“Zakat saham suatu kewajipan”. Begitulah
ungkapan yang seringkali diuar-uarkan di ruangan media massa era ini yang
secara umumnya membincangkan perihal kewajipan bagi mereka yang bergelar para
pelabur ini untuk mengeluarkan zakat-zakat mereka sekalian. Bahkan, memang
tidak dapat disangkal lagi bahawa, setiap saham itu wajib dikenakan zakat ke
atasnya dan ia juga telah diputuskan di sisi syarak bersesuaian dengan
kaedah-kaedah yang diguna pakai dalam zakat perniagaan amnya. Hal ini persis firman
Allah SWT dalam Al-Quran berbunyi, “Wahai orang-orang yang beriman!
Belanjakanlah (zakat) sebahagian hasil usaha kamu yang baik-baik, dan
sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu.” (Al-Baqarah,
267)
Namun, apakah yang ditakrifkan
dengan saham? Saham pada bahasanya merupakan kalimah yang berasal daripada
perkataan Arab bermaksud bahagian yang dimiliki manakala dari segi istilahnya
pula, perkataan saham mengikut kepada Kamus Dewan Edisi ke-4 adalah beerti ‘bahagian dalam modal
sesuatu perniagaan’. Tambahan lagi, menurut istilah dalam Kamus Ekonomi, saham
ditakrifkan sebagai syer ataupun modal sah syarikat yang dicarumkan oleh
pemiliknya.
Maka, dapat disimpulkan bahawa, saham
adalah wang yang dilaburkan dalam sesebuah syarikat atau perniagaan tersebut
bertujuan dijadikan modal bagi bisnes-bisnes yang akan dijalankan besok lusa. Kebiasaannya, terdapat dua
kategori pembahagian saham paling dominan setakat ini yakni saham yang tersenarai
dan tidak tersenarai. Sijil-sijil bagi saham tersenarai seperti di Bursa
Malaysia dan sebagainya, ia mudah untuk dijadikan wang tunai bagi melicinkan
lagi perjalanan jatuh bangun sesebuah syarikat tersebut belakang hari. Lain
pula jika hendak dibandingkan dengan saham tidak tersenarai (ataupun dalam
koperasi) yang menyaksikan sijil-sijil bagi kategori saham seperti ini amatlah
sukar untuk dijadikan wang tunai sekali gus menyukarkan lagi kelicinan
perjalanan sesebuah syarikat tersebut pada hari-hari yang mendatang.
Tambahan pula, pemilik saham lazimnya
bertindak menjadi pemilik bagi sesebuah syarikat itu selain mereka juga memiliki
kuasa veto untuk berkongsi keuntungan ataupun kerugian syarikat tersebut. Dan,
pada kebiasaanya, prestasi ini selalunya diukur melalui pulangan dividen yang
diagihkan dan juga harta atau nilai saham seperti mana yang telah tersenarai di
pasaran saham tersebut.
Dimensi Baharu Pelaburan Saham di
Malaysia
Pada
keseluruhannya, fikah Islam sebenarnya amatlah fleksibel bagi meraikan
perkara-perkara baharu dalam kehidupan seharian golongan murba hari ini. Hal
ini kerana, gaya hidup manusia yang senantiasa berubah-ubah mengikut kehendak
masa dan ketika ini telah menjurus kepada pemerolehan harta masa kini sudah
pasti tampaknya jauh lebih berbeza jika hendak dibandingkan dengan zaman dahulukala
amnya. Dahulunya, manusia mengamalkan sistem barter ketika menjalani proses jual
beli, kini matawang menjadi perantaranya. Bahkan, jika sewaktu purbakala, matawang
yang seringkali digunakan adalah berbentuk emas dan perak (dinar dan dirham), maka,
kini wang kertas (fiat) pula menjadi gantinya.
