#PENGUMUMAN TERKINI, 1 JAN 2015
#Bismillah: Tarikh tutup penyertaan Pertandingan Esei Cakna Produktiviti 2014 (Peringkat Tahunan) dilanjutkan dari 31 Dis 14 kpd 15 Feb 2015
#Sukacita dimaklumkan bahawa "Lembaga Pengurusan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) telah bersetuju supaya tarikh tutup bagi penyertaan Pertandingan Esei Cakna Produktiviti 2014 (Peringkat Tahunan) dilanjutkan dari 31 Dis. 14 kpd 15 Feb. 2015.
#Dengan penyertaan yang amat memberangsangkan sehingga tarikh tutup asal pada 31 Dis.14, keputusan ini dibuat supaya lebih ramai lagi menyertai Pertandingan Esei ini terutamanya kepada yang tidak dapat menyertainya sebelum 31 Dis 14 kerana terlibat atau terjejas dengan banjir buruk yang melanda beberapa negeri di Malaysia.
#Keputusan ini juga dibuat berdasarkan kepada maklumbalas melalui e-mel dan FB CaknaProduktiviti."
#Sehubungan itu, pihak Pengurusan MPC dan Sekretariat mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan semua pihak dalam menjayakan Pertandingan Esei ini dan berharap lebih ramai lagi yang akan menyertainya berikutan dengan perlanjutan tarikh tutup penyertaan dari 31-Dis. 14 kepada 15 Feb. 15.
#Selamat Menyambut Tahun Baru 2015:- Kurangkan Pembaziran, Tingkatkan Produktiviti!!!
#Sekian, Terima Kasih.
cc : http://www.mpc.gov.my/home/index.php
Tweet
Wednesday, 31 December 2014
Monday, 15 December 2014
Siri 10 : Buat Duit Dengan Menulis
SAYEMBARA MENULIS NOVEL SEJARAH UNTUK REMAJA
DBP-PSM 2015
Rujuk poster untuk keterangan lanjut..
Tarikh tutup penyertaan 30/9/15
Maklumat lanjut ::
Tweet
Friday, 12 December 2014
Siri 9 : Buat Duit Dengan Menulis
PERTANDINGAN MENULIS SINOPSIS
Maklumat tentang pertandingan ini akan dihantar melalui emel apabila para Blinkers sekalian mengisi borang di sini :
Sila klik dan isi dengan betul : http://hadiah.blinkblink.my/cabaran_sinopsis.html
HADIAH PERTAMA : Buku bernilai RM50
HADIAH KEDUA : Buku bernilai RM30
3 HADIAH SAGUHATI : Buku bernilai RM10 setiap seorang
Tarikh tutup 14 Disember 2014
Add Fb Kak Ain : https://www.facebook.com/AinMaisarah.Novelis?fref=nf
Tweet
Maklumat tentang pertandingan ini akan dihantar melalui emel apabila para Blinkers sekalian mengisi borang di sini :
Sila klik dan isi dengan betul : http://hadiah.blinkblink.my/cabaran_sinopsis.html
HADIAH PERTAMA : Buku bernilai RM50
HADIAH KEDUA : Buku bernilai RM30
3 HADIAH SAGUHATI : Buku bernilai RM10 setiap seorang
Tarikh tutup 14 Disember 2014
Add Fb Kak Ain : https://www.facebook.com/AinMaisarah.Novelis?fref=nf
Siri 8 : Buat Duit Dengan Menulis
Bismillah.. Assalamualaikum.. Salam Sejahtera semua ^_^
Hari ini, Pyan akan teruskan bagi maklumat tentang bagaimana
kita ingin menjana duit melalui menulis. So kali ini, Pyan ingin memperkenalkan
peraduan menulis esei Berita Sawit anjuran MPOB Disember 2014..
Buat pengetahuan, Peraduan ini terbuka kepada pelajar
sekolah menengah di seluruh Malaysia. Karangan adalah mengenai industri sawit
negara dan antarabangsa dan ditulis tangan berpandukan tajuk seperti yang di
bawah :-
Tajuk: “SISTEM MEKANISASI LADANG BANTU PENINGKATAN PRODUKTIVITI.
BINCANGKAN”
So, kepada adik-adik semua yang masih belajar di sekolah
menengah bermula daripada Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5, anda dijemput untuk
menyertai Peraduan Mengarang Esei Berita Sawit ini.
Tiga pemenang dicari setiap bulan. Hadiahnya cukup menarik,
iaitu :-
1)
RM250
2)
RM200
3)
RM150
Manakala, bagi pemenang tempat pertama setiap bulan,
esei tersebut akan diterbitkan dalam
Berita Sawit pada bulan yang berikutnya.
Syarat-Syarat penyertaan boleh merujuk pada gambar di bawah.. Dipersilakan klik gambar untuk ke pautan Laman Web Rasmi MPOB..
Thursday, 6 November 2014
Siri 7 : Buat Duit Dengan Menulis
Bismillah.. Assalamualaikum.. Salam Sejahtera semua ^_^
Hari ini, Pyan akan teruskan bagi maklumat tentang bagaimana kita ingin menjana duit melalui menulis. So kali ini, Pyan ingin memperkenalkan peraduan menulis esei Berita Sawit anjuran MPOB november 2014..
Buat pengetahuan, Peraduan ini terbuka kepada pelajar sekolah menengah di seluruh Malaysia. Karangan adalah mengenai industri sawit negara dan antarabangsa dan ditulis tangan berpandukan tajuk seperti yang di bawah :-
Tajuk: “INDUSTRI SAWIT MALAYSIA
MENYUMBANG KEPADA ALAM SEKITAR YANG LEBIH LESTARI”
Tiga pemenang dicari setiap bulan. Hadiahnya cukup menarik, iaitu :-
1) RM250
2) RM200
3) RM150
Syarat-Syarat penyertaan boleh merujuk pada gambar di bawah.. Dipersilakan klik gambar untuk ke pautan Laman Web Rasmi MPOB..
Selamat mencuba, semoga berjaya adik-adik semua.. ^_^
Tarikh tutup penyertaan adalah pada 20 November 2014
Wednesday, 5 November 2014
Kraf Menjana Ekonomi Rakyat
(Esei
ini dikarang oleh adik Pian.. Dan alhamdulillah, dia memenangi tempat
ketiga dalam pertandingan esei Kraftangan Malaysia ini.. Pian dah minta
kebenaran dia nak publish dalam blog Pian nie.. Semoga menjadi rujukan
untuk sesiapa yang berminat untuk masuk peraduan menulis.. Rezeki ada di
mana-mana.. Jangan takut untuk mencuba yep!)
Ini buktinya yang beliau memenangi hadiah tempat ke-3
Dan ini eseinya:
Tajuk Esei: Kraf Menjana
Ekonomi Rakyat
Ditulis Oleh: Mohammad Amir
Syukri bin Fauzi
Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat, kraf tangan ditakrifkan sebagai perusahaan (kerja,
seni dan sebagainya) yang memerlukan daya cipta dan kemahiran menggunakan
tangan. Manakala, menurut Akta-222, Akta Perbadanan Kemajuan Kraftangan
Malaysia 1979 pula mendefinisikan kraf
tangan itu sebagai barangan yang dihasilkan menggunakan kemahiran tangan,
dikeluarkan dengan atau tanpa menggunakan alat atau peralatan mudah yang dijalankan
secara sendiri atau tidak langsung oleh pengusaha-pengusaha kraf.
