Masihkah kita ingat akan kemelut
yang terjadi di Timur Tengah terutama di Mesir dan Tunisia sejak akhir-akhir
ini yang telah terjadi akibat daripada kerajaan
yang menaungi rakyatnya sudah tidak lagi berkelakuan baik atau berakhlak mulia.
Hal ini disebabkan keadaan pemerintah di kedua-dua negara ini yang diberitakan
bersifat begitu menekan, menindas dan menzalimi rakyatnya sendiri tanpa berlaku
adil terhadap semua rakyat. Akibatnya, rakyat yang sepatutnya mengasihi
kerajaan sudah bertukar kepada memusuhi kerajaan kerana raja adil raja
disembah, raja tak adil raja disanggah.
Peristiwa
di atas adalah antara dua kes dalam seribu contoh yang menjadi isu terhadap ketidakadilan dalam
mentadbir sesebuah kerajaan. Malah, keadilan
dan rasa amanah menjadi perkara pertama dalam proses pembentukan
kerajaan yang adil berdasarkan firman Allah dalam Quran surah An-Nisa’ ayat
ke-58 berbunyi, “Sesungguhnya, Allah
menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang
berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah
menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil.Sesungguhnya Allah dengan
(suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.
Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat”.
Mengikut
kepada mafhum petikan surah ini, ayat ini ditujukan kepada golongan pemerintah
kerana golongan ini merupakan orang yang banyak menjatuhkan keputusan kepada
rakyat jelata demi menzahirkan tuntutan berlaku adil kepada semua untuk
membentuk kerajaan yang berteraskan keadilan kepada semua pihak tidak kira
agama, bangsa, dan warna kulit bak kata peribahasa, “seperti bergantung pada
rambut sehelai”.
Tambahan
pula, mengikut fakta daripada ilmuan Islam mengatakan bahawa negara yang
diperintah oleh kerajaan yang berpaksikan keadilan dan bertunjangkan konsep
amanah dalam melaksanakan tanggungjawab sudah pasti menjamin kestabilan dan
keselamatan negara yang diperintah. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan maksud
keadilan dalam petikan ayat ini berkisar tentang tuntutan kepada golongan pemerintah dalam memikul
tanggungjawab dengan penuh rasa amanah demi membentuk negara yang adil
mencakupi segenap aspek.
Namun,
jika sifat ini dipandang enteng oleh kerajaan khususnya golongan pemerintah,
maka impian membentuk kerajaan yang adil dalam sesebuah negara itu hanya akan
tinggal angan-angan sahaja kerana ketidakadilan sesetengah golongan pemerintah
yang bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Mereka
hanya mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan rakyat jelata dengan membolot
harta rakyat amnya. Hal inilah yang dikatakan peri pentingnya penghayatan
amanah dalam sesebuah kerajaan demi membentuk negara yang adil dan saksama
Mari
kita alihkan skop pemikiran kita kepada kisah di sebalik turunnya ayat ini.
Menurut kepada Ibnu Kathir, maka beliau menjelaskan bahawa selepas pembukaan
kota Mekah pada tahun 8H, Rasulullah telah meminta kunci untuk membuka pintu
Ka’bah dengan Usman bin Thalhah. Setelah masuk, baginda pun keluar dari Ka’bah
itu lalu membacakan petikan daripada surah An-nisa’ ayat ke-58 ini yang
berbunyi, “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikannya”.
Selepas
itu, Usman bin Thalhah dipanggil oleh baginda lalu baginda bersabda kepada
beliau yang berbunyi, “Ambillah
kunci ini wahai Bani Thalhah dan ianya akan kekal selama-lamanya di tangan
kamu, tidak ada orang yang mengambilnya daripada kamu kecuali orang zalim”.
Munurut kenyataan daripada ramai ulama’ tafsir, turunnya petikan surah ini
ditujukan kepada Usman, maka dengan sebab itulah, Rasulullah SAW menyerahkan kunci
itu kembali kepada beliau.
Menurut
sejarah, Usman tidak mempunyai anak. Setelah wafatnya Usman pada tahun 42H,
maka anak kunci itu diwariskan kepada sepupu Usman yang bernama Syaibah bin Usman bin Abi Thalhah. Dan
sampailah sekarang, kunci itu berada telah diwarisi secara turun-temurun kepada
anak-anak Syaibah dan dijamin kekal hingga Hari Kiamat yang dikatakan salah
satu daripada mukjizat Rasulullah. Jadi, benarlah sabda Rasulullah berbunyi, “Kekal selama-lamanya di tangan
kamu” yang jelas membuktikan bahawa keturunan Abu Thalhah akan mewarisi kunci
itu dan dijamin kekal hingga Hari Pembalasan.
