Ditulis Oleh: Mohammad
Suffian Bin Fauzi
Kraf
tangan ditakrifkan sebagai barangan yang dihasilkan dengan menggunakan
kemahiran tangan sama ada dikeluarkan tanpa menggunakan alat atau peralatan
mudah yang diusahakan secara sendirian atau secara tidak langsung oleh
pengusaha-pengusaha kraf. (Akta 222, Akta Perbadanan Kemajuan Kraftangan
Malaysia 1979)
Manakala, keluaran kraf pula didefinisikan
sebagai apa-apa keluaran artistik yang mempunyai daya tarikan kebudayaan atau
tradisional yang terdapat padanya sementalahan penghasilannya bermula daripada
sesuatu proses yang bergantung sebahagian atau semata-mata kepada kemahiran
tangan dan termasuklah apa-apa jua barangan yang mempunyai reka bentuk batik
pada mana-mana bahagiannya.
Rangkuman
takrifan sebagaimana di atas secara keseluruhannya menjelaskan kepada kita
bahawa, seni kraf tangan merupakan industri yang menjadi pilihan utama
masyarakat alaf baharu dek kerana tarikan kepada keindahan, kehalusan dan
keaslian yang terdapat di sebalik produk
kraf itu sendiri.
Bahkan,
sejak akhir-akhir ini, kraf tangan sememangnya diakui menjadi tarikan utama para
pelancong sama ada dalam dan luar negara amnya. Tambahan pula, tarikan kepada
unsur-unsur tradisional yang memperlihatkan keunikan pembentukannya itu sudah
mampu memukau mata sesiapa sahaja yang memandangnya bak pepatah Melayu, dari
mata turun ke hati. Dengan kata lain, pembentukan yang dimaksudkan di sini
ialah pembentukan sama ada menggunakan kemahiran tangan atau dengan bantuan
mesin dan juga alat-alat sedia ada yang lain.
Sementara
itu, menurut Ismail Ibrahim (2007), seni kraf mempunyai aturan yang tersendiri
dalam penghasilannya. Ghalibnya, pengamal kraf dipanggil sebagai tukang kerana gelaran
tersebut dianggap bersesuaian dengan kemahiran unik yang dimiliki oleh mereka sejak
turun-temurun. Manakala, bagi seseorang tukang pula, penghayatan kepada seni
kraf itu lazimnya akan mengambil kira aspek pengetahuan dan pengalaman serta
kemahiran yang dimiliki dalam mengaplikasikan teknik penghasilannya. Hal ini
penting dalam usaha untuk menghasilkan produk kraf yang dapat memenuhi aspirasi
semua pihak kelak.
Malahan, hasil kraf dewasa ini seharusnya menggabungjalinkan
elemen-elemen keaslian, kehalusan dan keindahan daripada segi penghasilannya,
barulah nanti akan wujudnya satu nilai estetika tersendiri yang tinggi darjatnya
di hati para pelanggan sekalian lantaran ia sekali gus dapat menyemai benih-benih
kecintaan masyarakat terhadap barangan kraf negara kelak. Hal ini demi
memastikan agar aforisme masyarakat yang menganggap bahawa kraf tangan ini seperti
‘hidup segan mati tak mahu’ akan
terkubur sendiri suatu hari nanti.
Sejarah
Perkembangan dan Dimensi Baharu Budaya Kraf
Pada keseluruhannya, bidang kraf tradisional yang
berbagai-bagai jenis ini seperti dalam bidang tenunan, ukiran kayu, pertukangan
emas, perak dan sebagainya sememangnya diakui telah lama giat berkembang secara
aktif di negeri-negeri seperti Perak, Kedah, Terengganu dan Kelantan sekitar
abad ke-19 lagi. Ketika itu, mereka yang berkemahiran dalam menghasilkan kraf
ini lazimnya tinggal dan bekerja di kediaman orang-orang besar mahupun di dalam
pekarangan istana.
Pada masa itu, kualiti dan nilai estetika kraf yang dihasilkan
bukanlah untuk dipamerkan kepada umum dan ia hanya terbatas untuk
kegunaan-kegunaan tertentu sahaja. Sehinggalah Tanah Melayu mengalami perubahan
politik sekitar pertengahan abad ke-20, hasil kraf yang diimport semakin mudah
diperolehi lantaran berlakunya peningkatan dalam persaingan pasaran kraf sehingga
memaksa tukang kraf memilih untuk bekerja secara sendirian.
Bertitik
tolak daripada peristiwa itulah, maka timbulnya kesedaran sivik yang tinggi
dalam usaha untuk memelihara industri kraf ini sekali gus membawa kepada pengenalan
dimensi baharu dalam penghasilan seni kraf yang semakin hari semakin giat diimplementasikan
sejagat merentasi zaman ke zaman ini. Bahkan, susur galur kraf tangan tidak
hanya terhenti di situ sahaja kerana aktiviti kraf tangan mula mendapat
perhatian sewajarnya pihak kerajaan setelah negara mencapai kemerdekaan pada 31
Ogos 1957.
Hal
ini terbukti dengan pembangunan aktiviti kraf tangan mula dirancang secara lebih
terperinci dalam usaha untuk menjadikannya sebagai salah satu sektor ekonomi yang
boleh menyumbang kepada peningkatan tahap ekonomi masyarakat terutamanya masyarakat
luar bandar. Buktinya, dengan penubuhan Pusat Kemajuan Pertukangan Tangan
(PKPT) pada tanggal 1 Januari 1967 itu, maka bemulalah satu lembaran baru dalam
pembangunan mampan industri kraf tangan negara yang kekal hingga hari ini.
Sesungguhnya, benarlah peribahasa Cina menyebut, perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah, Lao Tze.
Lain
daripada itu, memang tidak dapat disangkal lagi bahawa, kraf sememangnya
dihasilkan daripada alam semula jadi yang terbentang luas ibarat seyojana mata
memandang ini. Berada di garisan Khatulistiwa, menjadikan negara Malaysia antara
12 kawasan mega-diversiti di dunia yang kaya dengan sumber semulajadi dan
hasil-hasil rimba seperti daun serdang,
tempurung kelapa, mengkuang, ribu-ribu, rotan, buluh dan sebagainya.
