Sedasawarsa
ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru
dunia ini tentang isu keretakan institusi keluarga yang mengakibatkan sesebuah
keluarga itu berada dalam keadaan yang tidak stabil dengan dibebani oleh banyak
masalah keluarga terutamanya kes-kes penceraian yang berlaku dalam negara kita
amnya. Keluarga yang mengalami keretakan dalam institusi keluarga mereka akan
mengakibatkan kebahagiaan keluarga itu sudah pasti akan beransur-ansur musnah
sedikit demi sedikit tanpa kita sedari.
Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,
Dato` Seri Shahrizat Abdul Jalil, keluarga bahagia merupakan asas kepada
pembentukan masyarakat penyayang. Beliau juga mengatakan bahawa dengan
pembentukan keluarga bahagia, masyarakat dapat hidup dalam keadaan yang aman
dan harmonis tanpa pertelingkahan serta perselisihan faham. Memang tidak dapat
dinafikan,
keretakan institusi keluarga berpunca daripada beberapa masalah yang berlaku
dalam keluarga itu sendiri.
Namun, segala
masalah itu patut diselesaikan secara berhemah dengan melibatkan perbincangan
yang sesuai dengan keadaan kerana konflik adalah bahagian yang tidak dapat dielakkan
dalam kehidupan berkeluarga, (Patricia Noller dan Mary Anne Fitzpatrick,1993). Setelah
meneliti dan mengkaji sehingga akar umbi berkenaan kajian kes penceraian dalam
keluarga di Malaysia ini, saya bersetuju dengan pandangan kecil saya bahawa
keluarga impian saya adalah keluarga bahagia bertepatan dengan konsep dan
falsafah yang berbunyi, ‘rumahku, syurgaku dan saya yakin setiap individu dalam
sesebuah institusi keluarga mahupun masyarakat di sekeliling haruslah memikul
dan melaksanakan kewajipan untuk mewujudkan keluarga bahagia senantiasa.
Ayuh kita
melangkah masuk kepada pengertian dan definisi yang sebenarnya berkaitan
hal-hal membentuk keluarga yang bahagia dengan lebih lanjut lagi. Seperti yang
telah kita telah maklumi, keluarga adalah merupakan satu perkataan yang berasal
daripada bahasa Sansekerta yakni daripada perkataan kula dan warga “kulawarga”.
Perkataan ini adalah beerti “anggota” ataupun “kelompok kerabat” yang secara
umumnya, keluarga adalah lingkungan yang mempunyai beberapa orang yang masih
memiliki hubungan darah dan mempunyai sifat bersatu. Dalam erti kata yang lain,
institusi keluarga bolehlah dikategorikan sebagai satu unit
manusia yang meliputi ayah, ibu dan beberapa orang anak. Ada juga keluarga yang
mempunyai bilangan orang tua yang lebih banyak seperti datuk, nenek, dan pak
cik serta mak cik pula.
Menurut Salvicion dan Ara Celis pula, keluarga adalah yang
mempunyai dua atau lebih daripada dua individu yang tergabung karana hubungan
darah, hubungan perkawinan atau pengangkatan dan hidupnya mereka ini dalam suatu
rumah tangga dan pada masa yang sama dapat berinteraksi antara satu sama lain
dan mempunyai perannya masing-masing dan menciptakan serta mempertahankan suatu
kebudayaan.
Daripada pengertian di atas, dapatlah kita membuat
kesimpulan bahawa institusi keluarga adalah unit terkecil daripada dalam
kalangan masyarakat yang terdiri daripada dua atau lebih orang. Manakala, hubungan
ahli keluarga mestilah dikonsepsikan daripada adanya ikatan perkawinan atau
pertalian darah yang hidup dalam satu rumah tangga dan secara tidak langsung
akan berada di bawah asuhan seseorang ketua rumah tangga yakni ibu dan bapa
mereka sendiri. Tambahan lagi, akan wujudnya interaksi di antara sesama anggota
keluarga dan setiap anggota keluarga mempunyai peranan dan tanggungjawab
masing-masing yakni diciptakan bagi mempertahankan sesuatu kebudayaan.
Ayuh kita lensakan skop pemikiran kita dengan beralih pula
kepada peranan semua pihak bagi merealisasikan harapan demi mengejar impian
membentuk keluarga yang bahagia sepanjang masa dengan mendalami segala bentuk
peranan ini demi kecemerlangan dan kebahagiaan keluarga yang bahagia kelak.Pada
realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang
amat penting dalam membentuk dan mewujudkan serta mengamalkan konsep
kebahagiaan dalam kehidupan keluarga mereka. Hal ini kerana, ibu bapa merupakan
antara asas kepada pembentukan keperibadian dan sahsiah anak-anak mereka. Namun,
sikap sesetengah ibu dan bapa terlalu mengejar dunia dengan tidak menghiraukan
anak-anak mereka di rumah haruslah dielakkan demi membentuk keluarga yang
bahagia sepanjang masa kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.
