Dewasa
ini, kepelbagaian budaya serta adat sesetengah golongan murba seringkali
dikaitkan dengan mitosnya yang tersendiri. Daripada anak kecil hinggalah
golongan tua, masyarakat seringkali dihidangkan dengan kewujudan pelbagai jenis
mitos yang selalunya berkisarkan tentang kisah-kisah lampau kehidupan sebilangan
masyarakat dahulukala amnya. Malah,masyarakat marcapada juga turut menganggapnya
sebagai salah satu kepercayaan hakiki yang sering dijadikan rujukan sesetengah
golongan masyarakat tanpa perlunya mereka melalui sebarang bentuk penjelasan
saintifik mengenainya sama ada benar ataupun palsu sesetengah mitos tersebut.
Akibatnya,
penyebaran mitos-mitos palsu dilihat semakin menjadi-jadi penularannya dalam
kalangan masyarakat era ini sehinggakan masyarakat seringkali terpedaya dengan kebenarannya.
Malah, tidak kurang juga dengan mitos yang dikaitkan dengan penyakit kanser
amnya. Masakan tidak, akibat daripada kedangkalan ilmu pengetahuan orang ramai
terhadap gejala penyakit kanser ini, kewujudan mitos kanser tampaknya semakin
banyak menghantui seluruh masyarakat di segenap empat penjuru dunia sehinggakan,
masyarakat kini menjadi semakin takut tatkala mendengarkan perkataan ‘barah’ itu
sendiri. Bahkan, akibat terlalu obses dengan mitos-mitos kanser yang wujud hari
ini, ada juga sesetengah daripada kita cuba untuk menyembunyikan penyakit
kanser yang dihadapinya daripada diketahui kaum keluarga terdekat kerana takut
dipulau kelak.
Lebih
membimbangkan lagi keadaan, penghidap kanser juga dilihat semakin berani bertindak
sendirian bagi mendapatkan khidmat perubatan tradisional yang banyak ditawarkan
di sekeliling kita sekarang ini. Malahan, seperti mana yang telah diketahui
umum pula, kaedah perubatan sebegini ada kalanya boleh menyebabkan penyakit
kanser itu menjadi semakin teruk pula sehinggakan ada juga yang telah mengakibatkan
kematian jika kaedah perubatan yang diterima pesakit itu tidak sesuai dengan
penyakit yang dihadapinya. Bahkan, semua fenomena yang berlaku ini adalah disebabkan
oleh kecelaruan minda masyarakat hari ini yang menerima bulat-bulat mitos
kanser selain faktor salah faham akan keberkesanan rawatan moden, faktor
ketidaksamaan sosial dan jantina serta perasaan fobia yang melampau amnya.
Sementara
itu, perbuatan mempercayai mitos-mitos palsu khususnya mitos kanser ini amatlah
ditegas Allah sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Israk ayat ke-36 berbunyi, ‘Dan
janganlah kamu mengikut apa-apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan
tentangnya’. Cegahlah sebelum terlambat.
Kanser:
Antara Mitos dan Realiti
Sebagai
contoh, sejak belakangan ini, antara mitos paling dominan yang seringkali
menjadi buah mulut masyarakat kontemporari adalah yang berkaitan dengan
larangan bagi seseorang itu untuk membicarakan secara terbuka akan penyakit
kanser itu sendiri. Hakikatnya, walaupun penyakit kanser memang diakui merupakan
salah satu isu yang amat sensitif untuk dibicarakan terutamanya apabila melibatkan
sesetengah budaya serta adat resam masyarakat, namun segala bentuk kaedah perbincangannya
secara lebih terbuka sebenarnya mampu memudahkan lagi individu, masyarakat dan negara
itu sendiri dalam usaha untuk mengatasi isu ini secara lebih efisien kelak.
Bukti
yang konklusif menunjukkan, setelah selesai mendiagnosis para pesakit untuk
mengesan penyakit yang dihadapinya, selalunya
pesakit kanser akan mengalami perubahan diri dan emosi yang amat ketara dalam
kehidupan mereka seharian-harian. Tamsilnya, mereka akan mudah mengalami masalah
kemuraman, mudah berasa marah, cepat tersinggung dan sebagainya. Dan apabila
keadaan seperti ini berlaku, sudah semestinya mereka memerlukan seseorang (bertindak
menjadi kumpulan sokongan) seperti sahabat handai, sanak saudara dan sebagainya
untuk mereka luahkan segala perasaan sedih yang berlegar-legar bermain di hati sanubari
mereka itu walaupun di dalam hati mereka itu sebenarnya berasakan amat sukar untuk
mereka bercakapkan tentang penyakit ini secara terang-terangan kerana terpengaruh
dengan mitos kanser ini.