Daripada
takrifan kraf tangan yang dinyatakan di atas, jelaslah kebanyakan usahawan kraf
di Malaysia dikategorikan sebagai pengusaha mikro dan kecil sahaja berdasarkan
kepada jumlah modal berbayar, bilangan pekerja dan jualan tahunan yang
direkodkan sementalahan, hasil atau keluaran kraf pula lazimnya bersifat
sederhana dan tidak pula terlalu kompleks seperti keluaran lain. (Chamhuri
Siwar,1995 dan Wan Hashim Wan Teh, 1996)
Dalam
hubungan ini, "Keluaran Kraftangan" pula diistilahkan sebagai apa-apa
keluaran artistik yang mempunyai daya tarikan kebudayaan atau tradisional dan
adalah hasil daripada sesuatu proses yang bergantung semata-mata atau
sebahagiannya kepada kemahiran tangan dan termasuklah apa-apa barang, walau
bagaimanapun dihasilkan, yang mempunyai reka bentuk batik pada atau di
mana-mana sahaja bahagiannya.
Indah budi kerana berjasa,
Indah rupa tiada terkata,
Seni kraf warisan bangsa,
Kebanggaan kita rakyat
jelata.
Secara keseluruhannya, seni kraf adalah merupakan warisan
bangsa sejak turun-temurun. Ia menjadi kebanggan kita sebagai rakyat jelata dan
dikategorikan dalam kelompok kesenian rakyat, folks arts. Umumnya, seni warisan
ini sebenarnya bergantung sepenuhnya kepada kecekapan seseorang individu
tersebut sehinggalah hasil kerja mereka diberi nilaian yang tinggi.
Malahan,
seseorang yang melibatkan diri dalam perusahaan kraf tangan sama ada secara
sambilan ataupun secara sepenuh masa seyogianya menggabungjalinkan tiga ciri
perdana yang menjadi tunjang dalam penghasilan kepelbagaian produk kraf tangan
yang berada di pasaran mayapada. Ia merangkumi ciri-ciri seperti hasil
keluaran, kepercayaan budaya dan agama yang syumul serta keperluan tradisional.
Manakala, ketiga-tiga ciri ini apabila digabungjalinkan bersama akan meledakkan
satu nilai estetika yang amat tinggi harganya di mata para peminat kraf
kelak.
Pada waktu yang sama, negara kita persis juga
negara-negara lain seantero dunia sememangnya mempunyai warisan kraf tangan
tempatan yang boleh dibanggakan, bahkan telah wujud sejak berabad lama dahulu.
Di Malaysia, walaupun sejarah kewujudan dan kesinambungannya tidaklah
dicatatkan dengan jelas, namun beberapa penemuan kraf generasi terdahulu telah
menjadi bukti kepada asal usul, sejarah kewujudan, dan budaya kraf negara kita
hari ini.
Bukti
konklusif menunjukkan, pada tahun 1954, satu ekspedisi diketuai Dr. G. de. G.
Sieveking dari Muzium Kebangsaan Persekutuan telah menemui beberapa peninggalan
kraf manusia yang hidup pada Zaman Neolitik seperti barangan tembikar berkaki,
pisau batu serta serpihan yang jarang-jarang ditemui di bukit kapur Perlis dan
juga di negeri Kelantan (Beamish dalam Salsabila Tang Abdullah).
Dalam
pada itu, kesedaran masyarakat Melayu untuk membentuk barang-barangan keperluan
seharian pula dikatakan menjadi titik tolak kepada wujudnya penciptaan awal
kraf tangan yang berlaku kira-kira 2000 hingga 1500 tahun dahulu sebelum
Masihi.
Jika
dilihat dari sudut lain pula, menurut William Hunt dalam bukunya ‘An Introdution to The Malayan Aboriginese’
menyatakan bahawa, budaya dan seni kraf di Malaysia sebenarnya dibawa masuk
pendatang berketurunan Melayu dari Gugusan Kepulauan Melayu serta pendatang
asing dari rantau Asia Tenggara dengan asimilasi budaya peribumi yang sedia
ada. Manakala, Tony Beamish dalam kajiannya The
Art of Malaysia secara sinis mencerminkan bahawa seni kraf tangan di
Malaysia pada mulanya dipelopori masyarakat orang Asli dengan menggunakan buluh
sebagai bahan asas pembuatannya.
Manakala,
kajian ini disokong sepenuhnya Iskandar Carey, bekas Pengarah Hal Ehwal Orang
Asli Malaya yang telah menyimpulkan bahawa, masyarakat orang Asli diiktiraf
sebagai masyarakat peribumi yang mendiami Tanah Melayu dan golongan ini
terkenal dengan “Budaya Buluh” mereka
sejak sekian lama lagi.
Lain
daripada itu, menurut Ismail Ibrahim (2007), seni kraf lazimnya mempunyai
beberapa aturan khusus dalam penghasilannya. Tamsilnya, pengamal kraf disebut
sebagai tukang kraf dan selalunya gelaran ini diberikan kepada mereka yang
betul-betul menjiwai seni kraf tersebut bersesuaian dengan kemahiran dimiliki
mereka sejak turun-temurun itu.
Kendatipun
begitu, penghayatan dalam seni kraf pula kebiasaannya mengambil kira beberapa
aspek penting yang berikut. Antaranya, aspek kemahiran tukang dalam
mengaplikasikan teknik-teknik penghasilan produk kraf selain aspek pengetahuan
dan pengalaman tukang dalam menghasilkan sesuatu keluaran kraf yang bermutu
tinggi di mata rakyat marhaen kelak.
Atas
aspek-aspek inilah, pengusaha kraf tangan zaman kini sewajarnya memperlihatkan
kehalusan, keindahan dan keaslian yang tersembunyi pada setiap hasil keluaran
produk kraf mereka agar segala bentuk motif yang ingin disampaikan kepada
masyarakat akan dapat disampaikan secara menyeluruh kelak sekali gus
mencerminkan dengan jelas akan nilai-nilai kepercayaan serta kelestarian adat
sesetengah budaya masyarakat itu untuk keperluan generasi mendatang.
Hal
ini penting dalam usaha kita untuk memastikan agar warisan seni kraf ini tak
lekang oleh panas, tak lapuk oleh hujan dalam mendepani realiti era
milenium yang pantas berubah ini.
Keunggulan
Kraf Sebagai Penjana Ekonomi Masyarakat
Disingkapkan, kraf sememangnya
dihasilkan daripada alam semula jadi yang terhampar luas di sekeliling kehidupan
masyarakat hari ini. Malah, rakyat Malaysia sepatutnya bersyukur kerana negara
kita memiliki hasil alam yang begitu banyak untuk digarap manfaatnya secara
bersama. Bahkan, bahan seperti kayu, buluh, rotan, ribu-ribu, mengkuang,
pandan, bemban dan daun serdang adalah merupakan antara hasil rimba yang boleh
diusahakan secara kreatif oleh usahawan kraf untuk dijadikan produk-produk kraf
yang bermutu lagi tinggi nilai estetikanya di hati pelanggan kelak.
Dekad
demi dekad silih berganti. Kini, kraf tangan telah melalui satu anjakan
paradigma dari segi pengkomersialannya mencakupi produk dan juga kaedah
penghasilan yang relevan mengikut kehendak zaman. Ironinya, kraf tangan bukan
sahaja menjadi warisan turun-temurun semata-mata, bahkan sekarang ini, kraf
semakin popular sebagai penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara sejak
lebih tiga dekad yang lalu di samping turut menjadi salah satu sumber penjana
ekonomi masyarakat yang gigih mengusahakannya secara sistematik dan juga
berstrategi.
