AkuSuffianFauzi

Nuffnang Adds

Follow My Facebook, Twitter, Instagram

 Add Me Follow Me Follow Me

Thursday 6 November 2014

Siri 7 : Buat Duit Dengan Menulis



Bismillah.. Assalamualaikum.. Salam Sejahtera semua ^_^

Hari ini, Pyan akan teruskan bagi maklumat tentang bagaimana kita ingin menjana duit melalui menulis. So kali ini, Pyan ingin memperkenalkan peraduan menulis esei Berita Sawit anjuran MPOB november 2014.. 

Buat pengetahuan, Peraduan ini terbuka kepada pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia. Karangan adalah mengenai industri sawit negara dan antarabangsa dan ditulis tangan berpandukan tajuk seperti yang di bawah :-

Tajuk: “INDUSTRI SAWIT MALAYSIA MENYUMBANG KEPADA ALAM SEKITAR YANG LEBIH LESTARI”

So, kepada adik-adik semua yang masih belajar di sekolah menengah bermula daripada Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5, anda dijemput untuk menyertai Peraduan Mengarang Esei Berita Sawit ini.
Tiga pemenang dicari setiap bulan. Hadiahnya cukup menarik, iaitu :-

1)      RM250
2)      RM200
3)      RM150

Manakala, bagi pemenang tempat pertama setiap bulan, esei  tersebut akan diterbitkan dalam Berita Sawit pada bulan yang berikutnya.

Syarat-Syarat penyertaan boleh merujuk pada gambar di bawah.. Dipersilakan klik gambar untuk ke pautan Laman Web Rasmi MPOB.. 







Selamat mencuba, semoga berjaya adik-adik semua.. ^_^

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 20 November 2014


Wednesday 5 November 2014

Kraf Menjana Ekonomi Rakyat



(Esei ini dikarang oleh adik Pian.. Dan alhamdulillah, dia memenangi tempat ketiga dalam pertandingan esei Kraftangan Malaysia ini.. Pian dah minta kebenaran dia nak publish dalam blog Pian nie.. Semoga menjadi rujukan untuk sesiapa yang berminat untuk masuk peraduan menulis.. Rezeki ada di mana-mana.. Jangan takut untuk mencuba yep!)
 


Ini buktinya yang beliau memenangi hadiah tempat ke-3 




 Dan ini eseinya:
Tajuk Esei: Kraf Menjana Ekonomi Rakyat
Ditulis Oleh: Mohammad Amir Syukri bin Fauzi

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kraf tangan ditakrifkan sebagai perusahaan (kerja, seni dan sebagainya) yang memerlukan daya cipta dan kemahiran menggunakan tangan. Manakala, menurut Akta-222, Akta Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia 1979  pula mendefinisikan kraf tangan itu sebagai barangan yang dihasilkan menggunakan kemahiran tangan, dikeluarkan dengan atau tanpa menggunakan alat atau peralatan mudah yang dijalankan secara sendiri atau tidak langsung oleh pengusaha-pengusaha kraf. 

Daripada takrifan kraf tangan yang dinyatakan di atas, jelaslah kebanyakan usahawan kraf di Malaysia dikategorikan sebagai pengusaha mikro dan kecil sahaja berdasarkan kepada jumlah modal berbayar, bilangan pekerja dan jualan tahunan yang direkodkan sementalahan, hasil atau keluaran kraf pula lazimnya bersifat sederhana dan tidak pula terlalu kompleks seperti keluaran lain. (Chamhuri Siwar,1995 dan Wan Hashim Wan Teh, 1996)

Dalam hubungan ini, "Keluaran Kraftangan" pula diistilahkan sebagai apa-apa keluaran artistik yang mempunyai daya tarikan kebudayaan atau tradisional dan adalah hasil daripada sesuatu proses yang bergantung semata-mata atau sebahagiannya kepada kemahiran tangan dan termasuklah apa-apa barang, walau bagaimanapun dihasilkan, yang mempunyai reka bentuk batik pada atau di mana-mana sahaja bahagiannya.

Indah budi kerana berjasa,
Indah rupa tiada terkata,
Seni kraf warisan bangsa,
Kebanggaan kita rakyat jelata. 

            Secara keseluruhannya, seni kraf adalah merupakan warisan bangsa sejak turun-temurun. Ia menjadi kebanggan kita sebagai rakyat jelata dan dikategorikan dalam kelompok kesenian rakyat, folks arts. Umumnya, seni warisan ini sebenarnya bergantung sepenuhnya kepada kecekapan seseorang individu tersebut sehinggalah hasil kerja mereka diberi nilaian yang tinggi. 

Malahan, seseorang yang melibatkan diri dalam perusahaan kraf tangan sama ada secara sambilan ataupun secara sepenuh masa seyogianya menggabungjalinkan tiga ciri perdana yang menjadi tunjang dalam penghasilan kepelbagaian produk kraf tangan yang berada di pasaran mayapada. Ia merangkumi ciri-ciri seperti hasil keluaran, kepercayaan budaya dan agama yang syumul serta keperluan tradisional. Manakala, ketiga-tiga ciri ini apabila digabungjalinkan bersama akan meledakkan satu nilai estetika yang amat tinggi harganya di mata para peminat kraf kelak.    

            Pada waktu yang sama, negara kita persis juga negara-negara lain seantero dunia sememangnya mempunyai warisan kraf tangan tempatan yang boleh dibanggakan, bahkan telah wujud sejak berabad lama dahulu. Di Malaysia, walaupun sejarah kewujudan dan kesinambungannya tidaklah dicatatkan dengan jelas, namun beberapa penemuan kraf generasi terdahulu telah menjadi bukti kepada asal usul, sejarah kewujudan, dan budaya kraf negara kita hari ini. 

Bukti konklusif menunjukkan, pada tahun 1954, satu ekspedisi diketuai Dr. G. de. G. Sieveking dari Muzium Kebangsaan Persekutuan telah menemui beberapa peninggalan kraf manusia yang hidup pada Zaman Neolitik seperti barangan tembikar berkaki, pisau batu serta serpihan yang jarang-jarang ditemui di bukit kapur Perlis dan juga di negeri Kelantan (Beamish dalam Salsabila Tang Abdullah). 

Dalam pada itu, kesedaran masyarakat Melayu untuk membentuk barang-barangan keperluan seharian pula dikatakan menjadi titik tolak kepada wujudnya penciptaan awal kraf tangan yang berlaku kira-kira 2000 hingga 1500 tahun dahulu sebelum Masihi.  

Jika dilihat dari sudut lain pula, menurut William Hunt dalam bukunya ‘An Introdution to The Malayan Aboriginese’ menyatakan bahawa, budaya dan seni kraf di Malaysia sebenarnya dibawa masuk pendatang berketurunan Melayu dari Gugusan Kepulauan Melayu serta pendatang asing dari rantau Asia Tenggara dengan asimilasi budaya peribumi yang sedia ada. Manakala, Tony Beamish dalam kajiannya The Art of Malaysia secara sinis mencerminkan bahawa seni kraf tangan di Malaysia pada mulanya dipelopori masyarakat orang Asli dengan menggunakan buluh sebagai bahan asas pembuatannya. 

