Dasawarsa ini, masalah keruntuhan moral dalam kalangan remaja
sering menjadi buah mulut masyarakat di segenap empat penjuru dunia termasuklah
juga di negara kita amnya. Umum mengetahui, punca perdana yang mengundang
kepada timbulnya isu kebejatan moral remaja-remaja pada alaf ini adalah
disebabkan kemelut dalaman yang sering terjadi dalam sesebuah keluarga tersebut
seperti kerenggangan dalam hubungan kekeluargaan dan sebagainya sehinggakan
mengundang kepada kehancuran sesebuah institusi keluarga tersebut sementalah,
keruntuhan keluarga telah melahirkan generasi yang lemah. (Rahmohan Ghandi)
Ironinya,
lihat sahajalah kes-kes salah laku remaja yang berpunca daripada masalah
keluarga hari ini yang dilihat semacam tiada titik noktahnya. Malah, statistik
yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia turut mencatatkan, sebanyak
81,000 anak luar nikah didaftarkan setakat ini sementalahan, kajian yang
dijalankan sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia pula mendapati,
seramai 300 orang remaja berbangsa Melayu berusia di antara 13 hingga 25 tahun
juga turut terjerumus dengan salah laku seksual ini merangkumi 85 peratus
daripada mereka disifatkan tidak menyesal dengan perbuatan ini sementara
menyifatkannya sebagai suatu pengalaman yang menyeronokkan.
Fakta nombor seperti di atas jelas melontarkan
persoalan yang cukup signifikan untuk kita fikirkan akan masa depan
golongan-golongan remaja kita pada era ini. Sesungguhnya, tiada ubat yang tiada
penawarnya, maka segala bentuk langkah yang drastik haruslah diimplementasikan
secara berperingkat-peringkat bermula dari saat ini agar kita berupaya mewujudkan
hubungan kekeluargaan yang lebih erat pada setiap masa dengan melibatkan
integrasi erat di antara anak-anak, ibu bapa dan masyarakat agar serba-serbi
masalah keruntuhan akhlak remaja ini dapat dibanteras dengan sepenuhnya selain
fenomena ini dilihat mampu merapatkan lagi hubungan kekeluargaan belakang hari.
Pertamanya,
anak-anak khususnya golongan remaja seharusnya menitikberatkan soal hubungan
kekeluargaan yang rapat sepanjang masa dengan mendasari amalan-amalan yang
menjurus kepada pembentukan nilai-nilai murni dalam diri masing-masing seperti
sentiasa bersahsiah mulia dan berbudi bahasa terutamanya sewaktu berhadapan
dengan ahli kulawarga mereka termasuklah dengan kedua-dua ibu bapa sekalipun.
Hal ini demikian kerana, tingkah laku anak-anak yang sopan bukan sahaja mampu
menyemai benih-benih keharmonian dalam hubungan sesebuah keluarga tersebut,
bahkan berupaya menggembirakan hati ibu bapa kerana memiliki anak-anak yang
pandai menjaga hati mereka persis pesan orang tua-tua, “ yang kurik itu kundi, yang
baik itu bahasa, yang indah itu budi”.
Rentetan
itu, anak-anak remaja haruslah melazimkan diri mereka untuk membasahi bibir
dengan sentiasa melontarkan ucapan dan kata-kata indah kepada ahli keluarga dan
ibu bapa masing-masing seperti ucapan “terima kasih”, “maafkan saya”, “bolehkah
saya” dan sebagainya agar tutur kata yang diluahkan itu diharap mampu
menyirnakan penat lelah ibu bapa yang telah menjaga kita sehingga kita mampu
berdiri sama tinggi, duduk sama rendah setanding dengan mereka yang telah berjaya
di luar sana.
Tegaslah,
hubungan kekeluargaan yang lebih erat mampu diterapkan dalam sesebuah keluarga
tersebut melalui peranan yang dimainkan oleh anak-anak khususnya golongan
remaja dalam menitikberatkan soal tingkah laku
yang sopan dan berakhlak mulia terutamanya ketika anak-anak berhadapan
dengan kedua-dua ibu bapa dan ahli keluarga masing-masing selain amalan ini
mampu melestarikan impak positif kepada pengukuhan hubungan kekeluargaan yang
lebih erat sepanjang masa besok lusa.
Selanjutnya, dalam usaha kita untuk merealisasikan hubungan
kekeluargaan yang lebih erat lagi, ibu bapa juga memainkan peranan yang cukup
penting bagi mengeratkan lagi hubungan sesama ahli keluarga masing-masing
selain mereka juga merupakan peneraju utama kepada pembentukan keluarga sakinah kelak. Caranya, ibu bapa boleh
mengaplikasikan beberapa kaedah sistematik untuk diamalkan dalam keluarga
mereka sendiri terutamanya dengan selalu meluangkan masa yang berkualiti
bersama dengan anak-anak mereka pada setiap masa dan di mana-mana sahaja mereka
berada agar masyarakat berupaya membibitkan hubungan kekeluargaan yang lebih
rapat senantiasa demi kepentingan generasi mendatang.
Tambahan lagi, langkah ini merupakan instrumen yang paling efektif
untuk dipraktikkan dalam keluarga masing-masing agar kita berupaya
memanifestasikan hubungan kekeluargaan yang lebih erat pada masa akan datang.