Dalam hubungan ini, mari kita fokuskan minda kita
terhadap beberapa contoh kes yang menjadi bukti kukuh bahawa industri kraf
marcapada mampu menjana pendapatan rakyat sejagat. Secara umumnya, apabila kita
bercakapkan tentang kraf rotan, sudah tentu ramai yang akan terbayangkan reka
bentuk tradisional dan produknya yang agak terhad seperti tudung saji, bakul,
dulang dan sebagainya.
Namun
di sebalik itu, dengan sedikit daya kreativiti yang diilhamkan para pengusaha
kraf, rotan sebenarnya mampu dikomersialkan menjadi produk yang berkualiti dan
yang paling penting boleh menarik perhatian ramai untuk memilikinya. Malahan,
bukan menjadi sesuatu yang menghairankan jika hari ini, perniagaan kraf tangan
berasaskan rotan semakin menjadi kegilaan ramai termasuklah golongan wanita
yang ingin meningkatkan taraf hidup mereka sekalian.
Senario ini jelas menggambarkan kehidupan sebenar Puan
Azizah Ahmad, 44 tahun yang tinggal di Taman Pinggiran Senawang, Negeri
Sembilan. Beliau yang cukup terkenal di kawasan tersebut sudah lebih lapan
tahun mengusahakan perniagaan kraf tangan berasaskan rotan sehinggakan kini,
beliau juga dinobatkan antara salah seorang usahawan rotan yang berjaya di
Negeri Sembilan.
Bahkan,
pemilik syarikat Zafialno Enterprise
ini mengakui, perniagaannya dan produk rotan itu adalah bertitik tolak daripada
kegigihannya memartabatkan industri kraf tangan rotan dengan mengkomersialkan
produk tersebut di mata masyarakat sejagat sekali gus mempengaruhi minda
masyarakat era kontemporari terutamanya golongan muda untuk mencintai kraf
tangan yang bercirikan negara sendiri.
Diceritakan,
berdasarkan pengalaman beliau yang acap kali menyertai pameran kraf
antarabangsa anjuran bersama pihak Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia
cawangan Negeri Sembilan itu, kebanyakan bangsa asing juga turut meminati kraf
tangan rotan keluaran negara dek kerana keunikan buatannya yang boleh memukau
mata sesiapa sahaja yang memandangnya.
Bahkan,
beliau sendiri memperakui bahawa, nilai tambah yang diberikan pada setiap
produk kraf hasil keluaran tangannya itu telah menyebabkan produknya kini sudah
mampu menembusi pasaran antarabangsa seperti di Singapura, Eropah, United
Kingdom dan sebagainya. Hal ini jelas membuktikan bahawa, pengusaha kraf tangan
tempatan juga mampu bergelar usahawan berjaya sehingga menempa nama di pasaran
semasa sama ada dalam dan luar negara amnya.
Malahan, dek kesungguhannya menjalankan perusahaan kraf
itu, kini usahawan kraf rotan sepertinya mampu meraih pendapatan bulanan yang
sangat lumayan buat diri dan keluarganya dengan keuntungan hasil jualan yang
diperolehi mampu mencecah RM4,000 sehingga RM10,000 sebulan. Sesungguhnya,
kejayaan Puan Azizah ini jelas menggambarkan pepatah Arab yang berbunyi, sesiapa yang berusaha, dia yang mendapat
hasilnya.
Seterusnya,
memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa, kraf tangan tempatan sudah semakin
diminati ramai saban hari. Bahkan, sebut sahaja kraf manik, nescaya terbayang
dalam fikiran kita gerai-gerai menjual pelbagai bentuk kraf tersebut di
sepanjang jalan di antara Matunggong dan Kudat amnya.
Umum
mengetahui, Kudat sememangnya banyak menghasilkan pelbagai jenis kraf tangan
yang unik dan cantik termasuklah juga seperti kraf manik yang boleh
diketengahkan produknya itu hingga persada antarabangsa. Bertitik tolak
daripada itu, maka tidak hairanlah, kerajaan menerusi Perbadanan Kraftangan
Malaysia sentiasa merencanakan pelbagai langkah ideal demi memastikan warisan
seni kraf turun-temurun sesuatu kaum di negara ini seperti juga kraf manik yang
melambangkan budaya serta adat resam kebanyakan etnik di Sabah ini tidak akan
luntur ditelan zaman kelak.
Hal
ini termasuklah dengan menganjurkan program Promosi Kraf Malaysia di Kota
Kinabalu yang bertujuan untuk memelihara dan meningkatkan lagi martabat seni
kraf termasuklah seni kraf manik yang kebanyakannya dihasilkan masyarakat
Rungus di daerah Kudat ini.
Malahan,
bagi pengusaha kraf di Kudat, industri kraf bukan sahaja dapat memelihara
kesenian negara bangsa sejak turun-temurun, tetapi juga menjadi bidang yang
boleh dimajukan di samping menjadi sumber penjana pendapatan masyarakat
sejagat. Begitulah yang boleh digambarkan kehidupan Mohizo Tukaro, 48 tahun,
anak jati dari kampung Hobut Matunggung, Kudat yang menjadikan kraf manik
sebagai sumber penjana pendapatan sampingan buat diri dan keluarganya sejak
sepuluh tahun yang lalu.
Menurutnya,
beliau mengakui bahawa kraf manik sememangnya mempunyai potensi besar untuk
dikomersialkan jika benar-benar ada kesungguhan dalam diri untuk
mengusahakannya. Bahkan, beliau yang mula belajar membuat manik sejak dari
kecil itu dikatakan membesar dengan kraf tangan manik, malar-malar pula
keluarganya memang tersohor dalam kalangan penduduk di sekitar daerah Kudat ini
sebagai pembuat kraf pinakol, iaitu sejenis perhiasan pakaian tradisional
masyarakat Rungus amnya.
Manakala,
ekoran daripada berlakunya tuntutan penginovasian dalam arus pemodenan kraf
tangan negara sejak kebelakangan ini, Mohizo telah mengorak langkah efektif
dengan menyesuaikan kaedah yang lebih berinovatif dalam penghasilan kraf manik
keluarannya itu sekali gus ia selaras dengan perkembangan semasa industri kraf
tangan negara saat ini. Hal ini penting dalam usaha beliau untuk memenuhi
permintaan para peminat kraf kontemporari yang lebih bersifatkan, alah
membeli, menang memakai ini.
Di
samping itu, dalam masa sehari, beliau mampu menghasilkan lebih daripada tiga
perhiasan dan produk kraf yang diperbuat daripada manik amnya. Antaranya
merangkumi perhiasan seperti litai Sabah, litai Venusak, tinutu (corak
tradisi), inavol selain beberapa produk manik yang lain seperti gelang, rantai,
kerongsang, balutan pen dan sebagainya.
Hasilnya,
dengan penat lelah beliau mengusahakan perusahaan kraf manik di daerah Kudat
ini, beliau kini mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM200 hingga RM300
sebulan. Manakala, sekiranya beliau ada menerima tempahan daripada pembeli dan
peminat kraf dalam dan luar negeri pula, beliau mampu memperolehi pendapatan
sehingga RM2,000 untuk sekali tempahan. Kesungguhan beliau mengusahakan
perusahaan kraf ini tidak ubah pesan orang tua-tua, sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat.
Begitulah
antara dua tamsilan daripada ribuan kes yang menceritakan tentang perihal kraf
tangan hari ini mampu meneguhkan ekonomi masyarakat yang rajin mengusahakannya
tanpa pernah kenal erti penat lelah dalam diri mereka sekalian.
Apa
yang pasti, bagi pengusaha-pengusaha kraf yang beragama Islam pula, menjana
ekonomi melalui industri kraf tangan ini sememangnya bertepatan dengan hadis
yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang
bermaksud, “Usaha yang paling utama
(Afdal) adalah usaha seseorang dengan tangannya sendiri dan hasil dari jual
beli yang mabrur.”
