Aktiviti melawat ke luar negara adalah
merupakan perkara yang amat berfaedah untuk dilakukan bersama-sama ahli
keluarga tercinta. Seyogia diingatkan, terdapat banyak manfaat yang boleh
digarap melalui aktiviti melawat seperti ini. Dengan itu, setelah mengkaji
hingga peringkat akar umbi akan manfaat-manfaat ini, maka segala pelajaran yang
boleh dijadikan pedoman berguna dalam kehidupan seharian akan dihuraikan dengan
lebih lanjut lagi demi kebaikan bersama kerana kalau
baik buat teladan, kalu tak baik buat sempadan.
Pertamanya, aktiviti sebegini membolehkan
seseorang untuk melebarkankan lagi ilmu pengetahuan selain berupaya meluaskan
horizon pemikiran sedia ada. Buktinya, apabila kita menjejak kaki ke luar negara,
kita akan berkunjung ke tempat-tempat yang belum pernah dikunjungi selama ini
seperti tempat-tempat bersejarah dan sebagainya. Malah, dengan bertanyakan beberapa
maklumat kepada pegawai-pegawai yang bertugas di kawasan bersejarah tersebut, kita
dapat membuat cacatan berharga yang boleh dijadikan rujukan berguna pada masa
hadapan sementalahan uslub ini dapat meningkatkan lagi pengetahuan sejarah kita
terhadap sesebuah negara tersebut.
Selain itu, pengalaman melawat ke
luar negara juga sebenarnya boleh mendidik jiwa manusia ke tahap yang lebih cemerlang
lagi besok lusa. Malahan, bagi mereka yang masih belajar pula, akan lahirnya
semangat untuk menuntut ilmu pengetahuan yang berkobar-kobar dalam diri
masing-masing sekali gus hal ini mampu menjana anjakan paradigma kepada kehidupan
lebih ideal kelak selain akan memanifestasikan motivasi diri yang cukup signifikan
dalam diri mereka terutamanya tatkala melihatkan budaya masyarakat di negara-negara
yang diwarnai kehidupan lebih harmoni dan bahagia seperti di negara Jepun amnya.
Bagi mereka yang berkerjaya,
lawatan ke luar Negara melatih seseorang menguruskan penat lelah ketika bekerja
secara lebih efisien lagi pada masa hadapan. Tamsilnya, jika seseorang itu
berkunjung ke negara-negara beriklim sejuk khususnya negara England, mereka
dapat merasai keseronokan bermain salji yang sudah pasti mampu menyirnakan
tekanan kerja yang telah membebani golongan-golongan berkerjaya seperti ini
selain mereka juga dapat menimba pengalaman baru di tempat orang.
Tambahan lagi, Aktiviti sebegini lazimnya
merupakan instrumen paling berkesan dalam menambahkan lagi kenalan dari seluruh
dunia terutamanya yang berlainan bangsa dengan kita seperti bangsa Afrika,
Inggeris, Perancis dan lain-lain. Hal ini bertepatan firman Allah, "Telah Aku
jadikan manusia itu berbilang bangsa dan suku kaum supaya mereka saling mengenali
antara satu sama lain." (Al-Quran, Surah Hujurat, ayat ke-13)
Selanjutnya, lawatan ke luar
negara dapat melazimkan seseorang dengan amalan nilai-nilai murni dalam diri
masing-masing seperti amalan menepati masa, mematuhi peraturan dan sebagainya malar-malar
ia dapat memartabatkan lagi jati diri seseorang itu nanti. Ironinya, kita boleh
menerapkan budaya kerja berpasukan dalam norma kehidupan seharian seperti yang diamalkan
masyarakat Indonesia selama ini kerana sesungguhnya kaedah ini amatlah sesuai
dijadikan amalan dalam masyarakat ibarat bulat bagai air dalam pembuluh.
Tuntasnya,
aktiviti melancong ke luar negara banyak mendatangkan pelajaran berguna kepada diri
masing-masing. Malahan, pilihlah negara apa yang ingin dilawati yang sesuai
dengan bentuk kepuasan yang ingin dicari agar lawatan kita itu mendatangkan
1001 kebaikan dalam diri masing-masing. Sesungguhnya, Ali
bin Abu Thalib pernah berkata, “Keluarlah dari negaramu
bagi mencari sesuatu yang berharga: Bermusafirlah kerana bagi musafir itu, ada
lima kelebihan. Terlepas daripada kerumitan, dapat meningkatkan kualiti hidup,
kaya dengan ilmu dan pengalaman, berpengetahuan luas tentang adab dan budaya
serta, mendapat ramai kenalan.”
No comments:
Post a Comment