Meskipun
begitu, apakah yang disebut sebagai kumpulan sokongan? Kumpulan sokongan didefinisikan
sebagai mereka yang sentiasa menjadikan diri mereka sebagai penguat semangat
kepada golongan yang lebih memerlukan pada setiap masa dan di mana-mana sahaja
mereka berada. Dengan erti kata yang lain, mereka ini akan sentiasa berusaha
sedaya upaya mereka untuk mewujudkan satu persekitaran yang peka akan isu-isu
yang dihadapi sesetengah golongan yang tidak bernasib baik seperti pesakit
kanser ini agar mereka tidak terlepas untuk diberikan motivasi terbaik dalam
diri mereka masing-masing dengan harapan ia akan menjadi suntikan semangat
baharu untuk mereka mentransformasikan diri ke arah satu perubahan emosi dan
semangat serta personaliti yang lebih berkeyakinan pula pada masa akan datang.
Yang paling kita perlukan
dalam kehidupan ialah adanya seseorang yang selalu memberikan semangat untuk
melaksanakan hal-hal yang dapat kita kerjakan.
(Davey John Schwartz)
Oleh
kerana itulah, mitos ini dianggap sebagai salah satu kepercayaan yang tidak
boleh diterima pakai oleh setiap manusia yang berfikiran normal kerana
sesungguhnya, perbincangan secara umum berkaitan penyakit kanser ini patutlah
diamalkan sejagat kerana ia mampu mengurangkan sedikit demi sedikit sifat gusar
dalam diri pesakit kanser sekaligus memberi harapan baharu kepada golongan
seperti ini dalam usaha mereka menghadapi hari-hari yang mendatang.
Sesungguhnya, berilah selalu harapan
kepada pesakit, bahkan ketika kematian telah menjelang.(Ambroise Pare,
1517-1590: Ahli bedah Perancis)
Lain
daripada itu, terdapat juga beberapa punca terutama yang telah menyebabkan
perbincangan secara terbuka berkenaan penyakit kanser ini telah dianggap tabu
dalam kalangan sesetengah kelompok masyarakat. Antaranya adalah seperti,
tingkah laku yang tidak cakna akan gaya hidup sehari-harian, faktor gaya pemikiran
yang kolot dalam kalangan masyarakat dan lain-lain lagi amnya. Hal inilah yang seringkali
dijadikan alasan bagi sesetengah golongan masyarakat untuk mereka tidak
berbicara secara lebih terbuka terutamanya berkenaan penyakit kanser ini.
Hal
ini secara tidak langsung telah mengundang kepada masalah khuatir yang semakin
serius membelenggu fikiran masyarakat di sekeliling kita hari ini apalagi masalah
risau. Rentetan itu, masyarakat akan mengambil keputusan untuk tidak sesekali pergi
mendapatkan dan melakukan pengesanan awal penyakit kanser ini kerana mereka
berasakan tidak perlu untuk mereka melakukan kesemuanya itu selain mereka
terpengaruh dengan ideologi-ideologi mitos karut yang telah banyak mengunci
niat mereka untuk melakukan sedemikian rupa.
Akibatnya,
masyarakat akan selama-lamanya terus terbelenggu dengan cara berfikiran yang
sempit ibarat katak di bawah tempurung
kerana mereka masih lagi membiarkan diri mereka ditipu sewenang-wenangnya dengan
kehadiran mitos yang terbukti karut ini. Hal ini sekali gus akan menyebabkan
kesedaran masyarakat terhadap usaha-usaha pencegahan dan kepentingan pengesanan
awal terhadap penyakit ini akan menjadi semakin menyusut hari demi hari
sehinggakan, golongan-golongan seperti inilah yang akan memudaratkan
kesejahteraan masyarakat kelak.
Lazimnya,
banyak manfaat yang boleh digarap sekiranya masyarakat melakukan pengesanan
awal penyakit kanser ini terutamanya hal yang berkaitan dengan kos-kos rawatan
perubatan dan sebagainya. Hal ini kerana, sejak kebelakangan ini, memang diakui
kos perubatan penyakit kanser ini semakin meningkat hari demi hari. Malahan,menurut
kajian yang telah dijalankan pada tahun 2008 oleh Kumpulan Simpanan Wang
Pekerja (EPF), rata-ratanya ahli yang berusia 54 tahun hanya memiliki purata
simpanan sebanyak RM132,539 sahaja.
