AkuSuffianFauzi

Nuffnang Adds

Follow My Facebook, Twitter, Instagram

 Add Me Follow Me Follow Me

Friday 24 October 2014

Kraf Menjana Ekonomi Rakyat

Ditulis Oleh: Mohammad Suffian Bin Fauzi




Kraf tangan ditakrifkan sebagai barangan yang dihasilkan dengan menggunakan kemahiran tangan sama ada dikeluarkan tanpa menggunakan alat atau peralatan mudah yang diusahakan secara sendirian atau secara tidak langsung oleh pengusaha-pengusaha kraf. (Akta 222, Akta Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia 1979)

 Manakala, keluaran kraf pula didefinisikan sebagai apa-apa keluaran artistik yang mempunyai daya tarikan kebudayaan atau tradisional yang terdapat padanya sementalahan penghasilannya bermula daripada sesuatu proses yang bergantung sebahagian atau semata-mata kepada kemahiran tangan dan termasuklah apa-apa jua barangan yang mempunyai reka bentuk batik pada mana-mana bahagiannya.
Rangkuman takrifan sebagaimana di atas secara keseluruhannya menjelaskan kepada kita bahawa, seni kraf tangan merupakan industri yang menjadi pilihan utama masyarakat alaf baharu dek kerana tarikan kepada keindahan, kehalusan dan keaslian  yang terdapat di sebalik produk kraf itu sendiri.
Bahkan, sejak akhir-akhir ini, kraf tangan sememangnya diakui menjadi tarikan utama para pelancong sama ada dalam dan luar negara amnya. Tambahan pula, tarikan kepada unsur-unsur tradisional yang memperlihatkan keunikan pembentukannya itu sudah mampu memukau mata sesiapa sahaja yang memandangnya bak pepatah Melayu, dari mata turun ke hati. Dengan kata lain, pembentukan yang dimaksudkan di sini ialah pembentukan sama ada menggunakan kemahiran tangan atau dengan bantuan mesin dan juga alat-alat sedia ada yang lain.
Sementara itu, menurut Ismail Ibrahim (2007), seni kraf mempunyai aturan yang tersendiri dalam penghasilannya. Ghalibnya, pengamal kraf dipanggil sebagai tukang kerana gelaran tersebut dianggap bersesuaian dengan kemahiran unik yang dimiliki oleh mereka sejak turun-temurun. Manakala, bagi seseorang tukang pula, penghayatan kepada seni kraf itu lazimnya akan mengambil kira aspek pengetahuan dan pengalaman serta kemahiran yang dimiliki dalam mengaplikasikan teknik penghasilannya. Hal ini penting dalam usaha untuk menghasilkan produk kraf yang dapat memenuhi aspirasi semua pihak kelak.          
            Malahan, hasil kraf dewasa ini seharusnya menggabungjalinkan elemen-elemen keaslian, kehalusan dan keindahan daripada segi penghasilannya, barulah nanti akan wujudnya satu nilai estetika tersendiri yang tinggi darjatnya di hati para pelanggan sekalian lantaran ia sekali gus dapat menyemai benih-benih kecintaan masyarakat terhadap barangan kraf negara kelak. Hal ini demi memastikan agar aforisme masyarakat yang menganggap bahawa kraf tangan ini seperti ‘hidup segan mati tak mahu’  akan terkubur sendiri suatu hari nanti.

Sejarah Perkembangan dan Dimensi Baharu Budaya Kraf

            Pada keseluruhannya, bidang kraf tradisional yang berbagai-bagai jenis ini seperti dalam bidang tenunan, ukiran kayu, pertukangan emas, perak dan sebagainya sememangnya diakui telah lama giat berkembang secara aktif di negeri-negeri seperti Perak, Kedah, Terengganu dan Kelantan sekitar abad ke-19 lagi. Ketika itu, mereka yang berkemahiran dalam menghasilkan kraf ini lazimnya tinggal dan bekerja di kediaman orang-orang besar mahupun di dalam pekarangan istana.
            Pada masa itu, kualiti dan nilai estetika kraf yang dihasilkan bukanlah untuk dipamerkan kepada umum dan ia hanya terbatas untuk kegunaan-kegunaan tertentu sahaja. Sehinggalah Tanah Melayu mengalami perubahan politik sekitar pertengahan abad ke-20, hasil kraf yang diimport semakin mudah diperolehi lantaran berlakunya peningkatan dalam persaingan pasaran kraf sehingga memaksa tukang kraf memilih untuk bekerja secara sendirian.
Bertitik tolak daripada peristiwa itulah, maka timbulnya kesedaran sivik yang tinggi dalam usaha untuk memelihara industri kraf ini sekali gus membawa kepada pengenalan dimensi baharu dalam penghasilan seni kraf yang semakin hari semakin giat diimplementasikan sejagat merentasi zaman ke zaman ini. Bahkan, susur galur kraf tangan tidak hanya terhenti di situ sahaja kerana aktiviti kraf tangan mula mendapat perhatian sewajarnya pihak kerajaan setelah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Hal ini terbukti dengan pembangunan aktiviti kraf tangan mula dirancang secara lebih terperinci dalam usaha untuk menjadikannya sebagai salah satu sektor ekonomi yang boleh menyumbang kepada peningkatan tahap ekonomi masyarakat terutamanya masyarakat luar bandar. Buktinya, dengan penubuhan Pusat Kemajuan Pertukangan Tangan (PKPT) pada tanggal 1 Januari 1967 itu, maka bemulalah satu lembaran baru dalam pembangunan mampan industri kraf tangan negara yang kekal hingga hari ini. Sesungguhnya, benarlah peribahasa Cina menyebut, perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah, Lao Tze.
Lain daripada itu, memang tidak dapat disangkal lagi bahawa, kraf sememangnya dihasilkan daripada alam semula jadi yang terbentang luas ibarat seyojana mata memandang ini. Berada di garisan Khatulistiwa, menjadikan negara Malaysia antara 12 kawasan mega-diversiti di dunia yang kaya dengan sumber semulajadi dan hasil-hasil rimba seperti  daun serdang, tempurung kelapa, mengkuang, ribu-ribu, rotan, buluh dan sebagainya.
Kesemua hasil rimba yang boleh digarap daripada sumber-sumber alam semulajadi ini jika diusahakan secara gigih oleh usahawan kraf sudah pasti akan dapat menghasilkan produk kraf, perabot dan pelbagai jenis produk bermutu tinggi yang lain di samping menjana ekonomi masyarakat yang tekun mengusahakannya. Bahkan, menjana ekonomi melalui industri kraf juga bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad SAW, “Semulia-mulia hasil pencarian seseorang ialah yang diusahakan oleh tangannya sendiri.” (Riwayat Imam Ahmad) 