Manakala, kajian ini disokong sepenuhnya Iskandar Carey, bekas Pengarah Hal Ehwal Orang Asli Malaya yang telah menyimpulkan bahawa, masyarakat orang Asli diiktiraf sebagai masyarakat peribumi yang mendiami Tanah Melayu dan golongan ini terkenal dengan “Budaya Buluh” mereka sejak sekian lama lagi.  

Lain daripada itu, menurut Ismail Ibrahim (2007), seni kraf lazimnya mempunyai beberapa aturan khusus dalam penghasilannya. Tamsilnya, pengamal kraf disebut sebagai tukang kraf dan selalunya gelaran ini diberikan kepada mereka yang betul-betul menjiwai seni kraf tersebut bersesuaian dengan kemahiran dimiliki mereka sejak turun-temurun itu. 

Kendatipun begitu, penghayatan dalam seni kraf pula kebiasaannya mengambil kira beberapa aspek penting yang berikut. Antaranya, aspek kemahiran tukang dalam mengaplikasikan teknik-teknik penghasilan produk kraf selain aspek pengetahuan dan pengalaman tukang dalam menghasilkan sesuatu keluaran kraf yang bermutu tinggi di mata rakyat marhaen kelak.

Atas aspek-aspek inilah, pengusaha kraf tangan zaman kini sewajarnya memperlihatkan kehalusan, keindahan dan keaslian yang tersembunyi pada setiap hasil keluaran produk kraf mereka agar segala bentuk motif yang ingin disampaikan kepada masyarakat akan dapat disampaikan secara menyeluruh kelak sekali gus mencerminkan dengan jelas akan nilai-nilai kepercayaan serta kelestarian adat sesetengah budaya masyarakat itu untuk keperluan generasi mendatang. 

Hal ini penting dalam usaha kita untuk memastikan agar warisan seni kraf ini tak lekang oleh panas, tak lapuk oleh hujan dalam mendepani realiti era milenium yang pantas berubah ini.  

Keunggulan Kraf Sebagai Penjana Ekonomi Masyarakat
 
Disingkapkan, kraf sememangnya dihasilkan daripada alam semula jadi yang terhampar luas di sekeliling kehidupan masyarakat hari ini. Malah, rakyat Malaysia sepatutnya bersyukur kerana negara kita memiliki hasil alam yang begitu banyak untuk digarap manfaatnya secara bersama. Bahkan, bahan seperti kayu, buluh, rotan, ribu-ribu, mengkuang, pandan, bemban dan daun serdang adalah merupakan antara hasil rimba yang boleh diusahakan secara kreatif oleh usahawan kraf untuk dijadikan produk-produk kraf yang bermutu lagi tinggi nilai estetikanya di hati pelanggan kelak. 

Dekad demi dekad silih berganti. Kini, kraf tangan telah melalui satu anjakan paradigma dari segi pengkomersialannya mencakupi produk dan juga kaedah penghasilan yang relevan mengikut kehendak zaman. Ironinya, kraf tangan bukan sahaja menjadi warisan turun-temurun semata-mata, bahkan sekarang ini, kraf semakin popular sebagai penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara sejak lebih tiga dekad yang lalu di samping turut menjadi salah satu sumber penjana ekonomi masyarakat yang gigih mengusahakannya secara sistematik dan juga berstrategi. 

            Dalam hubungan ini, mari kita fokuskan minda kita terhadap beberapa contoh kes yang menjadi bukti kukuh bahawa industri kraf marcapada mampu menjana pendapatan rakyat sejagat. Secara umumnya, apabila kita bercakapkan tentang kraf rotan, sudah tentu ramai yang akan terbayangkan reka bentuk tradisional dan produknya yang agak terhad seperti tudung saji, bakul, dulang dan sebagainya. 

Namun di sebalik itu, dengan sedikit daya kreativiti yang diilhamkan para pengusaha kraf, rotan sebenarnya mampu dikomersialkan menjadi produk yang berkualiti dan yang paling penting boleh menarik perhatian ramai untuk memilikinya. Malahan, bukan menjadi sesuatu yang menghairankan jika hari ini, perniagaan kraf tangan berasaskan rotan semakin menjadi kegilaan ramai termasuklah golongan wanita yang ingin meningkatkan taraf hidup mereka sekalian.

            Senario ini jelas menggambarkan kehidupan sebenar Puan Azizah Ahmad, 44 tahun yang tinggal di Taman Pinggiran Senawang, Negeri Sembilan. Beliau yang cukup terkenal di kawasan tersebut sudah lebih lapan tahun mengusahakan perniagaan kraf tangan berasaskan rotan sehinggakan kini, beliau juga dinobatkan antara salah seorang usahawan rotan yang berjaya di Negeri Sembilan. 

Bahkan, pemilik syarikat Zafialno Enterprise ini mengakui, perniagaannya dan produk rotan itu adalah bertitik tolak daripada kegigihannya memartabatkan industri kraf tangan rotan dengan mengkomersialkan produk tersebut di mata masyarakat sejagat sekali gus mempengaruhi minda masyarakat era kontemporari terutamanya golongan muda untuk mencintai kraf tangan yang bercirikan negara sendiri. 

Diceritakan, berdasarkan pengalaman beliau yang acap kali menyertai pameran kraf antarabangsa anjuran bersama pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Negeri Sembilan itu, kebanyakan bangsa asing juga turut meminati kraf tangan rotan keluaran negara dek kerana keunikan buatannya yang boleh memukau mata sesiapa sahaja yang memandangnya. 

Bahkan, beliau sendiri memperakui bahawa, nilai tambah yang diberikan pada setiap produk kraf hasil keluaran tangannya itu telah menyebabkan produknya kini sudah mampu menembusi pasaran antarabangsa seperti di Singapura, Eropah, United Kingdom dan sebagainya. Hal ini jelas membuktikan bahawa, pengusaha kraf tangan tempatan juga mampu bergelar usahawan berjaya sehingga menempa nama di pasaran semasa sama ada dalam dan luar negara amnya.

            Malahan, dek kesungguhannya menjalankan perusahaan kraf itu, kini usahawan kraf rotan sepertinya mampu meraih pendapatan bulanan yang sangat lumayan buat diri dan keluarganya dengan keuntungan hasil jualan yang diperolehi mampu mencecah RM4,000 sehingga RM10,000 sebulan. Sesungguhnya, kejayaan Puan Azizah ini jelas menggambarkan pepatah Arab yang berbunyi, sesiapa yang berusaha, dia yang mendapat hasilnya.  

