Kebelakangan ini, isu kebejatan moral dalam
kalangan pemuda dan pemudi marcapada sering menjadi polemik yang hangat
dibicarakan seluruh penduduk bumi di segenap empat penjuru dunia termasuklah
juga di Malaysia. Umum mengetahui, faktor perdana yang menjurus kepada
berlakunya masalah sosial dan susila ini adalah tidak lainnya disebabkan kurangnya
kasih sayang kedua-dua ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Ironinya, hal ini mencetuskan
kerenggangan kepada hubungan kekeluargaan dalam sesebuah keluarga tersebut yang
akhirnya mengakibatkan keruntuhan moral golongan remaja yang semakin hari semakin
membimbangkan semua.
Malah,
statistik pada tahun 2010 yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan,
sebanyak 4097 kes remaja lari daripada rumah membabitkan remaja-remaja seawal
usia 13 hingga 17 tahun amnya. Hal ini melontarkan persoalan yang cukup penting
untuk kita fikirkan secara bersama akan peri pentingnya untuk kita mengeratkan
lagi ikatan kekeluargaan yang telah terbina ini agar remaja tidak lagi dikongkong
masalah hedonistik seperti suka berfoya-foya dan mencari keseronokan sendiri dengan
aktiviti-aktiviti tidak berfaedah yang ternyata boleh mengundang kepada penglibatan
mereka secara tidak langsung dengan masalah keruntuhan moral dewasa ini.
Seyogia
diingatkan, fenomena ini perlulah dicegah bermula daripada peringkat akar umbi
lagi agar kita berupaya menyelamatkan golongan remaja kontemporari agar tidak
terus bergelumang dalam lembah kehinaan ini akibat kedangkalan ilmu pengetahuan
mereka sendiri. Sesungguhnya, tiada ubat yang tiada penawarnya, maka segala
langkah yang konkrit, pragmatik dan sistematik melibatkan kolaborasi erat di
antara diri sendiri, ibu bapa, masyarakat dan pihak kerajaan haruslah
diimplementasikan secara konsisten agar wasilah kekeluargaan yang lebih erat
boleh terjalin bahagia hendaknya.
Pertamanya,
anak-anak boleh menerapkan amalan untuk meminta izin ibu bapa terlebih dahulu
sebelum mereka keluar daripada rumah masing-masing kerana amalan sebegini
diakui mampu mempereratkan lagi hubungan kekeluargaan yang terjalin di antara
ibu bapa dan anak-anak itu sendiri. Malahan, hal ini penting agar ibu bapa
tidak merasakan risau akan keselamatan anak-anak yang keluar daripada rumah
sementara senario ini akan memudahkan lagi ibu bapa untuk mengetahui apa-apa
sahaja yang dilakukan oleh anak-anak mereka, dengan siapa mereka berkawan dan
sebagainya. Oleh hal yang demikian, jelaslah anak-anak haruslah memberitahu ibu
bapa sepatah dua kata terlebih dahulu sebelum keluar daripada rumah agar
hubungan kekeluargaan yang erat boleh terjalin semestinya kelak.
Selain
itu, ibu bapa hendaklah melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebagai
pemimpin sesebuah kulawarga kerana sesungguhnya kedua-dua ibu bapa adalah merupakan
murabbi pertama bagi anak-anak sementalahan interaksi di antara ibu bapa dan
anak-anak haruslah sentiasa diwujudkan agar anak-anak tidak merasakan diri
mereka dipinggirkan terutamanya ketika mereka dilanda masalah dalam kehidupan
seharian. Ingatlah, cukup berdosa orang
yang menyia-nyiakan tanggungjawab keluarga (Hadis Riwayat Abu Dawud). Malah,
sudah menjadi tanggungjawab ibu bapa menjadi pendengar yang setia sekiranya
anak-anak ingin meluahkan perasaan dan kemelut yang dialami mereka. Hal ini
penting dalam usaha membibitkan benih-benih kasih sayang dan pertalian
kekeluargaan yang erat dalam sesebuah keluarga tersebut agar segala bentuk kekangan yang dihadapi
dalam kalangan ahli keluarga dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya.
Tambahan
pula, amalan makan bersama-sama dengan ahli keluarga juga turut merupakan batu
loncatan kepada lahirnya keluarga bahagia selain berupaya memperkukuh lagi ikatan
kekeluargaan yang terjalin sesama ahli keluarga itu sendiri. Hal ini seterusnya
boleh mewujudkan perasaan kasih sayang yang teguh dalam diri ahli keluarga
masing-masing kerana sesungguhnya, Rasulullah SAW bersabda, “Ajarkanlah
anak-anakmu itu tiga perkara: mencintai Nabi kamu, mencintai kaum keluarganya
serta membaca Al-Quran” (Riwayat Ad-Dailami). Tegaslah, ibu bapa memainkan
peranan yang amat signifikan dalam menunaikan obligasi masing-masing untuk
mendidik anak-anak agar wujudnya hubungan kekeluargaan yang diwarnai dengan sifat
kasih sayang yang utuh selain diselitkan pula dengan erti kebahagian keluarga
yang sebenarnya demi kepentingan semua pihak.