Kraf Tangan Menjana Ekonomi Rakyat

Usaha itu tangga kejayaan. Begitulah ungkapan yang mencerminkan kegigihan sebenar Puan Syuhaida Samsudin, seorang wanita setengah umur yang berasal dari Padang Besar, Perlis ini. Kesedaran beliau bahawa bidang ini boleh menjana ekonomi masyarakat hari ini telah mendorongnya mengambil inisiatif, menjadikan daun getah sebagai sumber pendapatan utamanya menerusi rekaan menarik seni kraf tangan yang dihasilkan. Bahkan, kesungguhannya itu kini membuahkan hasil apabila kebanyakan produk kraf beliau sudah mula mendapat tempat di pasaran semasa amnya.
Diceritakan, beliau dahulu hanyalah seorang penoreh getah yang bekerja sepenuh masa di atas tanah milik keluarganya. Namun begitu, disebabkan minat mendalamnya dalam menghasilkan gubahan daripada bahan-bahan terbuang, sehinggalah sekitar pertengahan tahun 1994, beliau mula berjinak-jinak menjadikan kraf tangan menggunakan daun getah sebagai sumber pendapatan bulanannya menggantikan profesion beliau sebagai penoreh getah sejak sekian lama.   
Kini, beliau sudah mampu mengukir senyuman lebar di bibirnya dek kejayaan yang dikecapinya hari ini. Masakan tidak, hasil kreativiti beliau menghasilkan kraf tangan daripada daun getah ini telah mendapat sambutan hangat peminat-peminat kraf yang ingin memilikinya. Menariknya di sini, gubahan kraf tersebut digubah dan diwarnai menyerupai bunga ros, tulip dan seroja. Manakala, ia pula dibentuk mengikut kehendak para pelanggan sama ada menjadi kuntuman bunga semata-mata atau digubah untuk dijadikan jambangan bunga yang berwarna-warni dan pelbagai corak.
Tambahan lagi, produk kraf ini dijual dengan harga RM1.50 hingga RM10 dalam bentuk sekuntum atau seranting bunga. Sekiranya kraf tangan ini digubah menjadi jambangan bunga yang berwarna-warni, maka harganya boleh menokok sehingga RM2000 amnya.  Sehingga kini, produknya bukan sahaja menjadi kegilaan penduduk tempatan, bahkan telah mendapat permintaan yang hangat di peringkat antarabangsa seperti di Maghribi, Eropah, Asia (seperti di Kunming, China) dan juga beberapa negara yang lain.
Tidak cukup dengan itu, beliau kini sedang menerokai bidang baru dalam industri kraf ini dengan mengendalikan sebuah bengkel kraf tangan daun getah menerusi bantuan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), yang telah banyak memberikan sokongan yang tidak putus-putus kepada beliau untuk terus membina impian masa depan yang lebih gemilang melalui industri ini.   
Dari semasa ke semasa, kejayaan beliau mengusahakan bengkel kraf di bawah jenama Minda Hevea Enterprise itu kini semakin mendapat tempat dalam kalangan penggemar-penggemar kraf tangan khususnya kraf berasaskan daun getah ini. Bahkan, dengan kejayaan beliau dalam industri kraf ini, beliau berharap akan lahir lebih ramai lagi bakal-bakal usahawan kraf yang akan meneroka bidang ini pada suatu masa kelak sekali gus membuktikan bahawa industri ini mampu menjana ekonomi masyarakat sejagat.
Di samping itu, salah seorang penduduk berketurunan Bidayuh yang tinggal berhampiran dengan Pekan Kecil Tiang Bukap Sarawak, Puan Roselind Ulau Ngau pula giat memenuhi kegiatan waktu senggang beliau dengan pembuatan kraf berasaskan manik atau lebih dikenali masyarakat dengan panggilan ‘Belanyat’ sejak lebih sepuluh tahun dahulu.
Umum mengetahui, kraf tangan yang berasaskan manik ini seringkali dipakai wanita Bidayuh dalam upacara-upacara tertentu dan lazimnya ia dijadikan sebagai salah satu daripada aksesori pakaian tradisional mereka sejak zaman-berzaman lagi. Malahan, menurut wanita separuh umur ini, beliau mula  berkecimpung dalam penghasilan Belanyat sejak usia belasan tahun lagi. Pada ketika itu, beliau masih menuntut di salah sebuah sekolah menengah di Miri, Sarawak.
Secara puratanya, 'Belanyat' bersaiz kecil mengambil masa seminggu untuk disiapkan, manakala yang besar pula memakan masa selama setengah bulan untuk disiapkan sepenuhnya. Apabila sudah siap, Belanyat kecil lazimnya dijual dengan harga RM190, manakala yang besar pula dianggarkan bernilai lebih RM900 setiap satu. Sehingga kini, produknya banyak mendapat tempahan daripada pemilik-pemilik kedai kraf di sekitar Kuching, Sarawak dengan purata bilangan produk yang boleh dijualnya dalam tempoh sebulan mencecah lima Belanyat kecil dan dua Belanyat besar.
Untuk menghasilkan Belanyat pula, Roselind akan membeli manik-manik yang berharga RM40 hingga RM60 sebakul mengikut saiz tempahan yang diterimanya. Akhirnya, hasil titik peluh Roselind, beliau kini mampu meraih keuntungan sebanyak RM3,000 sebulan dan ia sudah cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan keluarganya.
Sementara itu, Puan Zaharah Abdul Majid, 58 tahun, berasal dari Kampung Bukit Bendar, Bukit Kepong pula giat dengan usahanya dalam bidang anyaman mengkuang sejak sepuluh tahun yang dahulu. Malahan, hasil daripada titik peluhnya itu, kini kraf tangan yang terdiri daripada pelbagai jenis produk  warisan seperti tikar, bakul rambung, tudung saji dan sebagainya telah banyak dipasarkan beliau sehinggakan perusahaannya itu kini mampu menjana pendapatan sampingan buat diri dan keluarganya.
