Tak
kenal maka tak cinta. Itulah yang boleh digambarkan apabila disebut sahaja
negeri Kelantan, mesti tergambar dalam fikiran kita akan keindahan dan
kecantikan serta kesejahteraan bandar Kota Bharu yang sudah tidak asing lagi
dalam kalangan pelancong luar dan dalam negara sebagai pilihan utama destinasi
pelancongan yang boleh dikunjungi sepanjang masa. Malah, Kota Bharu juga adalah
merupakan mercu tanda utama kepada ibu negeri Kelantan yang terkenal dengan
jolokkan nama ‘Negeri Cik Siti Wan Kembang’ itu.
Bukan
sekadar itu juga, Kota Bharu adalah antara salah satu daripada 10 jajahan
pentadbiran utama kerajaan negeri Kelantan yang terdiri daripada Kota Bharu,
Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Jeli
dan Gua Musang. Bandar Kota Bharu juga telah diisytiharkan sebagai bandar raya
Islam dengan intipati dan konsep pentadbirannya adalah berpaksikan kepada
pegangan agama yang benar yakni agama Islam mencakupi segenap bidang duniawi
dan ukhrawi. Selepas pelancarannya pada 1 Oktober 2005 oleh Sultan Kelantan,
DYMM Sultan Ismail Petra ibni al-Marhum Sultan Yahya Petra sebagai bandar raya
yang berkonsepkan Islam, bandar ini semakin dikenali di mata masyarakat luar
terutamanya dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara.
Sejajar dengan
pelan induk Kota Bharu Bandar Raya Islam 2006-2015, lima teras dan perkara
utama yang dikonsepsikan dalam pelan ini meliputi keilmuan, kepatuhan,
kebajikan, kebersihan dan kesejahteraan yang diadunkan secara bersama untuk
melahirkan dan menjadikan Kota Bharu sebagai bandar Raya Islam yang berdikari
dengan mengamalkan syariat Islam meliputi perancangan, pembangunan dan
pengurusan. Mengikut kepada pelan induk ini, soal kebersihan dan kesejahteraan
merupakan antara salah satu inpati penting yang tercerna dalam pelan strategik
oleh pihak kerajaan ini.
Soal kebersihan
adalah amat dititikberatkan mencakupi kebersihan rohani dan fizikal. Hal ini bagi
memastikan keadaan individu di sekeliling terutamanya masyarakat warga kota sentiasa
berada dalam keadaan yang sejahtera hendaknya sepanjang masa dengan matlamat
akhirnya ingin mewujudkan persekitaran bandar yang bersih dan pada masa yang
sama akan mengislahkan persekitaran yang mampan yang sekaligus dapat memupuk
semangat persaudaraan dan kejiranan demi mengapai maslahat kehidupan yang
harmoni dalam kalangan umat Islam dan juga masyarakat berbilang kaum
terutamanya penduduk warga kota seperti kata peribahasa, berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing.
Setelah
meneliti dan mengkaji ke peringkat akar umbi, saya bersetuju dengan pendapat
yang menyatakan bahawa kebersihan
dan keindahan adalah merupakan salah satu langkah penyelesaian yang holistik
dan dinamik ke arah menjadikan bandar raya ini bersih dan sejahtera sepanjang
masa demi kebaikan bersama seluruh warga kota amnya yang akan saya perincikan satu
per satu mengikut aspek yang telah diperjelaskan seperti mana yang di atas.
Mari
kita luaskan skop pemikiran kita terhadap konsep kebersihan dan kesihatan serta
keindahan dalam perspektif agama Islam. Terbaca saya akan satu hadis yang telah
diriwayatkan daripada Sa’ad bin Abi Waqas daripada bapanya, daripada Rasulullah
S.A.W : “Sesungguhnya Allah SWT itu suci yang menyukai hal-hal suci, Dia Maha
Bersih yang menyukai kebersihan, Dia Maha Mulia yang menyukai kemuliaan, Dia
Maha Indah yang menyukai keindahan, kerana itu bersihkanlah
tempat-tempatmu.”(HR. Tirmizi)
Melalui keterangan yang boleh
dipetik daripada potongan hadis sebagaimana yang telah dijelaskan di atas
adalah antara yang lainnya dapat menggambarkan kepada kita akan konsep menjaga
kebersihan menurut perspektif agama Islam. Malah, keterangan hadis ini
ditujukan kepada kita sebagai manusia
(Khalifah ALLAH) yang mendiami bumi milik Allah ini agar sentiasa melakukan
sesuatu tindakan ke arah menjamin
kebersihan seiring dengan maksud akhir petikan hadis di atas yakni
‘bersihkanlah tempat-tempatmu’. Dengan itu, kita dituntut untuk melakukan
segala bentuk tindakan yang menjurus ke arah menjadikan tempat-tempat di
sekitar kita dijamin bersih sentiasa tanpa sebarang kekotoran yang boleh
mencacatkan pemandangan terutamanya yang melibatkan kawasan bandar raya Kota
Bharu.
