AkuSuffianFauzi

Nuffnang Adds

Follow My Facebook, Twitter, Instagram

 Add Me Follow Me Follow Me

Sunday 28 September 2014

GIVEAWAY BAIK PUNYA ANJURAN SWEET MOM BLOG


                                               Klik Banner

Saya suka Sweet Mom Blog kerana blog ini amat cantik, menarik dan yang paling penting, di dalamnya sarat dengan  info kesihatan terutamanya berkaitan produk Shaklee yang sudah semestinya sesuai untuk dikunjungi pengunjung-pengunjung blog sekalian. Majulah Sweet Mom Blog!

Menangi Loket Emas 916 : Peraduan Blog Kedai Emas DuaLogam Merlimau


Tengah bosan petang tadi, aku terbaca tentang peribahasa Arab berkaitan wanita dan emas..

                                      يختبر الذهب بالنار وتختبر المرأة بالذهب  
                  Emas diuji dengan api tetapi perempuan diuji dengan emas

Bagi kaum wanita, emas merupakan suatu perkara yang tidak asing lagi dalam hidup mereka.

Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan emas?
Mengikut Kamus Dewan Edisi ke-2, emas adalah merupakan sejenis logam berwarna kuning yg sangat berharga (biasanya dibuat perhiasan, spt cincin).

Justeru, entri kali ini, aku ingin bercerita kepada semua berkaitan dengan peraduan yang dianjurkan oleh Blog Kedai Emas DuaLogam Merlimau. Hadiahnya berupa loket emas 916.. Menarik tu!

                                                                 
                                                     
 


Semestinya, bagi mereka yang bergelar wanita, mereka merasakan cantik bila melihatkan gambar di atas ni kan!!! Haaa, ni lah gambar LOKET EMAS 916 yang merupakan hadiah utama peraduan ini..  

So, sesiapa yang berminat untuk menang hadiah LOKET EMAS 916 nie, cuba lah join.. Tarikh tutup peraduan ini adalah pada 15 Oktober 2014. SYARAT-SYARATNYA, boleh klik di SINI.

MUDAHKAN??

                                  Tuah ayam nampak dikaki, tuah manusia siapa yang tahu
                                                         (Peribahasa Melayu)

JOM CUBA!

Mungkin anda antara yang bernasib baik untuk memenangi Loket Emas 916 dari Kedai Emas DuaLogam Merlimau ini.

===================
Sedikit Berkaitan dengan Kedai Emas DuaLogam Merlimau :-
===================






Kedai Emas DuaLogam ini berada di Taman Mewah, Merlimau, (klik di SINI untuk peta lokasi ) Melaka dan ianya beroperasi pada setiap hari jam 11 pagi sehingga jam 6.30 petang  kecuali hari jumaat dan ahad.

Bagi memudahkan orang ramai yang berada di luar negeri Melaka, kedai Emas DuaLogam ini turut menjalankan operasi jual beli melalui pengatara laman-laman sosial seperti TWITTER, INSTAGRAM, GOOGLE+ dan tidak ketinggalan juga laman sosial  FACEBOOK.

Manakala, bagi para pelanggan yang ingin menghubungi pemilik kedai, mereka boleh berbuat sedemikian dengan Whatsap, Telegram, SMS di  nombor 0196551980.

Akhir kata, bagi mereka yang ingin mendapatkan info, maklumat terkini dan harga semasa pasaran emas serta koleksi-koleksi emas terkini, bolehlah melayari blogspot Kedai Emas DuaLogam Merlimau di link, emas916.dualogam.my

===================
Antara yang boleh didapati di Kedai Emas DuaLogam Merlimau
===================




Dan banyak lagi!!! Untuk keterangan lanjut, layari blogspot Kedai Emas DuaLogam Merlimau di link, emas916.dualogam.my



Wednesday 24 September 2014

Kepentingan Buah-buahan Dan Sayur-sayuran Dalam Diet Saya




 Kepentingan Buah-buahan Dan Sayur-sayuran Dalam Diet Saya

Mutakhir ini, masyarakat sering dihantui masalah kesihatan dek pengambilan makanan yang tidak seimbang. Pada hemat saya, amalan permakanan seimbang dengan memperbanyakkan makan buah-buahan dan pelbagai sayur terutamanya dalam diet seharian akan mendatangkan seribu satu manfaat kepada seseorang. Bersesuaian dengan pepatah Inggeris yang berbunyi, ‘Kesihatan adalah kekayaan’, maka, segala kepentingan pelbagai jenis buah dan sayur dalam diet saya akan saya huraikan demi kebaikan bersama.
Secara umumnya, diet saya mesti terdapat sayur-sayuran dan buah-buahan seperti brokoli, daun salad, kubis, timun, epal, tomato dan sebagainya yang kaya dengan nutrisi seperti mineral, zat galian, serat dan karbohidrat. Kandungan-kandungan seperti ini telah diakui pakar dapat memelihara diri saya daripada sebarang jenis jangkitan penyakit di samping dapat memperkuatkan lagi sistem imunisasi badan untuk kekal sihat sepanjang masa bersesuaian dengan slogan yang berbunyi, badan sihat, otak cerdas.