Jadi,
begitulah antara beberapa contoh kaedah pemilikan harta kekayaan khususnya pada
zaman lampau ini. Namun, berlainan pula jika hendak dibandingkan dengan pemilikan
harta pada alaf ini. Hal ini kerana, kini terdapat 1001 evolusi dalam ekonomi
lantaran memanifestasikan banyak kaedah yang boleh diguna pakai bagi pemilikan
harta baharu termasuklah melalui kategori pemilikan saham ini yang semakin terkenal
dalam kalangan masyarakat setempat sekali gus mencerminkan bagaimana manusia menjadikan
saham sebagai mata pencarian dengan membolehkan manusia mencipta kekayaan
dengan sekelip mata sahaja melaluinya.
Dalam
pada itu juga, di Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti (SC) adalah badan yang
dipertanggungjawabkan dalam mengawal selia pasaran saham ini. Malah, pasaran saham
merupakan mekanisma terbaik kepada proses penyediaan aktiviti dalam penghasilan
dana dan pelaburan jangka masa panjang ini selain ia dapat memperkasakan lagi
kecairan dalam sistem kewangan bagi sesebuah syarikat tersebut. Mutakhir ini
juga, pasaran saham telah mulai berkembang secara aktif dalam kalangan pelabur
yang menyaksikan pelbagai variasi saham dan dana diurusniagakan mengikut kepada
bentuk pasaran saham yang disertai masing-masing.
Antaranya adalah seperti, saham
biasa dan keutamaan, Saham Amanah (kerajaan atau swasta), Saham Amanah Hartanah
(REITs), Dana Dagangan Bursa (ETFs) dan lain-lain lagi. Bahkan, modus operandi untuk
pelaburan seperti ini biasanya melibatkan empat kategori utama bagi produk-produk
yang diniagakan seperti ekuiti (Saham/Unit Trust/ REITs/Index Fund/ ETFs dan
sebagainya), bon dan debentur, derivatif dan juga produk berstruktur.
Zakat Saham Dan
Syarat Wajibnya Terhadap Pelabur Muslim
Berbalik kita kepada mauduk
perbincangan berkenaan zakat saham ini, persoalan yang bermain di gawang minda
kita sekarang, apakah syarat-syarat wajib zakat saham yang dikenakan ke atas
para pelabur Muslim sekarang ini? Jawapannya ialah, zakat saham ini diwajibkan
kepada para pemiliknya yang beragama Islam sahaja dengan syarat, saham yang
dimiliki itu adalah milik sempurna, yakni pelabur Muslim itu mestilah mempunyai
kuasa menjual dan memperoleh manfaat daripada portfolio saham ataupun pelaburan
tersebut. Malah, bagi saham yang dimiliki pihak-pihak tertentu seperti pihak masjid,
surau, atau dana-dana untuk maslahat am dan seumpamanya, tidak wajib zakat
saham itu dikenakan ke atas saham-saham tersebut kerana saham ini dikategorikan
mengikut kepentingan orang ramai dan bukannya milik persendirian.
Selain itu, nisab portfolio bagi
sesuatu pelaburan yang dijalankan itu mestilah cukup nisabnya, iaitu mengikut
kadar nilaian yang bersamaan dengan atau 85 gram emas (20 mithqal). Apabila
nilai bagi pemilikan portfolio pelaburan tersebut bersamaan atau melebihi nisabnya,
maka diwajibkan ke atas para pelabur untuk melaksanakan zakat saham seperti
mana yang telah disyariatkan itu sementalahan, haul bagi saham dan pelaburan
yang lain hendaklah genap setahun dari tempoh pemilikan portfolio pelaburan
(cukup haul), barulah para pelabur Muslim diwajibkan untuk dikenakan zakat
saham ke atasnya nanti. Seyogia diingatkan bahawa, saham yang diterbitkan bagi
tujuan operasi perniagaan teras itu mestilah halal di sisi syarak, jika tidak,
zakat saham yang dikeluarkan itu tidak akan sama sekali diterima oleh-Nya kelak.