Tambahan
lagi, anak diibaratkan sebagai sehelai kain putih dan menjadi tanggungjawab ibu
bapalah yang akan menjadi jurutera kecil ataupun sebagai guru terdekat untuk
mencorakkan masa depan anak-anak mereka sama ada seindah warna pelangi atau
semalap masa depannya. Hal ini turut ditegaskan dalam Al-Quran bahawa setiap
anak yang dilahirkan adalah bersih dan kedua ibu bapalah yang mencorakkan sama
ada menjadi Majusi atau Yahudi. Selain itu juga, ibu bapa haruslah menunjukkan
teladan yang baik di hadapan anak-anak.
Masakan
tidak, adakah seseorang anak akan menghormati ibu dan ayahnya di rumah jika
sekiranya ibu dan ayah mereka tidak menghormati mereka dengan hanya sibuk
mengejar karier masing-masing, bersosial dengan rakan-rakan serta sibuk
mengumpul harta kekayaan? Maka dengan sebab itulah, persoalan sebegini rupa
tidak seharusnya dipandang enteng oleh ibu dan bapa dan sekaligus seseorang
anak harus diberikan perhatian oleh setiap ibu bapa dengan belaian kasih
sayang.
Hal ini
kerana, hak dan nafkah anak-anak haruslah dilaksanakan oleh ibu dan bapa agar kita
dapat sama-sama membentuk keluarga yang bahagia. Saya yakin rakyat Malaysia
mengenali peribahasa yang berbunyi, bagaimana acuan, begitulah kuihnya.Janganlah kita terlalu rakus untuk mengejar fatamorgana dengan mementingkan aspek kebendaan namun
kehidupan keluarga di rumah diabaikan tanpa sebarang peluang dan ruang untuk
bermesra dengan anak-anak. Malahan, hukuma-hakama Arab pernah mengatakan anak- anak
yang kehilangan kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim
Selain daripada itu juga, masyarakat haruslah memainkan
peranan penting dalam pembentukan keluarga yang bahagia. Hal ini kerana, masyarakat
adalah merupakan antara elemen dan katalis yang amat penting dalam menentukan kejayaan
pembentukan seseorang individu yang kamil dan seterusnya menyumbang kepada
pembentukan keluarga bahagia amnya dengan menjauhi sifat jumud seperti katak di
bawah tempurung. Tambahan lagi, masyarakat di sesuatu kawasan tersebut mestilah
sentiasa mengamalkan sikap bekerjasama dalam memberi khidmat bakti antara satu
sama lain dengan mendasari kata-kata peribahasa yakni seperti aur dengan
tebing.
Sebagai analoginya, jika anggota kumpulan kecil masyarakat
di sesebuah kawasan itu hendak mengadakan majlis seperti kenduri, gotong-royong
atau hal-hal yang berkaitan dengan sukaneka, jiran atau masyarakat di kawasan
sekitar seharusnya pergi untuk menghulurkan bantuan dengan bersikap seperti
ringan tulang dan tidak pula hanya memandang dengan sebelah mata sahaja. Hal
ini secara tidak langsung dapat meringankan sedikit sebanyak bebanan kerja
untuk mengadakan majlis seperti itu bak kata pepatah, berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing .
Ketika pada musim perayaan pula, penduduk haruslah mengadakan
rumah terbuka secara bersama–sama dengan mendasari konsep dan amalan
kunjung-mengunjung yang sejak sekian lama dipraktikkan oleh masyarakat kita pada
zaman dahulu kala. Malahan, penduduk
yang menghadiri majlis rumah terbuka bersama ahli keluarga mereka secara tidak
langsung dapat menjalinkan semangat ukhuwah
yang baik di antara penduduk setempat kerana semua ini adalah merupakan
jambatan emas kepada pembentukan keluarga yang bahagia, harmoni dan selesa amnya.
Pada
realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa penduduk di sesuatu kawasan tempat tinggal seyogianya
menubuhkan kelab rukun tetangga bagi menjamin keselamatan penduduk setempat. Ahli
keluarga yang telah dewasa digalakkan untuk melibatkan secara aktif dengan
menyertai kelab ini dalam uslub mewujudkan kawasan tempat tinggal yang selamat
secara total tanpa jenayah melibatkan segenap penjuru kawasan setempat yang
terlibat.
Sudah menjadi fitrah bagi seseorang remaja yang baru berusia
setahun jagung dan berdarah setampuk jagung akan melibatkan diri ke dalam
kancah gejala sosial disebabkan pengaruh rakan sebaya dan budaya kuning
daripada barat yang tidak dikawal saban hari ini, namun seharusnya masyarakat
harus lebih peka dalam usaha untuk membendung gejala sosial seperti
penyalahgunaan dadah, vandalisme dan gengsterisme dalam kalangan remaja. Perkara ini akan menjamin remaja menelusuri
penitian jalan hidup yang betul bagi menjadi individu yang berkualiti dan
mengharumkan nama keluarga.