Seterusnya, memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa, kraf tangan tempatan sudah semakin diminati ramai saban hari. Bahkan, sebut sahaja kraf manik, nescaya terbayang dalam fikiran kita gerai-gerai menjual pelbagai bentuk kraf tersebut di sepanjang jalan di antara Matunggong dan Kudat amnya. 

Umum mengetahui, Kudat sememangnya banyak menghasilkan pelbagai jenis kraf tangan yang unik dan cantik termasuklah juga seperti kraf manik yang boleh diketengahkan produknya itu hingga persada antarabangsa. Bertitik tolak daripada itu, maka tidak hairanlah, kerajaan menerusi Perbadanan Kraftangan Malaysia sentiasa merencanakan pelbagai langkah ideal demi memastikan warisan seni kraf turun-temurun sesuatu kaum di negara ini seperti juga kraf manik yang melambangkan budaya serta adat resam kebanyakan etnik di Sabah ini tidak akan luntur ditelan zaman kelak. 

Hal ini termasuklah dengan menganjurkan program Promosi Kraf Malaysia di Kota Kinabalu yang bertujuan untuk memelihara dan meningkatkan lagi martabat seni kraf termasuklah seni kraf manik yang kebanyakannya dihasilkan masyarakat Rungus di daerah Kudat ini. 

Malahan, bagi pengusaha kraf di Kudat, industri kraf bukan sahaja dapat memelihara kesenian negara bangsa sejak turun-temurun, tetapi juga menjadi bidang yang boleh dimajukan di samping menjadi sumber penjana pendapatan masyarakat sejagat. Begitulah yang boleh digambarkan kehidupan Mohizo Tukaro, 48 tahun, anak jati dari kampung Hobut Matunggung, Kudat yang menjadikan kraf manik sebagai sumber penjana pendapatan sampingan buat diri dan keluarganya sejak sepuluh tahun yang lalu.

Menurutnya, beliau mengakui bahawa kraf manik sememangnya mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan jika benar-benar ada kesungguhan dalam diri untuk mengusahakannya. Bahkan, beliau yang mula belajar membuat manik sejak dari kecil itu dikatakan membesar dengan kraf tangan manik, malar-malar pula keluarganya memang tersohor dalam kalangan penduduk di sekitar daerah Kudat ini sebagai pembuat kraf pinakol, iaitu sejenis perhiasan pakaian tradisional masyarakat Rungus amnya. 

Manakala, ekoran daripada berlakunya tuntutan penginovasian dalam arus pemodenan kraf tangan negara sejak kebelakangan ini, Mohizo telah mengorak langkah efektif dengan menyesuaikan kaedah yang lebih berinovatif dalam penghasilan kraf manik keluarannya itu sekali gus ia selaras dengan perkembangan semasa industri kraf tangan negara saat ini. Hal ini penting dalam usaha beliau untuk memenuhi permintaan para peminat kraf kontemporari yang lebih bersifatkan,  alah membeli, menang memakai ini.

Di samping itu, dalam masa sehari, beliau mampu menghasilkan lebih daripada tiga perhiasan dan produk kraf yang diperbuat daripada manik amnya. Antaranya merangkumi perhiasan seperti litai Sabah, litai Venusak, tinutu (corak tradisi), inavol selain beberapa produk manik yang lain seperti gelang, rantai, kerongsang, balutan pen dan sebagainya. 

Hasilnya, dengan penat lelah beliau mengusahakan perusahaan kraf manik di daerah Kudat ini, beliau kini mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM200 hingga RM300 sebulan. Manakala, sekiranya beliau ada menerima tempahan daripada pembeli dan peminat kraf dalam dan luar negeri pula, beliau mampu memperolehi pendapatan sehingga RM2,000 untuk sekali tempahan. Kesungguhan beliau mengusahakan perusahaan kraf ini tidak ubah pesan orang tua-tua, sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat.

Begitulah antara dua tamsilan daripada ribuan kes yang menceritakan tentang perihal kraf tangan hari ini mampu meneguhkan ekonomi masyarakat yang rajin mengusahakannya tanpa pernah kenal erti penat lelah dalam diri mereka sekalian. 

Apa yang pasti, bagi pengusaha-pengusaha kraf yang beragama Islam pula, menjana ekonomi melalui industri kraf tangan ini sememangnya bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud, “Usaha yang paling utama (Afdal) adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan hasil dari jual beli yang mabrur.

Kraftangan Malaysia Sebagai Peneraju Pembangunan Kraf Negara
            Pada keseluruhannya, beberapa contoh kes kejayaan pengusaha-pengusaha kraf seperti mana yang telah dipaparkan di atas sebenarnya tidak lengkap jika sekiranya tiada bantuan yang disumbangkan pihak kerajaan melalui Kraftangan Malaysia amnya. Bahkan, tidak keterlaluan pula jika dikatakan bahawa pengusaha kraf sekarang ini dijaga bagai menatang minyak yang penuh.

 Masakan tidak, dengan sumbangan idea-idea bernas serta kepakaran-kepakaran terkini yang disumbangkan pihak Kraftangan Malaysia kepada para pengusaha kraf, kini agensi tersebut semakin gah berada di puncak kegemilangan dalam usahanya untuk membangunkan industri ini agar ia terus kekal memacu pertumbuhan ekonomi yang mapan buat masyarakat dan juga negara kita kelak.

            Justeru itu, ayuh kita lensakan pula skop pemikiran kita dengan hakikat bahawa, Kraftangan Malaysia hari ini sememangnya telah diperakui sebagai peneraju utama pembangunan industri kraf keluaran negara sejak lebih tiga puluh tahun yang lalu. 

Umum mengetahui,  Kraftangan Malaysia atau lebih dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia adalah merupakan antara sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang telah dipertanggungjawab sepenuhnya dalam usaha untuk menaiktarafkan industri kraf sebagai cerucuk utama pembangunan sosioekonomi negara kita selain sebagai sumber penjana ekonomi buat rakyat sejagat.

            Ditubuhkan pada tanggal 1 Oktober 1979 di bawah Akta Perbadanan Kraftangan Malaysia atau akta-222, Kraftangan Malaysia telah bergerak seiring dengan matlamat utama penubuhannya untuk memelihara kraf tangan tradisi dan mempertingkatkan aktiviti kraf di samping menjadikan industri ini sentiasa berdaya maju seiring dengan peredaran zaman pada masa hadapan (Kraftangan Malaysia, 2008).

Bahkan, pada masa yang sama juga, Kraftangan Malaysia turut bertanggungjawab sepenuhnya melahirkan pengusaha-pengusaha kraf tempatan yang cemerlang dalam segenap aspek keusahawanan mencakupi aspek pembangunan produk, promosi, serta pengurusan perniagaan yang berjaya amnya. 