Kesemua
hasil rimba yang boleh digarap daripada sumber-sumber alam semulajadi ini jika diusahakan
secara gigih oleh usahawan kraf sudah pasti akan dapat menghasilkan produk kraf,
perabot dan pelbagai jenis produk bermutu tinggi yang lain di samping menjana
ekonomi masyarakat yang tekun mengusahakannya. Bahkan, menjana ekonomi melalui
industri kraf juga bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad SAW, “Semulia-mulia hasil pencarian seseorang
ialah yang diusahakan oleh tangannya sendiri.” (Riwayat Imam Ahmad)
Kraf
Tangan Menjana Ekonomi Rakyat
Usaha
itu tangga kejayaan. Begitulah ungkapan yang mencerminkan kegigihan sebenar
Puan Syuhaida Samsudin, seorang wanita setengah umur yang berasal dari Padang
Besar, Perlis ini. Kesedaran beliau bahawa bidang ini boleh menjana ekonomi
masyarakat hari ini telah mendorongnya mengambil inisiatif, menjadikan daun
getah sebagai sumber pendapatan utamanya menerusi rekaan menarik seni kraf
tangan yang dihasilkan. Bahkan, kesungguhannya itu kini membuahkan hasil
apabila kebanyakan produk kraf beliau sudah mula mendapat tempat di pasaran
semasa amnya.
Diceritakan,
beliau dahulu hanyalah seorang penoreh getah yang bekerja sepenuh masa di atas
tanah milik keluarganya. Namun begitu, disebabkan minat mendalamnya dalam menghasilkan
gubahan daripada bahan-bahan terbuang, sehinggalah sekitar pertengahan tahun
1994, beliau mula berjinak-jinak menjadikan kraf tangan menggunakan daun getah
sebagai sumber pendapatan bulanannya menggantikan profesion beliau sebagai
penoreh getah sejak sekian lama.
Kini,
beliau sudah mampu mengukir senyuman lebar di bibirnya dek kejayaan yang dikecapinya
hari ini. Masakan tidak, hasil kreativiti beliau menghasilkan kraf tangan
daripada daun getah ini telah mendapat sambutan hangat peminat-peminat kraf
yang ingin memilikinya. Menariknya di sini, gubahan kraf tersebut digubah dan
diwarnai menyerupai bunga ros, tulip dan seroja. Manakala, ia pula dibentuk
mengikut kehendak para pelanggan sama ada menjadi kuntuman bunga semata-mata
atau digubah untuk dijadikan jambangan bunga yang berwarna-warni dan pelbagai
corak.
Tambahan
lagi, produk kraf ini dijual dengan harga RM1.50 hingga RM10 dalam bentuk
sekuntum atau seranting bunga. Sekiranya kraf tangan ini digubah menjadi
jambangan bunga yang berwarna-warni, maka harganya boleh menokok sehingga
RM2000 amnya. Sehingga kini, produknya
bukan sahaja menjadi kegilaan penduduk tempatan, bahkan telah mendapat
permintaan yang hangat di peringkat antarabangsa seperti di Maghribi, Eropah,
Asia (seperti di Kunming, China) dan juga beberapa negara yang lain.
Tidak
cukup dengan itu, beliau kini sedang menerokai bidang baru dalam industri kraf
ini dengan mengendalikan sebuah bengkel kraf tangan daun getah menerusi bantuan
Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), yang telah
banyak memberikan sokongan yang tidak putus-putus kepada beliau untuk terus
membina impian masa depan yang lebih gemilang melalui industri ini.
Dari
semasa ke semasa, kejayaan beliau mengusahakan bengkel kraf di bawah jenama Minda Hevea Enterprise itu kini semakin
mendapat tempat dalam kalangan penggemar-penggemar kraf tangan khususnya kraf
berasaskan daun getah ini. Bahkan, dengan kejayaan beliau dalam industri kraf
ini, beliau berharap akan lahir lebih ramai lagi bakal-bakal usahawan kraf yang
akan meneroka bidang ini pada suatu masa kelak sekali gus membuktikan bahawa industri
ini mampu menjana ekonomi masyarakat sejagat.
Di samping itu, salah
seorang penduduk berketurunan Bidayuh yang tinggal berhampiran dengan Pekan
Kecil Tiang Bukap Sarawak, Puan Roselind Ulau Ngau pula giat memenuhi kegiatan
waktu senggang beliau dengan pembuatan kraf berasaskan manik atau lebih
dikenali masyarakat dengan panggilan ‘Belanyat’ sejak lebih sepuluh tahun dahulu.
Umum mengetahui, kraf
tangan yang berasaskan manik ini seringkali dipakai wanita Bidayuh dalam
upacara-upacara tertentu dan lazimnya ia dijadikan sebagai salah satu daripada
aksesori pakaian tradisional mereka sejak zaman-berzaman lagi. Malahan, menurut
wanita separuh umur ini, beliau mula berkecimpung dalam penghasilan
Belanyat sejak usia belasan tahun lagi. Pada ketika itu, beliau masih menuntut
di salah sebuah sekolah menengah di Miri, Sarawak.
Secara puratanya,
'Belanyat' bersaiz kecil mengambil masa seminggu untuk disiapkan, manakala yang
besar pula memakan masa selama setengah bulan untuk disiapkan sepenuhnya. Apabila
sudah siap, Belanyat kecil lazimnya dijual dengan harga RM190, manakala yang
besar pula dianggarkan bernilai lebih RM900 setiap satu. Sehingga kini,
produknya banyak mendapat tempahan daripada pemilik-pemilik kedai kraf di
sekitar Kuching, Sarawak dengan purata bilangan produk yang boleh dijualnya
dalam tempoh sebulan mencecah lima Belanyat kecil dan dua Belanyat besar.