Selain itu, Puan Zaharah yang juga ibu kepada tujuh orang cahaya mata ini mengakui, proses membuat barangan daripada mengkuang ini tidaklah serumit mana yang difikirkan. Namun, ia hanya memerlukan sedikit kesabaran dan ketelitian dalam proses pembuatannya terutamanya ketika proses mengambil daun mengkuang kerana sifat daunnya itu berduri dan boleh melukakan.
Menurutnya, bagi menyiapkan anyaman tikar mengkuang selebar dua kali setengah meter contohnya, beliau memerlukan masa sekitar lima atau enam hari bergantung kepada kelarai (corak) anyaman yang digunakannya. Lazimnya, harga tikar buatan Puan Zaharah adalah sekitar RM50 hingga RM150 bergantung kepada saiz serta kelarai anyaman yang digunakan. Sementara, bagi tudung saji pula, ia dijual sekitar RM20 hingga RM50 bergantung kepada saiznya.
Untuk mengkomersialkan lagi produk krafnya ke tahap lebih tinggi, beliau juga turut mengikuti kursus dan latihan yang relevan daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia. Hasilnya, kini beliau “tidak menang tangan” dek tempahan yang banyak diterima daripada penduduk-penduduk di sekitar Bukit Kepong dan dari negeri-negeri di luar negeri Johor seperti Kuala Lumpur, Terengganu, Kedah dan Selangor.  
Bahkan, sejak mengikuti kursus anjuran perbadanan itu, wanita yang cukup gigih ini memberitahu, pendapatan yang diperolehinya sudah cukup untuk menampung perbelanjaan keluarganya dengan hasil pendapatan sehingga kini mencecah RM600 hingga RM1000 sebulan.
Di samping itu, saudara Limis Jingut, salah seorang pekerja Atendan di Perpustakaan Desa Teng Bukap, Padawan Sarawak, juga menjadikan hasil keluaran kraf sebagai satu sumber penjana ekonomi sampingan buat dirinya sekeluarga. Beliau yang mempunyai kreativiti yang cukup tinggi itu menjadikan kelebihan yang dimiliki dirinya untuk menghasilkan kraf tangan berasaskan surat khabar lama yang cukup unik dan diminati pengemar kraf tangan era ini.
Apa yang menariknya di sini, dengan menggunakan beberapa helaian daripada bahan bacaan itu, anak jati Kampung Sira Tiang Bukap ini hanya memerlukan masa di antara dua hingga tiga jam sahaja untuk menghasilkan bakul-bakul kraf yang cukup menarik lagi unik ini. Bahkan, ketika ditanya berkenaan minatnya dalam bidang kraf tangan tersebut, beliau mengakui bahawa ketelitian dan kesabaran amatlah penting dalam menghasilkan bakul-bakul kertas ini kerana sedikit kesilapan mungkin  menyebabkan anyaman yang dihasilkan itu menjadi tidak menarik untuk dijual kepada peminat-peminat kraf kelak.
Selain helaian akhbar-akhbar lama katanya, lidi penyapu, gunting, gam dan barangan terpakai seperti tin ataupun bekas-bekas kecil (untuk dijadikan acuan) juga merupakan antara bahan-bahan yang diperlukan sebelum proses menganyam itu dimulakan. Setelah semuanya siap disediakan, proses penghasilan kraf itu dimulakan dengan setiap helaian surat khabar lama akan dipotong empat mengikut jumlah yang diperlukan. Seterusnya, beberapa batang lidi penyapu pula akan diletakkan di atas keratan surat khabar tersebut, kemudian digulung kemas dan digam rapi oleh Limis.
Setelah itu, buat semula semua langkah yang sama di atas sehingga jumlah gulungan kertas tersebut mencukupi untuk menghasilkan saiz bakul yang dikehendaki para pelanggan. Setelah semuanya siap, lidi yang terdapat di dalam gulungan tersebut perlulah ditanggalkan agar ia akan memudahkan lagi kertas tersebut dibentuk nanti. Sementara itu, untuk membuat permukaan bakul pula, gulungan kertas perlu dianyam secara bersilang dan ia akan diletakkan bersama di bawah acuan yang digunakan itu. Gulungan-gulungan yang terlebih daripada acuan kemudiannya di bengkok ke atas untuk dijadikan tiang dinding bakul.
Dalam pada itu, gulungan kertas yang masih berbaki kemudiannya disusun rapat secara berselang-seli sehinggalah saiz yang dikehendaki mencukupi, kemudian dimatikan dengan cara menyelit hujung gulungan pada celah-celah anyaman tersebut. Manakala, untuk membuat gagang bakul pula, kertas surat khabar perlu digulung kemas bersama dawai mengikut saiz yang bersesuaian.
Untuk membolehkan strukturnya menjadi kukuh pula, bakul yang telah siap dianyam itu perlulah diwarnakan dengan menggunakan cat minyak yang kebiasaannya bewarna coklat. Hal ini juga bertujuan untuk menyerlahkan lagi keindahan dan kehalusan seni produk kraf tangan ini di mata para peminat kraf kelak. Selain dijadikan hiasan, bakul yang berasaskan bahan terpakai ini kata beliau lazimnya digunakan oleh anak-anak kecil di majlis-majlis perkahwinan (flower girls).
Jelaslah, kajian kes seperti di atas merupakan antara empat daripada ribuan kes  yang menjadi bukti kukuh kepada kita semua bahawa, kraf sebenarnya mampu menjana ekonomi kepada sesiapa sahaja yang mengusahakannya sama ada diusahakan secara kecil-kecilan ataupun sebaliknya. Apa yang pasti, kraf bukan sahaja bertindak menjana ekonomi rakyat, bahkan juga berupaya menjadi penjana ekonomi negara kita sekali gus membuka peluang pekerjaan yang begitu luas kepada masyarakat sejagat. Sesungguhnya, “ Industri kraf tangan tempatan bukan sahaja mampu meraih pendapatan lumayan, sebaliknya sebagai karier yang meyakinkan.” (Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim)