Selain itu, amalan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet seharian turut menjadi pelengkap kepada keperluan sumber fiber dan vitamin yang diperlukan oleh badan saya sepanjang masa. Hal ini turut menjauhi diri saya daripada risiko untuk mendapat kanser usus besar selain turut memudahkan perjalanan sistem penghadaman saya kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.
Tambahan lagi, negara-negara maju turut menjadikan amalan permakanan ini sebagai usaha sampingan mereka seharian untuk meningkatkan lagi kualiti dan kesejahteraan hidup amnya. Sebagai analoginya, negara-negara seperti Britain, Amerika Syarikat dan Jepun akan menjadikan pengambilan sayur-mayur dan pelbagai jenis buah sebagai menu utama dalam diet seharian mereka. Mereka turut percaya bahawa, amalan permakanan ini akan dapat mengurangkan lagi pengambilan ubat sintetik dalam kehidupan mereka.
Konklusinya, sayur-sayuran dan buah-buahan memang terbukti mempunyai banyak kepentingannya yang tersendiri. Di samping mengandungi kandungan khasiat yang amat bernilai, pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan turut mempunyai nilai-nilai perubatan yang amat mujarab jika diamalkan secara konsisten.  Jadilah kita  masyarakat yang prihatin terhadap kepentingan-kepentingan ini demi kesihatan sejagat, jangan sampai sakit perut, baru tahu di liang lantai.
298 Patah Perkataan