Untuk menghasilkan Belanyat
pula, Roselind akan membeli manik-manik yang berharga RM40 hingga RM60 sebakul
mengikut saiz tempahan yang diterimanya. Akhirnya, hasil titik peluh Roselind,
beliau kini mampu meraih keuntungan sebanyak RM3,000 sebulan dan ia sudah cukup
untuk menampung perbelanjaan bulanan keluarganya.
Sementara
itu, Puan Zaharah Abdul Majid, 58 tahun, berasal dari Kampung Bukit Bendar,
Bukit Kepong pula giat dengan usahanya dalam bidang anyaman mengkuang sejak
sepuluh tahun yang dahulu. Malahan, hasil daripada titik peluhnya itu, kini kraf
tangan yang terdiri daripada pelbagai jenis produk warisan seperti tikar, bakul rambung, tudung
saji dan sebagainya telah banyak dipasarkan beliau sehinggakan perusahaannya
itu kini mampu menjana pendapatan sampingan buat diri dan keluarganya.
Selain
itu, Puan Zaharah yang juga ibu kepada tujuh orang cahaya mata ini mengakui,
proses membuat barangan daripada mengkuang ini tidaklah serumit mana yang
difikirkan. Namun, ia hanya memerlukan sedikit kesabaran dan ketelitian dalam
proses pembuatannya terutamanya ketika proses mengambil daun mengkuang kerana
sifat daunnya itu berduri dan boleh melukakan.
Menurutnya,
bagi menyiapkan anyaman tikar mengkuang selebar dua kali setengah meter
contohnya, beliau memerlukan masa sekitar lima atau enam hari bergantung kepada
kelarai (corak) anyaman yang digunakannya. Lazimnya, harga tikar buatan Puan Zaharah
adalah sekitar RM50 hingga RM150 bergantung kepada saiz serta kelarai anyaman yang
digunakan. Sementara, bagi tudung saji pula, ia dijual sekitar RM20 hingga RM50
bergantung kepada saiznya.
Untuk
mengkomersialkan lagi produk krafnya ke tahap lebih tinggi, beliau juga turut
mengikuti kursus dan latihan yang relevan daripada Perbadanan Kemajuan
Kraftangan Malaysia. Hasilnya, kini beliau “tidak menang tangan” dek tempahan yang
banyak diterima daripada penduduk-penduduk di sekitar Bukit Kepong dan dari
negeri-negeri di luar negeri Johor seperti Kuala Lumpur, Terengganu, Kedah dan
Selangor.
Bahkan,
sejak mengikuti kursus anjuran perbadanan itu, wanita yang cukup gigih ini memberitahu,
pendapatan yang diperolehinya sudah cukup untuk menampung perbelanjaan
keluarganya dengan hasil pendapatan sehingga kini mencecah RM600 hingga RM1000
sebulan.
Di
samping itu, saudara Limis Jingut, salah seorang pekerja Atendan di
Perpustakaan Desa Teng Bukap, Padawan Sarawak, juga menjadikan hasil keluaran
kraf sebagai satu sumber penjana ekonomi sampingan buat dirinya sekeluarga.
Beliau yang mempunyai kreativiti yang cukup tinggi itu menjadikan kelebihan
yang dimiliki dirinya untuk menghasilkan kraf tangan berasaskan surat khabar
lama yang cukup unik dan diminati pengemar kraf tangan era ini.
Apa
yang menariknya di sini, dengan menggunakan beberapa helaian daripada bahan
bacaan itu, anak jati Kampung Sira Tiang Bukap ini hanya memerlukan masa di
antara dua hingga tiga jam sahaja untuk menghasilkan bakul-bakul kraf yang
cukup menarik lagi unik ini. Bahkan, ketika ditanya berkenaan minatnya dalam
bidang kraf tangan tersebut, beliau mengakui bahawa ketelitian dan kesabaran
amatlah penting dalam menghasilkan bakul-bakul kertas ini kerana sedikit
kesilapan mungkin menyebabkan anyaman
yang dihasilkan itu menjadi tidak menarik untuk dijual kepada peminat-peminat kraf
kelak.
Selain helaian
akhbar-akhbar lama katanya, lidi penyapu, gunting, gam dan barangan terpakai
seperti tin ataupun bekas-bekas kecil (untuk dijadikan acuan) juga merupakan
antara bahan-bahan yang diperlukan sebelum proses menganyam itu dimulakan.
Setelah semuanya siap disediakan, proses penghasilan kraf itu dimulakan dengan
setiap helaian surat khabar lama akan dipotong empat mengikut jumlah yang
diperlukan. Seterusnya, beberapa batang lidi penyapu pula akan diletakkan di
atas keratan surat khabar tersebut, kemudian digulung kemas dan digam rapi oleh
Limis.
Setelah itu, buat semula
semua langkah yang sama di atas sehingga jumlah gulungan kertas tersebut
mencukupi untuk menghasilkan saiz bakul yang dikehendaki para pelanggan.
Setelah semuanya siap, lidi yang terdapat di dalam gulungan tersebut perlulah
ditanggalkan agar ia akan memudahkan lagi kertas tersebut dibentuk nanti.
Sementara itu, untuk membuat permukaan bakul pula, gulungan kertas perlu
dianyam secara bersilang dan ia akan diletakkan bersama di bawah acuan yang
digunakan itu. Gulungan-gulungan yang terlebih daripada acuan kemudiannya di
bengkok ke atas untuk dijadikan tiang dinding bakul.
Dalam pada itu, gulungan
kertas yang masih berbaki kemudiannya disusun rapat secara berselang-seli sehinggalah
saiz yang dikehendaki mencukupi, kemudian dimatikan dengan cara menyelit hujung
gulungan pada celah-celah anyaman tersebut. Manakala, untuk membuat gagang
bakul pula, kertas surat khabar perlu digulung kemas bersama dawai mengikut
saiz yang bersesuaian.
Untuk membolehkan
strukturnya menjadi kukuh pula, bakul yang telah siap dianyam itu perlulah
diwarnakan dengan menggunakan cat minyak yang kebiasaannya bewarna coklat. Hal
ini juga bertujuan untuk menyerlahkan lagi keindahan dan kehalusan seni produk
kraf tangan ini di mata para peminat kraf kelak. Selain dijadikan hiasan, bakul
yang berasaskan bahan terpakai ini kata beliau lazimnya digunakan oleh
anak-anak kecil di majlis-majlis perkahwinan (flower girls).