Kraftangan
Malaysia Sebagai Peneraju Pembangunan Kraf Negara
Pada keseluruhannya, beberapa contoh kes kejayaan pengusaha-pengusaha
kraf seperti mana yang telah dipaparkan di atas sebenarnya tidak lengkap jika
sekiranya tiada bantuan yang disumbangkan pihak kerajaan melalui Kraftangan
Malaysia amnya. Bahkan, tidak keterlaluan pula jika dikatakan bahawa pengusaha
kraf sekarang ini dijaga bagai menatang
minyak yang penuh.
Masakan tidak, dengan sumbangan idea-idea
bernas serta kepakaran-kepakaran terkini yang disumbangkan pihak Kraftangan
Malaysia kepada para pengusaha kraf, kini agensi tersebut semakin gah berada di
puncak kegemilangan dalam usahanya untuk membangunkan industri ini agar ia
terus kekal memacu pertumbuhan ekonomi yang mapan buat masyarakat dan juga
negara kita kelak.
Justeru itu, ayuh kita lensakan pula skop pemikiran kita
dengan hakikat bahawa, Kraftangan Malaysia hari ini sememangnya telah diperakui
sebagai peneraju utama pembangunan industri kraf keluaran negara sejak lebih
tiga puluh tahun yang lalu.
Umum
mengetahui, Kraftangan Malaysia atau
lebih dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia adalah merupakan
antara sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan
Kebudayaan yang telah dipertanggungjawab sepenuhnya dalam usaha untuk
menaiktarafkan industri kraf sebagai cerucuk utama pembangunan sosioekonomi
negara kita selain sebagai sumber penjana ekonomi buat rakyat sejagat.
Ditubuhkan pada tanggal 1 Oktober 1979 di bawah Akta
Perbadanan Kraftangan Malaysia atau akta-222, Kraftangan Malaysia telah
bergerak seiring dengan matlamat utama penubuhannya untuk memelihara kraf
tangan tradisi dan mempertingkatkan aktiviti kraf di samping menjadikan
industri ini sentiasa berdaya maju seiring dengan peredaran zaman pada masa
hadapan (Kraftangan Malaysia, 2008).
Bahkan,
pada masa yang sama juga, Kraftangan Malaysia turut bertanggungjawab sepenuhnya
melahirkan pengusaha-pengusaha kraf tempatan yang cemerlang dalam segenap aspek
keusahawanan mencakupi aspek pembangunan produk, promosi, serta pengurusan
perniagaan yang berjaya amnya.
Untuk
itu, pelbagai program telah dilaksanakan pihak Kraftangan Malaysia dalam usaha
mempromosikan perniagaan usahawan kraf tempatan hari ini seperti, menyediakan
latihan keusahawanan dalam bentuk kemahiran dan pertukangan kraf, merekabentuk
program-program pembangunan keusahawanan dalam industri kraf, membantu dalam
memperkenalkan pengusaha kraf kepada kaedah produksi terkini dan akhirnya
merancang serta melaksanakan program pemasaran kraf ke peringkat antarabangsa.
Impaknya,
pada tahun 2008, seramai 1,347 orang usahawan kraf di Malaysia telah berjaya mendapat
peluang keemasan untuk menyertai pelbagai program yang dilaksanakan pihak
Kraftangan Malaysia sepanjang tahun tersebut. Bahkan, kesemua mereka juga telah
mendapat didikan serta latihan yang cukup signifikan daripada pihak Kraftangan
Malaysia seperti latihan reka bentuk produk, pembungkusan, inovasi produk,
inventori kraf, hiasan dalaman, dan sebagainya (Kraftangan Malaysia, 2008).
Secara analoginya, jelaslah penubuhan Kraftangan Malaysia
sebagai nadi utama pembangunan kraf tangan negara kita hari ini telah berjaya
melonjakkan industri ini semakin berdaya maju di peringkat domestik mahupun
peringkat global. Bahkan, dengan pendekatan serta perancangan terperinci yang
telah dirancang dari semasa ke semasa, kini industri kraf semakin diterima
masyarakat sejagat sebagai sumber penjana ekonomi rakyat marhean di samping
merangsang ekonomi mapan buat negara kita menjelang tahun 2020 kelak.
Malahan,
dengan sumbangan bantuan serta idea-idea yang disumbangkan Kraftangan Malaysia
kepada masyarakat kontemporari, maka bermulalah satu lembaran baru dalam
industri kraf era ini yang telah menyaksikan industri ini telah membuka peluang
pekerjaan yang begitu meluas buat
sekalian golongan marhaen untuk diceburi masyarakat sama ada secara sambilan
ataupun sebaliknya.
Hal
ini persis ucapan Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim dalam ucapan perasmiannya
sempena majlis Konvokesyen Institut Kraf Negara Ke-10 tahun 2011 yang berbunyi,
‘Industri
kraf tangan tempatan bukan sahaja mampu meraih pendapatan lumayan, sebaliknya
sebagai karier yang meyakinkan.’
Keistimewaan
Kraf Dalam Mewujudkan Peluang Pekerjaan
Secara total, sememangnya industri kraf telah lama
bertapak dalam negara kita terutamanya di negeri-negeri Terengganu, Kelantan,
Perak, Kedah dan sebagainya sejak awal abad ke-19 lagi.
Pada
ketika itu, pengusaha kraf kebanyakannya bekerja secara sendirian di
istana-istana diraja mahupun kediaman orang-orang kenamaan selain mereka mahir
dalam bidang tenunan, pertukangan emas, perak dan ukiran kayu. Namun demikian,
skop pekerjaan mereka pada masa itu
terbatas dan tidaklah seluas mana jika hendak dibandingkan dengan zaman ini.
Justeru,
dalam konteks industri kraf pada masa kini, maka ayuhlah kita luaskan horizon
pemikiran ini dengan kenyataan bahawa, industri kraf tangan marcapada dapat
menjana pertumbuhan ekonomi yang mapan melalui kewujudan peluang pekerjaan yang begitu banyak dalam kalangan masyarakat
sejagat.
Lumrahnya,
sektor kraf tangan telah membuka 1001 peluang pekerjaan kepada golongan murba terutamanya kaum wanita
yang ingin melibatkan diri dalam penghasilan kraf terutamanya kraf yang
dihasilkan melalui proses tenunan, tekatan, anyaman dan sebagainya.
Bahkan,
di samping kaum wanita dapat menjana dan meningkatkan pendapatan bulanan
keluarga mereka, negara juga boleh menjana pertumbuhan ekonomi yang kukuh
melalui pemasaran produk-produk kraf ini dalam pasaran domestik mahupun pasaran
antarabangsa amnya.
Lain
daripada itu, bertitik tolak daripada kesedaran sivik yang tinggi kaum wanita
terutamanya berkaitan dengan peluang bagi mereka untuk menjana ekonomi melalui
penglibatan dalam industri kraf ini, kesannya pihak Kraftangan Malaysia telah
merekodkan sebahagian besar usahawan kraf di negara kita adalah datangnya
daripada golongan wanita. Manakala, bilangannya pula mencakupi seramai 4997
orang atau merangkumi 70 peratus daripada keseluruhan usahawan kraf yang
menjalankan perusahaan berasaskan penghasilan produk-produk kraf di Malaysia.
Lantaran
itu, nilai ini sudah cukup untuk menjadi bukti jelas bahawa, keiltizaman serta
semangat juang yang tinggi golongan ini dalam memartabatkan industri kraf
sebagai sumber penjana ekonomi buat mereka sedikit sebanyak mengutuhkan
pembangunan sosioekonomi negara kita kelak.