Menurut
kata mutiara saujana, “Jika ingin melihat masa hadapan
sesebuah negara, lihatlah remajanya pada hari ini.” Soekarno
juga pernah mengungkap,”Berikan saya 10 belia waja,
nescaya akan saya gegarkan dunia.” Nyatanya, remaja yang
berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa. Sebagai intihanya, masyarakat memainkan peranan yang
penting dalam usaha membentuk keluarga bahagia.
Di samping itu juga, pihak kerajaan haruslah menggalas
kewajipan mereka sebagai pemerintah yang berjiwa rakyat dengan melaksanakan
amanah dan tanggungjawab yang setimpal dalam usaha untuk membentuk keluarga
bahagia dalam setiap keluarga di negara kita ini. Pihak kerajaan seharusnya
menguatkuasakan undang-undang yang melibatkan
hak kanak-kanak dan hak keluarga. Bagi membuktikan
perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah Akta perlindungan kanak-kanak 1948 yang pada dasarnya akta
ini telah digubal untuk memberi perlindungan yang semaksimum mungkin kepada
anak-anak yang didera.
Perkara ini dapat melindungi hak kanak-kanak sebagai
individu yang harus menikmati kehidupan yang selamat dan bahagia sepanjang
masa. Ibu bapa sepatutnya mengambil
inisiatif dan langkah yang seoptimum mungkin untuk melindungi kanak-kanak
daripada sebarang penderaan dan pada masa yang sama mendidik mereka menjadi seorang
insan yang berguna meliputi segenap aspek duniawi dan ukhrawi. Dalam pada itu
juga, kerajaan haruslah menyediakan penghargaan kepada ibu dan bapa yang berjaya
mewujudkan keluarga bahagia dalam kehidupan seharian mereka sebagai inisiatif
kerajaan untuk mengalakkan masyarakat madani ini hidup dalam keadaan aman dan
sejahtera senantiasa.
Contoh
yang paling ketara dan paling dekat dengan kita ialah anugerah ibu mithali yang secara tidak langsung dapat mengiktiraf
kejayaan seseorang ibu mentarbiah anak-anaknya menjadi individu cemerlang yang menjurus
ke arah pembentukan modal insan minda kelas pertama yang seimbang daripada segi
jasmani, ekonomi, rohani dan intelek. Albert Einstein juga pernah berkata, agama tanpa
ilmu adalah buta manakala ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Maka dengan sebab
itulah, pendidikan agama yang cukup akan melahirkan seseorang anak yang mampu
membezakan antara yang hak dan batil.
Anak-anak yang berasal daripada latar belakang yang kurang
berkemampuan tetapi mempunyai keputusan pelajaran yang cemerlang haruslah
diberikan biasiswa kepada mereka agar mereka dapat membantu memajukan keluarga
mereka dan seterusnya meningkatkan taraf ekonomi keluarga suatu hari kelak.
Justifikasinya, kerajaan memainkan peranan yang afdal dalam pembentukan
keluarga yang bahagia dan seterusnya menjamin kehormanian dan kesejahteraan
masyarakat.
Natijahnya,
semua pihak berperanan untuk mewujudkan keluarga bahagia dan tidak hanya
terbatas akan peranan yang dimainkan oleh ibu dan bapa sahaja. Institusi
keluarga boleh diibaratkan sebuah bangunan yang terdiri daripada batu bata. Dan
jika bangunan itu mempunyai keretakan dek susunan bata yang tidak teratur, maka
bangunan itu akan tunduk menyembah bumi akhirnya suatu hari nanti.
Jadi,
begitulah diibaratkan keluarga yang bahagia akhirnya akan berpecah belah kerana
kemusnahan kebahagiaan keluarga yang tidak dikawal dengan kasih sayang dan
peranan yang dimainkan oleh keluarga itu sendiri, masyarakat dan pihak kerajaan
amnya. Kasih sayang, kerjasama, toleransi dan sebagainya jika diadunkan dengan
doa dan rahmat daripada Illahi akan mewujudkan keluarga yang bahagia sentiasa
sepanjang masa.
Mudah-mudahan
keluarga bahagia yang diimpikan oleh saya akan menjadi kenyataan satu hari
nanti dengan diiringi oleh doa dan harapan yang berpanjangan. Maka dengan ini,
saya dapat simpulkan bahawa keluarga bahagia ialah keluarga impian saya.
Sedamai taman Firdausi
Limpahan kasih sayang sejati
Seharum semerbak kasturi
Mengharumi hidup insani
Indahnya damainya
Keluarga yang bahagia
Itulah idaman impian setiap insan
Yang dahagakan belaian
Serta kasih dan sayang
(Petikan Lirik Lagu Keluarga Bahagia
oleh Kumpulan Saujana)
Tweet
No comments:
Post a Comment