Jelaslah, kajian kes
seperti di atas merupakan antara empat daripada ribuan kes yang menjadi bukti kukuh kepada kita semua
bahawa, kraf sebenarnya mampu menjana ekonomi kepada sesiapa sahaja yang
mengusahakannya sama ada diusahakan secara kecil-kecilan ataupun sebaliknya. Apa
yang pasti, kraf bukan sahaja bertindak menjana ekonomi rakyat, bahkan juga berupaya
menjadi penjana ekonomi negara kita sekali gus membuka peluang pekerjaan yang
begitu luas kepada masyarakat sejagat. Sesungguhnya, “ Industri kraf tangan tempatan bukan sahaja mampu meraih pendapatan
lumayan, sebaliknya sebagai karier yang meyakinkan.” (Dato’ Seri Utama Dr.
Rais Yatim)
Kraf Sebagai
Peluang Menjana Ekonomi Masyarakat
Lanjutan itu, golongan
marhaen seharusnya pandai mengintai peluang yang terbaik bagi diri mereka dalam
usaha untuk menjana ekonomi dan pendapatan hari ini. Malahan, kedudukan
Malaysia yang berada di Garisan Khatulistiwa secara ghalibnya mendatangkan 1001
manfaat kepada kita sekalian untuk mengekploitasi sumber alam, memanifestasikan
ilham dan kemahiran yang ada demi menghasilkan sesuatu produk kraf yang bermutu
tinggi kelak.
Hal ini terbukti dengan penghasilan
produk kraf cenderamata yang dihasilkan rakyat negeri Sabah daripada keladi
bontoi serta produk kraf daripada sekam padi yang juga digunakan sebagai bahan
paling asas untuk dijadikan kotak cenderamata dengan pelbagai rekaan bentuk yang
dapat dihasilkan oleh pengusaha-pengusaha kraf hari ini. Justeru, apa yang
dapat dilihat, kraf tangan sememangnya merupakan platform terbaik kepada
masyarakat sejagat yang serius untuk menambahkan pendapatan sampingan bulanan
mereka demi kesenangan generasi mendatang.
Lain daripada itu, sumber
alternatif bahan mentah sama ada daripada bahan gentian atau bahan terbuang
yang lain pula jika diolah secara kreatif juga akan menghasilkan produk kraf
bernilai tinggi dan diminati para peminat kraf sekalian. Sungguhpun begitu,
rezeki dari rimba yang melimpah ruah yang berada di sekeliling kita hari ini,
kalau tidak digarap peluang tersebut dengan sebaik-baiknya, nescaya tidak ada
maknanya jua.
Dalam hubungan ini, Prof. Dr.
Hamka berpesan “ Peluang yang besar itu datang secara tiba-tiba, datang tidak
menentu masa, datang disaat kita kesempitan
atau kesusahan. Nilailah peluang itu dengan secara bijaksana. Rebutlah peluang yang besar itu, kerana peluang yang besar itu
boleh berlalu dengan tiba-tiba.
Jangan jadikan seribu alasan
untuk tidak merebut peluang yang besar itu.”
Selain itu, untuk menjadi
sumber pendapatan sampingan yang boleh menyara kehidupan, bidang kraf
seharusnya diberikan perhatian sepenuhnya masyarakat sejagat yakni dengan
kesungguhan dan kesabaran yang luar biasa, barulah kraf buatan tangan yang
bermutu tinggi dapat dihasilkan dan dipasarkan kepada orang ramai dengan harga
yang berpatutan kelak.
Secara relatifnya, bagi
kaum wanita pula, kemahiran menghasilkan kraf tangan berkualiti tinggi adalah
merupakan satu bonus yang tidak ternilai buat golongan ini. Ibarat sambil
menyelam minum air, mereka bukan sahaja menjadi seorang ibu yang sibuk dengan
urusan keluarga sehari-harian, bahkan juga menjadi antara faktor penyumbang
kepada sumber pendapatan keluarga kelak. Lanjutan daripada itu, hal ini
seterusnya dapat menyahut seruan dan usaha pihak kerajaan untuk mencapai
sekurang-kurangnya 55 peratus penyertaan wanita dalam guna tenaga menjelang
tahun 2015.
Hal ini diperakui sendiri
oleh YB Dato’ Sri Rohani Abdul Karim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat. Beliau menjelaskan bahawa, terdapat banyak peluang pekerjaan yang
boleh diterokai kaum wanita dalam bidang ekonomi negara hari ini termasuklah
dalam sektor tak formal seperti pembabitan wanita dalam kraf manik, industri-industri
kraf yang berkaitan dan sebagainya. Malah, menurut Laporan Penyiasatan Guna
Tenaga Sektor Tak Formal Malaysia tahun 2012, bilangan tenaga kerja di sektor
formal mencatatkan 1.0 juta (8.2 peratus) daripada keseluruhan pekerja dalam
ekonomi pada tahun 2012.
Tambahan lagi, majoriti
pekerja sektor tak formal di Malaysia didapati di kawasan bandar berjumlah seramai
656,800 orang merangkumi 274,800 orang atau kira-kira 41.8 peratus daripada
jumlah tersebut adalah daripada kaum wanita. Selain itu, dalam konteks
pekerjaan tahun 2012 pula, dua kategori pekerjaan yang mencatatkan lebih 35
peratus pekerja dalam sektor tak formal adalah daripada sektor kraf.
Manakala, dalam sektor pertukangan berkaitan,
serta perkhidmatan dan jualan pula, masing-masing mencatatkan 36.3 peratus dan
35.6 peratus amnya. Daripada peratusan yang direkodkan ini, jumlah pekerja kraf
wanita dan pekerja pertukangan berkaitan adalah seramai 115,300 orang atau
merangkumi 30.45 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja dalam industri
kraf dan industri berkaitan dalam sektor tak formal.