Untuk itu, pelbagai program telah dilaksanakan pihak Kraftangan Malaysia dalam usaha mempromosikan perniagaan usahawan kraf tempatan hari ini seperti, menyediakan latihan keusahawanan dalam bentuk kemahiran dan pertukangan kraf, merekabentuk program-program pembangunan keusahawanan dalam industri kraf, membantu dalam memperkenalkan pengusaha kraf kepada kaedah produksi terkini dan akhirnya merancang serta melaksanakan program pemasaran kraf ke peringkat antarabangsa. 

Impaknya, pada tahun 2008, seramai 1,347 orang usahawan kraf di Malaysia telah berjaya mendapat peluang keemasan untuk menyertai pelbagai program yang dilaksanakan pihak Kraftangan Malaysia sepanjang tahun tersebut. Bahkan, kesemua mereka juga telah mendapat didikan serta latihan yang cukup signifikan daripada pihak Kraftangan Malaysia seperti latihan reka bentuk produk, pembungkusan, inovasi produk, inventori kraf, hiasan dalaman, dan sebagainya (Kraftangan Malaysia, 2008). 

            Secara analoginya, jelaslah penubuhan Kraftangan Malaysia sebagai nadi utama pembangunan kraf tangan negara kita hari ini telah berjaya melonjakkan industri ini semakin berdaya maju di peringkat domestik mahupun peringkat global. Bahkan, dengan pendekatan serta perancangan terperinci yang telah dirancang dari semasa ke semasa, kini industri kraf semakin diterima masyarakat sejagat sebagai sumber penjana ekonomi rakyat marhean di samping merangsang ekonomi mapan buat negara kita menjelang tahun 2020 kelak. 

Malahan, dengan sumbangan bantuan serta idea-idea yang disumbangkan Kraftangan Malaysia kepada masyarakat kontemporari, maka bermulalah satu lembaran baru dalam industri kraf era ini yang telah menyaksikan industri ini telah membuka peluang pekerjaan  yang begitu meluas buat sekalian golongan marhaen untuk diceburi masyarakat sama ada secara sambilan ataupun sebaliknya. 

Hal ini persis ucapan Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim dalam ucapan perasmiannya sempena majlis Konvokesyen Institut Kraf Negara Ke-10 tahun 2011 yang berbunyi, ‘Industri kraf tangan tempatan bukan sahaja mampu meraih pendapatan lumayan, sebaliknya sebagai karier yang meyakinkan.

Keistimewaan Kraf Dalam Mewujudkan Peluang Pekerjaan
            Secara total, sememangnya industri kraf telah lama bertapak dalam negara kita terutamanya di negeri-negeri Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah dan sebagainya sejak awal abad ke-19 lagi. 

Pada ketika itu, pengusaha kraf kebanyakannya bekerja secara sendirian di istana-istana diraja mahupun kediaman orang-orang kenamaan selain mereka mahir dalam bidang tenunan, pertukangan emas, perak dan ukiran kayu. Namun demikian, skop pekerjaan  mereka pada masa itu terbatas dan tidaklah seluas mana jika hendak dibandingkan dengan zaman ini. 

            Justeru, dalam konteks industri kraf pada masa kini, maka ayuhlah kita luaskan horizon pemikiran ini dengan kenyataan bahawa, industri kraf tangan marcapada dapat menjana pertumbuhan ekonomi yang mapan melalui kewujudan peluang pekerjaan  yang begitu banyak dalam kalangan masyarakat sejagat.

Lumrahnya, sektor kraf tangan telah membuka 1001 peluang pekerjaan  kepada golongan murba terutamanya kaum wanita yang ingin melibatkan diri dalam penghasilan kraf terutamanya kraf yang dihasilkan melalui proses tenunan, tekatan, anyaman dan sebagainya. 

Bahkan, di samping kaum wanita dapat menjana dan meningkatkan pendapatan bulanan keluarga mereka, negara juga boleh menjana pertumbuhan ekonomi yang kukuh melalui pemasaran produk-produk kraf ini dalam pasaran domestik mahupun pasaran antarabangsa amnya. 

Lain daripada itu, bertitik tolak daripada kesedaran sivik yang tinggi kaum wanita terutamanya berkaitan dengan peluang bagi mereka untuk menjana ekonomi melalui penglibatan dalam industri kraf ini, kesannya pihak Kraftangan Malaysia telah merekodkan sebahagian besar usahawan kraf di negara kita adalah datangnya daripada golongan wanita. Manakala, bilangannya pula mencakupi seramai 4997 orang atau merangkumi 70 peratus daripada keseluruhan usahawan kraf yang menjalankan perusahaan berasaskan penghasilan produk-produk kraf di Malaysia. 

Lantaran itu, nilai ini sudah cukup untuk menjadi bukti jelas bahawa, keiltizaman serta semangat juang yang tinggi golongan ini dalam memartabatkan industri kraf sebagai sumber penjana ekonomi buat mereka sedikit sebanyak mengutuhkan pembangunan sosioekonomi negara kita kelak.

Malahan, jika ditelusuri, majoriti usahawan kraf hari ini semakin berminat untuk menceburi bidang ini kerana mereka yakin bahawa, perusahaan kraf tidaklah serumit mana yang difikirkan kerana ia tidak melibatkan kerja-kerja berat dan sesuai diusahakan di rumah sebagai hobi sampingan pada waktu senggang dan sebagainya. Hal ini persis aforisme, sambil berdiang, nasi masak

Bahkan, seperti yang kita sedia maklum, sifat semula jadi wanita yang mempunyai kemahiran kreatif dan ketelitian yang tinggi dalam diri mereka telah menjadikannya ia sebagai faktor terpenting kepada penglibatan wanita dalam penghasilan produk kraf yang bermutu tinggi sejak kebelakangan ini. 

Apa yang pasti, penglibatan golongan wanita dalam industri kraf tangan juga tidak lain bertujuan untuk menyahut seruan kerajaan yang ingin menyasarkan peningkatan penyertaan wanita dalam tenaga kerja daripada 52.4 peratus kepada 55 peratus menjelang tahun 2015 kelak. 

Ibarat kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa. Natijahya, pada tahun 2009, usahawan-usahawan kraf wanita telah berjaya membuktikan kepada negara kita dengan kejayaan membanggakan hasil daripada jualan produk kraf dan saiz pasaran yang dicapai mereka dengan rekod keuntungan bersih sebanyak RM83 juta atau merangkumi 31 peratus daripada saiz pasaran produk-produk yang lain telah berjaya dicapai golongan wanita amnya. 

Hal ini secara jelasnya telah membuktikan kemampuan jitu golongan-golongan wanita dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara pada masa hadapan. Bahkan, pencapaian wanita dalam industri ini seharusnya dibanggakan masyarakat sejagat kerana sesungguhnya, keunggulan dan kehebatan wanita dalam hal ini bertepatan dengan ungkapan berbunyi, ‘Tangan yang menghayun buaian itu boleh menggoncang dunia’. 