Kraf Sebagai Peluang Menjana Ekonomi Masyarakat

Lanjutan itu, golongan marhaen seharusnya pandai mengintai peluang yang terbaik bagi diri mereka dalam usaha untuk menjana ekonomi dan pendapatan hari ini. Malahan, kedudukan Malaysia yang berada di Garisan Khatulistiwa secara ghalibnya mendatangkan 1001 manfaat kepada kita sekalian untuk mengekploitasi sumber alam, memanifestasikan ilham dan kemahiran yang ada demi menghasilkan sesuatu produk kraf yang bermutu tinggi kelak.
Hal ini terbukti dengan penghasilan produk kraf cenderamata yang dihasilkan rakyat negeri Sabah daripada keladi bontoi serta produk kraf daripada sekam padi yang juga digunakan sebagai bahan paling asas untuk dijadikan kotak cenderamata dengan pelbagai rekaan bentuk yang dapat dihasilkan oleh pengusaha-pengusaha kraf hari ini. Justeru, apa yang dapat dilihat, kraf tangan sememangnya merupakan platform terbaik kepada masyarakat sejagat yang serius untuk menambahkan pendapatan sampingan bulanan mereka demi kesenangan generasi mendatang.
Lain daripada itu, sumber alternatif bahan mentah sama ada daripada bahan gentian atau bahan terbuang yang lain pula jika diolah secara kreatif juga akan menghasilkan produk kraf bernilai tinggi dan diminati para peminat kraf sekalian. Sungguhpun begitu, rezeki dari rimba yang melimpah ruah yang berada di sekeliling kita hari ini, kalau tidak digarap peluang tersebut dengan sebaik-baiknya, nescaya tidak ada maknanya jua.
Dalam hubungan ini, Prof. Dr. Hamka berpesan “ Peluang yang besar itu datang secara tiba-tiba, datang tidak menentu masa, datang disaat kita kesempitan atau kesusahan. Nilailah peluang itu dengan secara bijaksana. Rebutlah peluang yang besar itu, kerana peluang yang besar itu boleh berlalu dengan tiba-tiba. Jangan jadikan seribu alasan untuk tidak merebut peluang yang besar itu.
Selain itu, untuk menjadi sumber pendapatan sampingan yang boleh menyara kehidupan, bidang kraf seharusnya diberikan perhatian sepenuhnya masyarakat sejagat yakni dengan kesungguhan dan kesabaran yang luar biasa, barulah kraf buatan tangan yang bermutu tinggi dapat dihasilkan dan dipasarkan kepada orang ramai dengan harga yang berpatutan kelak.
Secara relatifnya, bagi kaum wanita pula, kemahiran menghasilkan kraf tangan berkualiti tinggi adalah merupakan satu bonus yang tidak ternilai buat golongan ini. Ibarat sambil menyelam minum air, mereka bukan sahaja menjadi seorang ibu yang sibuk dengan urusan keluarga sehari-harian, bahkan juga menjadi antara faktor penyumbang kepada sumber pendapatan keluarga kelak. Lanjutan daripada itu, hal ini seterusnya dapat menyahut seruan dan usaha pihak kerajaan untuk mencapai sekurang-kurangnya 55 peratus penyertaan wanita dalam guna tenaga menjelang tahun 2015.    
Hal ini diperakui sendiri oleh YB Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Beliau menjelaskan bahawa, terdapat banyak peluang pekerjaan yang boleh diterokai kaum wanita dalam bidang ekonomi negara hari ini termasuklah dalam sektor tak formal seperti pembabitan wanita dalam kraf manik, industri-industri kraf yang berkaitan dan sebagainya. Malah, menurut Laporan Penyiasatan Guna Tenaga Sektor Tak Formal Malaysia tahun 2012, bilangan tenaga kerja di sektor formal mencatatkan 1.0 juta (8.2 peratus) daripada keseluruhan pekerja dalam ekonomi pada tahun 2012.
Tambahan lagi, majoriti pekerja sektor tak formal di Malaysia didapati di kawasan bandar berjumlah seramai 656,800 orang merangkumi 274,800 orang atau kira-kira 41.8 peratus daripada jumlah tersebut adalah daripada kaum wanita. Selain itu, dalam konteks pekerjaan tahun 2012 pula, dua kategori pekerjaan yang mencatatkan lebih 35 peratus pekerja dalam sektor tak formal adalah daripada sektor kraf.
 Manakala, dalam sektor pertukangan berkaitan, serta perkhidmatan dan jualan pula, masing-masing mencatatkan 36.3 peratus dan 35.6 peratus amnya. Daripada peratusan yang direkodkan ini, jumlah pekerja kraf wanita dan pekerja pertukangan berkaitan adalah seramai 115,300 orang atau merangkumi 30.45 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja dalam industri kraf dan industri berkaitan dalam sektor tak formal.   
Justeru itu, fakta nombor seperti di atas secara jelasnya memaparkan kepada kita bahawa, industri kraf ini bukan sahaja berupaya menjana ekonomi, bahkan banyak menyediakan peluang pekerjaan untuk diceburi masyarakat sejagat. Yang pastinya, tanpa usaha yang jitu, komitmen yang padu serta sifat tidak mudah mengaku kalah dalam melayari susah senang serta pahit getir industri ini, maka kita pasti tidak akan mencapai kejayaan yang cemerlang dalam industri kraf ini besok lusa. Hendak seribu daya; tak hendak seribu upaya

