebanyak 40 meter tanah di sebanyak 33 lokasi sepanjang pantai Malaysia
hilang pada setiap tahun dan masalah ini berpunca akibat daripada
pelbagai faktor, termasuklah faktor peningkatan air laut selain faktor hakisan dan sebagainya. Bahkan, fenomena ini tidak mustahil akan mengakibatkan beberapa
kawasan pinggir pantai negara akan hilang daripada peta Malaysia dalam tempoh
50 tahun akan datang.
Di
samping itu, akibat kelemahan urus tadbir sumber hutan negara, ia sedikit
sebanyak mempercepatkan lagi kesan-kesan akibat perubahan iklim besok lusa.
Bahkan, pembalakan haram, pemusnahan hutan dan pembukaan kawasan baharu bagi
tujuan pembangunan merupakan antara kegiatan manusia yang menjejaskan kitaran
karbon yang merupakan proses semulajadi pengurangan karbon dioksida di
atmosfera.
Pada waktu yang sama, sememangnya diakui tumbuhan hijau bertindak
sebagai agen utama keseimbangan atmosfera.dengan menyerap karbon dioksida dan
mengeluarkan oksigen untuk kegunaan penduduk bumi. Sekiranya tumbuhan hijau
tiada, maka terjadinya pengumpulan secara langsung lapisan karbon dioksida di
atmosfera.
Bahkan, lapisan ini pula diibaratkan seperti selimut yang
boleh memerangkap kepanasan di atmosfera sehinggakan mengundang peningkatan suhu
secara mendadak. Sebagai lanjutan daripada itu, perubahan iklim atau pemanasan
global pula akan menjadi semakin cepat berlaku dengan dikatakan, tahun 2010
adalah merupakan tahun yang paling panas (menurut kajian IPCC) berlaku di
seantero dunia, termasuklah juga di negara kita amnya.
Justeru, kesan-kesan negatif
perubahan iklim dan kajian kes yang dipaparkan seperti di atas adalah merupakan
antara sebahagian kecil daripada ribuan impak negatif yang boleh berlaku akibat
kesan daripada perubahan iklim sejak
akhir-akhir ini. Apa yang pasti, perubahan iklim sudah pasti menjejaskan
kehidupan dan keselamatan manusia dan tidak terkecuali turut menimpa masyarakat
di negara ini. Bahkan, krisis yang berlaku akibat perubahan iklim ini sepatutnya
dipandang serius semua pihak khususnya pihak kerajaan dalam menguruskan
keresahan rakyat yang semakin hari semakin bimbang akan perkara ini demi kemaslahatan
generasi mendatang.
Malahan, tidak mustahil, kegagalan pihak kerajaan menangani krisis dan bencana alam
akibat perubahan iklim dunia yang turut menempiaskan kesan-kesan sampingannya
kepada negara kita ini akan mengakibatkan keruntuhan kepada institusi keluarga
dan masyarakat yang secara tidak langsung bakal melemahkan sistem pentadbiran
negara kita suatu hari nanti.
Kalau hendak bersihkan kekotoran di atas permukaan
meja, ianya memerlukan air dan tualanya juga bersih. Maka, bertitik tolak daripada kenyataan ini, jelaslah
perlu adanya langkah-langkah pencegahan yang proaktif bukan sahaja di peringkat
kerajaan, bahkan menagih komitmen dan pengertian serius seluruh masyarakat agar
kesan-kesan akibat perubahan iklim ini dapat diatasi secara total kelak. Sesungguhnya,
“Kita bukan mewarisi alam ini daripada datuk nenek kita tetapi kita meminjamnya
daripada anak cucu kita”( Mahatma Gandhi)
Cabaran Akibat Perubahan Iklim Dan Peranan Masyarakat
Menghadapinya
Di Malaysia, sememangnya cabaran
paling dominan dalam menghadapi kesan perubahan iklim ini adalah untuk
memperkenalkan langkah-langkah adaptasi dalam sektor-sektor tertentu demi
mengurangkan lagi kesan jangka panjang akibat fenomena ini. Sehubungan dengan
itu, terdapat keperluan untuk menyedarkan rakyat semua peringkat umur berkenaan
ancaman perubahan iklim ini.
Secara keseluruhannya, walaupun perkara ini sukar dicapai,
namun peranan dan komitmen menyeluruh yang boleh dimainkan masyarakat untuk
mengaplikasikan langkah-langkah pencegahan akibat daripada kesan-kesan
perubahan iklim ini sewajarnya dipupuk sejagat agar ia sedikit sebanyak
menyedarkan golongan murba akan kepentingan menjaga alam sekitar kelak.
