Dewasa
ini, inovasi atau cetusan idea kreatif
dan kritis dilihat menjadi faktor perdana yang mampu mencanaikan kreativiti dan
produktiviti sistem penyampaian perkhidmatan tersebut khususnya dalam sektor
awam. Secara umumnya, skop bagi budaya inovasi ini amatlah luas yang boleh
merangkumi teknologi, prosedur kerja, sistem, proses, perkhidmatan, produk dan
sebagainya. Malah, sejak kebelakangan ini juga, pendekatan ke arah inovatif dan
kreatif amatlah diperlukan dalam menambahbaikan tahap kecekapan, keefisienan
dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan yang dilihat turut
selari dengan harapan rakyat marhaen
yang sentiasa dahagakan perkhidmatan terbaik yang ingin ditunjukkan oleh pihak
kerajaan.
Oleh
hal yang demikian, setelah meneliti dan mengkaji hingga
peringkat akar umbi, maka segala persoalan dan pendapat yang menyatakan
bahawa budaya inovasi dan idea-idea kreatif perkhidmatan awam mampu menjana dan
merangsang transformasi ekonomi negara yang mampan menjelang tahun 2020 akan
dihuraikan dengan lebih terperinci lagi demi kebaikan bersama kerana kalau baik
buat teladan, kalu tak baik buat sempadan.
Budaya
inovasi dan kreativiti pada umumnya adalah merupakan transisi terbaik bagi
sektor awam dalam membuka lembaran baru kepada penyediaan perkhidmatan yang
cepat, tangkas, dan berkesan selain mampu meningkatkan dan memartabatkan lagi daya
saing negara di persada dunia sekali gus dapat melahirkan prosedur kerja yang
kemas, selaras dan cekap setiap masa. Bahkan, perkara ini secara tidak langsung
dapat menutup ruang dan peluang kepada berlakunya rasuah, penyelewengan dan
salah guna kuasa dalam setiap pengurusan sesebuah organisasi kerajaan itu amnya.
Pada
ghalibnya, apa sahaja makanisme yang dirancang kerajaan dalam meningkatkan
prestasi dan kualiti perkhidmatan bagi memenuhi keperluan serta kehendak
pelanggan atau rakyat, faktor utama yang menjadi kayu ukur kepada kejayaan
pelan transformasi yang dirancang ini hanyalah bergantung kepada sikap anggota
perkhidmatan itu sendiri yang mahu mengubah diri mereka ke arah yang lebih baik
kerana benarlah firman Allah dalam Surah Al-Arad ayat ke-11 yang berbunyi, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum
itu sehinggalah kaum itu mengubah nasib mereka sendiri.
Hal
ini turut mangli dijelaskan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk
Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya pada majlis Perdana Perkhidmatan Awam
Kesebelas (MAPPA XI
) antara yang lainnya menyebut, mahu tidak mahu, setiap daripada penjawat awam
mestilah berfikiran di luar kotak fikiran dalam mengelakkan budaya ‘automation’
menjadi salah satu hakikat kehidupan dalam sektor awam. Malah, beliau turut
menjelaskan bahawa, kita hendaklah sentiasa berfikiran kritis dan konstruktif
dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah dengan mencari penyelesaian kreatif
dan inovatif di luar kelaziman seseorang itu selama mana mereka berkhidmat
dalam perkhidmatan awam tersebut.
Selain
itu, sektor awam perlulah menjadi pemangkin dan uswah terbaik kepada
perkembangan yang ditunjukkan oleh sektor swasta. Hal ini bertujuan untuk
memastikan ekonomi negara berada dalam landasan yang sebetulnya bagi memenuhi
aspirasi untuk menjadikan negara Malaysia sebagai negara yang maju dan
berpendapatan tinggi selaras dengan misi kudsi Wawasan 2020 yang diperkenalkan
oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 28 Februari
1991 itu.
Justeru,
aspek budaya kerja berprestasi tinggi perlulah ditekankan sepenuhnya dalam
perkhidmatan awam sepanjang masa. Antaranya adalah menerusi penciptaan
kreativiti dan inovasi dalam memastikan proses urusan kerja seharian menjadi
lebih tepat, mudah dan cepat amnya. Selain itu juga, berusahalah kita untuk
mengelakkan diri daripada terwujudnya ‘Napoleon Kecil’ dalam sesebuah
organisasi kerana perkara ini akan menjadi faktor penghalang yang utama kepada
proses pemikiran kreatif dan inovatif yang ingin diwujudkan dalam setiap
organisasi perkhidmatan awam. Malahan, sistem dan prosedur kerja yang tidak
disertai dengan elemen-elemen inovasi akan menyebabkan perkhidmatan awam berada
di tahap lama dan terus kekal tanpa sebarang perubahan yang membina ke arah
sistem perkhidmatan yang terbaik sebagaimana yang telah diharap-harapakan oleh
pihak kerajaan selama ini kerana perkhidmatan yang buruk ditunjukkan oleh
seseorang itu akan melahirkan stigma negatif orang awam terhadap kualiti
perkhidmatan pada masa yang akan datang.
Lazimnya,
apabila suasana kreatif dan inovasi tidak dapat diwujudkan dalam setiap
pengurusan organisasi perkhidmatan awam, pekerja kontemporari akan berasa sukar
untuk melahirkan pendapat dan menyumbang idea serta pemikiran mereka kepada
setiap organisasi masing-masing. Masakan tidak, ketua dan majikan yang terlalu
mengamalkan sistem autokratik akan menyebabkan pekerja bawahan berasakan diri
mereka tidak pernah dihargai apabila mereka melontarkan sesuatu idea atau
pendapat dalam usaha penambahbaikan sistem penyampaian organisasi tersebut.