Maka, daripada kisah di sebalik turunnya ayat
ini, kita dapat simpulkan bahawa amanah merupakan salah satu perkara utama
dalam menjamin kelangsungan sesuatu perkara yang diamanahkan itu terjaga dengan
sebaik-baiknya walaupun berlakunya peredaran zaman dan perubahan waktu dalam
jangka masa yang panjang. Orang yang memegang amanah sebenarnya memikul tanggungjawab
yang berat bersesuaian dengan mutiara kata berbunyi, ‘Yang berat adalah
memegang amanah, manakala yang ringan adalah berbuat dosa sesama manusia’.
Mari kita lensakan skop pemikiran kita dengan
mengkaji dengan sedalam-dalamnya berkenaan tiga perkara pokok yang boleh
dipetik dalam petikan ayat daripada surah ini iaitu konsep keadilan dan amanah
yang apabila diadunkan semua ini akan melahirkan rasa tanggungjawab terhadap
perkara yang sedang kita lakukan sama ada hal yang berkaitan keduniaan mahupun
sebaliknya. Pertamanya adalah konsep
amanah. Amanah dari segi bahasa adalah berasal daripada perkataan Arab yang
bermaksud tenteram, aman, terselamat dan harmoni. Manakala, dari segi nilai dan
akhlak, amanah bermaksud menghargai kepercayaan orang lain terhadap diri
seseorang dengan melaksanankan tuntutan yang terdapat dalam kepercayaan itu. Malah,
menurut riwayat Ahmad ada mengatakan bahawa, “Tiada iman pada orang yang tidak
beramanah”. Dalam konteks pembentukan kerajaan yang adil, amanah diistilahkan sebagai tidak rasuah
atau menyalahguna kuasa, mengutamakan kepentingan
diri, keluarga atau kroni melebihi maslahat rakyat dan sebagainya.
Selanjutnya daripada petikan surah An-Nisa’ ini
menjelaskan konsep keadilan. Mengikut kepada erti keadilan dari segi bahasa
adalah sama rata di antara dua pihak. Manakala, mengikut makna yang diterbitkan
dari segi istilah mengikut syariat Islam ialah meletakkan sesuatu itu pada
tempatnya. Petikan daripada surah An-Nisa ayat ke-58 ini jelas terbukti peri
pentingnya keadilan di dalam Islam mengikut daripada perintah Allah berbunyi,
‘hendaklah kamu hukum dengan keadilan’. Di sini, dapatlah juga kita faham bahawa
apa sahaja yang kita lakukan sama ada orang atau barang atau benda atau
perkara, sama ada yang bersifat maddi(material) mahupun bersifat maknawi atau
rohani, jika dapat diletakkan pada tempatnya, inilah yang dikatakan adil. Sudah
semestinya adil yang dimaksudkan ini apabila dipadukan dengan pembentukan
kerajaan adalah sesuatu perbuatan yang tidak zalim atau berat sebelah apabila
menetapkan hukum atau memberi bantuan kepada rakyat jelata, tidak kira
penyokong atau bukan penyokong kerajaan. Kerajaan yang membeza-bezakan bantuan
daripada segi status ini tidak ubah seperti prinsip kerajaan komunis pada zaman
dahulu kala. Ketidakadilan ini tidak ubah seperti peribahasa Melayu yang
berbunyi, ‘tiba di dada dibusungkan, tiba di perut dikempiskan’.
Lantaran itu, maka terbitlah perkataan
tanggungjawab yang berkait rapat dengan adunan bersama rencah konsep keadilan
dan amanah. Tanggungjawab merupakan salah satu
amanah yang sangat berat dan hanya layak dipikul oleh insan-insan yang memahami dengan sepenuhnya akan maksud
tanggungjawab yang sebenar. Bukannya insan yang sekadar melepaskan batuk di
tangga malah inginkan tanggungjawab tersebut semata-mata untuk mendapat
populariti yang tidak seberapa bagai dalam dua tengah tiga ketika menjalankan
tanggungjawab.