Manakala,
tinjauan sebuah bank pula melaporkan bahawa, rakyat Malaysia hanya memiliki
simpanan yang boleh bertahan selama sebelas minggu sahaja. Dan, sekiranya
mereka kehilangan mata pencarian, satu daripada lima orang responden mengatakan,
simpanan mereka hanyalah boleh menanggung perbelanjaan biasa selama empat
minggu sahaja meliputi perbelanjaan harian dan tidak termasuk dengan perbelanjaan
perubatan untuk sesuatu penyakit-penyakit kritikal.
Bahkan,
umum mengetahui bahawa, di Malaysia sahaja, kos perubatan rawatan kanser boleh menokok
sehingga RM300,000 banyaknya sementara rawatan buah pinggang memerlukan
RM150,000 dan ke atas. Pemindahan organ-organ utama pula memerlukan
sekurang-kurangnya RM100,000 bagi setiap rawatan. Dan sekiranya seseorang
pesakit itu pada awalnya telah membiasakan diri mereka untuk melakukan
pengesanan awal sekurang-kurangnya dua kali setahun, mereka mungkin boleh
mengurangkan kos perubatan yang terpaksa ditanggung kerana kos perubatan di
awal pengesanan jauh lebih murah jika hendak dibandingkan dengan kos perubatan yang
sudah melewati tahap kritikal amnya. Cegah
sebelum parah.
Justeru,
jelaslah penjimatan kos perubatan boleh dicapai sekiranya masyarakat hari ini
bersama-sama berganding bahu dalam usaha untuk mencantas mitos songsang seperti
ini dalam kehidupan masyarakat seharian agar kita semua bebas untuk berbicarakan
tentang penyakit kanser ini pada masa yang akan datang sekali gus mencegah
penyakit ini secara holistik kelak.
Selanjutnya, terdapat juga mitos yang banyak
mengundang kontroversi masyarakat hari ini yang menyebut bahawa, penyakit kanser
ini tidak akan menunjukkan sebarang tanda-tanda atau gejala. Realitinya,
kebanyakan jenis kanser (walaupun bukan semua) yang menyerang manusia zaman ini
telah terbukti akan menunjukkan tanda-tanda atau gejalanya di peringkat awal
jangkitannya. Misalnya, kanser payudara, serviks, kulit, mulut dan kolorektal
serta beberapa jenis kanser yang lain seperti yang lazimnya menyerang
kanak-kanak hari ini, juga akan menunjukkan gejala di peringkat awal
jangkitannya. Hal ini seterusnya akan menjadi tunjang kepada usaha-usaha bersepadu
masyarakat untuk terus mengesan penyakit ini di peringkat lebih awal lagi agar
ia tidak terus merebak ke tahap lebih kritikal besok lusa.
Jika ditelusuri, kemunculan
simpton-simpton awal penyakit kanser akan mendatangkan 1001 manfaat kepada kita
semua kerana sudah semestinya, masyarakat boleh mengambil tindakan yang cepat untuk
menangani masalah kemunculan gejala awal penyakit ini dengan mereka akan
berusaha sedaya upaya mereka untuk mendapatkan rawatan susulan dan sebagainya.
Bahkan, janganlah kita berkongkalikung dengan hanya melihat kemunculan
tanda-tanda awal penyakit ini sebagai sesuatu perkara yang enteng sahaja kerana
ada kalanya, pengesanan awal mungkin boleh menyelamatkan nyawa seseorang yang
kita sayangi hari ini. Sesungguhnya, pepatah Arab ada menyebut berbunyi, mencegah
itu lebih baik daripada mengubati. Cegahlah
ia sebelum melarat!
Lain daripada itu juga, memang tidak
dapat disangkal lagi bahawa, ada juga sebilangan daripada kes-kes kanser yang
dilaporkan di seluruh dunia sedasawarsa ini tidak akan menunjukkan tanda-tanda
awal jangkitannya seperti yang berlaku pada penghidap kanser ovari dan kanser pankreas
amnya. Namun begitu, atas dasar keprihatinan dan sifat perikemanusiaan yang
tinggi dalam kalangan penyelidik kesihatan tempatan ataupun antarabangsa,
banyak kajian serta usaha-usaha penyelidikan sedang dan bakal dijalankan di
seluruh dunia sejak akhir-akhir ini semata-mata untuk mencari dan mengiktiraf tanda-tanda
awal bagi kedua-dua jenis penyakit kanser ini.
Ghalibnya, apabila ia sudah diiktiraf
sebagai gejala awal kanser, secara tidak langsung masyarakat boleh melakukan
pengesanan dan pencegahan awal penyakit ini kelak kerana sesungguhnya, pencegahan
kanser di peringkat awal jangkitannya mampu dirawat setidak-tidaknya satu
pertiga daripada kes kanser yang direkodkan sekali gus mengembalikan semula
kualiti kehidupan seseorang belakang hari.