Seyogia diingatkan, ibu bapa haruslah melupakan seketika keghairahan mereka
mengejar kemewahan mayapada dengan meluangkan sedikit masa untuk bersama dengan
anak-anak masing-masing agar anak-anak tidak merasakan diri mereka kesepian
tatkala memerlukan kasih sayang daripada kedua-dua ibu bapa kerana
sesungguhnya, hukuma-hakama Arab ada menyebut,
anak-
anak yang kehilangan kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim.
Fikir-fikirkanlah.
Sekarang ini,
kerajaan Malaysia telahpun mengumumkan hari Sabtu sebagai cuti umum bagi
kesemua pegawai kerajaan, diikuti pula pihak swasta yang turut memberikan
pelepasan kepada para pekerja mereka pada Sabtu pertama setiap bulan.
Seyogianya, ibu bapa mestilah merebut peluang keemasan ini untuk bermesra
dengan ahli keluarga masing-masing
sambil merehatkan minda setelah penat berhempas pulas sepanjang minggu.
Bahkan, menghabiskan
waktu cuti dengan berekreasi bersama ahli keluarga akan memberi peluang terbaik
untuk kita semua berhibur mentelah pula dapat meluangkan masa untuk mengeratkan
lagi hubungan di antara ahli keluarga masing-masing. Izharnya, masa yang
berkualiti yang diluangkan ibu bapa terhadap anak-anak mereka tidak kiralah di
mana-mana sahaja kita berada sebenarnya merupakan batu loncatan kepada lahirnya
hubungan kekeluargaan yang mesra selain ibu bapalah yang memainkan peranan
terpenting dalam hal ini sekali gus bertindak menjadi pembuka jalan kepada
lahirnya sebuah keluarga bahagia nanti.
Seterusnya,
golongan murba juga merupakan tulang belakang kepada kejayaan usaha-usaha untuk
merapatkan lagi hubungan kekeluargaan masa kini. Tamsilnya, masyarakat di
sekeliling boleh mengimarahkan lagi aktiviti-aktiviti bersifat kekeluargaan
yang boleh disertai oleh seluruh kaum keluarga di sekitar kawasan tersebut
seperti penganjuran temasya sukan, hari keluarga dan sebagainya malar-malar
aktiviti sebegini boleh membawa kepada pengukuhan hubungan kekeluargaan yang lebih
erat pada waktu akan datang.
Ibarat
seia sekata bak sekebat bagai sirih, penganjuran aktiviti yang bersifat
kekeluargaan ini bukan sahaja mampu mengeratkan lagi hubungan integrasi dalam
kalangan masyarakat glokal, bahkan berupaya menerapkan nilai-nilai murni dalam
diri masyarakat seperti semangat saling membantu antara satu sama lain
terutamanya yang membabitkan hal-hal berkaitan kebajikan masyarakat sementara sinergi erat masyarakat
konvensional ini juga merupakan wadah kepada pengukuhan ikatan kekeluargaan
yang erat zaman ini. Tegaslah, masyarakat juga memainkan tanggungjawab yang
cukup penting dalam menjamin pengukuhan ikatan kekeluargaan yang erat sepanjang
masa dengan mendasari beberapa langkah pragmatis untuk diterapkan dalam
kalangan keluarga masyarakat hari ini agar kita hidup kemudian hari dalam
kondisi yang aman harmoni hendaknya.
Sebagai
pengitlakan, terdapat banyak langkah yang boleh diaplikasikan oleh segenap
masyarakat marcapada dalam usaha kita untuk mengeratkan lagi hubungan
kekeluargaan hari ini dan pada masa yang sama, semua pihak seharusnya
menjalankan peranan masing-masing untuk mencanaikan hubungan kekeluargaan yang
erat khususnya dalam keluarga mereka sendiri agar segala ikhtiar masyarakat
pada hari ini untuk mencari kebahagian dalam sesebuah institusi keluarga
tersebut akan mendapat keberkatan oleh-Nya kelak. Bahkan, institusi keluarga
dewasa ini boleh
diibaratkan seperti bangunan yang terdiri daripada susunan batu bata teguh
berdiri. Sekiranya bangunan itu mempunyai keretakan dek susunan bata yang tidak
teratur, maka bangunan itu akan tunduk menyembah bumi akhirnya suatu hari
nanti.
Perumpamaan seperti yang di atas sudah cukup untuk membuka minda
kita akan peri pentingnya masyarakat konvensional untuk memelihara ikatan
kekeluargaan yang erat supaya wasilah yang terjalin ini tidak akan sesekali
dicemari dek keporak-perandaan dalam hubungan sesebuah keluarga kontemporari.
Namun begitu, sekiranya masalah dalaman sesebuah keluarga tersebut tidak
dicegah bermula daripada peringkat akar umbi lagi, maka perkara ini akan
memungkinkan anak-anak pula bakal menjadi mangsa keadaan yang akhirnya
menatijahkan impak buruk terhadap emosional anak-anak sehingga memaksakan diri
mereka melibatkan diri secara aktif dengan masalah hedonistik yang semakin
meruncing hari demi hari ini.
Justeru, ayuhlah kita mengorak langkah dengan melazimi sifat
keterbukaan untuk memberikan komitmen sepenuhnya ke arah pembetukan hubungan
kekeluargaan yang erat selama-lamanya. Ingatlah, tiada yang mustahil untuk
mewujudkan wasilah kekeluargaan yang erat senalu ini, sesungguhnya tak ada
gunung yang tinggi yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang dalam yang tak
dapat dituruni. Renung-renungkanlah.
No comments:
Post a Comment