Malahan,
jika ditelusuri, majoriti usahawan kraf hari ini semakin berminat untuk
menceburi bidang ini kerana mereka yakin bahawa, perusahaan kraf tidaklah
serumit mana yang difikirkan kerana ia tidak melibatkan kerja-kerja berat dan
sesuai diusahakan di rumah sebagai hobi sampingan pada waktu senggang dan
sebagainya. Hal ini persis aforisme, sambil
berdiang, nasi masak.
Bahkan,
seperti yang kita sedia maklum, sifat semula jadi wanita yang mempunyai
kemahiran kreatif dan ketelitian yang tinggi dalam diri mereka telah
menjadikannya ia sebagai faktor terpenting kepada penglibatan wanita dalam
penghasilan produk kraf yang bermutu tinggi sejak kebelakangan ini.
Apa
yang pasti, penglibatan golongan wanita dalam industri kraf tangan juga tidak
lain bertujuan untuk menyahut seruan kerajaan yang ingin menyasarkan peningkatan
penyertaan wanita dalam tenaga kerja daripada 52.4 peratus kepada 55 peratus
menjelang tahun 2015 kelak.
Ibarat
kecil jangan disangka anak, besar jangan
disangka bapa. Natijahya, pada tahun 2009, usahawan-usahawan kraf wanita
telah berjaya membuktikan kepada negara kita dengan kejayaan membanggakan hasil
daripada jualan produk kraf dan saiz pasaran yang dicapai mereka dengan rekod
keuntungan bersih sebanyak RM83 juta atau merangkumi 31 peratus daripada saiz
pasaran produk-produk yang lain telah berjaya dicapai golongan wanita amnya.
Hal
ini secara jelasnya telah membuktikan kemampuan jitu golongan-golongan wanita
dalam menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara pada masa hadapan.
Bahkan, pencapaian wanita dalam industri ini seharusnya dibanggakan masyarakat
sejagat kerana sesungguhnya, keunggulan dan kehebatan wanita dalam hal ini
bertepatan dengan ungkapan berbunyi, ‘Tangan yang menghayun buaian itu boleh
menggoncang dunia’.
Dalam
pada itu, keluaran produk kraf tangan golongan wanita mungkin lebih cantik dari
segi kekemasannya jika hendak dibandingkan dengan keluaran produk kraf yang
dihasilkan usahawan kraf lelaki amnya. Masakan tidak, golongan wanita
sememangnya mempunyai sifat ketelitian yang tinggi dalam melakukan
aktiviti-aktiviti seharian mereka termasuklah juga dalam penghasilan produk
kraf itu sendiri.
Jadi, tidak mustahillah golongan ini mampu
mengeluarkan produk kraf yang mempunyai nilai estetika yang tinggi besok lusa,
malar-malar pula lebih berkualiti dan amat praktikal untuk dipasarkan dalam
pasaran semasa ataupun pasaran global kelak.
Sehubungan
itu, jelaslah kewibawaan industri kraf sebenarnya mampu menjulang negara
sebagai sebuah negara Malaysia yang maju ekonominya menjelang tahun 2020
belakang hari. Manakala, keunggulannya pula ternyata telah berjaya membuka
peluang pekerjaan yang begitu meluas untuk diceburi masyarakat sejagat di
samping ia dapat membantu kepada pembangunan sosioekonomi negara selain menjana
pendapatan yang lumayan buat sesiapa sahaja yang rajin mengusahakannya.
Hal ini persis dengan firman Allah dalam surah
Al-Arad ayat ke-14 yang bermaksud, ‘ Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum
sehingga kaum itu mengubah nasib mereka sendiri ’.
Kraf
Tangan Berdepan Dengan Cabaran dan Kekangan
Dalam
pada itu, apabila kita bercakapkan tentang sesuatu kejayaan yang kita kecapi
hari ini, semestinya di sebalik kejayaan tersebut, tersingkapnya pula cabaran
dan kekangan yang terpaksa dihadapi. Bahkan, situasi ini secara jelasnya
menggambarkan akan industri kraf kontemporari yang terpaksa meredah gelora,
berhadapan dengan pelbagai kerenah cabaran moden yang pastinya memerlukan
pengertian serius semua pihak khususnya masyarakat dan pihak kerajaan amnya.
Oleh
hal yang demikian, mari kita suburkan pula daya pemikiran kita dengan
melihatkan beberapa cabaran yang menjadi halangan utama industri kraf tangan
negara hari ini untuk berdiri sama
tinggi, duduk sama rendah setanding dengan lain-lain industri.
Ghalibnya,
hasil kraf tangan tempatan kini menghadapi kemelut besar dalam usaha untuk
bersaing bersama dengan negara-negara luar lain yang turut mengeluarkan
barangan kraf tangan keluaran negara mereka seperti negara-negara Thailand,
Filipina, Indonesia dan sebagainya.
Manakala,
saingan ini kebanyakannya tertumpu kepada aspek kualiti produk kraf yang dapat
dihasilkan kerana produk dari negara luar kadang-kadang lebih baik hasil
buatannya dek kerana kaedah penghasilannya yang telah mendapat bantuan
teknologi terkini amnya. Umum mengetahui, dengan bantuan teknologi canggih yang
dimiliki mereka, ia bukan sahaja dapat memperhaluskan lagi dari segi
penghasilan produk tersebut, bahkan juga dapat memendekkan tempoh masa
penghasilan bagi menghasilkan sesuatu produk kraf pada masa hadapan.
Malahan,
hal ini juga bertepatan dalam konteks kehendak semasa para pelancong yang
datang berkunjung di negara kita hari ini. Masakan tidak, mereka sentiasa
inginkan sesuatu barangan itu dengan kadar masa yang segera dan mereka tidak
mempunyai masa untuk menanti serta menunggu sesuatu produk tersebut untuk dihasilkan.
Kontradiksinya,
hal ini sudah pasti berbeza dengan kraf tangan yang diusahakan masyarakat di
negara kita kerana kebanyakannya memerlukan masa yang panjang untuk
menghasilkan sesuatu produk kraf tersebut sebelum ia boleh dipasarkan dalam
pasaran semasa.
Seterusnya,
dari segi latihan kemahiran dan peningkatan mutu barangan, boleh dikatakan
industri kraf tangan negara masih lagi kekurangan tenaga mahir setelah yang
sedia ada pun semakin dimamah usia. Lazimnya, tenaga-tenaga mahir yang diperlukan
mungkin ada, namun mereka tidak berani untuk menonjol dan mengetengahkan bakat
tersebut.
Malahan,
ada juga antara mereka yang mempunyai bakat yang tersembunyi dalam diri mereka
masing-masing, namun mereka tidak berani mengambil risiko untuk menceburi
bidang ini, malar-malar pula dengan risiko yang mungkin dialami oleh mereka
dalam pasaran terbuka kemudian hari.
Lebih-lebih
lagi, risiko seperti kerugian pula sentiasa menjadi alasan utama apabila
diajukan soalan mengapa mereka tidak berani untuk berkecimpung dalam industri
ini. Tidak cukup dengan itu, mereka juga berpendapat bahawa, menceburi bidang
kraf tangan umpama seperti mempertaruhkan norma kehidupan seharian apatah lagi
apabila hasil keluaran kraf mereka tidak mendapat sambutan, mereka mungkin
tiada lagi tempat pergantungan.
Lebih
menyukarkan lagi keadaan apabila dana perniagaan yang diperolehi mereka seperti
daripada pinjaman dan sebagainya memerlukan mereka untuk membayar semula
mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan. Pendek kata, golongan seperti ini
akan menjadi semakin takut untuk menghadapi risiko-risiko tersebut lantaran
telah menyebabkan kerja-kerja kraf tangan mereka itu hanyalah untuk kegunaan
diri sendiri dan sebagai memenuhi hobi sampingan pada masa lapang.