Dalam pada itu, keluaran produk kraf tangan golongan wanita mungkin lebih cantik dari segi kekemasannya jika hendak dibandingkan dengan keluaran produk kraf yang dihasilkan usahawan kraf lelaki amnya. Masakan tidak, golongan wanita sememangnya mempunyai sifat ketelitian yang tinggi dalam melakukan aktiviti-aktiviti seharian mereka termasuklah juga dalam penghasilan produk kraf itu sendiri.

 Jadi, tidak mustahillah golongan ini mampu mengeluarkan produk kraf yang mempunyai nilai estetika yang tinggi besok lusa, malar-malar pula lebih berkualiti dan amat praktikal untuk dipasarkan dalam pasaran semasa ataupun pasaran global kelak.

Sehubungan itu, jelaslah kewibawaan industri kraf sebenarnya mampu menjulang negara sebagai sebuah negara Malaysia yang maju ekonominya menjelang tahun 2020 belakang hari. Manakala, keunggulannya pula ternyata telah berjaya membuka peluang pekerjaan yang begitu meluas untuk diceburi masyarakat sejagat di samping ia dapat membantu kepada pembangunan sosioekonomi negara selain menjana pendapatan yang lumayan buat sesiapa sahaja yang rajin mengusahakannya.

 Hal ini persis dengan firman Allah dalam surah Al-Arad ayat ke-14 yang bermaksud, ‘ Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah nasib mereka sendiri ’.
 
Kraf Tangan Berdepan Dengan Cabaran dan Kekangan
Dalam pada itu, apabila kita bercakapkan tentang sesuatu kejayaan yang kita kecapi hari ini, semestinya di sebalik kejayaan tersebut, tersingkapnya pula cabaran dan kekangan yang terpaksa dihadapi. Bahkan, situasi ini secara jelasnya menggambarkan akan industri kraf kontemporari yang terpaksa meredah gelora, berhadapan dengan pelbagai kerenah cabaran moden yang pastinya memerlukan pengertian serius semua pihak khususnya masyarakat dan pihak kerajaan amnya. 

Oleh hal yang demikian, mari kita suburkan pula daya pemikiran kita dengan melihatkan beberapa cabaran yang menjadi halangan utama industri kraf tangan negara hari ini untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah setanding dengan lain-lain industri. 

Ghalibnya, hasil kraf tangan tempatan kini menghadapi kemelut besar dalam usaha untuk bersaing bersama dengan negara-negara luar lain yang turut mengeluarkan barangan kraf tangan keluaran negara mereka seperti negara-negara Thailand, Filipina, Indonesia dan sebagainya.

Manakala, saingan ini kebanyakannya tertumpu kepada aspek kualiti produk kraf yang dapat dihasilkan kerana produk dari negara luar kadang-kadang lebih baik hasil buatannya dek kerana kaedah penghasilannya yang telah mendapat bantuan teknologi terkini amnya. Umum mengetahui, dengan bantuan teknologi canggih yang dimiliki mereka, ia bukan sahaja dapat memperhaluskan lagi dari segi penghasilan produk tersebut, bahkan juga dapat memendekkan tempoh masa penghasilan bagi menghasilkan sesuatu produk kraf pada masa hadapan.

Malahan, hal ini juga bertepatan dalam konteks kehendak semasa para pelancong yang datang berkunjung di negara kita hari ini. Masakan tidak, mereka sentiasa inginkan sesuatu barangan itu dengan kadar masa yang segera dan mereka tidak mempunyai masa untuk menanti serta menunggu sesuatu produk tersebut untuk dihasilkan. 

Kontradiksinya, hal ini sudah pasti berbeza dengan kraf tangan yang diusahakan masyarakat di negara kita kerana kebanyakannya memerlukan masa yang panjang untuk menghasilkan sesuatu produk kraf tersebut sebelum ia boleh dipasarkan dalam pasaran semasa.         

Seterusnya, dari segi latihan kemahiran dan peningkatan mutu barangan, boleh dikatakan industri kraf tangan negara masih lagi kekurangan tenaga mahir setelah yang sedia ada pun semakin dimamah usia. Lazimnya, tenaga-tenaga mahir yang diperlukan mungkin ada, namun mereka tidak berani untuk menonjol dan mengetengahkan bakat tersebut. 

Malahan, ada juga antara mereka yang mempunyai bakat yang tersembunyi dalam diri mereka masing-masing, namun mereka tidak berani mengambil risiko untuk menceburi bidang ini, malar-malar pula dengan risiko yang mungkin dialami oleh mereka dalam pasaran terbuka kemudian hari.  

Lebih-lebih lagi, risiko seperti kerugian pula sentiasa menjadi alasan utama apabila diajukan soalan mengapa mereka tidak berani untuk berkecimpung dalam industri ini. Tidak cukup dengan itu, mereka juga berpendapat bahawa, menceburi bidang kraf tangan umpama seperti mempertaruhkan norma kehidupan seharian apatah lagi apabila hasil keluaran kraf mereka tidak mendapat sambutan, mereka mungkin tiada lagi tempat pergantungan. 

Lebih menyukarkan lagi keadaan apabila dana perniagaan yang diperolehi mereka seperti daripada pinjaman dan sebagainya memerlukan mereka untuk membayar semula mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan. Pendek kata, golongan seperti ini akan menjadi semakin takut untuk menghadapi risiko-risiko tersebut lantaran telah menyebabkan kerja-kerja kraf tangan mereka itu hanyalah untuk kegunaan diri sendiri dan sebagai memenuhi hobi sampingan pada masa lapang. 

Akhirnya, minat serta kemahiran yang dimiliki mereka itu akan terkubur dengan sendirinya belakang hari sekali gus hal ini akan  mendatangkan seribu satu kerugian yang amat besar kepada industri kraf negara pada masa hadapan.

Ibarat laki pulang kelaparan, dagang lalu ditanakkan. Pepatah Melayu ini sesuai menggambarkan dan merumuskan secara jelas akan stigma masyarakat Malaysia hari ini yang telah menghadirkan beberapa cabaran alaf global kepada industri seni kraf negara dengan seolah-olah memandang sepi produk kraf tangan buatan tempatan amnya. 

Malahan, mentaliti serta ketidakacuhan masyarakat yang suka mendewa-dewakan produk kraf tangan moden dan berjenama antarabangsa, dilihat menjadi ancaman besar kepada industri produk kraf tangan tempatan. Rentetan daripada kelesuan permintaan produk kraf tempatan dalam pasaran domestik dewasa ini, ia juga telah menyumbang kepada kesuraman industri kraf tangan negara yang boleh diibaratkan seperti hidup segan, mati tak mahu

Tambahan pula, sorotan daripada kesuraman iklim ekonomi dunia yang kian meruncing, industri kraf tangan negara juga dilihat semakin bergelut untuk terus bernafas. Memburukkan lagi keadaan di kala industri kraf tangan negara dilihat semakin terumbang-ambing dibadai cabaran moden sekali gus fenomena ini akan menyukarkan lagi industri ini untuk terus kekal bertahan kelak. 