Tanggungjawab Saya Sebagai Pengguna




 Tanggungjawab Saya Sebagai Pengguna





Akhir-akhir ini, masalah kepincangan dalam dunia konsumerisme seringkali menjadi buah mulut masyarakat sejagat. Umumnya, kekangan ini berpunca akibat kegagalan para peniaga dan pengeluar untuk mematuhi etika-etika perniagaan lantaran mengundang malapetaka besar kepada pengguna dewasa ini.
Zaman bertukar, musim berganti. Namun, pengguna zaman ini dilihat semakin mudah diperkotak-katikkan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab. Masakan tidak, akibat kedangkalan ilmu pengetahuan mereka terutamanya yang berkaitan dengan tanggungjawab mereka sebagai pengguna kontemporari secara tidak langsung telah menyebabkan masalah ini semakin meningkat hari demi hari.
Buktinya, statistik sahih lagi tepat berkaitan dengan kepincangan dalam isu kepenggunaan alaf ini sebagaimana yang telah direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun 2013 menunjukkan bahawa, peningkatan sebanyak 593 kes penipuan menerusi laman web telah dilaporkan dengan nilai kerugian sebanyak RM1,371,166 mencakupi 207 daripada kes tersebut bermula daripada laman sosial Facebook amnya yang telah menokok kerugian kira-kira RM659,758.    
Sementara itu, isu kepenggunaan sebegini seringkali menjadi polemik yang hangat diperkatakan masyarakat terutamanya yang tinggal di luar bandar mahupun di pinggir bandar amnya. Lazimnya, golongan seperti ini kurang mendapat pendedahan pendidikan kepenggunaan dalam kehidupan mereka seharian. Sehinggakan, kebanyakan daripada mereka tidak mengerti akan tanggungjawab mereka sebagai pengguna akhir amnya.     
Apa yang pasti, usaha-usaha yang dilakukan bagi mengatasi masalah ini masih lagi kurang penghayatannya dalam kalangan masyarakat. Malah, sekiranya perkara ini dibiarkan begitu sahaja, maka sudah pasti impak negatif bakal mempengaruhi norma kehidupan manusia sejagat sekali gus merugikan semua pihak khususnya para pengguna kelak.
Justifikasinya, kita sebagai pengguna seyogianya sentiasa bersikap positif dalam memainkan peranan masing-masing agar kata-kata Adam Smith yang menyebut ‘Pengguna Ialah Raja’ sebagaimana yang dipetik daripada bukunya “The Wealth Of Nations” itu tidak hanya tinggal kata-kata sahaja. Sebaliknya, apa yang berlaku mutakhir ini menunjukkan bahawa, masyarakat marcapada dilihat semakin naif dengan mata kebendaan yang melalaikan sehinggakan, ada kalanya mereka lupa akan tanggungjawab mereka sebagai pengguna.
Tanggungjawab Kita Sebagai Pengguna
Sehubungan itu, tanggungjawab kita sebagai pengguna sebagaimana merujuk kepada risalah kepenggunaan yang diterbitkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK) ada menggariskan bahawa, terdapat dua aspek penting yang harus dititikberatkan pengguna dalam menjalankan tanggungjawab mereka sekalian yakni merangkumi aspek terhadap diri sendiri dan juga terhadap masyarakat setempat.
Lain daripada itu, bagi membebaskan pengguna daripada dibelenggu kejahilan, sudah pasti  aspek tanggungjawab terhadap diri sendiri haruslah dipraktikan senantiasa dalam kehidupan kita seharian agar masyarakat tidak akan mudah dinodai sebarang jenis penipuan yang banyak berlaku sekarang ini.        
Bahkan, sebagai rakyat Malaysia yang cakna akan situasi dunia konsumerisme hari ini, kita sebenarnya mempunyai tanggungjawab untuk mendapatkan maklumat kepenggunaan demi keperluan diri sendiri amnya. Misalnya, pemahaman jelas berkenaan sesuatu maklumat terutamanya berkaitan dengan barangan yang hendak dibeli sewajarnya dititikberatkan pengguna agar kita semua tidak mudah tertipu dek barangan yang hanya indah khabar daripada rupa ini.
Seterusnya, kita seharusnya bertanggungjawab dalam menjaga keselamatan diri sendiri lebih-lebih lagi tatkala menggunakan barang-barang berbahaya seperti barangan elektrik, bahan-bahan kimia dan sebagainya. Hal ini kerana, kejadian tidak diingini mungkin akan berlaku sekiranya kita memandang enteng akan perkara ini kerana sesungguhnya, pepatah Arab menyebut, ‘ Mencegah itu lebih baik daripada mengubati.
Selain itu, seandainya pengguna hari ini merasakan diri mereka menjadi mangsa penipuan dek sesetengah pihak tidak bertanggungjawab, maka mereka sebenarnya mempunyai tanggungjawab untuk mengutarakan aduan dan menuntut pampasan barangan jika sekiranya barang yang ingin dimiliki itu terdapat kecacatan padanya.
Jika diteliti dengan lebih mendalam, sinergi erat pihak kerajaan dengan pihak-pihak media cetak era ini yang telah banyak membuat pendedahan kepada umum berkaitan kes-kes kesalahan tribunal seharusnya diberi pujian  masyarakat sejagat. Bahkan, dengan adanya ruangan ‘Dari Tribunal Tuntutan Pengguna’ seperti yang diterbitkan akhbar Mingguan Malaysia pada setiap hari ahad itu secara tidak langsung memberikan pemahaman sepenuhnya kepada pengguna marcapada terutamanya yang berkaitan cara-cara menuntut ganti rugi dan sebagainya.
Contoh yang boleh diketengahkan dalam hal ini adalah seperti apa yang berlaku kepada bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT),  Profesor Emeritus Datuk Dr. Sulaiman Md. Yassin dan isterinya, Datin Noor Rohani Mohd Noor beberapa tahun yang lepas. Menurut laporan yang diterbitkan oleh akhbar Harian Metro bertarikh 24 Februari 2011 itu, pihak Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) telah mengarahkan kepada syarikat pakar perubatan rambut Yun Nam Hair Care Sdn. Bhd. untuk membayar balik nilai pampasan sebanyak RM14,986 kepada pasangan tersebut.
Keputusan tersebut dibuat setelah mendapati syarikat tersebut telah melanggar kod perniagaan dan memerintahkan bayaran pampasan perlulah dilakukan kepada pasangan berkenaan dalam tempoh dua minggu sahaja. Manakala, menurut pasangan tersebut, mereka telah mengambil pakej rawatan rambut bernilai RM15,600 ( RM7,800 bagi setiap orang) dengan bayaran ansuran RM650 sebulan ekoran masalah kulit kepala, yang dihadapi mereka.   
Kes yang dipaparkan di atas adalah satu daripada ribuan kes tribunal yang telah direkodkan pihak TTPM dan ia menjadi pedoman bahawa, pengguna hari ini bertanggungjawab untuk membuat aduan dan meminta pampasan sekiranya produk atau perkhidmatan yang diterima pengguna itu tidak memenuhi kehendak masing-masing amnya.
Selain daripada tanggungjawab kepada diri sendiri, pengguna juga bertanggungjawab sepenuhnya terhadap masyarakat setempat. Dalam erti kata yang lain, tanggungjawab melibatkan diri secara proaktif dalam perwakilan sesetengah badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan khususnya yang bertindak mewakili kepentingan pengguna hari ini seperti Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Majlis Gerakan Pengguna Kebangsaan (MGPK) dan lain-lain lagi amnya.
Hal ini secara tidak langsung menunjukkan kepekaan kita terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita sekali gus menjadi tunjang kepada kita agar lebih berhati-hati dengan isu-isu penindasan terhadap pengguna yang banyak berlaku sekarang ini.
Bertitik tolak daripada itulah, pengguna juga mempunyai tanggungjawab untuk mendapat pendidikan kepenggunaan yang mencukupi dan berterusan. Hal ini penting kerana, pembudayaan ilmu kepenggunaan sebenarnya merupakan aset terpenting dalam  melahirkan pengguna bijak lagi waras dengan isu-isu kepenggunaan hari ini. Justeru, dalam konteks ini, pengguna mestilah bertindak seiring tindakan dan sentiasa bersedia dalam melakukan anjakan paradigma kepada perubahan sikap lebih positif kelak. Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah nasib mereka sendiri (Al-Arad:11).
Kesimpulan
Segala bentuk tanggungjawab kita sebagai pengguna dalam menunaikan hak kepenggunaan masing-masing hendaklah berlaku seiringan sentiasa. Hal ini penting agar segala transaksi pembelian barangan atau perkhidmatan akan sentiasa dapat memenuhi aspirasi pembeli dan penjual jua kelak.
Bahkan, tanpa adanya penggemblengan tindakan dan sokongan perlaksanaan tanggungjawab kepenggunaan yang ideal di pihak para pengguna sekalian, nescaya sudah pasti undang-undang dan agensi penguatkuasaan sahaja kini dilihat semakin sudah tidak mampu untuk menjamin kepentingan pengguna hari demi hari.
Justeru itu, ayuhlah kita beriltizam untuk tidak memandang remeh akan perkara ini kerana sesungguhnya, kelekaaan kita hari ini mungkin akan memudaratkan diri sendiri dan pengguna lain kelak. Ingatlah, kejayaan tidak akan datang kepada manusia yang leka. (Charles Cahier)
999 Patah Perkataan