Cabaran dan Rintangan Dihadapi Industri Kraf 

            Jika ditelusuri, perencanaan teliti pihak kerajaan terhadap rangka kerja lima tahun pertama dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) pula diibaratkan tidak ubah seperti strategi serampang dua mata. Hal ini demikian kerana, strategi tersebut membolehkan pelbagai pihak dapat mengarap faedah yang boleh didapati darinya sementalahan pula, langkah signifikan ini telah memperlihatkan berlakunya satu ledakan dalam transformasi kepada gabungan di antara ekonomi dan pembangunan negara amnya.
            Sungguhpun begitu, usaha untuk menjadikan industri kraf ini sebahagian daripada sumber ekonomi di Malaysia ternyata bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi tidak menentu hari ini. Hal ini kerana, walaupun industri ini dikatakan sudah mampu berdiri megah dan sudah matang dek asimilasi budaya dan zaman, namun begitu ia tetap perlu melalui proses-proses pengkomersialan demi pemacuan industri kraf yang lebih produktif dan kompetitif pada masa hadapan.
            Ambo niaga buat kerusi rotang,
            Ada warna coklat warna hitang,
            Nok hantar dekat jabat kerah tangang (kraftangan)
            Jalan Conlay bukit bintang,
            Boleh tambah pendapatang.
Lirik santai lagu bertajuk ‘Kerabu Pucuk Paku’ yang berloghat Terengganu ini dinyanyikan oleh penggiat seni Sulaiman Yasin atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Over. Ternyata, apa yang ingin disampaikan beliau dalam setiap bait lirik itu secara jelasnya menunjukkan peranan yang dimainkan Kraftangan Malaysia sebagai peneraju utama yang menggalas tanggungjawab yang besar dalam pembangunan industri ini sejak sekian lama.
            Masa berlalu, zaman berubah. Kini, Kraftangan Malaysia semakin gah berada di persada puncak kegemilangan. Bahkan, sumbangan idea-idea bernas serta kepakaran-kepakaran moden yang dilakukan Kraftangan Malaysia sejak tiga dekad yang lalu juga tidak pernah putus-putus disumbangkan kepada rakyat jelata sekalian. Pengorbanan yang dilakukan Kraftangan Malaysia ini jelas membuktikan kesensitifan, kepekaan dan keprihatinan mereka membangunkan industri kraf negara kita agar tidak pupus ditelan zaman yang serba ‘plastik’ dan canggih ini.
            Walau bagaimanapun, apabila bercakapkan tentang usaha-usaha untuk melonjakkan industri kraf di persada global yang sememangnya diakui lebih bersifatkan kompetitif ini, maka sudah pasti timbulnya pula cabaran dan isu besar yang menjadi kekangan untuk kita berbuat sedemikian.
Cabaran besar yang paling dominan dikaitkan dengan industri kraf hari ini adalah cabaran menangani permasalahan dalam skop pengeluaran produk-produk kraf. Kebiasaannya, saiz bagi pasaran kraf ditentukan oleh jumlah penawaran produk sama ada diusahakan secara manual mahupun menggunakan tenaga berskala kecil. Lumrahnya, apabila berlakunya lambakan permintaan ibarat cendawan tumbuh selepas hujan sehinggakan ada kalanya melebihi saiz pengeluaran produk di pasaran domestik mahupun antarabangsa, maka timbulnya pula masalah baru iaitu masalah lebihan dalam permintaan.
Umum mengetahui, masalah ini lazimnya akan ditampung pula dengan lambakan produk plastik yang banyak berada di pasaran sejak kebelakangan ini dan sekali gus, ia akan menyekat persaingan secara sihat di antara kedua-dua produk kraf ini dalam pasaran amnya.
Seterusnya, cabaran kedua yang harus ditanggani khususnya dalam industri kraf saat ini adalah berkaitan dengan skop pemasaran bagi produk-produk kraf yang meliputi empat konsep utama atau konsep 4P yang merangkumi tempat (place), harga (price), kuasa (power) dan promosi (promotion). Konsep pemasaran seperti mana yang ditakrifkan oleh Philip Kotler (1997), seorang ahli ekonomi dan pakar dalam bidang pemasaran sedunia menyebut bahawa, pemasaran adalah satu proses sosial yang mengarahkan pengeluaran keluaran dan perkhidmatan dalam sesebuah ekonomi daripada pihak pengeluar kepada pengguna dan juga dapat memenuhi permintaan pengguna.
Dalam hubungan industri kraf tangan negara hari ini, kuasa pembeli dianggapkan bersifat ‘alah membeli menang memakai’ dan jenama mewah antarabangsa dilihat semakin bertapak di hati para pengguna sejagat. Faktor pengeluaran produk kraf tangan negara yang semakin terhad di samping produk kraf yang masih lagi berada di takuk lama dari segi rekaan dan kegunaannya telah mengakibatkan urusniaga produk semakin hari semakin terjejas kepopularannya di hati para pengguna kraf sekalian sekali gus menyebabkan promosi produk kraf semakin tidak memenuhi permintaan pasaran dalam dan luar negeri amnya.
Tambahan pula, kekangan dalam sumber ekonomi modal turut merupakan antara cabaran terutama dalam industri ini. Masakan tidak, modal kewangan sememangnya diakui akan menentukan saiz pasaran yang diceburi pengusaha-pengusaha kraf nanti. Dan sekiranya sumber modal tidak mencukupi, maka sudah pasti saiz pasaran akan mengecil lantaran hal ini seterusnya akan mengakibatkan hasil pendapatan kraf juga tidak akan menjanjikan keuntungan yang lumayan dan kehidupan yang mewah kepada para pengusaha kraf sekalian.
Bertitik tolak daripada itulah, industri kraf kini dilihat semakin lesu dalam menempuhi pasaran yang kompetitif hari ini sehinggakan telah mengurangkan minat golongan muda untuk menceburi bidang ini apatah lagi mengakibatkan tenaga mahir yang terdiri daripada golongan pelapis muda kian berkurangan setelah yang sedia ada pun semakin meningkat usia. Hal ini jelas menggambarkan kerugian yang amat besar dalam industri kraf pada masa hadapan.     
    Cabaran seterusnya adalah kesukaran bagi pengusaha kraf untuk mendapatkan sumber bahan mentah khususnya yang bersumberkan alam semula jadi seperti ribu-ribu, daun sal, rotan, kayu dan sebagainya. Kesukaran ini disebabkan kebanyakan hasil alam memerlukan masa untuk mencapai tahap matang sebelum ia boleh diambil untuk dijadikan barangan kraf. Hal ini secara tidak langsung telah menjejaskan pengeluaran produk kraf di pasaran lantaran mengakibatkan peminat kraf beralih ke arah barangan kraf plastik dan kaca yang banyak dijual di pasaran hari ini.
Oleh hal yang demikian, inilah beberapa bentuk cabaran moden yang banyak bersangkut paut dengan industri kraf hari ini. Justifikasinya, sebelum retak menanti belah, sebelum bisul menjadi nanah dan sebelum nasi menjadi bubur, segala bentuk usaha penginovasian ke arah memastikan kelangsungan penghasilan produk kraf yang bermutu tinggi pada masa hadapan perlulah diimplementasikan di semua peringkat agar segala bentuk cabaran yang wujud dalam industri ini akan dapat diatasi secara total kelak.   