Pemupukan Kesedaran
Kewajipan Zakat Saham Berteraskan Dalil
Seterusnya, terdapat banyak
dalil yang menerangkan tentang perihal zakat saham ini sementalahan dalil-dalil
seperti ini tidak lainnya bertujuan untuk mengingatkan para pelabur akan peri
pentingnya untuk kita bersama-sama berganding bahu dalam menunaikan zakat saham
ini kerana sesungguhnya, mengeluarkan zakat itu adalah merupakan kaedah yang begitu
signifikan dalam usaha kita menzahirkan rasa syukur terhadap Allah SWT setelah memperoleh
rezeki melimpah ruah hasil daripada pelaburan saham yang kita sertai ini bersesuaian
dengan pesanan Nabi Muhammad SAW berbunyi, “Bayarlah zakat kekayaan kamu
yang dengannya kamu memperoleh kesenangan” (Riwayat Tabrani daripada Abu
Darda).
Menurut ahli-ahli fuqahak,
apa yang disebutkan sebagai hasil usaha itu adalah segala apa yang diperoleh
sama ada daripada dalam perut bumi ataupun di atasnya mencakupi segala rezeki
yang halal seperti penternakan, perdagangan dan lain-lain lagi. Malah, semua
rezeki ini wajiblah dizakatkan agar segala rezeki yang diperoleh itu dapat
dibersihkan dengan keberkatan zakat yang telah ditunaikan tersebut. Dan, begitulah
juga jika hendak dibandingkan dengan pelaburan saham dewasa ini, selagi mana
saham itu halal, maka wajiblah dikeluarkan zakat sebagai memenuhi perintah Allah
SWT ini. Hal ini
diperkukuhkan lagi dengan hadis diriwayatkan daripada Abi Amru Ibnu Hammas
daripada bapanya, bahawa dia berkata: “Dia menjual kulit dan bekas panah
daripada kulit. Kemudian Umar Ibn Khattab singgah padaku. Dia bertanya:
“Adakah engkau keluarkan sadaqah (zakat) hartamu?” Aku menjawab: “Ya
Amirul Mukminin, sesungguhnya ia adalah kulit.” Umar berkata: “Taksirlah
kemudian keluarkan sadaqahnya.”
Sementara itu, Ibnu Asyir (1300-1362), seorang wali tersohor
pada suatu ketika dahulu pernah mengungkapkan erti sebenar kekayaan menurut kepada
pandangan beliau dengan menyatakan, “kekayaan pada mulanya beerti emas dan
perak; tetapi kemudian berubah pengertiannya menjadi segala barang yang
disimpan dan dimiliki”. Hal ini secara izharnya telah memberikan indikator
terbaik kepada kita bahawa, walaupun apa sahaja namanya, selagi mana ia adalah
kekayaan, maka hendaklah dikenakan zakat ke atasnya berteraskan kepada
syarat-syarat wajib yang telah ditetapkan oleh agama Islam ini amnya.
Bahkan, bagi memudahkan orang ramai, para ulama
mutakhirin menjelaskan,
saham sebenarnya pembuka jalan kepada terjadinya sesuatu perniagaan tersebut.
Dan, jika sekiranya ada dalam kalangan pelabur zaman ini memperniagakan saham
tersebut, nescaya saham itu sudah dikira sebagai barang yang telah
diperdagangkan. Natijahnya, akan wujudnya pula kewajipan bagi para pelabur
Muslim itu untuk mengeluarkan zakat-zakat mereka sebagaimana perkara ini bertepatan
dengan hadis yang diriwayatkan Rasulullah SAW daripada Samrah, bahawa: “Adalah Rasulullah SAW menyuruh kami
mengeluarkan zakat daripada barang-barang yang disediakan untuk jual beli.”
(Riwayat Abu Daud).
Malah, ada afdalnya jika sekiranya kita
mengambil iktibar daripada pesanan yang disampaikan oleh Saidina Ali, bahawa
beliau mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda: "Apabila kamu
mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5
dirham. Dan tidak diwajibkan mengelurkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20
dinar. Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya, diwajibkan
zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan
tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun."
Kaedah Berkesan
Dalam Memupuk Kesedaran Kewajipan Zakat Saham
Seorang ahli perniagaan saham
mengadu dirinya berasa begitu tertekan setelah menyedari bahawa, beliau tidak
pernah menunaikan zakat saham selama hampir lima tahun lamanya. Mengecewakan lagi keadaan, beliau
tidak pernah merasakan insaf atas perbuatannya yang melanggari syariat Islam
ini walaupun dirinya sudah acap kali menerima teguran demi teguran daripada Allah
SWT. Bagaimanapun, setelah perniagaan sahamnya benar-benar jatuh merudum,
barulah beliau menyesali akan perbuatannya lalu memohon taubat kepada Allah SWT
atas segala dosanya itu.