Akhirnya,
minat serta kemahiran yang dimiliki mereka itu akan terkubur dengan sendirinya
belakang hari sekali gus hal ini akan
mendatangkan seribu satu kerugian yang amat besar kepada industri kraf
negara pada masa hadapan.
Ibarat
laki pulang kelaparan, dagang lalu
ditanakkan. Pepatah Melayu ini sesuai menggambarkan dan merumuskan secara
jelas akan stigma masyarakat Malaysia hari ini yang telah menghadirkan beberapa
cabaran alaf global kepada industri seni kraf negara dengan seolah-olah
memandang sepi produk kraf tangan buatan tempatan amnya.
Malahan,
mentaliti
serta ketidakacuhan masyarakat yang suka mendewa-dewakan produk kraf tangan
moden dan berjenama antarabangsa, dilihat menjadi ancaman besar kepada industri
produk kraf tangan tempatan. Rentetan daripada kelesuan permintaan produk kraf
tempatan dalam pasaran domestik dewasa ini, ia juga telah menyumbang kepada
kesuraman industri kraf tangan negara yang boleh diibaratkan seperti hidup segan, mati tak mahu.
Tambahan
pula, sorotan daripada kesuraman iklim ekonomi dunia yang kian meruncing,
industri kraf tangan negara juga dilihat semakin bergelut untuk terus bernafas.
Memburukkan lagi keadaan di kala industri kraf tangan negara dilihat semakin
terumbang-ambing dibadai cabaran moden sekali gus fenomena ini akan menyukarkan
lagi industri ini untuk terus kekal bertahan kelak.
Manakala,
kerajaan pula seakan-akan terlepas pandang akan potensi industri ini. Apa yang
membimbangkan ialah, pengusaha kraf tangan tempatan bukan sahaja terdesak untuk
mencari peluang perniagaan malah terpaksa dibelenggu dengan masalah permintaan
domestik yang kurang memberangsangkan. Kondisi ini jelas sekali akan
mengecewakan banyak pihak nanti.
Oleh
yang demikian, jelaslah terdapat beberapa cabaran dan rintangan yang terpaksa
dihadapi industri kraf sejak akhir-akhir ini. Justeru, bertitik tolak daripada
itu, jelaslah pelbagai pihak seyogianya memanifestasikan akal fikiran mereka masing-masing
bagi mencari formula atau mekanisme yang berkesan untuk memajukan industri kraf
tangan di Malaysia ini setanding dengan lain-lain industri yang dapat
menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dan masyarakat yang kukuh
menjelang tahun 2020 kelak.
Langkah-Langkah
Memajukan Industri Kraf Negara
Dalam
usaha untuk memajukan industri kraf tangan negara hari ini, maka ayuhlah pula
kita fokuskan skop pemikiran kita terhadap beberapa prakarsa terpenting yang
boleh diimplementasikan pihak kerajaan bagi mencapai hasrat murni pelestarian
secara holistik industri kraf pada masa hadapan.
Umum
mengetahui, tindakan secara kolaboratif yang boleh diketengahkan pihak kerajaan
adalah dengan cara mengadakan integrasi erat bersama dengan Kementerian
Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia untuk melipatgandakan lagi usaha ke arah
mempromosikan industri kraf tangan di peringkat global amnya. Hal ini boleh
dicapai dengan mewujudkan pelbagai inisiatif termasuklah promosi secara agresif
yang boleh dilakukan melalui kempen-kempen, pakej-pakej pelancongan di Malaysia
dan sebagainya.
Bahkan,
keputusan yang diambil pihak kerajaan melalui Kementerian Pelancongan yang
telah menggesa pihak-pihak yang terbabit dengan industri pelancongan untuk
memberikan diskaun sebanyak 25 peratus kepada para pelancong yang datang ke
Malaysia itu adalah merupakan antara intensif terbaik pihak kerajaan bagi
memajukan industri kraf negara kelak.
Malahan, mantan menterinya, Datuk Seri Ng Yen
Yen dipetik sebagai berkata, kementerian telah meletakkan sasaran untuk
mencapai seramai 36 juta orang pelancong yang akan datang melawat ke negara
kita menjelang tahun 2020 belakang hari. Justeru, hasrat murni pihak kerajaan
untuk memajukan industri pelancongan ke tahap yang lebih membanggakan lagi pada
masa hadapan ini sudah pasti akan mendatangkan impak positif secara menyeluruh
kepada pembangunan industri kraf keluaran negara kita amnya.
Masakan
tidak, dengan majunya industri pelancongan, secara tidak langsung akan
menyebabkan perusahaan kraf tangan negara menjadi semakin menggalakkan dari
segi jualannya kerana ada padi masak,
adalah pipitnya. Hasilnya, berdasarkan statistik Kajian Industri Kraf 2007,
jualan kraf tangan bagi kategori hutan mencecah RM58.9 juta manakala yang
berasaskan bukan hutan pula RM10.9 juta.
Selain
itu, pihak kerajaan juga boleh memberikan peluang kepada para pengusaha untuk
mengkomersialkan dan mempromosikan hasil keluaran mereka dalam pasaran semasa
amnya. Justifikasinya, promosi berterusan boleh membantu usahawan kraf dalam
meningkatkan hasil jualan produk kraf mereka pada masa hadapan.
Untuk
itu, kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah mengambil
langkah sederap, menjadikan Hari Kraf Kebangsaan sebagai acara tahunan agensi
tersebut. Malah, ia juga merupakan antara salah satu inisiatif ideal pihak
kerajaan dalam usaha untuk mengkomersialkan produk-produk kraf hasil keluaran
usahawan kraf negara kita di peringkat jagat.
Tamsilnya,
dengan penyertaan memberangsangkan Hari Kraf Kebangsaan 2014 yang telah
diadakan baru-baru ini dengan penglibatan seramai 500 orang pengusaha kraf
seantero dunia termasuklah 38 daripada mereka berasal dari luar negara seperti
United Kingdom, Hong Kong, Ireland, Poland, Hungary, Arab Saudi dan India sudah
pasti akan menjadi titik tolak kepada kejayaan usaha-usaha untuk mempopularkan
industri kraf ini kelak.
Manakala,
bagi mengatasi masalah kekurangan modal yang terpaksa dihadapi oleh sesetengah
para pengusaha kraf hari ini, maka pihak kerajaan juga boleh menawarkan
pinjaman kewangan sebagai modal permulaan kepada mereka yang ingin mengusahakan
industri kraf tangan di negara kita amnya.
Sebagai
alternatif, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Kemajuan Kraftangan
Malaysia serta Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) adalah antara agensi
kerajaan dan swasta yang boleh menawarkan pinjaman kewangan kepada pengusaha
kraf tangan melalui skim pinjaman pengusaha kecil-kecilan yang ditawarkan
agensi tersebut di samping kadar faedah yang begitu minimum sahaja dikenakan
kepada para pemohon sekalian.
Dalam
pada itu, sejajar dengan kemajuan arus teknologi maklumat masa kini, media
massa juga turut memainkan peranan yang cukup penting dalam usaha memajukan
industri ini pada masa hadapan. Masakan tidak, media massa menjadi pasak dan
watak utama untuk menyebarkan maklumat-maklumat berkaitan kraf negara kita di
samping mempromosikan industri kraf ini kepada seluruh warga Malaysia.