Inovasi Dalam Seni Kraf Tangan 

Pada masa yang sama, seni reka kraf sejak akhir-akhir ini seharusnya disuntik dengan elemen-elemen inovasi yang lebih bernilai komersial, dan mampu diterima golongan murba bukan sahaja dalam negara ini, bahkan masyarakat seantero dunia amnya. Hal ini penting agar cabaran-cabaran utama yang telah dibincangkan di atas dapat ditangani sepenuhnya dengan peranan yang dimainkan oleh elemen inovasi ini. Namun begitu, apakah yang dimaksudkan dengan elemen inovasi?
Menurut Ronger E. Miller (1971), inovasi merupakan himpunan idea, amalan atau objek yang dianggap baru oleh seseorang. Manakala, definisi perkataan inovasi mengikut Kamus Dewan Edisi Ke-4 adalah sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat dan lain-lain lagi.Dalam hal ini, dapat disimpulkan bahawa, inovasi diciptakan oleh manusia yang kreatif bertujuan untuk membina trend baru atau ‘trendsetter’ dalam setiap sesuatu keadaan . Manakala, trend tersebut akan menjadi peneraju utama kepada usaha-usaha untuk meraih peluang secara maksimum dalam ekosistem pasaran khususnya pasaran kraf yang ternyata banyak persaingannya hari ini.
Justeru, sejajar dengan implementasi Model Ekonomi Baru (DEB) yang diumumkan Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Mac 2010 itu, usahawan kraf perlu melipatgandakan lagi usaha ke arah meningkatkan sumbangan industri ini demi kemaslahatan masyarakat dan negara kelak. Untuk itu, strategi pelaksanaan transformasi secara holistik perlulah direncanakan secara lebih teliti apatah lagi yang melibatkan proses-proses pembaharuan dalam industri kraf tangan ini. Semua ini demi memastikan industri kraf dapat berkembang merentasi sempadan masa yang pantas berkembang ini demi kemaslahatan semua pihak amnya.   
Manakala, strategi perubahan boleh diaplikasikan mengguna pakai kaedah ‘7-S Framework’. Melaluinya, kerangka perubahan perlu dijana menerusi persepaduan dari segi struktur (structure), sistem (systems), gaya (style), kakitangan (staff), kemahiran (skills), dan matlamat yang boleh dicapai (superordinate goals).
Bahkan, contoh terdekat pengaplikasian strategi perubahan ini secara ghalibnya dapat dilihat menerusi pembaharuan dalam industri seni kraf batik negara. Umum mengetahui, batik yang dahulunya hanyalah sekadar dijadikan kain basahan semata-mata, kini ia seharusnya melalui proses-proses pengkomersialan dengan seni-seni yang lebih dinamik seperti untuk kegunaan kelengkapan rumah, pemegang periuk, beg adangan dan sebagainya.
Bahkan, dalam usaha untuk menginovasi kraf ke tahap lebih membanggakan, hasil kraf yang kegunaannya hanyalah terbatas sebagai keperluan seharian sahaja seperti ribu-ribu, tembikar, buluh, bemban, rotan dan lain-lain lagi perlulah diberikan nafas baharu senantiasa. Menyedari hakikat inilah, aplikasi kepada penggunaan teknologi pengeluaran bagi penghasilan produk yang lebih berinovatif amatlah diperlukan dalam usaha menggalakkan lagi kejayaan industri kraf ke tahap lebih memberangsangkan besok lusa.  
Antara contoh kejayaan inovasi dalam penyelidikan kraf adalah dengan terciptanya idea-idea serta inovasi baru dalam seni pemprosesan tembikar hitam atau labu sayong ini sebagaimana yang telah diasaskan Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Perak pada satu ketika dahulu. Idea penghasilan tanur pembakaran labu sayong dengan sekam padi atau lebih dikenali dengan ‘Roller-kiln’ itu pada awalnya diilhamkan oleh Tuan Haji Yusop Muri pada tahun 2006 yang pada ketika itu, beliau adalah seorang Penolong Pengarah di Kraftangan Malaysia Cawangan Perak.
Sebagai lanjutan daripada itu, satu pasukan tenaga kerja yang diketuai penasihat projek iaitu Tuan Haji Muhammad Bin Ag. Teh (bekas Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Perak), pegawai projek Tuan Haji Yusop Muri, pegawai Teknikal I, Encik Mohamad Puzi Bin Ahmad(bekas pengajar kraf) dan pegawai Teknikal II, Encik Mohamad Rizan Bin Mohamad  Nordin (pereka) telah ditubuhkan dan akhirnya, pada tahun 2007, Roller-kiln ini telah mula dijadikan sebagai kemudahan guna sama untuk kegunaan pengusaha-pengusaha kraf seramik yang menjalankan perusahaan kraf di sekitar kawasan Kraftangan Malaysia Cawangan Perak tersebut.
Hasilnya, penggunaan tanur pembakaran melalui projek inovasi dalam industri kraf ini telah meningkatkan lagi pengeluaran labu sayong untuk keperluan pasaran. Buktinya, sejumlah 210 unit labu sayong boleh dihasilkan dalam masa 7 jam berbanding 70 biji labu sayong yang dapat dihasilkan dalam masa 8 jam dengan menggunakan tanur biasa. Apa yang menariknya, tanur pembakaran ini boleh beroperasi selama 24 jam dan boleh juga digunakan untuk pembakaran seramik bergris pada suhu 900’c dan pembakaran decal.
Secara umumnya, tanur Roller-kiln ini mempunyai 3 zon pembakaran iaitu zon pertama 90’c hingga 300’c, kedua 300’c hingga 550’c dan zon ketiga 550’c hingga 900’c.Tanur ini direka bentuk dengan menggunakan set roller yang menggerakkan labu sayong yang disusun di atas conveyor ke dalam tanur pembakaran. Roller digerakkan mengguna motor elektrik dan kelajuan pergerakannya boleh dikawal. Rantai coveyor diperbuat daripada stainless steel yang tahan kepanasan sehingga suhu maksimum 1000’c.
Selepas itu, labu sayong akan jatuh di pintu automatik yang terbuka dan akan jatuh ke dalam troli yang diisi dengan sekam padi. Troli ditarik keluar untuk proses mengambus labu dengan sekam padi dan dibiarkan selama 10 hingga 15 minit sebelum dikeluarkan. Labu yang telah disepuh dengan sekam padi akan berubah menjadi hitam dan dikeluarkan daripada troli.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, penggunaan teknik baru ini pada keseluruhannya diadaptasikan daripada teknik tradisional yang telah lama digunakan pengusaha-pengusaha labu sayong ini di sekitar Sayong, Kuala Kangsar, Perak. Secara analoginya, teknik pembakaran terbuka labu sayong menggunakan bahan pembakar seperti kayu, buluh kering dan sabut kelapa kering digunakan hingga 80-an, diikuti pula teknik pembakaran menggunakan tanur batu-bata dengan bahan pembakar kayu hingga lewat pertengahan tahun 90-an, disusuli pula teknik pembakaran menggunakan tanur batu bata 'top loading' dengan bahan pembakar minyak diesel hingga sekitar akhir tahun 90-an dan akhirnya, teknik pembakaran menggunakan tanur 'ceramic fibre' kos rendah dengan bahan pembakar gas dilakukan sejak bermula tahun 2000 hinggalah kini.  
Dengan lahirnya projek inovasi ini, penghasilan labu sayong bukan sahaja dapat memendekkan masa pembuatan dan menjimatkan kos pengeluarannya, bahkan ia telah menjurus kepada berlakunya satu anjakan teknologi secara menyeluruh dalam industri kraf labu sayong hari ini. Bahkan, produk yang dihasilkan menerusi Roller-kiln ini diakui tidak mudah rosak dan lebih tahan lama selain mempunyai ciri-ciri keselamatan serta kawalan mutu yang lebih terjamin padanya.
Maka, tidak hairanlah peralatan inovasi ini menjadi menjadi tumpuan pengusaha-pengusaha labu sayong khususnya dan kraf seramik amnya untuk digunakan secara guna sama di Pusat Gunasama, Kraftangan Malaysia Cawangan Perak hari ini. Lain daripada itu, sehingga kini, arbitrasi yang dilakukan telah mendapati bahawa, terdapat 30 buah mesin peralatan inovasi kraf yang telah berjaya difabrikasikan oleh Kraftangan Malaysia, sekali gus membantu meningkatkan pengeluaran, menjamin kualiti dan nilai estetika produk kraf tempatan kelak.
Oleh hal yang demikian, jelaslah inovasi secara langsung haruslah diterapkan dalam penghasilan produk kraf hari ini lantaran ia secara tidak langsung membantu kepada peningkatan pengeluaran produk kraf sekali gus membuka ruang kepada persaingan yang lebih sihat dalam pasaran yang lebih meluas nanti. Untuk itu, kualiti produk kraf perlulah sentiasa dikawal selia dengan lebih rapi lagi agar dapat memenuhi aspirasi pelanggan sepanjang masa.
Bahkan, pembangunan standard dan kawalan mutu bagi bidang seramik, hasil logam (tembaga), serta hasil rimba (kraf kayu, buluh dan rotan) perlu direncanakan dengan sinergi bersama agensi-agensi seperti Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM Berhad), Jabatan Pembangunan Standard dan sebagainya. Rentetan itu, pengusaha kraf tangan hari ini haruslah memvariasikan lagi penghasilan produk-produk kraf yang baru yang lebih unik, kreatif malah lebih eksklusif dalam menokok tambah nilai produk yang sedia ada agar ia dapat berdaya saing di peringkat domestik dan global kelak.  