Cara-cara Menjaga Kesihatan Badan



Cara-cara Menjaga Kesihatan Badan


Dewasa ini, masalah kesihatan badan sering kali menjadi polemik yang hangat diperkatakan masyarakat di segenap empat penjuru dunia termasuklah juga di negara kita amnya. Umumnya, kesihatan badan merupakan poin terpenting kepada proses penentuan tahap kesihatan seseorang itu besok lusa kerana sesungguhnya, kesihatan melambangkan kekayaan (Pepatah Cina). Persoalannya sekarang, apakah langkah-langkah signifikan yang harus dititikberatkan bagi menjaga kesihatan badan kita sekalian?
Ghalibnya, antara langkah terutama dalam usaha memelihara kesihatan badan adalah dengan pengambilan diet yang seimbang sepanjang masa. Melaluinya, kita digalakkan untuk memperbanyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran setiap kali hidangan agar badan kita sentiasa beroleh khasiat yang secukupnya seperti serat, vitamin dan sebagainya. Bahkan, corak pengambilan makanan yang teratur sebegini seyogianya diamalkan bermula daripada peringkat awal lagi agar ia menjadi rutin permakanan kita seharian kelak persis aforisme, hendak seribu daya, tak hendak seribu upaya.
Selanjutnya, kita digalakkan untuk meluangkan sedikit masa (sekitar 20 minit) setidak-tidaknya tiga kali dalam seminggu untuk melakukan aktiviti-aktiviti senaman ringan ataupun bersukan seperti berenang, berbasikal, berjoging dan lain-lain lagi. Hal ini penting agar kita dapat mengekalkan kesihatan fizikal dan mental yang ideal senantiasa bak pepatah arab berbunyi, minda yang sihat berada pada badan yang sihat.
Akhirnya, kita hendaklah menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dua kali setahun bersesuaian dengan usaha-usaha kita untuk mencegah diri daripada mendapat penyakit-penyakit kontemporari seperti penyakit jantung, darah tinggi dan sebagainya. Sebaliknya, jika seseorang itu didapati menghidap sebarang jenis penyakit pula, maka berusahalah untuk mendapatkan rawatan pencegahan seawal mungkin kerana sesungguhnya, Rasulullah SAW bersabda, “Tiap-tiap penyakit itu (ada) ubatnya. Apabila menepati ubat terhadap penyakit tersebut, maka sembuhlah dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim dan Ahmad)
Intihanya, ayuhlah kita beriltizam untuk bersama-sama menitikberatkan soal kesihatan badan ini kerana sesungguhnya, kesihatan badan yang sempurna itu adalah merupakan anugerah yang amat berharga dikurniakan Allah SWT kepada umatnya sejagat. Janganlah sudah terhantuk baru terngadah kerana biar berkelahi dulu, jangan berkelahi kemudian. Fikir-fikirkanlah.
                                              