Malahan,
kelebihan yang ada pada media massa dewasa ini seperti media elektronik (radio,
televisyen dan sebagainya) sudah tentunya sesuai dengan pemikiran generasi muda
sekarang ini yang sukakan hiburan dan sebagainya sementalahan pula kebanyakan
rakyat Malaysia setidak-tidaknya mempunyai sebuah televisyen di rumah mereka
masing-masing.
Sejajar dengan itu, inilah kesempatan terbaik
yang dimiliki pihak media dewasa ini bagi menampilkan tanggungjawab yang
disulami tekad untuk menyebarkan informasi berkaitan dengan keistimewaan
produk-produk kraf keluaran negara kepada rakyat murba amnya. Hal ini secara
tidak langsung akan dapat menyuntik semangat seluruh masyarakat khususnya
golongan muda untuk lebih mencintai kraf keluaran negara kita pada masa hadapan.
Contoh
terbaik yang boleh diketengahkan dalam hal ini ialah seperti rancangan yang
dipaparkan di TV1 pada setiap hari isnin pukul 5.05 petang yang bertajuk
‘Rancangan IKS@TV1’. Rancangan ini memaparkan maklumat serta kegiatan yang
berkaitan dengan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) termasuklah juga seperti
pemaparan kisah-kisah di sebalik kejayaan usahawan kraf untuk tontonan umum dan
sebagainya.
Bahkan,
sejak dahulu lagi, wartawan rancangan Majalah 3 juga turut tidak ketinggalan
melaporkan kepelbagaian seni kraf tangan di Malaysia seperti seni anyaman, seni
ukir kayu, seni sulaman, hasil kraf tembikar dan perusahaan membuat barangan
logam. Di sinilah, minat rakyat Malaysia terhadap barangan dan produk kraf
negara saban hari boleh dipupuk sedikit demi sedikit sekali gus usaha ini akan
dapat memajukan industri kraf setanding lain-lain industri pada masa hadapan. Hendak seribu daya, tak hendak seribu upaya.
Jika
ditelusuri, bagi memajukan industri kraf tangan untuk keperluan generasi
mendatang, pihak sekolah juga merupakan antara salah satu organisasi yang
memainkan peranan terpenting dalam hal ini. Buktinya, pihak sekolah seharusnya
menggalas tanggungjawab, mengisi kekosongan minda para pelajar dengan maklumat
dan pengetahuan berkaitan kesenian kraf tangan negara kita agar ia tidak
ditelan zaman begitu sahaja kelak.
Sebagai
contoh, pihak sekolah juga boleh menganjurkan pameran, ceramah serta mengadakan
pertandingan hasil kraf tangan selain sayembara penulisan esei berkaitan kraf
dengan menawarkan sedikit hadiah untuk para pemenangnya dengan harapan ia boleh
menarik minat para pelajar untuk melibatkan diri dalam
pertandingan-pertandingan tersebut. Mungkin sahaja hadiah yang ditawarkan lebih
bersifat material, namun ia secara tidak langsung akan menyemai benih-benih
kecintaan para pelajar berkaitan dengan nilai produk kraf yang harus kita
banggakan sepanjang zaman ini.
Secara
keseluruhannya, pihak sekolah juga boleh menubuhkan kelab warisan kraf yang
lebih menerapkan kesenian kraf tangan sebagai modus operandi perlaksanaannya.
Malahan, penubuhan kelab-kelab sebegini penting kerana ia secara tidak langsung
boleh membibitkan rasa cinta akan seni kraf negara dalam diri pelajar agar
tidak terus lenyap ditelan zaman yang pantas berlalu kelak kerana sesungguhnya,
perjalanan
seribu batu bermula dari satu langkah (Lao Tze).
Di samping itu, melalui penglibatan para
pelajar dalam kelab ini besok lusa, mereka secara tidak langsung boleh
menonjolkan bakat dan kreativiti yang terpendam dalam diri mereka masing-masing
untuk menghasilkan kraf tangan yang mengikut imaginasi serta acuan mereka
amnya.
Walaupun
hasil kerja mereka mungkin tidaklah seberapa cantik seperti mereka yang sudah
arif dalam bidang ini, namun ia sebenarnya boleh dijadikan sebagai batu
loncatan kepada kelestarian industri ini kelak kerana pesan orang tua-tua, melentur biarlah waktu rebungnya.
Manakala,
dalam usaha memartabatkan imej produk kraf Malaysia ke persada antarabangsa,
kolaborasi erat pihak kerajaan bersama dengan syarikat-syarikat penerbangan seperti
MAS, Air Asia dan Fire Fly juga perlu dibaja kembali. Antara prakarsa yang
boleh diambil melalui kerjasama ini adalah dengan menjadikan produk kraf
sebagai cenderahati untuk diberikan kepada para penumpang yang menggunakan
perkhidmatan udara itu selain dijadikan sebagai tanda penghargaan.
Hal
ini secara tidak langsung akan menyemarakkan lagi identiti budaya bangsa
Malaysia kepada para pelancong seantero dunia. Bertitik tolak daripada itu,
maka tidak hairanlah pendekatan sebegini kelak akan menjulang kraf negara di
puncak jagat sekali gus meletakkan produk kraf tangan negara kita duduk sebaris
dengan produk kraf tangan antarabangsa yang lain bak peribahasa, duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.
Begitu
juga dengan keintensifan kerajaan untuk memajukan industri kraf negara hari ini
mungkin tidak akan berjaya tanpa penglibatan semua lapisan masyarakat.
Bahkan, peranan yang dimainkan masyarakat juga amatlah signifikan dalam hal ini
kerana ia mampu mengadunkan satu kombinasi sinergi yang cukup padu ke arah
pelestarian kraf tangan negara demi kemaslahatan sejagat kelak.
Di desa di bandar ataupun di kota
Guna pakai barangan kita
Galak membeli galak memakai
Ekonomi kita pun turut berkembang
Guna pakai barangan kita
Galak membeli galak memakai
Ekonomi kita pun turut berkembang
Lirik lagu kempen ‘Cintai
Kraf Malaysia’ ini dinyanyikan oleh penyanyi tersohor tanah air, Siti
Nurhaliza atau nama sebenarnya Dato’ Siti Nurhaliza Tarudin. Dalam setiap bait
lirik yang disampaikan jelas menunjukkan peranan masyarakat marcapada untuk
memberikan sambutan yang menggalakan terhadap industri kraf tangan Malaysia
dengan cara membeli barang-barangan kraf keluaran negara yang terdapat di
pasaran semasa hari ini seperti, bakul anyaman, wau, hasil ukiran tangan, hasil
sulaman dan sebagainya.
Hal
ini secara tidak langsung akan memajukan lagi industri kraf kita di samping
memapankan lagi pembangunan sosioekonomi negara pada masa hadapan sejajar
dengan peredaran zaman yang pantas berkembang sejak kebelakangan ini. Manakala,
dengan majunya industri kraf nanti, rakyat sudah tentu boleh mengambil peluang
keemasan ini untuk menjana ekonomi dan peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan taraf hidup
masing-masing kelak.
Pengayuh sayang dibasahkan, sampan takkan sampai ke
seberang. Aforisme ini jelas menunjukkan bahawa tidak
akan tercapai sesuatu yang dihajati, kalau kita semua tidak mahu untuk berusaha
dan bersusah payah.
Justeru,
dalam konteks industri kraf tangan hari ini, seseorang pengusaha kraf
seharusnya melangkah dengan seribu kekuatan untuk mencari alpukah sendiri bagi
memberikan nafas baru kepada usaha-usaha untuk memartabatkan perusahaan mereka
ke tahap yang lebih cemerlang dan berdaya maju amnya.