Tambahan
juga, kita boleh mengambil beberapa pengajaran dan faedah yang berguna untuk
diaplikasikan dalam diri masing-masing demi menjaga keindahan dan kecantikan
bandar kita amnya. Sejajar dengan petikan hadis ini jugalah, kebersihan dan
keindahan bandar adalah merupakan agenda utama di peringkat nasional termasuk
juga di peringkat negeri Kelantan. Sebagai analoginya, terdapat banyak kempen
kebersihan yang dianjurkan secara bersama-sama di antara rakyat dan pihak
berkuasa dalam menyemai benih-benih dan perasaan serta amalan untuk menjaga kebersihan yang sudah pasti melibatkan semua
pihak khususnya warga kota kerana kata pujangga Arab berbunyi, awal mula pohon
ialah benih.
Hal ini
adalah amat penting bagi menjamin kesucian nama dan gelaran bandar raya Islam
tidak tercemar dek kekotoran bandar Kota Bharu yang menjadi nadi utama pusat
pentadbiran negeri Kelantan. Menyedari hakikat ini, banyak kempen yang
dianjurkan kerajaan seperti kempen ‘Jumpa Sampah Kutip’ yang merupakan antara
contoh terdekat kepada beberapa kempen yang dijalankan oleh pihak berkuasa
dengan harapan untuk mendidik masyarakat khususnya warga kota mengutip sampah
yang tidak dibuang di tempat yang sebetulnya itu ke dalam tong sampah yang
telah disediakan pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam
(MPKB-BRI). Bukan itu sahaja, hasrat murni kerajaan dalam menganjurkan
kempen-kempen sebegini bukanlah satu perbuatan yang sia-sia sahaja seperti
anjing menyalak bukit, tetapi hal ini merupakan salah satu pelaburan dalam
jangka masa yang panjang dan akhirnya akan memberi pulangan sejuta faedah dan
manfaat kepada masyarakat itu sendiri.
Justeru,
jelaslah setiap daripada warga kota harus bertindak seiring dengan tindakan
untuk menyemai bibit-bibit dan semangat cinta akan kebersihan dan keindahan
serta kesejahteraan bandar ini agar kita dapat menarik lebih ramai pelancong
untuk datang berkunjung ke negeri Kelantan amnya. Kita haruslah sedar akan
tanggungjawab kita sebagai warga kota dalam memikul tanggungjawab dan amanah
untuk bersama-sama menjaga kebersihan bandar raya kita sejagat.
"Dan tuntutlah
dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan
kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu dari dunia
dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah
engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang berbuat kerosakan." (Al-Quran, Al-Qasas: 77)
Ayuh
kita lensakan skop pemikiran dan juga gawang minda kita akan beberapa langkah
yang menjurus ke arah mewujudkan keindahan dan kesejahteraan bandar ini meliputi
segenap aspek kehidupan masyarakat warga kota dan pada masa yang sama
dijelaskan akan kajian kes yang berkaitan dengan kebersihan dan keindahan
bandar raya ini dengan beberapa saranan saya demi menjadikan matlamat akhir
pelan induk Kota Bharu seperti yang telah dinyatakan sebelum ini tercapai
dengan jayanya.
Secara
amnya, banyak langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik telah dan sedang
dijalankan di peringkat negeri Kelantan
agar semangat untuk memupuk budaya kebersihan dalam diri masyarakat warga kota
akan sentiasa terjaga sentiasa demi menjayakan hasrat dan cita-cita kerajaan
yang inginkan kebersihan bandar raya berkonsepkan Islam ini bersih secara total
dan holistik yang sekaligus dapat menjayakan lagi Kempen Kebersihan Sepanjang
Masa bertemakan ‘Kota Bharu Come Sokmo’ sebagai salah satu peransang yang
positif kepada perubahan yang menuju ke arah menjadikan bandar raya ini bersih dan
indah serta sejahtera sentiasa. Jadi, benarlah kebersihan akan membawa kepada
keindahan yang menyeluruh dan pada masa yang sama, keindahan adalah merupakan
kesatuan dan hubungan-hubungan bentuk yang terdapat di antara
pencerapan-pencerapan indrawi manusia(Herbet Read).