Justeru itu, fakta nombor
seperti di atas secara jelasnya memaparkan kepada kita bahawa, industri kraf
ini bukan sahaja berupaya menjana ekonomi, bahkan banyak menyediakan peluang pekerjaan
untuk diceburi masyarakat sejagat. Yang pastinya, tanpa usaha yang jitu, komitmen
yang padu serta sifat tidak mudah mengaku kalah dalam melayari susah senang serta
pahit getir industri ini, maka kita pasti tidak akan mencapai kejayaan yang
cemerlang dalam industri kraf ini besok lusa. Hendak seribu daya; tak hendak seribu upaya.
Cabaran dan Rintangan Dihadapi Industri Kraf
Jika ditelusuri, perencanaan teliti pihak
kerajaan terhadap rangka kerja lima tahun pertama dalam Rancangan Malaysia
ke-10 (RMK-10) pula diibaratkan tidak ubah seperti strategi serampang dua mata.
Hal ini demikian kerana, strategi tersebut membolehkan pelbagai pihak dapat mengarap
faedah yang boleh didapati darinya sementalahan pula, langkah signifikan ini telah
memperlihatkan berlakunya satu ledakan dalam transformasi kepada gabungan di
antara ekonomi dan pembangunan negara amnya.
Sungguhpun begitu, usaha untuk
menjadikan industri kraf ini sebahagian daripada sumber ekonomi di Malaysia
ternyata bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan lebih-lebih lagi dalam
situasi ekonomi tidak menentu hari ini. Hal ini kerana, walaupun industri ini
dikatakan sudah mampu berdiri megah dan sudah matang dek asimilasi budaya dan
zaman, namun begitu ia tetap perlu melalui proses-proses pengkomersialan demi pemacuan
industri kraf yang lebih produktif dan kompetitif pada masa hadapan.
Ambo niaga buat kerusi
rotang,
Ada warna coklat warna
hitang,
Nok hantar dekat jabat
kerah tangang (kraftangan)
Jalan Conlay bukit bintang,
Boleh tambah pendapatang.
Lirik santai lagu bertajuk ‘Kerabu
Pucuk Paku’ yang berloghat Terengganu ini dinyanyikan oleh penggiat seni
Sulaiman Yasin atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Over. Ternyata, apa
yang ingin disampaikan beliau dalam setiap bait lirik itu secara jelasnya
menunjukkan peranan yang dimainkan Kraftangan Malaysia sebagai peneraju utama yang
menggalas tanggungjawab yang besar dalam pembangunan industri ini sejak sekian
lama.
Masa
berlalu, zaman berubah. Kini, Kraftangan Malaysia semakin gah berada di persada
puncak kegemilangan. Bahkan, sumbangan idea-idea bernas serta kepakaran-kepakaran
moden yang dilakukan Kraftangan Malaysia sejak tiga dekad yang lalu juga tidak pernah
putus-putus disumbangkan kepada rakyat jelata sekalian. Pengorbanan yang
dilakukan Kraftangan Malaysia ini jelas membuktikan kesensitifan, kepekaan dan
keprihatinan mereka membangunkan industri kraf negara kita agar tidak pupus
ditelan zaman yang serba ‘plastik’ dan canggih ini.
Walau
bagaimanapun, apabila bercakapkan tentang usaha-usaha untuk melonjakkan industri
kraf di persada global yang sememangnya diakui lebih bersifatkan kompetitif ini,
maka sudah pasti timbulnya pula cabaran dan isu besar yang menjadi kekangan untuk
kita berbuat sedemikian.
Cabaran besar yang paling dominan
dikaitkan dengan industri kraf hari ini adalah cabaran menangani permasalahan
dalam skop pengeluaran produk-produk kraf. Kebiasaannya, saiz bagi pasaran kraf
ditentukan oleh jumlah penawaran produk sama ada diusahakan secara manual
mahupun menggunakan tenaga berskala kecil. Lumrahnya, apabila berlakunya
lambakan permintaan ibarat cendawan
tumbuh selepas hujan sehinggakan ada kalanya melebihi saiz pengeluaran produk
di pasaran domestik mahupun antarabangsa, maka timbulnya pula masalah baru iaitu
masalah lebihan dalam permintaan.
Umum mengetahui, masalah
ini lazimnya akan ditampung pula dengan lambakan produk plastik yang banyak
berada di pasaran sejak kebelakangan ini dan sekali gus, ia akan menyekat persaingan
secara sihat di antara kedua-dua produk kraf ini dalam pasaran amnya.
Seterusnya, cabaran kedua yang
harus ditanggani khususnya dalam industri kraf saat ini adalah berkaitan dengan
skop pemasaran bagi produk-produk kraf yang meliputi empat konsep utama atau konsep
4P yang merangkumi tempat (place),
harga (price), kuasa (power) dan promosi (promotion). Konsep pemasaran seperti mana yang ditakrifkan oleh
Philip Kotler (1997), seorang ahli ekonomi dan pakar dalam bidang pemasaran sedunia
menyebut bahawa, pemasaran adalah satu proses sosial yang mengarahkan
pengeluaran keluaran dan perkhidmatan dalam sesebuah ekonomi daripada pihak
pengeluar kepada pengguna dan juga dapat memenuhi permintaan pengguna.
Dalam hubungan industri
kraf tangan negara hari ini, kuasa pembeli dianggapkan bersifat ‘alah membeli menang memakai’ dan jenama
mewah antarabangsa dilihat semakin bertapak di hati para pengguna sejagat.
Faktor pengeluaran produk kraf tangan negara yang semakin terhad di samping
produk kraf yang masih lagi berada di takuk lama dari segi rekaan dan
kegunaannya telah mengakibatkan urusniaga produk semakin hari semakin terjejas
kepopularannya di hati para pengguna kraf sekalian sekali gus menyebabkan
promosi produk kraf semakin tidak memenuhi permintaan pasaran dalam dan luar
negeri amnya.