Manakala, kerajaan pula seakan-akan terlepas pandang akan potensi industri ini. Apa yang membimbangkan ialah, pengusaha kraf tangan tempatan bukan sahaja terdesak untuk mencari peluang perniagaan malah terpaksa dibelenggu dengan masalah permintaan domestik yang kurang memberangsangkan. Kondisi ini jelas sekali akan mengecewakan banyak pihak nanti.

Oleh yang demikian, jelaslah terdapat beberapa cabaran dan rintangan yang terpaksa dihadapi industri kraf sejak akhir-akhir ini. Justeru, bertitik tolak daripada itu, jelaslah pelbagai pihak seyogianya memanifestasikan akal fikiran mereka masing-masing bagi mencari formula atau mekanisme yang berkesan untuk memajukan industri kraf tangan di Malaysia ini setanding dengan lain-lain industri yang dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan masyarakat yang kukuh menjelang tahun 2020 kelak. 

Langkah-Langkah Memajukan Industri Kraf Negara
Dalam usaha untuk memajukan industri kraf tangan negara hari ini, maka ayuhlah pula kita fokuskan skop pemikiran kita terhadap beberapa prakarsa terpenting yang boleh diimplementasikan pihak kerajaan bagi mencapai hasrat murni pelestarian secara holistik industri kraf pada masa hadapan. 

Umum mengetahui, tindakan secara kolaboratif yang boleh diketengahkan pihak kerajaan adalah dengan cara mengadakan integrasi erat bersama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia untuk melipatgandakan lagi usaha ke arah mempromosikan industri kraf tangan di peringkat global amnya. Hal ini boleh dicapai dengan mewujudkan pelbagai inisiatif termasuklah promosi secara agresif yang boleh dilakukan melalui kempen-kempen, pakej-pakej pelancongan di Malaysia dan sebagainya. 

Bahkan, keputusan yang diambil pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan yang telah menggesa pihak-pihak yang terbabit dengan industri pelancongan untuk memberikan diskaun sebanyak 25 peratus kepada para pelancong yang datang ke Malaysia itu adalah merupakan antara intensif terbaik pihak kerajaan bagi memajukan industri kraf negara kelak. 

 Malahan, mantan menterinya, Datuk Seri Ng Yen Yen dipetik sebagai berkata, kementerian telah meletakkan sasaran untuk mencapai seramai 36 juta orang pelancong yang akan datang melawat ke negara kita menjelang tahun 2020 belakang hari. Justeru, hasrat murni pihak kerajaan untuk memajukan industri pelancongan ke tahap yang lebih membanggakan lagi pada masa hadapan ini sudah pasti akan mendatangkan impak positif secara menyeluruh kepada pembangunan industri kraf keluaran negara kita amnya. 

Masakan tidak, dengan majunya industri pelancongan, secara tidak langsung akan menyebabkan perusahaan kraf tangan negara menjadi semakin menggalakkan dari segi jualannya kerana ada padi masak, adalah pipitnya. Hasilnya, berdasarkan statistik Kajian Industri Kraf 2007, jualan kraf tangan bagi kategori hutan mencecah RM58.9 juta manakala yang berasaskan bukan hutan pula RM10.9 juta.

Selain itu, pihak kerajaan juga boleh memberikan peluang kepada para pengusaha untuk mengkomersialkan dan mempromosikan hasil keluaran mereka dalam pasaran semasa amnya. Justifikasinya, promosi berterusan boleh membantu usahawan kraf dalam meningkatkan hasil jualan produk kraf mereka pada masa hadapan. 

Untuk itu, kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah mengambil langkah sederap, menjadikan Hari Kraf Kebangsaan sebagai acara tahunan agensi tersebut. Malah, ia juga merupakan antara salah satu inisiatif ideal pihak kerajaan dalam usaha untuk mengkomersialkan produk-produk kraf hasil keluaran usahawan kraf negara kita di peringkat jagat. 

Tamsilnya, dengan penyertaan memberangsangkan Hari Kraf Kebangsaan 2014 yang telah diadakan baru-baru ini dengan penglibatan seramai 500 orang pengusaha kraf seantero dunia termasuklah 38 daripada mereka berasal dari luar negara seperti United Kingdom, Hong Kong, Ireland, Poland, Hungary, Arab Saudi dan India sudah pasti akan menjadi titik tolak kepada kejayaan usaha-usaha untuk mempopularkan industri kraf ini kelak.  

Manakala, bagi mengatasi masalah kekurangan modal yang terpaksa dihadapi oleh sesetengah para pengusaha kraf hari ini, maka pihak kerajaan juga boleh menawarkan pinjaman kewangan sebagai modal permulaan kepada mereka yang ingin mengusahakan industri kraf tangan di negara kita amnya. 

Sebagai alternatif, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia serta Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) adalah antara agensi kerajaan dan swasta yang boleh menawarkan pinjaman kewangan kepada pengusaha kraf tangan melalui skim pinjaman pengusaha kecil-kecilan yang ditawarkan agensi tersebut di samping kadar faedah yang begitu minimum sahaja dikenakan kepada para pemohon sekalian. 

Dalam pada itu, sejajar dengan kemajuan arus teknologi maklumat masa kini, media massa juga turut memainkan peranan yang cukup penting dalam usaha memajukan industri ini pada masa hadapan. Masakan tidak, media massa menjadi pasak dan watak utama untuk menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan kraf negara kita di samping mempromosikan industri kraf ini kepada seluruh warga Malaysia. 

Malahan, kelebihan yang ada pada media massa dewasa ini seperti media elektronik (radio, televisyen dan sebagainya) sudah tentunya sesuai dengan pemikiran generasi muda sekarang ini yang sukakan hiburan dan sebagainya sementalahan pula kebanyakan rakyat Malaysia setidak-tidaknya mempunyai sebuah televisyen di rumah mereka masing-masing.

 Sejajar dengan itu, inilah kesempatan terbaik yang dimiliki pihak media dewasa ini bagi menampilkan tanggungjawab yang disulami tekad untuk menyebarkan informasi berkaitan dengan keistimewaan produk-produk kraf keluaran negara kepada rakyat murba amnya. Hal ini secara tidak langsung akan dapat menyuntik semangat seluruh masyarakat khususnya golongan muda untuk lebih mencintai kraf keluaran negara kita pada masa hadapan.

Contoh terbaik yang boleh diketengahkan dalam hal ini ialah seperti rancangan yang dipaparkan di TV1 pada setiap hari isnin pukul 5.05 petang yang bertajuk ‘Rancangan IKS@TV1’. Rancangan ini memaparkan maklumat serta kegiatan yang berkaitan dengan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) termasuklah juga seperti pemaparan kisah-kisah di sebalik kejayaan usahawan kraf untuk tontonan umum dan sebagainya. 