Justifikasinya, bagi merealisasikan
pengiktirafan awal gejala penyakit kanser ini, kesediaan kita semua (khususnya mereka
yang bergelar pembantu dan pegawai perubatan) untuk melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu
pengetahuan perubatan yang relevan mengikut peredaran zaman seperti cara-cara
untuk mengendalikan teknologi-teknologi terkini alatan perubatan amatlah
digalakkan memandangkan hal ini akan dapat mengurangkan kemungkinan untuk
mendapat kesalahan dan ketidaktepatan hasil kajian semasa proses diagnosis itu
dilakukan selain perkara ini akan dapat memastikan seseorang pesakit itu terus
mendapat pengawasan secepat yang mungkin daripada pakar-pakar perubatan jika
sekiranya mereka didapati positif kanser.
Justeru, melihatkan kondisi semasa peningkatan
kes-kes kanser yang direkodkan di seluruh dunia mutakhir ini terutamanya yang
melibatkan negara-negara sedang membangun yang mencatatkan hampir 22 peratus
daripada jumlah kematian akibat kanser, maka jelaslah bahawa kombinasi usaha
yang cukup padu dalam usaha untuk mencari kerelevanan akan segala pengiktirafan
tanda-tanda awal penyakit kanser ini adalah merupakan prakarsa terpenting dan
dianggap bermanfaat untuk kepentingan sejagat sekaligus ia menolak mitos yang
mengatakan bahawa, penyakit kanser tidak akan menunjukkan tanda dan gejala di
peringkat awal jangkitannya.
Selain
itu, masyarakat juga sering dikongkong dengan mitos yang menyatakan, mereka tidak boleh melakukan apa-apa tindakan apabila
berdepan dengan penyakit kanser. Ternyata, mitos ini sangatlah merugikan semua
pihak baik sama ada yang melibatkan individu (penderita kanser) itu sendiri
mahupun masyarakat di sekeliling amnya. Ironinya, anggapan seperti ini akan
menimbulkan rasa pasrah kepada kita semua lebih-lebih lagi penghidap kanser itu
sendiri.
Walhal,
banyak kaedah yang boleh diimplementasikan dalam kehidupan kita seharian untuk mengelak
diri daripada mendapat penyakit kanser seperti dengan mengurangkan pengambilan
alkohol yang berlebihan (dapat mengurangkan risiko mendapat kanser mulut,
esophagus, nasofarinks, usus dan sebagainya), mempraktikkan pengambilan diet
yang seimbang (dapat mengurangkan risiko obesiti, selain risiko mendapat kanser
usus, payudara, rahim, pankreas, kerongkong, buah pinggang, kanser pundi
kencing dan lain-lain lagi) serta sentiasa membiasakan diri dengan melakukan
aktiviti-aktiviti fizikal setidak-tidaknya 20 minit dalam seminggu (dapat mengurangkan
risiko untuk mendapat penyakit hipokinetik dan kronik seperti penyakit jantung
koronari, hipertensi, hiperkolestrolemia, kanser, obesiti dan banyak lagi).
Selain
itu, dalam kita mendepani masa depan yang tidak menentu ini, penggunaan
tembakau juga haruslah dielakkan sama sekali kerana ia adalah merupakan faktor
yang paling banyak dikaitkan dengan hampir lebih 71 peratus kes-kes kematian
akibat kanser paru-paru, mencakupi 22 peratus daripada keseluruhan kes kematian
yang dicatatkan di seluruh dunia hari ini. Bahkan, berdasarkan kajian semasa terhadap
situasi yang berlaku di sekeliling kita sekarang ini, penggunaan tembakau
dianggarkan mampu membunuh satu billion manusia dalam abad ke-21 ini sahaja.
Justeru,
menjadi satu tanggungjawab yang cukup besar bagi masyarakat hari ini untuk menolak
segala mitos yang cuba untuk melaga-lagakan pengetahuan orang ramai terhadap
penyakit kanser ini kerana sesungguhnya, terdapat bermacam-macam jenis tindakan
proaktif yang boleh diusahakan setiap individu mahupun masyarakat di sekeliling
kita hari ini untuk mencegah daripada mendapat penyakit kanser ini dalam
kehidupan mereka seharian sementalahan usaha-usaha pencegahan yang berterusan
melibatkan komiti masyarakat seperti penganjuran program-program penerapan
amalan gaya hidup sihat dan sebagainya amatlah digalakkan sebagaimana ia
bertepatan dengan amalan Sunnah yang berbunyi, “Siapa berusaha, dia akan berjaya”
sekaligus perkara ini akan menidakkan segala bentuk mitos kanser yang muncul
pada abad ini demi manfaat generasi mendatang.