Tambahan pula, kekangan
dalam sumber ekonomi modal turut merupakan antara cabaran terutama dalam
industri ini. Masakan tidak, modal kewangan sememangnya diakui akan menentukan
saiz pasaran yang diceburi pengusaha-pengusaha kraf nanti. Dan sekiranya sumber
modal tidak mencukupi, maka sudah pasti saiz pasaran akan mengecil lantaran hal
ini seterusnya akan mengakibatkan hasil pendapatan kraf juga tidak akan
menjanjikan keuntungan yang lumayan dan kehidupan yang mewah kepada para
pengusaha kraf sekalian.
Bertitik tolak daripada itulah,
industri kraf kini dilihat semakin lesu dalam menempuhi pasaran yang kompetitif
hari ini sehinggakan telah mengurangkan minat golongan muda untuk menceburi bidang
ini apatah lagi mengakibatkan tenaga mahir yang terdiri daripada golongan
pelapis muda kian berkurangan setelah yang sedia ada pun semakin meningkat
usia. Hal ini jelas menggambarkan kerugian yang amat besar dalam industri kraf
pada masa hadapan.
Cabaran seterusnya adalah kesukaran bagi pengusaha
kraf untuk mendapatkan sumber bahan mentah khususnya yang bersumberkan alam
semula jadi seperti ribu-ribu, daun sal, rotan, kayu dan sebagainya. Kesukaran
ini disebabkan kebanyakan hasil alam memerlukan masa untuk mencapai tahap
matang sebelum ia boleh diambil untuk dijadikan barangan kraf. Hal ini secara
tidak langsung telah menjejaskan pengeluaran produk kraf di pasaran lantaran mengakibatkan
peminat kraf beralih ke arah barangan kraf plastik dan kaca yang banyak dijual di
pasaran hari ini.
Oleh hal yang demikian, inilah
beberapa bentuk cabaran moden yang banyak bersangkut paut dengan industri kraf hari
ini. Justifikasinya, sebelum retak
menanti belah, sebelum bisul menjadi
nanah dan sebelum nasi menjadi bubur,
segala bentuk usaha penginovasian ke arah memastikan kelangsungan penghasilan
produk kraf yang bermutu tinggi pada masa hadapan perlulah diimplementasikan di
semua peringkat agar segala bentuk cabaran yang wujud dalam industri ini akan
dapat diatasi secara total kelak.
Inovasi Dalam
Seni Kraf Tangan
Pada masa yang sama, seni
reka kraf sejak akhir-akhir ini seharusnya disuntik dengan elemen-elemen
inovasi yang lebih bernilai komersial, dan mampu diterima golongan murba bukan
sahaja dalam negara ini, bahkan masyarakat seantero dunia amnya. Hal ini
penting agar cabaran-cabaran utama yang telah dibincangkan di atas dapat
ditangani sepenuhnya dengan peranan yang dimainkan oleh elemen inovasi ini. Namun
begitu, apakah yang dimaksudkan dengan elemen inovasi?
Menurut Ronger E. Miller
(1971), inovasi merupakan himpunan idea, amalan atau objek yang dianggap baru
oleh seseorang. Manakala, definisi perkataan inovasi mengikut Kamus Dewan Edisi
Ke-4 adalah sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat dan
lain-lain lagi.Dalam hal ini, dapat disimpulkan bahawa, inovasi diciptakan oleh
manusia yang kreatif bertujuan untuk membina trend baru atau ‘trendsetter’ dalam setiap sesuatu
keadaan . Manakala, trend tersebut akan menjadi peneraju utama kepada usaha-usaha
untuk meraih peluang secara maksimum dalam ekosistem pasaran khususnya pasaran
kraf yang ternyata banyak persaingannya hari ini.
Justeru, sejajar dengan
implementasi Model Ekonomi Baru (DEB) yang diumumkan Perdana Menteri Malaysia,
YAB Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Mac 2010 itu, usahawan kraf perlu
melipatgandakan lagi usaha ke arah meningkatkan sumbangan industri ini demi kemaslahatan
masyarakat dan negara kelak. Untuk itu, strategi pelaksanaan transformasi secara
holistik perlulah direncanakan secara lebih teliti apatah lagi yang melibatkan proses-proses
pembaharuan dalam industri kraf tangan ini. Semua ini demi memastikan industri kraf
dapat berkembang merentasi sempadan masa yang pantas berkembang ini demi kemaslahatan
semua pihak amnya.
Manakala, strategi
perubahan boleh diaplikasikan mengguna pakai kaedah ‘7-S Framework’. Melaluinya, kerangka perubahan perlu dijana menerusi
persepaduan dari segi struktur (structure),
sistem (systems), gaya (style), kakitangan (staff), kemahiran (skills),
dan matlamat yang boleh dicapai (superordinate
goals).
Bahkan, contoh terdekat pengaplikasian
strategi perubahan ini secara ghalibnya dapat dilihat menerusi pembaharuan
dalam industri seni kraf batik negara. Umum mengetahui, batik yang dahulunya
hanyalah sekadar dijadikan kain basahan semata-mata, kini ia seharusnya melalui
proses-proses pengkomersialan dengan seni-seni yang lebih dinamik seperti untuk
kegunaan kelengkapan rumah, pemegang periuk, beg adangan dan sebagainya.
Bahkan, dalam usaha untuk
menginovasi kraf ke tahap lebih membanggakan, hasil kraf yang kegunaannya
hanyalah terbatas sebagai keperluan seharian sahaja seperti ribu-ribu,
tembikar, buluh, bemban, rotan dan lain-lain lagi perlulah diberikan nafas
baharu senantiasa. Menyedari hakikat inilah, aplikasi kepada penggunaan
teknologi pengeluaran bagi penghasilan produk yang lebih berinovatif amatlah
diperlukan dalam usaha menggalakkan lagi kejayaan industri kraf ke tahap lebih memberangsangkan
besok lusa.