Begitulah antara satu analogi
daripada ribuan kes yang menceritakan tentang perihal keengganan pelabur-pelabur
Muslim ini untuk mengeluarkan zakat, sedangkan kewajipan menunaikan zakat itu merupakan
rukun Islam ketiga yang tidak boleh dipandang enteng masyarakat Islam sejagat. Kendatipun
begitu, harus diingatkan bahawa, azab yang perit itu disediakan Allah SWT bagi
sesiapa yang diperintahkan untuk membayar zakat, namun mengingkari kewajipan
tersebut. Firman Allah SWT berbunyi: “Dan jangan sesekali orang yang bakhil dengan hartanya
yang Allah SWT kurniakan. Mereka menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka.
Sebenarnya, kebakhilan itu amat buruk bagi mereka. Harta yang mereka sayangi
itu akan dikalungkan pada lehernya pada hari kiamat kelak. ” (Al-Imran:
180).
Berdasarkan kajian kes seperti di
atas, benarlah perlu adanya beberapa strategi membina yang harus
diimplementasikan di peringkat nasional khususnya melibatkan para pelabur
Muslim sekalian agar dengan terlaksananya langkah sederap seperti ini, diharap
mampu membangkitkan lagi gelombang kesedaran pelabur-pelabur Muslim untuk mengeluarkan
zakat saham mereka kemudian hari. Malah, komitmen menyeluruh agensi-agensi yang
terlibat haruslah diperkukuhkan lagi agar segala usaha untuk mengkodisifikasikan
undang-undang yang lebih ketat nanti boleh dilaksanakan dengan lebih teratur amnya
demi kepentingan sejagat kelak.
Lain daripada itu, penyelarasan
undang-undang ini termasuklah seperti, pihak kerajaan memperkenalkan kaedah-kaedah
baharu iaitu dengan mewajibkan para pelabur Muslim menghadiri kursus bersiri terlebih
dahulu sebelum mereka hendak berjinak-jinak dalam pelaburan saham masa kini.
Malah, tindakan secara kolaboratif ini boleh dijayakan melalui peranan yang
dimainkan pihak Pusat Pungutan Zakat di setiap negeri masing-masing
sementalahan, ia juga turut merupakan instrumen yang paling berkesan dalam
usaha untuk menanam roh zakat yang utuh ke dalam diri setiap pelabur Muslim
kontemporari agar segala bentuk kefahaman tentang kewajipan berzakat
terutamanya zakat saham ini akan berjaya disampaikan kelak. Walaupun pada ghalibnya,
penguatkuasaan tegas ini memang akan menerima kritikan hebat pada peringkat
awalnya, tetapi lama-kelamaan, perkara ini akan menjadi relevan pula mengikut
kehendak zaman kerana sesungguhnya, para pelabur mulai sedar akan tanggungjawab
mereka mengeluarkan zakat pada hari-hari mendatang persis aforisme, alah bisa,
tegal biasa.
Seterusnya, perlaksanaan
kempen-kempen kesedaran peraturan zakat alaf baharu ini haruslah dipergiatkan
lagi dalam usaha kita untuk membibitkan kesedaran golongan marhaen secara
menyeluruh akan kewajipan bagi mereka menunaikan zakat saham ini khususnya
dalam kalangan para pelabur Muslim sekalian sebagaimana diperintahkan Allah SWT
dalam Al-Quran bermaksud, “Dirikanlah
solat dan tunaikanlah zakat” (Surah Al-Baqarah, ayat ke-43). Malah, jika
ditelusuri, orang tua-tua juga ada berpesan, “Kalau hendak bersihkan
kekotoran di atas permukaan meja, ianya memerlukan air dan tualanya juga bersih”.