Bumi
yang tiada rimba
Seumpama
hamba
Dia
dicemar manusia
Yang
jahil ketawa
Jika kita hayati kembali lagu Hijau dendangan penggiat seni tersohor negara, Zainal Abidin, maka apa
yang cuba disampaikan beliau ialah betapa eratnya hubungan alam sekitar dengan
manusia masa kini. Bahkan, bait-bait awal lagu tersebut secara jelasnya memberikan
isyarat kepada kita bahawa, sebagai manusia kita hendaklah memanifestasikan
akal fikiran dan bertindak sewarasnya untuk menjaga warisan alam yang tidak
terbanding ini demi kepentingan generasi mendatang.
Dalam hubungan ini, masyarakat disaran mengitar semula
barang-barangan terpakai kerana 40 peratus sampah yang terdiri daripada tin,
besi buruk, botol, kertas, barangan plastik dan sebagainya boleh dikitar semula
selain ia mendatangkan banyak manfaat kepada masyarakat kelak. Masakan tidak, dengan
mengitar semula satu tin aluminium, kita seumpama menjimatkan penggunaan tenaga
elektrik tiga jam untuk televisyen.
Tidak cukup dengan itu, dengan mengitar semula botol
kaca, kita seumpama menjimatkan penggunaan tenaga elektrik mentol lampu (100
watt) selama empat jam tempoh penggunaannya. Manakala, jika sekiranya kertas
dikitar semula secara maksimum, maka kita dapat mengurangkan 4360 tan sampah
sehari yang bersamaan 78,000 batang pokok yang ditebang.
Selain itu, elakkan juga pembakaran secara terbuka.
Ghalibnya, pembakaran secara terbuka ini dilakukan petani yang memungar hutan
untuk tanaman padi bukit, jagung dan getah. Ada juga dalam kalangan mereka yang
membakar jerami padi selepas musim menuai. Akibatnya, berlakulah pencemaran udara
dan jerebu yang boleh memudaratkan kesihatan kita semua.
Contoh yang boleh diketengahkan dalam hal ini ialah ketika
mana masalah jerebu yang pernah melanda negara pada tahun 1997. Ketika itu, hampir
seluruh negara seolah-olah diselubungi ‘asap’ sehinggakan telah menganggu
kesihatan golongan marhaen, apatah lagi golongan kanak-kanak. Lanjutan itu,
seharusnya masyarakat mengambil iktibar akan perkara ini agar ia tidak lagi
berlaku pada masa hadapan.
Jika ditelusuri, ibu-bapa juga boleh mengambil
langkah-langkah proaktif mentarbiahkan anak-anak mereka tentang kepentingan menjaga
alam sekitar dengan mendedahkan kepada mereka impak serta kesan perubahan iklim
seperti pemanasan global dan lain-lain lagi. Kesudahannya, hal ini secara tidak
langsung akan membuatkan generasi muda lebih menghargai alam sekitar nanti. Sesungguhnya,
hendak seribu daya,
tak hendak seribu upaya.
Justeru itu, walaupun cabaran dalam
menghadapi kesan-kesan akibat perubahan iklim ini sememangnya diakui sukar untuk
diatasi secara total, namun begitu, segala peranan serta tindakan proaktif masyarakat
dalam membendung kepada berlakunya perubahan iklim melampau pada masa akan
datang hendaklah diimplementasikan secara menyeluruh bermula dari hari ini lagi.
Hal ini penting kerana, perjalanan seribu
batu bermula dari satu langkah (Lao Tze).
Kesimpulan
Perubahan iklim dewasa ini yang telah banyak mengundang
pelbagai permasalahan kepada masyarakat dunia termasuklah di negara kita
sewajarnya menyentap kesedaran sejagat agar lebih menghargai alam sekitar. Hakikatnya,
walaupun negara Malaysia sekarang ini berada dalam keadaan suasana yang aman
tenteram, namun begitu, negara kita sebenarnya sedang berhadapan dengan
‘peperangan’ yang mampu mengancam keselamatan rakyat yang bernaung di bawahnya.
Masakan tidak, kesan-kesan dominan
yang dapat dilihat dek mata kasar akibat perubahan iklim yang melanda Malaysia dewasa
ini seperti bencana alam dan sebagainya sebenarnya telah merungkai ketidakacuhan
warga bumi yang tidak pernah menghiraukan akan masa depan alam ini.
Umpama patah tongkat berjeremang ,hulubalang habis bersiak, maka ayuhlah kita beriltizam dan melangkah dengan
seribu kekuatan untuk berganding bahu dalam usaha memelihara alam sekitar. Ingatlah,
kesensitifan, kepekaan dan keprihatinan kita semua hari ini penting demi kemapanan
dan kelestarian alam yang kekal berpanjangan sekali gus menghadirkan seribu satu
manfaat untuk keperluan generasi mendatang.
“Alam ini sediakalanya cantik dan
semua usaha dalam alam ini asalnya cantik, tinggal kita saja nak bagi lebih
cantik atau tak nak bagi cantik.”
(Dr. Hm. Tuah Iskandar Al-Haj)
2499 Patah Perkataan
Tweet
No comments:
Post a Comment