Sementara
itu, golongan murba juga boleh bersama-sama menggembleng tenaga dalam menjayakan
usaha-usaha ke arah merapatkan lagi hubungan kekeluargaan hari ini. Misalnya,
beberapa langkah yang efisien boleh diimplementasikan dalam kalangan masyarakat
konvensional terutamanya dengan mengimarahkan aktiviti-aktiviti berfaedah untuk
disertai kaum keluarga seperti penganjuran hari keluarga, temasya sukan dan
sebagainya sekali gus hal ini bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara sesama
ahli keluarga yang lain.
Selain
dapat merapatkan tali silaturrahim dalam kalangan masyarakat glokal, aktiviti
sebegini mampu menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat tempatan terutamanya
seperti semangat saling berkerjasama dalam apa jua kondisi sekalipun termasuklah
dalam hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan dan keharmonian masyarakat
setempat malar-malar sinergi erat antara ahli keluarga semasa mengadakan pertandingan
ini juga adalah merupakan wadah utama kepada pengukuhan hubungan kekeluargaan
masa kini. Dengan itu, jelaslah bahawa masyarakat juga memainkan peranan
penting dalam memperkukuhkan hubungan kekeluargaan alaf ini dengan mendasari
beberapa langkah yang sistematik untuk diterapkan dalam kalangan masyarakat selain
perkara ini bertujuan untuk mendidik kita semua agar seia sekata bak sekebat
bagai sirih dalam apa jua keadaan sekalipun besok lusa.
Seterusnya,
tindakan secara kolaboratif yang dimainkan oleh pihak kerajaan dalam usaha
untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan amatlah ditagih oleh semua pihak sekarang
ini. Masakan tidak, pihak kerajaan boleh menggunakan beberapa pendekatan yang
efektif bersesuaian dengan maslahat orang ramai terutamanya dengan mengadakan
kempen-kempen yang bersifatkan kekeluargaan demi mengeratkan lagi hubungan
dalam sesebuah keluarga masyarakat tersebut selain usaha-usaha ini juga adalah merupakan
instrumen yang paling sistematik untuk dilaksanakan dalam meniupkan gelombang
kesedaran masyarakat akan peri pentingnya bagi kita memiliki hubungan antara ahli
keluarga yang erat setiap masa.
Tamsilnya,
perlaksanaan kempen-kempen di peringkat nasional seperti Kempen Cuti-Cuti 1Malaysia
adalah merupakan uswah terbaik dalam usaha kerajaan untuk merapatkan lagi
hubungan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat mutakhir ini. Malah, hal ini turut
mengalakkan ibu bapa untuk membawa ahli keluarga mereka keluar melancong ke
tempat-tempat menarik dalam negara ini selain aktiviti melancong juga banyak
mendatangkan pelajaran berguna kepada diri sendiri dan juga keluarga
masing-masing persis pesanan Ali bin Abu Thalib, “Keluarlah dari negaramu bagi mencari sesuatu yang berharga:
Bermusafirlah kerana bagi musafir itu, ada lima kelebihan. Terlepas daripada
kerumitan, dapat memartabatkan kualiti hidup, kaya dengan ilmu dan pengalaman,
berpengetahuan luas tentang adab dan budaya serta, mendapat ramai kenalan.”
Jelaslah,
memang tidak dapat disangkal lagi bahawa, pihak kerajaan juga turut menyumbang
peranan yang amat penting dalam usaha untuk mengeratkan lagi hubungan
kekeluargaan saat ini dengan mengambil langkah sederap mengkodifikasikan beberapa
undang dan dasar yang berkaitan agar masyarakat marcapada sedar akan peri
pentingnya untuk kita mencanaikan hubungan kekeluargaan yang lebih harmoni dan
erat sepanjang masa.
Tuntasnya,
terdapat banyak langkah yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian masyarakat
kini terutamanya dalam usaha untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan yang
telah terjalin itu agar tidak sirna ditelan zaman yang pantas berlalu ini. Sesungguhnya,
terdapat seribu satu kebaikan yang boleh dikutip sekiranya setiap daripada ahli
keluarga memainkan peranan masing-masing dan selalu menitikberatkan soal
hubungan kekeluargaan yang lebih erat pada setiap masa amnya.
Malah,
integrasi erat di antara pihak kerajaan, masyarakat dan diri sendiri dalam
mempraktikkan beberapa langkah dinamik ke arah memanifestasikan hubungan
kekeluargaan yang lebih erat juga merupakan faktor dominan kepada lahirnya keluarga bahagia untuk manfaat
generasi mendatang. Biarlah
matahari terus bersinar, biarlah pepohon terus menghijau dan biarlah hubungan
kekeluargaan yang lebih erat dapat diwujudkan pada ketika ini agar kita dapat
mempersiapkan diri dalam mengharungi masa depan yang sentiasa menjanjikan
cabaran di luar jangkaan ini.
Rentetan
itu, ayuh kita mengorak langkah dengan
menjauhi sifat jumud seperti katak di bawah tempurung dengan melazimi sifat keterbukaan
tidak kiralah siapa sahaja kita pada hari ini untuk bersama-sama berganding
bahu dalam merealisasikan impian sesebuah keluarga yang sentiasa menginginkan
hubungan kekeluargaan itu akan terus kekal berada pada landasan yang sebetulnya
dalam segenap aspek kebaikan kerana persis aforisme, tak
ada gunung yang tinggi yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang dalam yang tak
dapat dituruni. Fikir-fikirkanlah.
“Keruntuhan keluarga telah melahirkan
generasi yang lemah”
(Oleh: Rahmohan Ghandi)
1187 Patah Perkataan
No comments:
Post a Comment