 300 Patah Perkataan

Pemahaman Anda Tentang Perubahan Iklim



Pemahaman Anda Tentang Perubahan Iklim

Sejak mencapai kemerdekaan, negara Malaysia telah berjaya menikmati pertumbuhan sosioekonomi yang mantap dan memberangsangkan. Kejayaan membanggakan ini juga turut mendapat pengiktirafan antarabangsa dek kewibawaan negara yang terus berdaya saing setanding negara-negara maju yang lain. Bahkan, memang tidak dapat disangkal lagi bahawa, pencapaian ini adalah hasil komitmen bersepadu pihak kerajaan merencanakan pelbagai projek pembangunan ibarat cendawan tumbuh selepas hujan demi kemaslahatan sejagat.
Kendatipun begitu, dalam kesibukan kita memenuhi tuntutan permodenan, seharusnya masyarakat sedar bahawa arus pembangunan fizikal sebenarnya mendatangkan implikasi besar kepada perubahan landskap negara kelak selain mengheret kepada berlakunya kebinasaan dunia sama ada di laut mahupun di darat. Hal ini persis firman Allah SWT yang bermaksud, “Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia,supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka,agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” (Ar-Rum:14).
Lebih memburukkan lagi keadaan, sikap individualistik penduduk bumi ibarat enau dalam belukar; melepaskan pucuk masing-masing serta ketidakacuhan mereka akan isu-isu alam sekitar yang terjadi era ini telah mengundang perubahan besar iklim global lantaran menempiaskan pelbagai kesan sampingan kepada negara Malaysia, malar-malar pula terhadap kualiti hidup masyarakat sekalian.
Perubahan Iklim dan Pemanasan Global.
Umumnya, perubahan iklim mengakibatkan berlakunya ketidakstabilan komposisi atmosfera dunia dan lazimnya, ia dipengaruhi secara langsung atau tidak langsung oleh aktiviti seharian manusia sementalahan perubahan pada iklim ini berlaku dalam tempoh masa yang panjang yakni sepuluh hingga berjuta-juta tahun lamanya (Trenberth, Houghton & Filho 1995; Hidayati 2001). Manakala, menurut Effendy (2001), salah satu kesan dominan akibat daripada penyimpangan iklim dunia zaman ini adalah dengan terjadinya fenomena yang disebut sebagai fenomena El-Nino (penurunan jumlah curahan hujan) dan La-Nina (pertambahan jumlah curahan hujan).
            Jika ditelusuri, kedua-dua fenomena ini pula ada kaitannya dengan peningkatan suhu dunia yang sering digambarkan manusia dengan fenomena pemanasan global. Sementara itu, pemanasan global berlaku bila mana terdapatnya peningkatan ekstrem purata suhu atmosfera di permukaan bumi secara global dan ia selalunya dikaitkan dengan aktiviti manusia sama ada secara semula jadi ataupun sebaliknya.
            Dalam pada itu, para saintis mendakwa, punca terutama fenomena pemanasan global ialah berpunca daripada kesan gas rumah hijau. Umumnya, gas-gas rumah hijau seperti gas karbon dioksida, karbon monoksida dan CFC menyerap dan memerangkap bersama sinaran dan juga haba matahari serta mengeluarkan kembali sinaran tenaga tersebut kepada bumi. Lantaran itu, pemerangkapan tenaga haba oleh gas-gas rumah hijau ini akan menjurus kepada berlakunya peningkatan secara menyeluruh purata suhu atmosfera bumi sekali gus mengakibatkan berlakunya pemanasan global besok lusa.
Seterusnya, pemanasan global boleh mengundang kepada berlakunya perubahan iklim. Umum mengetahui, perubahan iklim secara semula jadinya telah berlaku secara perlahan-lahan sejak dari Zaman Ais lagi (50,000 hingga 100,000 tahun lalu). Pada masa itu, banyak tumbuhan dan haiwan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan iklim secara perlahan-lahan ini termasuklah juga manusia yang berpindah-randah mengikut keadaan perubahan glasier. Namun demikian, sejak tahun 1980, pemanasan melampau dengan peningkatan suhu bumi lebih drastik berbanding biasa telah mengakibatkan seluruh proses semula jadi ini terjejas sehinggakan, perubahan radikal ini sedang menuju ke arah kepupusan biodiversiti.
Bahkan, menurut penilaian terbaru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 20 hingga 30 peratus daripada spesies flora dan fauna kini diancam kepupusan jika suhu panas bumi meningkat antara 1.5 hingga 2.5 darjah celsius dengan 12 rantau di seantero dunia dibimbangi bakal terjejas ekosistem tumbuhan-tumbuhan hijaunya akibat kesan daripada perubahan iklim secara mendadak yang berlaku hari ini khususnya di hutan hujan Amazon.
Justeru, secara izharnya, proses pemanasan global adalah ‘punca’, manakala perubahan iklim pula merujuk kepada ‘kesan’ akibat daripada daripada proses tersebut. Pada waktu yang sama, gabungan di antara kesan dan punca ini nescaya mengundang malapetaka besar kepada penduduk dunia sama ada daripada aspek fizikal mahupun psikologi di samping kesannya turut dirasai golongan marhaen di negara kita.