Antara contoh kejayaan
inovasi dalam penyelidikan kraf adalah dengan terciptanya idea-idea serta inovasi
baru dalam seni pemprosesan tembikar hitam atau labu sayong ini sebagaimana
yang telah diasaskan Kraftangan Malaysia Cawangan Negeri Perak pada satu ketika
dahulu. Idea penghasilan tanur pembakaran labu sayong dengan sekam padi atau
lebih dikenali dengan ‘Roller-kiln’
itu pada awalnya diilhamkan oleh Tuan Haji Yusop Muri pada tahun 2006 yang pada
ketika itu, beliau adalah seorang Penolong Pengarah di Kraftangan Malaysia Cawangan
Perak.
Sebagai
lanjutan daripada itu, satu pasukan
tenaga kerja yang diketuai penasihat projek iaitu Tuan Haji Muhammad Bin Ag.
Teh (bekas Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Perak), pegawai projek Tuan
Haji Yusop Muri, pegawai Teknikal I, Encik Mohamad Puzi Bin Ahmad(bekas
pengajar kraf) dan pegawai Teknikal II, Encik Mohamad Rizan Bin Mohamad Nordin (pereka) telah ditubuhkan dan akhirnya, pada tahun
2007, Roller-kiln ini telah mula dijadikan sebagai kemudahan guna sama untuk
kegunaan pengusaha-pengusaha kraf seramik yang menjalankan perusahaan kraf di
sekitar kawasan Kraftangan Malaysia Cawangan Perak tersebut.
Hasilnya, penggunaan tanur pembakaran melalui projek inovasi
dalam industri kraf ini telah meningkatkan lagi pengeluaran labu sayong untuk
keperluan pasaran. Buktinya, sejumlah 210 unit labu sayong boleh dihasilkan
dalam masa 7 jam berbanding 70 biji labu sayong yang dapat dihasilkan dalam
masa 8 jam dengan menggunakan tanur biasa. Apa yang menariknya, tanur
pembakaran ini boleh beroperasi selama 24 jam dan boleh juga digunakan untuk
pembakaran seramik bergris pada suhu 900’c dan pembakaran decal.
Secara umumnya, tanur Roller-kiln
ini mempunyai 3 zon pembakaran iaitu zon pertama 90’c hingga 300’c, kedua 300’c
hingga 550’c dan zon ketiga 550’c hingga 900’c.Tanur ini direka bentuk dengan
menggunakan set roller yang
menggerakkan labu sayong yang disusun di atas conveyor ke dalam tanur pembakaran. Roller digerakkan mengguna motor elektrik dan kelajuan
pergerakannya boleh dikawal. Rantai coveyor
diperbuat daripada stainless steel
yang tahan kepanasan sehingga suhu maksimum 1000’c.
Selepas itu,
labu sayong akan jatuh di pintu automatik yang terbuka dan akan jatuh ke dalam
troli yang diisi dengan sekam padi. Troli ditarik keluar untuk proses mengambus
labu dengan sekam padi dan dibiarkan selama 10 hingga 15 minit sebelum
dikeluarkan. Labu yang telah disepuh dengan sekam padi akan berubah menjadi
hitam dan dikeluarkan daripada troli.
Sebagaimana
yang kita sedia maklum, penggunaan teknik baru ini pada keseluruhannya diadaptasikan
daripada teknik tradisional yang telah lama digunakan pengusaha-pengusaha labu
sayong ini di sekitar Sayong, Kuala Kangsar, Perak. Secara analoginya, teknik pembakaran
terbuka labu sayong menggunakan bahan pembakar seperti kayu, buluh kering dan
sabut kelapa kering digunakan hingga 80-an, diikuti pula teknik pembakaran
menggunakan tanur batu-bata dengan bahan pembakar kayu hingga lewat pertengahan
tahun 90-an, disusuli pula teknik pembakaran menggunakan tanur
batu bata 'top loading' dengan bahan
pembakar minyak diesel hingga sekitar akhir tahun 90-an dan
akhirnya, teknik pembakaran menggunakan tanur 'ceramic fibre' kos rendah dengan bahan
pembakar gas dilakukan sejak bermula tahun 2000 hinggalah kini.
Dengan
lahirnya projek inovasi ini, penghasilan labu sayong bukan sahaja dapat
memendekkan masa pembuatan dan menjimatkan kos pengeluarannya, bahkan ia telah
menjurus kepada berlakunya satu anjakan teknologi secara menyeluruh dalam
industri kraf labu sayong hari ini. Bahkan, produk yang dihasilkan menerusi Roller-kiln ini diakui tidak mudah rosak
dan lebih tahan lama selain mempunyai ciri-ciri keselamatan serta kawalan mutu
yang lebih terjamin padanya.
Maka, tidak
hairanlah peralatan inovasi ini menjadi menjadi tumpuan pengusaha-pengusaha
labu sayong khususnya dan kraf seramik amnya untuk digunakan secara guna sama di
Pusat Gunasama, Kraftangan Malaysia Cawangan Perak hari ini. Lain daripada itu,
sehingga kini, arbitrasi yang dilakukan telah mendapati bahawa, terdapat 30
buah mesin peralatan inovasi kraf yang telah berjaya difabrikasikan oleh
Kraftangan Malaysia, sekali gus membantu meningkatkan pengeluaran, menjamin
kualiti dan nilai estetika produk kraf tempatan kelak.
Oleh hal
yang demikian, jelaslah inovasi secara langsung haruslah diterapkan dalam
penghasilan produk kraf hari ini lantaran ia secara tidak langsung membantu
kepada peningkatan pengeluaran produk kraf sekali gus membuka ruang kepada
persaingan yang lebih sihat dalam pasaran yang lebih meluas nanti. Untuk itu, kualiti
produk kraf perlulah sentiasa dikawal selia dengan lebih rapi lagi agar dapat
memenuhi aspirasi pelanggan sepanjang masa.
Bahkan, pembangunan
standard dan kawalan mutu bagi bidang seramik, hasil logam (tembaga), serta
hasil rimba (kraf kayu, buluh dan rotan) perlu direncanakan dengan sinergi
bersama agensi-agensi seperti Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian
Malaysia (SIRIM Berhad), Jabatan Pembangunan Standard dan sebagainya. Rentetan
itu, pengusaha kraf tangan hari ini haruslah memvariasikan lagi penghasilan
produk-produk kraf yang baru yang lebih unik, kreatif malah lebih eksklusif
dalam menokok tambah nilai produk yang sedia ada agar ia dapat berdaya saing di
peringkat domestik dan global kelak.