Untuk
itu, konsep inovasi dalam penghasilan produk-produk kraf juga boleh
diaplikasikan secara menyeluruh oleh pengusaha-pengusaha kraf marcapada dengan
cara mendimensikan industri kraf tangan hari ini mengikut kepada acuan dan
dinamik mereka masing-masing.
Sejajar
dengan itu juga, seseorang usahawan kraf yang tinggi nilai komitmennya akan
sentiasa berusaha sedaya upaya mereka untuk mempertingkatkan lagi inovasi dalam
reka bentuk produk-produk kraf keluaran mereka bersesuaian dengan perkembangan
semasa pasaran kraf tempatan mahupun antarabangsa amnya.
Bahkan,
beberapa strategik inovasi produk yang boleh diambil kira para pengusaha hari
ialah seperti menambah baik lagi produk baru berasaskan kepada produk lama,
meningkatkan fungsi produk yang sedia ada, mereka bentuk produk kepada gaya
hidup terkini, dan juga meningkatkan kualiti produk bersesuaian dengan
keperluan dan kehendak pengguna masa kini (Sandhuren, 2000).
Justeru,
terdapat banyak langkah efisien yang boleh diaplikasikan untuk memartabatkan
lagi industri kraf tangan di negara kita belakang hari. Manakala, peranan yang
dimainkan seluruh masyarakat juga amatlah penting dalam hal ini agar industri
kraf akan terus dapat menyakinkan masyarakat sejagat dengan kemampuannya yang
boleh menjulang pendapatan masyarakat dan membangunkan sosioekonomi negara
menuju tahun 2020 kelak.
Adalah
keterlaluan jika kita menganggap industri kraf kontemporari seperti hidup segan, mati tak mahu dan segala
usaha yang dilakukan oleh semua pihak terutamanya pihak kerajaan hanyalah
omongan kosong sahaja.
Hal
ini kerana, tanpa adanya usaha bersepadu pihak kerajaan sejak lebih tiga dekad
yang lalu dengan segala macam evolusi direncanakan dari semasa ke semasa, maka
agak mustahil industri kraf akan mampu untuk berdiri megah setanding dengan
lain-lain industri besok lusa. Usaha-usaha konsisten pihak kerajaan ini persis
dengan peribahasa Melayu, patah sayap,
bertongkat paruh.
Dengan kata lain, di samping kraf berperanan menjana
ekonomi rakyat sejagat, jelaslah bahawa industri ini juga merupakan antara
inisiatif terbaik dalam usaha menyelamatkan ekonomi negara sekali gus akan
tercapailah aspirasi kerajaan yang ingin menjadikan negara ini maju dari segi
ekonominya menjelang tahun 2020 kelak.
Biarlah
peribahasa biar mati anak, jangan mati
adat menjadi pegangan hidup masyarakat sejagat dalam usaha kita semua untuk
menjayakan usaha-usaha murni ke arah melestarikan industri kraf tangan yang kita
warisi sejak turun temurun ini sekali gus menongkah segala cabaran dan isu yang
terpaksa didepani industri kraf sejak akhir-akhir ini demi keperluan generasi
anak cucu kita yang akan datang.
“Untuk mencapai
wawasan ini, perancangan dan pendekatan mapan perlu dilakukan bagi memastikan
industri kraf akan terus kekal menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara di
samping menjana sumber pendapatan pengusaha.” (Dato’ Mohd Kamil Mohd Ali ,
Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia)
Kesimpulan
Ternyata
keunggulan kraf tangan Malaysia sebenarnya mampu menjana ekonomi rakyat marhaen
di samping melonjakkan industri ini menghampiri garis sempadan memenuhi hasrat
Misi Nasional besok lusa.
Manakala,
dengan komitmen bersepadu serta strategi yang ampuh pihak kerajaan menyusun
atur pelbagai agenda ke arah pemartabatan industri ini di puncak jagat,
diharapkan ia secara tidak langsung akan membuka mata masyarakat untuk terus
tidak memandang enteng akan usaha-usaha pihak kerajaan bagi mencapai cita-cita
murni untuk membina impian masa depan industri kraf yang lebih gemilang pada
masa hadapan.
Hal
ini kerana, tanpa adanya usaha sebegini, mungkin industri ini akan terus
terkubur sendirinya suatu hari nanti dan kita sudah pastinya akan kehilangan
satu aset negara yang amat bernilai untuk keperluan generasi mendatang kerana lebih berharga mutiara sebutir daripada
pasir sepantai.
Bahkan,
memang tidak dapat disangkal lagi bahawa, industri kraf semasa telah banyak
mendatangkan manfaat kepada kita semua yakni sebagai sumber penjana ekonomi
kepada setiap individu yang mengusahakannya sama ada secara kecil-kecilan
ataupun sebaliknya selain sebagai tonggak kepada keutuhan ekonomi negara
menjelang tahun 2020 kelak.
Tambahan
pula, dalam usaha untuk merealisasikan misi kudsi hasrat dan harapan kerajaan
Malaysia yang menginginkan pencapaian ekonomi negara yang lebih berkonsepkan
pengetahuan dan inovasi pula, maka sudah tentunya negara amat memerlukan
sebilangan besar usahawan kraf bertaraf global yang berkualiti tinggi dalam
segenap aspek kehidupan seperti aspek pengetahuan dan kemahiran yang tinggi,
sahsiah yang utuh dan sebagainya.
Manakala,
atas aspek inilah, aplikasi teknologi dan pembangunan industri yang berasaskan
pengetahuan pula dianggap sebagai wadah terpenting dalam usaha untuk mencapai
sasaran jualan produk-produk kraf sebanyak RM1 billion menjelang tahun 2016
kelak.
Selain
itu, sejajar dengan kejayaan demi kejayaan yang berjaya dicipta industri kraf
ini sama ada di peringkat pasaran semasa ataupun pasaran antarabangsa, ia sudah
cukup untuk menjadi bukti kukuh bahawa industri kraf di negara kita sememangnya
memainkan peranan yang cukup penting dalam menjana pendapatan kaum marhaen
selain menyumbang pendapatan ekonomi yang utuh kepada negara saban tahun.
Bahkan,
dengan berdiri majunya industri kraf dalam menempuhi arus pasaran yang lebih
bersifatkan kompetitif mutakhir ini, ia secara tidak langsung telah memperdekat
misi dominan pihak kerajaan untuk mencapai pelaksanaan secara menyeluruh dalam
Agenda Nasional negara kita belakang
hari.
Dari
sudut lain pula, penggemblengan peranan masyarakat juga cukup penting dalam
usaha untuk memartabatkan industri kraf dewasa ini. Buktinya, rakyat seharusnya
melakukan anjakan paradigma dalam diri mereka masing-masing untuk menerima
seadanya akan kehadiran industri ini dalam pasaran tempatan mahupun pasaran
antarabangsa dan tidak pula mengagung-agungkan produk kraf yang banyak terdapat
di pasaran semasa hari ini.
Justeru,
sudah terang lagi bersuluh, seni kraf bukan sahaja warisan yang harus dipelihara
kerana ketinggian nilai estetikanya, tetapi juga kerana peranannya dalam
memberi sumbangan yang amat besar kepada pembangunan sosioekonomi usahawan
sejak kebelakangan ini.
Manakala, susur galur industri kraf
yang pada awalnya hanyalah bermula sebagai industri desa sahaja, kini industri
kraf telah berjaya menjengah pasaran global lantaran hal ini seterusnya akan
menyumbang kepada peningkatkan nilai tambah yang lebih baik dalam ekonomi
negara kita kelak. Sesungguhnya,
penghasilan produk kraf secara komersial dapat menjana pendapatan masyarakat
dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara, Ketua Pengarah Kraftangan
Malaysia.
Tweet
Subscribe to:
Posts (Atom)