Kesan-Kesan Perubahan Iklim di Malaysia
            Pada hakikatnya, tanda-tanda perubahan iklim yang berpunca daripada pemanasan global sejak belakangan ini turut dirasai penduduk di negara kita amnya. Di Malaysia, perubahan iklim akan menyebabkan berlakunya fenomena banjir kilat di beberapa tempat seluruh negara khususnya di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur, Shah Alam, Georgetown  dan sebagainya. Bahkan, fenomena alam banjir kilat ini secara umumnya didefinisikan sebagai satu fenomena alam yang terjadi akibat daripada kerakusan manusia menerokai kawasan hutan untuk tujuan pembangunan.
            Selain itu, pada tahun 2007, Kuala Lumpur pernah dilanda banjir kilat yang disifatkan terburuk dalam lipatan sejarah negara sejak 2003. Diceritakan, beberapa kawasan utama bandar raya itu juga turut ditenggelami air sehingga sedalam satu meter. Bahkan, pada ketika itu, antara kawasan paling teruk dilanda banjir termasuklah Jalan Masjid India, Jalan Ipoh dan Kampung Baru selain kawasan Sentul turut terjejas secara total.
Manakala, Dataran Merdeka yang meliputi kompleks bangunan Sultan Abdul Samad turut ditenggelami air separas pinggang. Ekoran daripada kejadian banjir kilat itu, ibu kota dilaporkan mengalami kesesakan teruk di beberapa jalan termasuklah Jalan Ampang, Jalan Dang Wangi dan Jalan Kampung Pandan sekali gus menjejaskan aktiviti sehari-harian masyarakat kota selain melumpuhkan seketika bandar raya metropolitan ini semata-mata disebabkan perubahan iklim yang telah mengakibatkan fenomena banjir kilat tersebut.
Dalam kita mendepani arus pemodenan negara yang pantas berkembang ini, sememangnya diakui negara turut terkesan akibat penyimpangan iklim dengan penurunan kadar taburan hujan. Bahkan, peningkatan suhu global dewasa ini telah menyebabkan kadar kehilangan air berlaku dengan cepat sekali akibat daripada proses penyejatan air yang tinggi ke ruangan atmosfera.
Akibatnya, perkara ini telah mengundang kepada berlakunya masalah kesukaran bagi masyarakat mendapatkan bekalan air bersih untuk kegunaan sektor perindustrian dan pertanian selain kegunaan isi rumah dan sebagainya. Sejarah telah membuktikan bahawa, krisis kesukaran mendapat bekalan air bersih akibat kesan daripada perubahan iklim yang tidak terduga dek akal fikiran ini telah mula melanda beberapa kawasan di negara bermula seawal tahun 1997 lagi.  Antara negeri yang paling serius menghadapi masalah ini ialah Melaka, Selangor dan Lembah Klang.
Tambahan lagi, krisis ini berlaku apabila proses agihan bekalan air bersih tidak dapat dilakukan dengan seimbang dan dirumitkan lagi apabila fenomena El-Nino melanda negara pada waktu itu (Noorazuan Hashim, 2000). Malahan, krisis air pada tahun 90-an itu telah membawa kepada kesengsaraan besar yang terpaksa dialami masyarakat sejagat, malar-malar pula pada masa itu catuan air terpaksa dilakukan secara menyeluruh di seluruh negara amnya. Hal ini demikian kerana, beberapa batang sungai kekeringan selain empangan air juga turut mengalami penurunan air secara mendadak seperti mana yang berlaku di Empangan Klang Gates, Empangan Batu dan Empangan Semenyih.
Selain itu, kesan perubahan iklim dan pemanasan global turut mengancam keselamatan dan kesihatan manusia. Pada tahun 2007 misalnya, rekod baru suhu yang tertinggi telah dipecah akibat gelombang panas melanda Amerika Syarikat pada ketika itu dengan daerah St. George telah memegang rekod tertinggi dengan suhu maksimum iaitu sebanyak 48 darjah celsius.
Manakala, Las Vegas dan Nevada juga telah mencapai suhu 47 darjah celsius, serta beberapa kota lain di Amerika Syarikat yang juga tidak terlepas daripada bahang panas setinggi 40 darjah celsius itu. Daerah Death Valley di California juga tidak terkecuali dengan mencatat suhu sebanyak 53 darjah celsius. Peningkatan suhu pada ketika itu telah menyebabkan kematian manusia, kerosakan hasil pertanian, peningkatan kebakaran hutan serta kematian haiwan-haiwan ternakan.
Pada tahun 2003 juga, pernah berlaku satu serangan gelombang panas di daerah Eropah Selatan yang telah mengakibatkan lebih kurang 35,000 orang meninggal dunia dan kematian tertinggi dicatatkan dari negara Perancis iaitu seramai 14,802 orang. Hal ini berlaku akibat daripada ketidaksedaran masyarakat serta pemimpin pada ketika itu akan isu-isu yang berlaku di sekeliling mereka khususnya peningkatan suhu global.
Walaupun penduduk di negara kita bukanlah terdedah secara langsung akan masalah serta ancaman kematian akibat perubahan iklim dan pemanasan global ini, namun begitu kita semua terdedah pula dengan penyakit-penyakit berbahaya yang lain seperti kanser kulit serta strok panas yang boleh membawa kepada kematian. Lumrahnya, strok ini akan menyerang golongan tua yang lemah terutamanya dari segi sistem imunisasi badan mereka. Tidak cukup dengan itu, di Malaysia, kesan perubahan iklim juga telah mengundang kepada bertambahnya kes-kes penyakit yang disebabkan haiwan pembawa seperti malaria dan denggi amnya.