Pada
realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa isu kebersihan bandar merupakan
salah satu isu yang sudah tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat khususnya
warga kota. Malah, isu ini merupakan antara punca dan faktor kepada penyelesaian
ke arah mewujudkan bandar raya yang sejahtera sepanjang masa. Bertitik tolak
daripada perkara ini, isu kebersihan bandar juga turut melibatkan banyak pihak
yang berkenaan dalam usaha untuk mengangkat kebersihan bandar ini pada tahap
yang paling maksimum dan memuaskan semua pihak.
Langkah
drastik yang telah diusahakan oleh pihak kerajaan dalam menjamin kebersihan
bandar dengan terlaksananya banyak kempen dan program yang menjurus kepada
usaha murni ini dikatakan mampu memberi pulangan dan impak yang positif kepada
kecantikan, keindahan dan kebersihan bandar khususnya bandar raya Kota Bharu
ini kerana sesungguhnya Allah itu cantik dan amat menciptai sesuatu yang
mencantikkan.
Malah,
kebersihan sesuatu tempat itu adalah amat perlu terutamanya kawasan itu dapat
menarik tumpuan pengunjung seperti gerai-gerai makanan dan restoren bak kata
peribahasa, ada gula, ada semut. Sebagai contoh, gerai makanan di sekitar
bandar raya Kota Bharu perlu meletakkan isu kebersihan sebagai asas kepada
amalan perniagaan mereka seharian.
Peniaga
gerai kecil-kecilan mahupun dalam kadar yang besar seperti restoren di sekitar
bandar ini haruslah memainkan peranan penting dalam menjamin gerai dan restoren
mereka sentiasa berada dalam keadaan yang bersih. Jikalau perkara ini dipandang
acuh tak acuh sahaja, maka pengunjung mungkin memilih untuk tidak makan di situ
dan pergi meninggalkan bandar Kota Bharu dengan perasaan yang tidak berpuas
hati terhadap kebersihan di bandar raya Kota Bharu itu.
Gerai
dan restoren yang kotor biasanya dipenuhi dengan sampah sarap, sistem saliran
longkang yang tidak teratur dengan dipenuhi sampah sarap dan kehadiran lalat
hijau yang menerjah makanan yang disediakan di gerai dan restoren itu sudah
pasti akan menimbulkan perasaan yang tidak puas hati kepada pengunjung yang
datang di situ untuk menjamu selera.
Tambahan
lagi, jika gerai kotor dan dipenuhi dengan lalat, selera makan seseorang itu
mungkin akan hilang dek terpandang kepada kekotoran sesebuah restoren dan gerai
makanan itu. Hal inilah yang merupakan antara faktor perosak kepada jumlah
kedatangan pengunjung di bandar ini. Marilah kita bersama-sama menjaga
kebersihan bandar kita dengan berpegang teguh kepada ‘an-nazhaafatul minal iimaan’ sebagai batu loncatan kepada kita
dalam melakukan perubahan ke arah menjadikan bandar ini bersih dan sejahtera
sepanjang masa meliputi semua aspek dan keadaan sekitar.
Tambahan
juga, penyediaan makanan yang berkualiti dan sedap adalah amat penting dalam
menjamin kesejahteraan pengunjung. Makanan yang sedap bukan sahaja dapat
mengenyangkan pengunjung, bahkan dapat memberi impak yang positif kepada
pengunjung untuk datang melawat Kelantan pada lain kali pula. Masakan tidak,
makanan yang sedap ditambah pula dengan kebersihan gerai dan restoren yang
holistik adalah merupakan rencah dan campuran terbaik dalam menjamin
kesejahteraan bandar Kota Bharu mencakupi segenap aspek dan bidang.
Kesejahteraan di sini bukan sahaja dikaitkan dengan kehidupan warga kota
sahaja, bahkan meliputi kesejahteraan orang luar yang datang ke bandar Kota
Bharu amnya.