Tambahan
lagi, berdasarkan kepada maklumat terkini kajian kes penyakit kanser di seluruh
dunia dewasa ini, masyarakat juga terpengaruh dengan mitos yang menyebut, mereka
tiada hak dalam dunia perubatan penyakit kanser. Lumrahnya, semua orang mempunyai
hak mereka masing-masing terutamanya hak untuk mendapatkan rawatan serta akses
yang terbaik kepada perkhidmatan perubatan penyakit kanser ini selain kewujudan
mitos kanser ini juga jauh tersasar kebenaran hak serta nilai-nilai keinsanan
yang syumul itu jika hendak dibandingkan dengan hak-hak asasi utama manusia
yang telah dibentangkan dan diisytiharkan dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) pada 10 Disember 1998 itu.
Pengisytiharan
yang dikenali sebagai Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) itu telah
menggariskan hak-hak asasi manusia kepada empat kebebasan utama iaitu kebebasan
daripada ketakutan, kebebasan daripada kemahuan, kebebasan bersuara dan
akhirnya kebebasan kepercayaan. Ternyata, dengan pengenalan secara umum
berkenaan empat kebebasan perdana yang terkandung dalam pengisytiharan ini,
telah terbukti bahawa mitos yang mengatakan masyarakat tiada sebarang hak dalam
dunia perubatan ini amatlah menyalahi norma masyarakat era ini selain mitos ini
seharusnya ditolak masyarakat sejagat agar ia tidak akan menimbulkan kecelaruan
dan ketidaktepatan fakta serta perasaan putus asa dalam hati sesetengah kelompok
masyarakat itu kelak.
Bahkan,
memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa, setiap orang berhak untuk berusaha dengan
sedaya upaya mereka bagi mendapatkan rawatan kesihatan yang dirasakan terbaik untuk
dirinya kerana sesungguhnya, Rasulullah SAW bersabda, “Tiap-tiap penyakit itu (ada)
ubatnya. Apabila menepati ubat terhadap penyakit tersebut, maka sembuhlah
dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim dan Ahmad). Justeru,
benarlah mitos yang mengatakan bahawa mereka tiada hak dalam dunia
perubatan penyakit kanser ini haruslah ditepis masyarakat kerana ia terbukti
telah bercanggah dengan realiti kehidupan dan hak-hak kebebasan manusia hari
ini.
Kesimpulan
Konklusinya,
benarlah bahawa segala bentuk mitos penyakit kanser ini sewajarnya ditolak oleh
masyarakat sekalian berteraskan kepada fakta-fakta yang tepat lagi bernas itu agar
segala bentuk kecelaruan ilmu pengetahuan yang berlaku dalam kalangan masyarakat
seantero dunia hari ini akan dapat dibendung seadanya sekali gus diharapkan, penidakan
yang bakal dilakukan oleh sekalian masyarakat ini mampu mengurangkan lagi
stigma negatif masyarakat terhadap penyakit kanser ini demi kemaslahatan
generasi mendatang amnya.
Sehubungan dengan itu,
ayuhlah kita beriltizam untuk bersama-sama melakukan anjakan paradigma ke arah
menghapuskan segala bentuk mitos penyakit kanser yang seringkali menjadi pegangan
karut masyarakat seantero dunia hari ini selain menyahut harapan yang telah
diuar-uarkan melalui penganjuran Hari Kanser Sedunia 2014 (bertemakan “Membongkar
Mitos Kanser”) baru-baru ini.
Diharapkan, dengan penganjuran
aktiviti-aktiviti kesedaran di peringkat global sebegini akan dapat meluaskan
lagi landasan pemikiran seluruh masyarakat khususnya masyarakat majmuk di
negara kita ini agar kita tidak terus diselubungi dengan mitos kanser yang
banyak meracuni minda masyarakat hari ini sekali gus bersama-sama untuk menampilkan
wajah baru yang disulami tekad ke arah usaha-usaha yang bersungguh-sungguh bagi
mengurangkan kes-kes penyakit kanser ini secara total kelak. Janganlah sudah terhantuk baru terngadah kerana biar berkelahi dulu, jangan berkelahi
kemudian. Fikir-fikirkanlah.
“Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah
apa yang ada pada diri mereka”
(Surah Ar-Ra'd:11)
2490 PATAH PERKATAAN
Tweet
No comments:
Post a Comment