Justeru, petanda-petanda jelas akibat kesan perubahan iklim yang dipaparkan di atas adalah merupakan tiga daripada ribuan impak negatif yang menjadi bukti bahawa perubahan iklim dunia sekarang ini turut dirasai kesannya terhadap negara kita sama ada secara langsung atau tidak langsung. Sejajar dengan itu, kita perlu mengorak langkah untuk mengimplementasikan langkah-langkah pencegahan proaktif  bermula daripada peringkat kerajaan hinggalah melibatkan komitmen dan pengertian serius masyarakat sejagat. Hal ini penting agar kesan-kesan perubahan iklim yang diakibatkan oleh pemanasan global mutakhir ini akan dapat diatasi secara menyeluruh kelak. Sesungguhnya, hendak seribu daya; tak hendak seribu upaya.
“Alam ini sediakalanya cantik dan semua usaha dalam alam ini asalnya cantik, tinggal kita saja nak bagi lebih cantik atau tak nak bagi cantik.”
(Dr. Hm. Tuah Iskandar Al-Haj)
Intensif Kerajaan Dan Peranan Masyarakat Menghadapi Perubahan Iklim
            Di Malaysia, sememangnya diakui kerajaan melalui kolaborasi erat pertubuhan serta agensi kerajaan dan bukan kerajaan sentiasa menyokong dan mengamalkan pembangunan lestari berlandaskan pertumbuhan ekonomi mampan, kesejahteraan sosial dan perlindungan alam sekitar. Bahkan, dalam kita menangani cabaran perubahan iklim yang pastinya menjanjikan cabaran besar ini, usaha sebegini seharusnya diteruskan lagi secara bersama agar potensi sebenar negara benar-benar dapat dipenuhi besok lusa.
            Oleh hal yang demikian, Dasar Perubahan Iklim Negara (diluluskan Jemaah Menteri pada 20 November 2009) diperkenalkan pihak kerajaan berperanan menjadi rangka kerja perdana untuk menggerakkan serta memberikan panduan dan langkah-langkah adaptasi kepada agensi kerajaan, industri, komuniti serta pihak berkepentingan dalam menghadapi cabaran perubahan iklim secara holistik amnya. Hal ini penting agar kesan jangka panjang akibat fenomena ini dapat ditangani secara lestari kelak di samping kerajaan melihatkan perkara ini sebagai batu loncatan kepada kesedaran menyeluruh masyarakat berkenaan ancaman perubahan iklim ini demi kepentingan generasi mendatang.
            Sementara itu, bagi menyelaraskan usaha-usaha ke arah mencapai visi kudsi Dasar Perubahan Iklim Negara ini, kerajaan mengambil langkah sederap, menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia amnya.
Manakala, bagi memanifestasikan kesungguhan sumbangan negara di peringkat global dalam menangani perubahan iklim pula, kerajaan mengambil langkah mitigasi dengan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 40 peratus intensiti karbon menjelang tahun 2020 berbanding tahun 2005. Hal ini sejajar dengan pengumuman yang diuar-uarkan Perdana Menteri Malaysia semasa beliau menghadiri Persidangan Perubahan Iklim di Copenhagen pada Disember 2009 yang lalu.
            Sebagai strategi permulaan ke arah pengurangan 40 peratus intensiti tersebut, kerajaan telah menyediakan ‘Road Map’ yang menggabungjalinkan tiga program utama iaitu, Kecekapan Penggunaan Tenaga, Tenaga Boleh Diperbaharui dan Pengurusan Sisa Pepejal. Gabungan perlaksanaan ketiga-tiga program ini dijangka mampu mengurangkan pengeluaran 45 juta tan karbon dioksida pada masa hadapan. Manakala, strategi serampang dua mata ini pula diperluaskan dengan penglibatan pelbagai sektor seperti sektor pengangkutan, pertanian, perhutanan dan sebagainya.
Sehubungan itu, tindakan yang diketengahkan pihak kerajaan seperti yang di atas tidak lain bertujuan memastikan kelangsungan hayat bumi kita, demi keperluan generasi mendatang persis kata cendekiawan, “Kita bukan mewarisi alam ini daripada datuk nenek kita tetapi kita meminjamnya daripada anak cucu kita”( Mahatma Gandhi).
Dalam pada itu, hasrat kerajaan untuk menangani kesan-kesan perubahan iklim ini tidak akan berjaya tanpa penglibatan semua lapisan masyarakat. Bahkan, peranan yang dimainkan masyarakat juga amatlah signifikan dalam hal ini kerana ia mampu mengadunkan satu kombinasi sinergi yang cukup padu ke arah pelestarian bumi ini demi kepentingan sejagat kelak.
Oleh itu, masyarakat hari ini digalakkan untuk mengitar semula barang-barangan terpakai dalam kehidupan seharian mereka. Secara umumnya, menurut Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 ( Akta 672), kitar semula bermaksud memungut dan mengasingkan sisa-sisa pepejal bagi tujuan menghasilkan sesuatu keluaran.
Selain itu, kitar semula berlaku apabila bahan-bahan diproses dan menghasilkan produk yang sama. Kitar semula mengubah bahan-bahan yang sepatutnya menjadi sisa kepada sumber-sumber bernilai yang lain seperti sumber kepada alam sekitar, kewangan, faedah sosial dan sebagainya. Secara analoginya, bahan-bahan seperti kaca, plastik dan kertas akan dikumpul, diasingkan dan dihantar ke pusat pemprosesan untuk ditukarkan kepada produk atau bahan baharu.
Bahkan, sememangnya diakui, kitar semula bahan buangan akan mendatangkan 1001 manfaat kepada alam sekitar dan masyarakat sejagat. Buktinya, dengan mengitar semula satu botol kaca, kita secara tidak langsung menjimatkan tenaga untuk sebuah komputer yang berfungsi selama 25 minit.