Secara semulajadinya, setiap manusia
mempunyai tanggungjawab dan amanah tersendiri. Oleh itu, berusahalah untuk
menerima amanah tersebut dengan sebaik-baiknya. Hal ini kerana setiap amanah
yang diberikan merupakan kepercayaan orang yang memilih anda. Mereka percaya bahawa
anda sememangnya layak untuk menunaikan amanah tersebut.
Mari kita luaskan skop pemikiran
kita terhadap aplikasi yang boleh kita
amalkan khususnya golongan pemerintah melalui terjemahan petikan daripada ayat
surah An-Nisa’ ini dalam menangkap maksud sebenar ayat yang diturunkan kepada
kita semua dalam menuntut kerajaan yang adil dan amanah menurut syariat Islam.
Sebelum itu, elok kiranya kita tumpukan terlebih dahulu akan maksud sebenar kerajaan yang adil mengikut
syariat Islam. Kerajaan yang adil akan mempastikan setiap rakyat terhindar
daripada sebarang bentuk penganiyaan dan kezaliman. Manakala, lahirlah pula
konsep kerajaan berkebajikan yang semestinya bersifat pemurah dan pengasih
kepada rakyatnya. Kebajikan kerajaan tergambar melalui keutamaannya dalam
dasar-dasar pembangunan dan pentadbirannya sesuai dengan kehendak tuntutan ayat
Quran Surah An-Nisa ayat ke-58 ini. Lantaran itu, benarlah apa yang dikatakan
kerajaan yang adil akan sentiasa mengutamakan rakyat bawahan yang berada dalam
keadaan yang daif di samping mengalakkan kemajuan golongan pertengahan dan
tinggi.
Tamsilnya, kerajaan yang adil akan
sentiasa bersama rakyat dan kekal dengan sikap dan sifat tegas mereka dalam
menggubal dasar pentadbiran kerajaan persekutuan demi mempastikan hak rakyat
dibahagikan sama rata seperti kata peribahasa, “datar saja lurah dengan bukit” tanpa
perlu adanya sebarang rasuah dan unsur riba dalam pentadbiran. Sebagai contoh,
kerajaan menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi, sumber makanan yang
meluas dan konsep mampu milik diamalkan untuk semua peringkat tanpa perlunya
ada harga keperluan asas yang tinggi bagai mencekik darah rakyat dengan
ditambah pula kos taraf hidup yang semakin bertambah, dan penyediaan kemudahan
penginapan mampu milik serta gaji minima yang sesuai dengan peredaran masa yang
secara tidak langsung menjamin kesenangan dan kebahagiaan hidup rakyat sejagat.
Tambahan lagi, rakyat di bawah pimpinan kerajaan yang mengamalkan konsep negara
berkebajikan yang diambil daripada konsep kerajaan yang adil akan sentiasa
berada dalam keadaan yang tenteram, damai dan aman kerana keyakinan mereka terhadap
kemurahan dan sikap mengambil berat kerajaan yang memimpin mereka. Jelaslah,
kerajaan yang adil akan membawa 1001 manfaat kepada kita semua bertepatan
dengan perintah Allah yang menegaskan kepada pemimpin untuk membina kerajaan
yang berteraskan keadilan demi menyahut tuntutan menuntut kerajaan adil
berdasarkan makna yang terperinci di sebalik ayat ke-58 surah An-Nisa’ ini.
Mari kita lebarkan sayap pemikiran
kita terhadap faktor utama terhadap kebangkitan rakyat Timur Tengah yang
menentang kerajaan dan beberapa ciri negara yang mengamalkan konsep keadilan
melibatkan kerajaan yang memerintah . Berbalik kepada isu Timur Tengah yang
menjadi tajuk utama di dada-dada akhbar sejak akhir-akhir ini, persoalan yang
bermain di fikiran kita sekarang, apakah punca sebenar mereka memberontak menentang
kerajaan sedangkan kita dituntut menghormati dan menyanjung kerajaan yang
memimpin kita? Jawapannya ialah sikap kerajaan yang tidak menghiraukan nasib
rakyat jelata di bawah pemerintahan mereka. Menurut fakta ilmuan penganalisis
politik antarabangsa termasuk di Timur Tengah jelas mengatakan bahawa mereka
memberontak disebabkan kecuaian kerajaan mereka memberikan peluang pekerjaan
yang saksama, kemudahan pendidikan yang selesa, kebajikan perumahan yang wajar
serta penglibatan terbuka dalam penyataan pendapat dan pembangunan negara.