Kesungguhan Kerajaan Membangunkan Industri Kraf

            Sejak belakangan ini, hasil kraf sememangnya tidak dapat dinafikan antara faktor penyumbang kepada penjanaan ekonomi mampan negara selain menjulang pendapatan masyarakat yang mengusahakannya. Yang jelasnya, produk kraf yang berjaya mendapat tempat di persada pasaran domestik mahupun antarabangsa terbukti telah menjana pulangan hasil yang agak lumayan terutamanya dari segi pulangan pendapatan yang lebih tinggi amnya. Buktinya, terdapat kira-kira RM73 juta disumbangkan industri kraf tangan negara bagi pasaran domestik dalam tempoh sembilan bulan tahun 2010.
Bagi mengalakkan lagi penyertaan masyarakat dalam industri kraf pula, kerajaan secara proaktifnya telah melihatkan perkara ini sebagai peluang terbaik dalam usaha melonjakkan nama negara di mata dunia khususnya dalam pembangunan sosioekonomi negara setanding dengan negara-negara ASEAN yang lain. Untuk itu, kerajaan sentiasa mengorak langkah sederap merencanakan pelbagai strategi untuk menambahbaikan struktur penjanaan ekonomi rakyat kontemporari seperti mana yang berlaku di bawah perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru, (DEB) ini.  
Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini secara rasminya telah menggariskan Pelan Transformasi Ekonomi dalam menyediakan pelbagai ruang yang pastinya berupaya merubah kehidupan masyarakat ke tahap lebih sempurna khususnya masyarakat yang tinggal di luar bandar kelak. Dalam soal ini, industri kraf kini dilihat sebagai salah satu faktor pencetus kepada kejayaan  pertumbuhan ekonomi masyarakat sasaran hari ini.
Bahkan, tanpa kita sedari, mereka yang mengusahakan bidang kraf masa ini telah berupaya mengubah gaya hidup mereka yang dahulunya hidup dalam kemiskinan, sebaliknya kini mereka hidup dalam serba kemewahan hasil daripada perusahaan kraf yang diusahakan mereka. Bahkan, situasi ini secara izharnya menggambarkan kepada kita bahawa, industri kraf mampu menjana pendapatan kepada masyarakat yang mengusahakannya secara bersungguh-sungguh sehingga berjaya memperolehi kejayaan dalam bidang ini kerana sesungguhnya, peribahasa Arab ada menyebut, siapa yang berusaha dia berjaya.
Mutakhir ini, seni kraf bukan sahaja merupakan tinggalan warisan zaman-berzaman yang harus dipelihara kerana ketinggian nilai warisannya, tetapi juga telah memberikan sumbangan yang amat besar kepada pembangunan sosioekonomi usahawan industri itu masa kini. Secara total, sememangnya diakui industri ini hanyalah bermula sebagai industri desa sahaja suatu ketika dahulu. Tetapi lama-kelamaan, industri ini telah berjaya menembusi pasaran global sekali gus menjulang nama Malaysia di persada antarabangsa.
Dalam pada itu, industri kraf kini diberi perhatian serius pihak kerajaan dan segala prakarsa ke arah mengembangkan industri ini ke pasaran dunia turut direncanakan dari semasa ke semasa. Hal ini penting demi pertumbuhan dan pembangunan ekonomi bukan sahaja untuk keperluan para pengusahanya sahaja, bahkan juga ekonomi negara pada masa yang akan datang.    
Justeru, antara intensif pihak kerajaan dalam usaha memartabatkan bidang kraf ini adalah dengan melahirkan seramai mungkin modal insan berilmu dan mahir dalam bidang kraf. Pembudayaan ilmu ini penting agar akan wujudnya lebih ramai generasi pelapis dalam bidang ini pada masa yang akan datang. Bahkan, penubuhan Institut Kraf Tangan Negara, sebuah Institusi Latihan Kraf yang diluluskan Jemaah Menteri pada Ogos 2001 dan telah dikelolakan oleh Kraftangan Malaysia itu kini menjadi pemangkin untuk melatih lebih ramai modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang kraf.
Pengambilan pelatih secara berperingkat-peringkat mengikut kelayakan untuk mengikuti program pengajian di peringkat Diploma dan Sijil dalam bidang seni kraf batik, tenunan, seramik, kayu, logam serta rotan dan buluh ini pula kebiasaanya akan ditawarkan untuk menyambung pelajaran mereka (peringkat ijazah) di institusi pengajian tinggi awam seperti di Universiti Teknologi MARA dan sebagainya. Di sinilah, kelahiran lebih ramai golongan cendiakawan yang berkelulusan tinggi dalam bidang kraf ini akan dapat dicapai kelak.
Selain itu, bagi menangani permasalahan yang sering dihadapi pengusaha-pengusaha kraf hari ini iaitu masalah kekurangan modal, maka pihak kerajaan melalui Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri telah mewujudkan Skim Kredit Mikro sebagai alternatif yang boleh digunakan pengusaha kraf untuk mendapatkan modal kerja bagi mengembangkan lagi perusahaan dan perniagaan mereka ini. Melalui skim ini, sejumlah dana dengan kadar faedah paling minimum akan diberikan secara kredit kepada para pemohon yang layak. Dengan harapan, ia sekali gus dapat membantu pengusaha mengatasi kemelut kewangan yang dihadapi mereka saban hari.
Malahan, kolaborasi erat pihak kerajaan dengan bank-bank perdagangan di negara ini juga turut diadakan dalam usaha memantapkan lagi usaha-usaha ke arah membantu industri kraf ini. Tamsilnya, penubuhan MyCreative Venture pada 20 April 2012 di bawah Akta  Syarikat Malaysia 1965 yang diterajui oleh Pengerusinya, Dato’ Sri Ahmad Farid Ridzuan serta Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Johan Ishak itu diharap dapat memberikan satu suntikan modal yang boleh dipohon dalam bentuk pelaburan ekuiti atau sistem pinjaman.
Umum mengetahui, MyCreative Ventures adalah merupakan salah satu cabang pelaburan kerajaan untuk merangsang industri kreatif Malaysia termasuklah juga seni tradisional yang terdiri daripada seni kraf tangan ini. Malahan, dengan peruntukan dana sebanyak RM200 juta sebagaimana yang telah dibentangkan dalam bajet 2012 negara yang lalu diharapkan dapat menyokong serba sedikit perniagaan kraf yang berpotensi dalam negara ini sekali gus mencapai hasrat dan aspirasi kerajaan untuk meletakkan industri kreatif negara di peringkat yang boleh membanggakan Malaysia kelak.    
Tidak cukup dengan itu, bagi membangunkan usahawan muda (start-up) dalam pengeluaran kraf secara komersial, Skim Inkubator Pengeluaran Kraf pula diwujudkan pihak kerajaan dalam usaha untuk membantu dan melahirkan usahawan kraf tangan yang memiliki ilmu keusahawanan yang mantap dalam diri mereka masing-masing. Mereka juga  dibantu dari sudut prasarana dan seumpamanya.
“Saya yakin kalau kita bekerja dengan bersungguh-sungguh daripada mula kita buat strategic planning, kita dapat mengeluarkan, melahirkan idea-idea bernas. Inilah harapan saya supaya kita berfikir in a more holistic manner tentang apa yang patut kita lakukan. It’s a small change, but it’s meaningful change.” ( Datuk Seri Najib Tun Razak)
Daripada perenggan kata-kata Perdana Menteri Malaysia di atas jelaslah bahawa, intensif kerajaan menyediakan pelbagai jenis bantuan khususnya dalam bentuk bantuan kewangan dan kemahiran seyogianya dihargai masyarakat terutamanya para pengusaha kraf serta generasi pelapis sekalian.
Ekoran itu, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pengusaha kraf hari ini dijaga ibarat ‘menatang minyak yang penuh’  dengan pelbagai bantuan yang diberikan pihak kerajaan kepada pengusaha-pengusaha kraf sekalian agar hal ini akan dapat memastikan kemahiran serta minat mereka itu tidak ‘luntur dek hujan dan tidak lekang dek panas
Walau bagaimanapun, bantuan yang melimpah ruah, mesin perusahaan secanggih mana sekalipun, jikalau masyarakat tidak mahu memanfaatkan apa yang berada di hadapan mereka pasti tidak ada gunanya jua. Bahkan kelak, ia akan membawa kepada kerugian yang amat besar kepada masyarakat dan negara semata-mata, malar-malar pula jika aspek ‘the man behind the job’ itu tidak diambil kira.      
Justeru, seiring dengan seruan kerajaan untuk memartabatkan industri ini, maka sudah pastilah minat yang mendalam serta perasaan tidak mudah mengaku kalah pengusaha-pengusaha kraf dalam menempuhi suka duka industri ini mestilah dipupuk segar dalam diri masing-masing.Hal ini penting agar kita semua berupaya untuk bangkit bersama-sama menyahut seruan kerajaan dan seterusnya mengubah stigma masyarakat mayapada yang semakin memandang serong akan kraf tangan negara sejak kebelakangan ini.      
  