Bahkan, sejak dahulu lagi, wartawan rancangan Majalah 3 juga turut tidak ketinggalan melaporkan kepelbagaian seni kraf tangan di Malaysia seperti seni anyaman, seni ukir kayu, seni sulaman, hasil kraf tembikar dan perusahaan membuat barangan logam. Di sinilah, minat rakyat Malaysia terhadap barangan dan produk kraf negara saban hari boleh dipupuk sedikit demi sedikit sekali gus usaha ini akan dapat memajukan industri kraf setanding lain-lain industri pada masa hadapan. Hendak seribu daya, tak hendak seribu upaya.

Jika ditelusuri, bagi memajukan industri kraf tangan untuk keperluan generasi mendatang, pihak sekolah juga merupakan antara salah satu organisasi yang memainkan peranan terpenting dalam hal ini. Buktinya, pihak sekolah seharusnya menggalas tanggungjawab, mengisi kekosongan minda para pelajar dengan maklumat dan pengetahuan berkaitan kesenian kraf tangan negara kita agar ia tidak ditelan zaman begitu sahaja kelak. 

Sebagai contoh, pihak sekolah juga boleh menganjurkan pameran, ceramah serta mengadakan pertandingan hasil kraf tangan selain sayembara penulisan esei berkaitan kraf dengan menawarkan sedikit hadiah untuk para pemenangnya dengan harapan ia boleh menarik minat para pelajar untuk melibatkan diri dalam pertandingan-pertandingan tersebut. Mungkin sahaja hadiah yang ditawarkan lebih bersifat material, namun ia secara tidak langsung akan menyemai benih-benih kecintaan para pelajar berkaitan dengan nilai produk kraf yang harus kita banggakan sepanjang zaman ini.

Secara keseluruhannya, pihak sekolah juga boleh menubuhkan kelab warisan kraf yang lebih menerapkan kesenian kraf tangan sebagai modus operandi perlaksanaannya. Malahan, penubuhan kelab-kelab sebegini penting kerana ia secara tidak langsung boleh membibitkan rasa cinta akan seni kraf negara dalam diri pelajar agar tidak terus lenyap ditelan zaman yang pantas berlalu kelak kerana sesungguhnya, perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah (Lao Tze).

 Di samping itu, melalui penglibatan para pelajar dalam kelab ini besok lusa, mereka secara tidak langsung boleh menonjolkan bakat dan kreativiti yang terpendam dalam diri mereka masing-masing untuk menghasilkan kraf tangan yang mengikut imaginasi serta acuan mereka amnya. 

Walaupun hasil kerja mereka mungkin tidaklah seberapa cantik seperti mereka yang sudah arif dalam bidang ini, namun ia sebenarnya boleh dijadikan sebagai batu loncatan kepada kelestarian industri ini kelak kerana pesan orang tua-tua, melentur biarlah waktu rebungnya.  

Manakala, dalam usaha memartabatkan imej produk kraf Malaysia ke persada antarabangsa, kolaborasi erat pihak kerajaan bersama dengan syarikat-syarikat penerbangan seperti MAS, Air Asia dan Fire Fly juga perlu dibaja kembali. Antara prakarsa yang boleh diambil melalui kerjasama ini adalah dengan menjadikan produk kraf sebagai cenderahati untuk diberikan kepada para penumpang yang menggunakan perkhidmatan udara itu selain dijadikan sebagai tanda penghargaan. 

Hal ini secara tidak langsung akan menyemarakkan lagi identiti budaya bangsa Malaysia kepada para pelancong seantero dunia. Bertitik tolak daripada itu, maka tidak hairanlah pendekatan sebegini kelak akan menjulang kraf negara di puncak jagat sekali gus meletakkan produk kraf tangan negara kita duduk sebaris dengan produk kraf tangan antarabangsa yang lain bak peribahasa, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. 
 
            Begitu juga dengan keintensifan kerajaan untuk memajukan industri kraf negara hari ini mungkin tidak akan berjaya tanpa penglibatan semua lapisan masyarakat. Bahkan, peranan yang dimainkan masyarakat juga amatlah signifikan dalam hal ini kerana ia mampu mengadunkan satu kombinasi sinergi yang cukup padu ke arah pelestarian kraf tangan negara demi kemaslahatan sejagat kelak.

Di desa di bandar ataupun di kota
Guna pakai barangan kita
Galak membeli galak memakai
Ekonomi kita pun turut berkembang 

Lirik lagu kempen ‘Cintai Kraf Malaysia’ ini dinyanyikan oleh penyanyi tersohor tanah air, Siti Nurhaliza atau nama sebenarnya Dato’ Siti Nurhaliza Tarudin. Dalam setiap bait lirik yang disampaikan jelas menunjukkan peranan masyarakat marcapada untuk memberikan sambutan yang menggalakan terhadap industri kraf tangan Malaysia dengan cara membeli barang-barangan kraf keluaran negara yang terdapat di pasaran semasa hari ini seperti, bakul anyaman, wau, hasil ukiran tangan, hasil sulaman dan sebagainya. 

Hal ini secara tidak langsung akan memajukan lagi industri kraf kita di samping memapankan lagi pembangunan sosioekonomi negara pada masa hadapan sejajar dengan peredaran zaman yang pantas berkembang sejak kebelakangan ini. Manakala, dengan majunya industri kraf nanti, rakyat sudah tentu boleh mengambil peluang keemasan ini untuk menjana ekonomi dan peluang pekerjaan  sekali gus meningkatkan taraf hidup masing-masing kelak.

Pengayuh sayang dibasahkan, sampan takkan sampai ke seberang. Aforisme ini jelas menunjukkan bahawa tidak akan tercapai sesuatu yang dihajati, kalau kita semua tidak mahu untuk berusaha dan bersusah payah. 

Justeru, dalam konteks industri kraf tangan hari ini, seseorang pengusaha kraf seharusnya melangkah dengan seribu kekuatan untuk mencari alpukah sendiri bagi memberikan nafas baru kepada usaha-usaha untuk memartabatkan perusahaan mereka ke tahap yang lebih cemerlang dan berdaya maju amnya.

Untuk itu, konsep inovasi dalam penghasilan produk-produk kraf juga boleh diaplikasikan secara menyeluruh oleh pengusaha-pengusaha kraf marcapada dengan cara mendimensikan industri kraf tangan hari ini mengikut kepada acuan dan dinamik mereka masing-masing.

Sejajar dengan itu juga, seseorang usahawan kraf yang tinggi nilai komitmennya akan sentiasa berusaha sedaya upaya mereka untuk mempertingkatkan lagi inovasi dalam reka bentuk produk-produk kraf keluaran mereka bersesuaian dengan perkembangan semasa pasaran kraf tempatan mahupun antarabangsa amnya.