Sehubungan dengan itu, pasti
jalan yang paling efektif dalam menyedarkan para pelabur Muslim untuk mengeluarkan
zakat saham ini adalah dengan cara, pihak kerajaan melalui kerjasama bersama Pusat
Pungutan Zakat di setiap negeri perlulah menyemarakkan lagi aktiviti-aktiviti dakwah
yang berbentuk kempen seperti pengedaran poster-poster serta artikel-artikel yang
berkaitan kepentingan menunaikan zakat kepada orang ramai, pengadaan
ceramah-ceramah keagamaan bagi membicarakan tentang kepentingan menunaikan zakat
saham serta kaedah-kaedah perlaksanaannya menurut perspektif Islam, penganjuran
program-program santai untuk bersemuka dengan golongan-golongan korporat dan
lain-lain lagi amnya.
Seyogia diingatkan bahawa,
usaha-usaha murni sebegini diakui mampu mendorong para pelabur Muslim untuk
mendalami rasa persamaan sebenarnya yang diajar agama Islam apatah lagi
menjadikan kita untuk sentiasa cakna akan nasib sesama saudara kita yang lain
sekali gus membuatkan keimanan kita itu akan menjadi lebih sempurna hari demi
hari seperti mana sabda Rasulullah SAW, “Tidak sempurna iman seseorang di
antara kalian sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya
sendiri.”
Rentetan itu, berusahalah kita menjauhi sifat jumud seperti katak
di bawah tempurung dengan melazimi sifat keterbukaan terutamanya dalam diri
para pelabur Muslim sekalian untuk bersama-sama menggembleng tenaga dalam
merealisasikan aspirasi kerajaan yang sentiasa menginginkan masyarakat sedar
akan kewajipan mengeluarkan zakat saham sebagaimana yang disyariatkan agama
Islam ini sesuai dengan peribahasa Melayu berbunyi, tak ada gunung yang tinggi
yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang dalam yang tak dapat dituruni.
Kesimpulan
Konklusinya, revolusi baharu
dalam kaedah pemilikan harta kekayaan pada zaman ini telah menyaksikan,
pelaburan saham menjadi salah satu punca utama rezeki masyarakat di segenap
empat penjuru dunia, termasuklah juga di negara kita amnya. Bahkan, dimensi baru pemerolehan
harta ini dikatakan semakin popular sehinggakan golongan pelabur juga
digalakkan untuk bersaing sesama mereka bagi menempatkan diri dalam pelaburan
saham seperti ini yang dikatakan mampu mendatangkan pulangan keuntungan yang
amat lumayan dalam masa yang singkat sahaja.
Namun, dalam konteks agama
Islam pula, pelabur-pelabur Muslim juga turut digalakkan untuk menyertai
pelaburan saham ini selagi mana ia halal di sisi syarak dengan syarat, mereka sentiasa
terikat dengan kewajipan mengeluarkan zakat saham seperti mana yang telah diperintahkan
Allah SWT dalam banyak dalil serta hadis-hadis yang membahaskan akan kewajipan
menunaikan zakat saham ini selain perkara ini juga turut disahkan sendiri oleh
Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.
Menyedari hakikat inilah, pihak
kerajaan melalui kerjasama Pusat Pungutan Zakat sentiasa mencari resepi terbaik
dalam mengimarahkan lagi pelbagai aktiviti serta kempen ke arah memberikan kefahaman
sepenuhnya kepada para pelabur Muslim sekalian terutamanya berkaitan dengan
kesedaran akan kewajipan menunaikan zakat saham ini kerana jika tidak
dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Malah, diharapkan agar, para
pelabur Muslim marcapada akan sentiasa mengambil berat akan perkara ini dan
menjadikan zakat saham ini sebagai salah satu cara untuk mereka menyucikan diri
daripada sifat-sifat mazmumah seperti sifat kedekut dan sebagainya, barulah
hidup ini akan sentiasa diberkati oleh-Nya kelak.
“Dengan membayar zakat,
beerti harta benda kita akan dikelilingi dengan dinding Illahi, yang akan
melindunginya.”
(Petikan Sabda Nabi Muhammad SAW)
No comments:
Post a Comment