Perkara ini perlulah dielakkan sama sekali kerana idea inovatif dan kreatif
boleh terhasil tanpa mengira pangkat atau kedudukan walaupun daripada pekerja
sokongan sekalipun.
Dalam
kesibukan kita menongkah arus globalisasi yang penuh dengan cabaran ini,
masalah birokrasi atau sistem pemerintahan yang dikendalikan oleh
pegawai-pegawai (yang tidak dipilih oleh rakyat) perlulah dielakkan kerana
perkara ini akan menyebabkan proses pembentukan persekitaran kreatif dalam
perkhidmatan awam tidak akan berlaku sama sekali selain akan mendatangkan kesan
negatif kepada sesebuah organisasi tersebut. Ironinya, ruang untuk berkreatif
juga tidak akan wujud jika sekiranya suasana dan persekitaran pekerjaan itu
sangat mengikut rutin, protokol dan prosedur kerja yang terlampau ketat yang
mampu membunuh kreativiti seseorang pekerja tersebut. Andaikan perkara ini
berlaku dalam suasana perkhidmatan sektor awam hari ini, maka segala idea atau
pendapat yang baik mana sekali pun akan terus melalui proses lama sebelum
diterima di peringkat atasan.
Tamsilnya,
dalam sesebuah jabatan atau organisasi mutakhir ini, mungkin ada di antara para
pegawai atau kakitangan serta pekerja-pekerja sokongan yang mempunyai banyak
idea kreatif dan cadangan yang kontruktif
yang mahu dilontarkan kepada pihak pengurusan organisasi. Namun, apa yang
malangnya adalah, idea itu terus terkubur dan mati begitu sahaja dek tertutupnya
bagi mereka ruang dan peluang untuk menyampaikan idea disebabkan pelbagai faktor
yang menghalang. Contohnya, faktor sikap, budaya kerja, kedangkalan
pengetahuan, politik pejabat, sikap mengampu, takut kepada kritikan, mengelak
risiko dan kesilapan, gaya pengurusan ketua jabatan atau ketua yang terlalu
autokritik serta masalah komunikasi dalam jabatan atau organisasi yang telah menyebabkan
terkuburnya idea-idea yang bernas itu dalam sesebuah organisasi. Akibatnya,
sesebuah organisasi tersebut akan terus berada kekal di takuk lama sepanjang
masa.
Kesimpulannya,
perkhidmatan awam perlulah lebih kreatif dan inovatif dalam merancakkan lagi
pelan dan program transformasi ekonomi negara ke arah pencapaian ekonomi negara
berpendapatan tinggi yang lebih seimbang dan mantap selari dengan sasaran pendapatan per kapita sebanyak
AS$15,000-AS$20,000 yang ingin dicapai menjelang tahun 2020. Sesungguhnya, memang tidak dapat dinafikan
lagi bahawa, pihak pengurusan jabatan memainkan peranan yang amat signifikan
dalam usaha untuk memupuk budaya kreativiti dan inovasi dalam sesebuah jabatan
tersebut. Pengisytiharan tahun 2010 sebagai tahun inovasi contohnya adalah
merupakan batu loncatan kepada lahirnya usaha-usaha yang membina ke arah
kualiti perkhidmatan yang terbaik di samping bertujuan untuk meningkatkan lagi
kesedaran dan memupuk budaya inovasi perkhidmatan awam ke arah penghasilan
kekayaan, penjanaan ilmu yang menyeluruh demi kesejahteraan sejagat.
Apa
yang paling penting adalah, sinergi daripada
semua pihak perlulah dipupuk umpama sakit sama mengaduh dan luka sama menyiuk
bagi membentuk suatu anjakan paradigma yang menjamin kepada kelangsungan
kecemerlangan perkhidmatan awam yang bebas daripada masalah birokrasi yang
menekan demi kepentingan semua pihak amnya. Biarlah matahari terus bersinar,
biarlah pepohon terus menghijau dan biarlah sektor awam dalam negara ini terus
gemilang dalam mengharungi persekitaran ekonomi yang tidak menentu sejak
akhir-akhir ini. Rentetan itu, berusahalah
kita dalam menjauhi sifat jumud seperti katak di bawah tempurung dengan melazimi
sifat keterbukaan tidak kiralah apa sahaja jawatan anda dalam sesebuah
organisasi tersebut untuk kita bersama-sama berganding bahu dalam
merealisasikan impian dan harapan kerajaan yang sentiasa menginginkan
perkhidmatan awam berada pada landasan yang sebetulnya dalam setiap aspek
perkhidmatan kerana perkara ini persis dengan peribahsa Melayu yang berbunyi, tak ada gunung yang tinggi yang tak dapat didaki, tak ada
lurah yang dalam yang tak dapat dituruni. Fikir-fikirkanlah.
“Kejayaan
agenda transformasi ini pastinya menuntut supaya perkhidmatan awam beralih dari
paradigma lama bagi membentuk budaya baru yang mengutamakan inovasi dan
penciptaan serta pemerkasaan intelektual
dan profesionalisme.”
(Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri
Sidek Hassan)
1199 Patah Perkataan
Tweet
No comments:
Post a Comment