Bahkan, beberapa strategik inovasi produk yang boleh diambil kira para pengusaha hari ialah seperti menambah baik lagi produk baru berasaskan kepada produk lama, meningkatkan fungsi produk yang sedia ada, mereka bentuk produk kepada gaya hidup terkini, dan juga meningkatkan kualiti produk bersesuaian dengan keperluan dan kehendak pengguna masa kini (Sandhuren, 2000).   

Justeru, terdapat banyak langkah efisien yang boleh diaplikasikan untuk memartabatkan lagi industri kraf tangan di negara kita belakang hari. Manakala, peranan yang dimainkan seluruh masyarakat juga amatlah penting dalam hal ini agar industri kraf akan terus dapat menyakinkan masyarakat sejagat dengan kemampuannya yang boleh menjulang pendapatan masyarakat dan membangunkan sosioekonomi negara menuju tahun 2020 kelak.

Adalah keterlaluan jika kita menganggap industri kraf kontemporari seperti hidup segan, mati tak mahu dan segala usaha yang dilakukan oleh semua pihak terutamanya pihak kerajaan hanyalah omongan kosong sahaja. 

Hal ini kerana, tanpa adanya usaha bersepadu pihak kerajaan sejak lebih tiga dekad yang lalu dengan segala macam evolusi direncanakan dari semasa ke semasa, maka agak mustahil industri kraf akan mampu untuk berdiri megah setanding dengan lain-lain industri besok lusa. Usaha-usaha konsisten pihak kerajaan ini persis dengan peribahasa Melayu, patah sayap, bertongkat paruh.    

            Dengan kata lain, di samping kraf berperanan menjana ekonomi rakyat sejagat, jelaslah bahawa industri ini juga merupakan antara inisiatif terbaik dalam usaha menyelamatkan ekonomi negara sekali gus akan tercapailah aspirasi kerajaan yang ingin menjadikan negara ini maju dari segi ekonominya menjelang tahun 2020 kelak. 

Biarlah peribahasa biar mati anak, jangan mati adat menjadi pegangan hidup masyarakat sejagat dalam usaha kita semua untuk menjayakan usaha-usaha murni ke arah melestarikan industri kraf tangan yang kita warisi sejak turun temurun ini sekali gus menongkah segala cabaran dan isu yang terpaksa didepani industri kraf sejak akhir-akhir ini demi keperluan generasi anak cucu kita yang akan datang. 

Untuk mencapai wawasan ini, perancangan dan pendekatan mapan perlu dilakukan bagi memastikan industri kraf akan terus kekal menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara di samping menjana sumber pendapatan pengusaha.” (Dato’ Mohd Kamil Mohd Ali , Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia)

Kesimpulan
Ternyata keunggulan kraf tangan Malaysia sebenarnya mampu menjana ekonomi rakyat marhaen di samping melonjakkan industri ini menghampiri garis sempadan memenuhi hasrat Misi Nasional besok lusa. 

Manakala, dengan komitmen bersepadu serta strategi yang ampuh pihak kerajaan menyusun atur pelbagai agenda ke arah pemartabatan industri ini di puncak jagat, diharapkan ia secara tidak langsung akan membuka mata masyarakat untuk terus tidak memandang enteng akan usaha-usaha pihak kerajaan bagi mencapai cita-cita murni untuk membina impian masa depan industri kraf yang lebih gemilang pada masa hadapan. 

Hal ini kerana, tanpa adanya usaha sebegini, mungkin industri ini akan terus terkubur sendirinya suatu hari nanti dan kita sudah pastinya akan kehilangan satu aset negara yang amat bernilai untuk keperluan generasi mendatang kerana lebih berharga mutiara sebutir daripada pasir sepantai

Bahkan, memang tidak dapat disangkal lagi bahawa, industri kraf semasa telah banyak mendatangkan manfaat kepada kita semua yakni sebagai sumber penjana ekonomi kepada setiap individu yang mengusahakannya sama ada secara kecil-kecilan ataupun sebaliknya selain sebagai tonggak kepada keutuhan ekonomi negara menjelang tahun 2020 kelak.    

Tambahan pula, dalam usaha untuk merealisasikan misi kudsi hasrat dan harapan kerajaan Malaysia yang menginginkan pencapaian ekonomi negara yang lebih berkonsepkan pengetahuan dan inovasi pula, maka sudah tentunya negara amat memerlukan sebilangan besar usahawan kraf bertaraf global yang berkualiti tinggi dalam segenap aspek kehidupan seperti aspek pengetahuan dan kemahiran yang tinggi, sahsiah yang utuh dan sebagainya. 

Manakala, atas aspek inilah, aplikasi teknologi dan pembangunan industri yang berasaskan pengetahuan pula dianggap sebagai wadah terpenting dalam usaha untuk mencapai sasaran jualan produk-produk kraf sebanyak RM1 billion menjelang tahun 2016 kelak.

Selain itu, sejajar dengan kejayaan demi kejayaan yang berjaya dicipta industri kraf ini sama ada di peringkat pasaran semasa ataupun pasaran antarabangsa, ia sudah cukup untuk menjadi bukti kukuh bahawa industri kraf di negara kita sememangnya memainkan peranan yang cukup penting dalam menjana pendapatan kaum marhaen selain menyumbang pendapatan ekonomi yang utuh kepada negara saban tahun. 

Bahkan, dengan berdiri majunya industri kraf dalam menempuhi arus pasaran yang lebih bersifatkan kompetitif mutakhir ini, ia secara tidak langsung telah memperdekat misi dominan pihak kerajaan untuk mencapai pelaksanaan secara menyeluruh dalam Agenda Nasional  negara kita belakang hari. 

Dari sudut lain pula, penggemblengan peranan masyarakat juga cukup penting dalam usaha untuk memartabatkan industri kraf dewasa ini. Buktinya, rakyat seharusnya melakukan anjakan paradigma dalam diri mereka masing-masing untuk menerima seadanya akan kehadiran industri ini dalam pasaran tempatan mahupun pasaran antarabangsa dan tidak pula mengagung-agungkan produk kraf yang banyak terdapat di pasaran semasa hari ini. 

Justeru, sudah terang lagi bersuluh, seni kraf bukan sahaja warisan yang harus dipelihara kerana ketinggian nilai estetikanya, tetapi juga kerana peranannya dalam memberi sumbangan yang amat besar kepada pembangunan sosioekonomi usahawan sejak kebelakangan ini. 

Manakala, susur galur industri kraf yang pada awalnya hanyalah bermula sebagai industri desa sahaja, kini industri kraf telah berjaya menjengah pasaran global lantaran hal ini seterusnya akan menyumbang kepada peningkatkan nilai tambah yang lebih baik dalam ekonomi negara kita kelak. Sesungguhnya, penghasilan produk kraf secara komersial dapat menjana pendapatan masyarakat dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...