Kesimpulan

            Sebagai pengitlakan, ternyata keistimewaan kraf tangan Malaysia bukan sahaja terletak pada keunggulannya menjulang reputasi negara di puncak jagat, bahkan ia sememangnya telah diakui menjadi sumber penjana ekonomi mampan masyarakat mahupun negara dan telah terbukti dengan beberapa siri kejayaan pengusaha-pengusaha kraf hari ini. Walaupun industri kraf sekarang ini terpaksa berdepan dengan pelbagai isu dan cabaran yang melanda, namun perencanaan jitu pelbagai strategi yang mantap oleh pihak kerajaan dengan komitmen bersepadu antara pengusaha, penjual dan pembeli telah berjaya melonjakkan industri ini semakin berdaya maju setanding dengan lain-lain industri.  
Malahan, tindakan bersepadu pelbagai pihak dalam membangunkan serta melonjakkan industri kraf di peringkat pasaran semasa mahupun global ini tidak ubah seperti patah tongkat berjeremang, hulubalang habis bersiak. Tambahan lagi, sememangnya usaha yang jitu daripada pelbagai pihak ini secara tidak langsung akan dapat memendekkan lagi masa untuk mencapai misi memartabatkan industri kraf negara kita kelak.
            Manakala, pengekalan kepada pembangunan sosioekonomi selain peranan yang dimainkan institusi kraf serta agenda-agenda kerajaan terutamanya hal-hal yang berkaitan pelestarian industri kraf ini dilihat merupakan antara aset terpenting kepada usaha-usaha untuk memartabatkan industri ini agar terus bercambah di peringkat domestik mahupun antarabangsa kelak.
Kendatipun begitu, adalah terlalu absurb untuk mengatakan bahawa usaha yang dilakukan pihak kerajaan dalam memartabatkan industri ini hanyalah omongan kosong sahaja. Hal ini kerana, kepelbagaian evolusi dalam industri kraf yang direncanakan kerajaaan mengikut keperluan hari demi hari ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah bertujuan untuk meneruskan legasi seni budaya bangsa ini agar tidak ditelan dek zaman yang pantas berubah ini.
Ironinya, elemen inovasi yang diadunkan bersama ke dalam penghasilan produk-produk kraf hari ini telah terbukti berjaya meningkatkan lagi nilai tambah dalam setiap produk kraf yang berada di pasaran marcapada sehinggakan kini, ia mampu bersaing dengan jenama-jenama mewah antarabangsa yang lain.
Bertitik tolak daripada beberapa siri kejayaan demi kejayaan yang berjaya dicipta industri ini, maka secara keseluruhannya, sudah tiba masanya masyarakat hari ini sedar akan kemampuan kraf yang mampu menjana ekonomi masyarakat dan pembangunan sosioekonomi negara yang mampan menjelang tahun 2020 kelak. Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah nasib mereka sendiri (Al-Arad:11).  

Untuk mencapai wawasan ini, perancangan dan pendekatan mapan perlu dilakukan bagi memastikan industri kraf akan terus kekal menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara di samping menjana sumber pendapatan pengusaha.” (Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Mohd Kamil Mohd Ali)

                                                  5999 Patah Perkataan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...