Dasawarsa ini, sering meniti dari bibir ke bibir manusia
di segenap empat penjuru dunia tentang kebimbangan manusia terhadap pemanasan
global dan perubahan iklim dunia. Kebimbangan ini tercetus dek kesannya amat
nyata dengan peningkatan mendadak paras air laut dan glasier yang cepat mencair
di kutub utara. Bagi meminimumkan kesan ini , langkah drastik dan proaktif
perlu diambil oleh kerajaan di peringkat nasional amnya untuk mencari langkah
alternatif dengan memperkenalkan minyak sawit dijadikan bahan api mesra alam.
Keupayaan minyak sawit terbukti boleh dijadikan sebagai
bahan api mesra alam yang mampu menyumbang kepada pembentukan persekitaran yang
lebih bersih. Tambahan lagi, bahan alternatif ini setelah diuji mampu
mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 50 peratus ke udara di
sekeliling kita berbanding bahan api diesel petroleum. Perkara ini telah mangli
ditegaskan oleh Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr.
Choo Yuen May yang dipetik bahawa dengan pengurangan pelepasan GHG ini ke
udara, maka pada masa yang sama akan dapat mengurangkan impak terhadap persekitaran
dan menjadikannya lebih bersih sentiasa.
Penggunaan minyak sawit sebagai bahan bakar alternatif
ini bertepatan dengan visi Dasar BioBahan Api Negara dalam mengalakkan
penggunaan sumber tenaga alternatif yang lebih mesra alam dan berdaya maju bagi
mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil yang semakin hari semakin
menyusut ini. Tambahan lagi, penggunaan minyak sawit ini mampu melonjakkan lagi
gandingan produk mesra alam di mata dunia. Menurut fakta sejarah, hasil kajian
keberkesanan penggunaan bahan api alternatif ini telahpun dilakukan semenjak
tahun 1980-an lagi.
Tidak cukup dengan itu, pada tahun 1990 hingga tahun
1994, syarikat-syarikat permotoran gergasi dunia seperti Jerman dan Mercedez
Benz telah melakukan kajian ke atas keupayaan minyak sawit ini dan hasilnya
mereka mendapati bahawa penggunaan minyak sawit sesuai digunakan untuk enjin
diesel. Hal ini telah diperkukuhkan lagi oleh Timbalan Pengarah Institut
Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Universiti Putra Malaysia (UPM),
Prof. Madya Dr. Ahmad Ainuddin Nuruddin yang berkata, pembakaran bahan api
menggunakan minyak sawit ini lebih efisien berbanding dengan diesel petroleum
yang sekaligus dapat membantu mengurangkan pelepasan GHG ke udara berbanding
kenderaan yang tidak mempunyai sistem pembakaran bahan api yang lebih efisien. Hal
ini jelaslah menunjukkan bahawa minyak sawit merupakan bahan bakar mesra alam
yang boleh dikomersialkan suatu hari nanti di peringkat nasional secara menyeluruh.
Bagi melestarikan misi dan visi ini, MPOB telah diberi
tanggungjawab dalam melaksanakan dan menjalankan kajian berkenaan minyak sawit
ini dan hasilnya, MPOB telah bergerak seiring dengan impian dan harapan negara
melalui usaha MPOB dengan memperkenalkan program B5 dalam penggunaan minyak
sawit sebagai bahan alternatif mesra alam yang lebih bersih secara total untuk
dikomersialkan. Langkah drastik MPOB ini sejajar dengan komitmen kerajaan dalam
usaha untuk mengurangkan secara sukarela pelepasan intensiti GHG kepada
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 40 peratus menjelang tahun 2020
berdasarkan kadar pelepasan GHG pada tahun 2005.
Sebagai langlah percubaan, program B5 telah
diperkenalkan di peringkat agensi kerajaan sejak tahun 2009 yang melibatkan
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Bandaraya Kuala Lumpur. Hal ini adalah amat
penting bagi meminimumkan sebanyak mungkin pelepasan GHG ke udara agar kita dikelilingi
persekitaran yang sihat sejahtera hendaknya. Bukti yang jelas dan terkini
berkaitan dengan perkara ini menunjukkan jumlah GHG yang dihasilkan oleh
manusia telah menyebabkan pemanasan global yang melampau sehinggakan
peningkatan sebanyak 0.3 daripada 0.7 darjah Celcius sejak tahun 1800 lagi.
Dan begitulah di antara satu analogi daripada ribuan langkah
yang dilakukan oleh kerajaan melalui agensi MPOB amnya dalam memperkenalkan
minyak sawit sebagai bahan api mesra alam ini di semua peringkat agensi kerajaan
dan bukan kerajaan yang secara tidak langsung diharap dapat mengurangkan
pelepasan kadar GHG ke udara di sekeliling kita.
Intihanya, minyak sawit adalah merupakan bahan api mesra
alam yang menyumbang kepada banyak faedah dalam melestarikan lagi bumi kita
ini. Diharap agar minyak sawit boleh dikomersialkan ke tahap yang lebih tinggi
dalam menjayakan konsep mesra alam ini amnya. Semoga perkara ini menjadi titik
tolak kepada lahirnya alam yang bersih sepanjang masa.
598 Patah Perkataan.
Tweet
No comments:
Post a Comment