Selain
itu, MPKB-BRI juga menginginkan bandar raya berkonsepkan agama Islam ini
sebagai salah satu bandar raya yang bebas sampah menjelang tahun 2015 melalui
konsep dan kempen ‘Zon Bersih’ yang dianjurkan itu. Hal ini turut ditegaskan
oleh Yang Dipertuanya, Encik Fauzi Mat yang mengharapkan cadangan murni agensi
ini mendapat kerjasama kira-kira 6000 orang peniaga kedai makanan di sekitar
bandar raya ini.
Walaupun
tahap kebersihan di kawasan permis menjual makanan ini masih berada di tahap
yang rendah, namun cadangan ini mestilah dipandang serius oleh semua peniaga
gerai makanan dan juga restoren sebagai usaha dan langkah mereka demi membentuk
kebersihan bandar yang maksimum sepanjang masa.
Untuk
memastikan langkah ini berjalan dengan lancar, saya berpendapat adalah baiknya
MPKB-BRI melakukan satu tindakan yang drastik untuk memastikan setiap daripada
gerai dan restoren menyediakan satu sudut khas bagi tujuan pengunjung untuk
merokok agar mereka tidak bercampur gaul dengan pengunjung yang tidak menghisap
rokok bagi menjamu selera mereka di kedai dan restoren itu. Mungkin juga
pemilik restoren dan gerai dapat menyediakan sedikit wang untuk menyediakan
ruang khas seperti ini dan pada masa yang sama haruslah dilengkapi dengan bekas
sampah yang mencukupi bagi tujuan pengunjung membuang puntung rokok mereka di
tempat yang sepatutnya kerana takut akan mayat, terpeluk bangkai.
Hal ini
akan dapat memastikan gerai dan restoren di kawasan bandar Kota Bharu ini tidak
tercemar dek lantai yang penuh dengan puntung rokok yang sudah pasti dapat
mencacatkan lagi kebersihan dan keindahan bandar Kota Bharu yang kita sayangi
ini. Hal ini sekaligus dapat mengelakkan sesetengah pengunjung yang membuang
puntung rokok ke dalam longkang di sekeliling gerai dan restoren tersebut. Dan
pada masa yang sama jugalah, saranan saya agar pihak peniaga perlulah
meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap pagi sebelum menjalankan
perniagaan mereka dengan menyapu segala kekotoran yang ada di atas lantai gerai
dan restoren mereka. Sesudah itu, peniaga digalakkan dahulu untuk membuang
sampah di tempat yang sebetulnya dan tidak pula ke dalam longkang gerai dan
restoren mereka. Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih.
Begitulah
antara beberapa kajian kes kebersihan yang sering dikaitkan dalam kita
mendalami erti sebenar konsep kesejahteraan bandar yang sekaligus telah
menjurus kepada langkah-langkah ke arah matlamat untuk mensejahterakan bandar
ini demi kepentingan seluruh penduduk warga kota amnya. Hal inilah yang
dikatakan matlamat akhir pelan induk kesejahteraan bandar dalam menjadikan
bandar ini bersih dan sejahtera dan dalam pada masa yang sama merupakan
penyelesaian ke arah bandar raya yang bersih menjelang tahun 2015.
Konklusinya,
kebersihan bandar perlulah sentiasa berada dalam keadaan yang terpelihara
sepanjang masa. Memang tidak dapat dinafikan bahawa keadaan ini boleh dicapai
secara bersama jika adanya kesedaran untuk menjaga kebersihan di peringkat
masyarakat warga kota. Malah, kesedaran ini akan mewujudkan tabiat yang baik
dalam kalangan individu serta mendorong ke arah usaha-usaha untuk mengawal sistem
pembuangan sampah yang teratur secara holistik terutamanya di kawasan bandar
Kota Bharu. Tambahan lagi, perjalanan sistem pembuangan pepejal dan kumbahan di
peringkat bandar raya ini perlulah sentiasa dititik beratkan dalam melahirkan
persekitaran yang baik dan selamat daripada sebarang ancaman penyakit.
Malah,
kesejahteraan hidup warga kota adalah merupakan kehidupan yang tercerna
daripada persekitaran yang bebas daripada ancaman fizikal, sosial dan mental.
Malahan, hal ini boleh dicapai dengan mewujudkan persekitaran yang mampan
melalui perancangan yang menitikberatkan hubungan sesama insan bagi memupuk
semangat persaudaraan dan kejiranan agar dapat membentuk masyarakat yang harmoni
dalam kalangan sesama Islam meliputi persekitaran bandar yang selamat, bersih
dan sihat amnya.
1999
Patah Perkataan
Tweet
No comments:
Post a Comment