Manakala, jika sekiranya masyarakat melazimkan diri mereka mengitar semula kertas, seolah-olah masyarakat telah berjaya mengurangkan 70 peratus tenaga yang digunakan untuk membuat kertas daripada bahan asasnya sementalahan kitar semula botol plastik pula dapat menjimatkan tenaga untuk mentol 60 watt yang menyala selama tiga jam penggunaannya.
Malahan, seyogia diingatkan bahawa, masyarakat seharusnya membiasakan diri mereka dengan amalan kitar semula seperti ini kerana jumlah sisa buangan semakin bertambah pada setiap masa. Ketahuilah, kira-kira sebanyak 15,000 tan sampah yang dipungut setiap hari dan jumlah ini mampu memenuhi bangunan KLCC dalam masa 9.6 hari sahaja. Lantaran itu, fikir dahulu sebelum buang. Bertindaklah sekarang!
Tambahan lagi, bagi mencegah berlakunya kesan yang lebih buruk akibat perubahan iklim, masyarakat disaran untuk mengelakkan pembakaran secara terbuka. Hal ini kerana, disebabkan pembakaran secara terbuka, negara akan terdedah kepada masalah jerebu dan pencemaran udara yang lebih teruk jika ia tidak ditangani secara sistematik pada masa hadapan.
Namun demikian, menurut tinjauan Jabatan Alam Sekitar Malaysia (JAS), dalam tempoh sehingga Mei 2013 sahaja, terdapat sebanyak 3,782 kes pembakaran terbuka telah dikesan di seluruh negara iaitu pembakaran terbuka melibatkan kawasan hutan (810 kes), kawasan pertanian (1,198 kes), kawasan industri (28 kes), kawasan pembinaan (116 kes), tapak pelupusan sampah (66 kes), kawasan belukar (887 kes) dan lain-lain pembakaran terbuka kecil (677 kes). Ekoran itu, fakta secara jelasnya mencerminkan bagaimana masyarakat hari ini masih lagi rendah tahap kesedaran mereka untuk menjaga alam sekitar demi kepentingan sejagat kelak.  
             Bertitik tolak daripada tinjauan yang telah dilakukan agensi tersebut, jelaslah pembakaran terbuka seyoginya dihentikan sama sekali masyarakat kontemporari pada masa hadapan. Hal ini penting dalam usaha kita semua untuk meminimumkan kesan-kesan akibat perubahan iklim yang berlaku disebabkan pemanasan global sejak akhir-akhir ini sekali gus akan dapat membantu kerajaan dalam menangani permasalahan ini demi keperluan membina impian masa depan alam yang lebih terpelihara kelak.
Ibarat melentur buluh; biarlah daripada rebungnya. Ibu bapa afdalnya menerapkan anak-anak mereka dengan pendidikan menjaga alam sekitar dan kebersihan bermula dari rumah lagi.  Tamsilnya, ibu bapa boleh memenuhi aktiviti waktu senggang mereka pada hujung minggu dengan memperbanyakkan aktiviti rekreasi alam sekitar seperti di kawasan rekreasi air terjun, sungai, pantai dan sebagainya di samping mengurangkan amalan membeli belah di pusat-pusat beli-belah. Malahan, pembudayaan ilmu ini perlu dipupuk dan dibajai oleh generasi muda masa kini agar anak-anak akan lebih menghargai betapa bernilainya alam ini apabila mereka meningkat dewasa besok lusa.
            Justeru,  jelaslah terdapat banyak langkah ideal yang telah direncanakan pihak kerajaan dari semasa ke semasa demi menangani kesan akibat perubahan iklim yang berlaku di negara kita sejak belakangan ini. Bahkan, peranan yang dimainkan masyarakat marcapada pula ibarat melengkapkan lagi usaha bersepadu pihak kerajaan ini demi kelestarian alam ini kelak.   Sesungguhnya, “Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka.”( Ar-Ra'd;11)
Kesimpulan
            Telah terbukti bahawa kesan-kesan akibat perubahan iklim global kini telah melanda negara kita dengan beberapa siri kejadian bencana alam yang berlaku seperti banjir kilat, kekurangan sumber air bersih, jerebu dan sebagainya. Apa yang pasti, perubahan iklim ini telah mengundang pelbagai masalah kepada kita semua. Sejajar dengan itu, seharusnya masyarakat sedar akan keperluan bagi kita semua untuk menjaga alam sekitar demi kelestarian alam yang kekal berpanjangan besok lusa sekali gus mengurangkan kesan akibat perubahan iklim ini demi generasi mendatang.
            Manakala, pelbagai intensif pihak kerajaan bagi menangani permasalahan akibat perubahan iklim ini sewajarnya menyentap kesedaran sivik masyarakat secara total  terutamanya berkaitan isu-isu perubahan iklim yang sememangnya diakui berpunca daripada pemanasan global sejak kebelakangan ini. Ingatlah, walaupun kita hidup harmoni dalam negara Malaysia yang berdaulat sekarang ini , namun pada hakikatnya, masyarakat kontemporari sedang berhadapan dengan ‘peperangan’ yang boleh mengganggu kesejahteraan rakyat yang bernaung di bawahnya.
            Justeru, sebelum nasi menjadi bubur, maka ayuhlah kita beriltizam untuk melazimi sifat keterbukaan dengan tidak memandang enteng akan kesan akibat perubahan iklim ini kerana sesungguhnya, kealpaan kita hari ini mungkin akan memudaratkan diri sendiri dan generasi akan datang persis aforisme, sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.












2499 Patah Perkataan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...