Rakyat merasakan diri mereka dipermainkan dan tidak dihormati oleh kerajaan
sendiri malah lebih teruk kerana merasakan mereka terhina berada dalam negara
sendiri. Ternyata, sesebuah kerajaan yang tidak berakhlak seperti ini akan dibenci
oleh rakyat sejagat.
Seterusnya, negara yang
adil memang dituntut oleh Islam bersesuaian dengan perintah dalam surah
An-Nisa’ ayat ke-58 itu. Konsep negara berkebajikan juga boleh diguna pakai
dalam mencari keadilan memimpin kerajaan. Lantaran itu, beberapa syarat wajib
telah ditetapkan demi mengapai impian membentuk negara yang adil berteraskan
contoh kepada prinsip negara berkebajikan yang diperjuangkan oleh Parti Islam
Se-Malaysia(PAS). Antara syarat-syaratnya adalah negara mestilah ditadbir oleh
pemerintah yang berintegriti atau beriman dan juga rakyat yang berintegriti.
Pembaziran duit rakyat mesti dielakkan demi menggambarkan pemimpin yang
berintegriti. Seterusnya, negara berkebajikan mestilah bercirikan kerajaan yang
wajib memberi pertolongan kepada rakyat yang memerlukan secara adil. Akhirnya, negara
berkebajikan menekankan ciri kepimpinan yang beriman, berakhlak, menepati janji
dan adil untuk semua. Hal inilah yang menjadi tuntutan utama keadilan dan
konsep amanah kepada golongan pemerintah demi kebaikan seluruh pihak. Tambahan
lagi, Islam mewajibkan setiap golongan pemimpin sentiasa berjuang ke arah
penambahbaikan taraf hidup rakyat demi kemaslahatan rakyat di bawah pimpinan
mereka. Hal ini kerana, golongan pemerintah yang berjuang membentuk negara yang
adil segenap aspek akan sentiasa bersifat produktif, bermoral bersih dan amanah
bersesuaian dengan sabda Nabi SAW, “Peniaga-peniaga yang amanah dan jujur akan
dibangkitkan bersama-sama dengan orang-orang yang mati syahid di hari kiamat
nanti”.
Secara tuntasnya, kita
sebagai umat Islam boleh mengutip beberapa pengajaran daripada petikan Quran
surah An-Nisa ayat ke-58 ini dan segala ilmu yang kita perolehi ini mungkin
boleh diguna pakai dalam kehidupan seharian kita sekalian dan diamalkan untuk
kesejahteraan dan kebaikan bersama khususnya mereka yang bergelar pemerintah
dalam membentuk negara yang adil, telus dan amanah daripada segenap aspek. Imam
Ghazali pernah berkata, ‘Ilmu tanpa amal adalah gila dan pada masa yang sama,
amalan tanpa ilmu merupakan suatu amalan yang tidak akan berlaku dan sia- sia’.
Antara pengajarannya adalah
rakyat sepatutnya sedar akan peri pentingnya kerajaan yang adil di bawah konsep
‘Negara Berkebajikan’ yang merupakan salah satu contoh dan model kepada usaha pembentukan
kerajaan yang adil sebagaimana yang dituntut dalam Islam bertunjangkan makna di
sebalik ayat Quran surah An-Nisa’ ayat ke-58 itu. Negara yang adil lebih besar
dan luas kerangkanya dalam meliputi hak rakyat untuk dilayan sama adil, agihan
ekonomi yang adil, hak berpolitik secara bebas, keperluan sosial yang wajib
dipenuhi, pemimpin dan rakyat yang berintegriti dan seterusnya membentuk
kerajaan Malaysia yang sejahtera dalam semua aspek. Sebagai khalifah di bumi
milik Allah ini, kita tidak terlepas daripada memerlukan nasihat, dan nasihat
yang terbaik buat kita adalah datang daripada Allah(Al-Quran) dan
Rasulullah(Al-Sunnah). Maka, jelaslah sifat amanah amat dituntut dalam Islam
dan merupakan sifat yang disukai oleh Allah yang mampu membawa kepada
pembentukan akidah dan takwa dalam usaha
membentuk negara yang adil berteraskan Quran dan Sunnah.
1952 Patah Perkataan.
Tweet
No comments:
Post a Comment