Kesungguhan
Kerajaan Membangunkan Industri Kraf
Sejak
belakangan ini, hasil kraf sememangnya tidak dapat dinafikan antara faktor penyumbang
kepada penjanaan ekonomi mampan negara selain menjulang pendapatan masyarakat
yang mengusahakannya. Yang jelasnya, produk kraf yang berjaya mendapat tempat di
persada pasaran domestik mahupun antarabangsa terbukti telah menjana pulangan
hasil yang agak lumayan terutamanya dari segi pulangan pendapatan yang lebih
tinggi amnya. Buktinya, terdapat kira-kira RM73 juta
disumbangkan industri kraf tangan negara bagi pasaran domestik dalam tempoh
sembilan bulan tahun 2010.
Bagi
mengalakkan lagi penyertaan masyarakat dalam industri kraf pula, kerajaan
secara proaktifnya telah melihatkan perkara ini sebagai peluang terbaik dalam
usaha melonjakkan nama negara di mata dunia khususnya dalam pembangunan sosioekonomi
negara setanding dengan negara-negara ASEAN yang lain. Untuk itu, kerajaan
sentiasa mengorak langkah sederap merencanakan pelbagai strategi untuk menambahbaikan
struktur penjanaan ekonomi rakyat kontemporari seperti mana yang berlaku di
bawah perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru, (DEB) ini.
Selain itu, Perdana
Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini secara rasminya telah menggariskan
Pelan Transformasi Ekonomi dalam menyediakan pelbagai ruang yang pastinya berupaya
merubah kehidupan masyarakat ke tahap lebih sempurna khususnya masyarakat yang
tinggal di luar bandar kelak. Dalam soal ini, industri kraf kini dilihat sebagai
salah satu faktor pencetus kepada kejayaan pertumbuhan ekonomi masyarakat sasaran hari ini.
Bahkan,
tanpa kita sedari, mereka yang mengusahakan bidang kraf masa ini telah berupaya
mengubah gaya hidup mereka yang dahulunya hidup dalam kemiskinan, sebaliknya
kini mereka hidup dalam serba kemewahan hasil daripada perusahaan kraf yang
diusahakan mereka. Bahkan, situasi ini secara izharnya menggambarkan kepada
kita bahawa, industri kraf mampu menjana pendapatan kepada masyarakat yang
mengusahakannya secara bersungguh-sungguh sehingga berjaya memperolehi kejayaan
dalam bidang ini kerana sesungguhnya, peribahasa Arab ada menyebut, siapa yang berusaha dia berjaya.
Mutakhir
ini, seni kraf bukan sahaja merupakan tinggalan warisan zaman-berzaman yang
harus dipelihara kerana ketinggian nilai warisannya, tetapi juga telah memberikan
sumbangan yang amat besar kepada pembangunan sosioekonomi usahawan industri itu
masa kini. Secara total, sememangnya diakui industri ini hanyalah bermula
sebagai industri desa sahaja suatu ketika dahulu. Tetapi lama-kelamaan, industri
ini telah berjaya menembusi pasaran global sekali gus menjulang nama Malaysia
di persada antarabangsa.
Dalam pada
itu, industri kraf kini diberi perhatian serius pihak kerajaan dan segala prakarsa
ke arah mengembangkan industri ini ke pasaran dunia turut direncanakan dari
semasa ke semasa. Hal ini penting demi pertumbuhan dan pembangunan ekonomi
bukan sahaja untuk keperluan para pengusahanya sahaja, bahkan juga ekonomi
negara pada masa yang akan datang.
Justeru,
antara intensif pihak kerajaan dalam usaha memartabatkan bidang kraf ini adalah
dengan melahirkan seramai mungkin modal insan berilmu dan mahir dalam bidang
kraf. Pembudayaan ilmu ini penting agar akan wujudnya lebih ramai generasi
pelapis dalam bidang ini pada masa yang akan datang. Bahkan, penubuhan Institut
Kraf Tangan Negara, sebuah Institusi Latihan Kraf yang diluluskan Jemaah
Menteri pada Ogos 2001 dan telah dikelolakan oleh Kraftangan Malaysia itu kini
menjadi pemangkin untuk melatih lebih ramai modal insan yang berpengetahuan dan
berkemahiran dalam bidang kraf.
Pengambilan pelatih
secara berperingkat-peringkat mengikut kelayakan untuk mengikuti program
pengajian di peringkat Diploma dan Sijil dalam bidang seni kraf batik, tenunan,
seramik, kayu, logam serta rotan dan buluh ini pula kebiasaanya akan ditawarkan
untuk menyambung pelajaran mereka (peringkat ijazah) di institusi pengajian
tinggi awam seperti di Universiti Teknologi MARA dan sebagainya. Di sinilah, kelahiran
lebih ramai golongan cendiakawan yang berkelulusan tinggi dalam bidang kraf ini
akan dapat dicapai kelak.
Selain itu, bagi
menangani permasalahan yang sering dihadapi pengusaha-pengusaha kraf hari ini iaitu
masalah kekurangan modal, maka pihak kerajaan melalui Unit Kerjasama Awam
Swasta, Jabatan Perdana Menteri telah mewujudkan Skim Kredit Mikro sebagai
alternatif yang boleh digunakan pengusaha kraf untuk mendapatkan modal kerja bagi
mengembangkan lagi perusahaan dan perniagaan mereka ini. Melalui skim ini, sejumlah
dana dengan kadar faedah paling minimum akan diberikan secara kredit kepada para
pemohon yang layak. Dengan harapan, ia sekali gus dapat membantu pengusaha
mengatasi kemelut kewangan yang dihadapi mereka saban hari.
Malahan, kolaborasi
erat pihak kerajaan dengan bank-bank perdagangan di negara ini juga turut
diadakan dalam usaha memantapkan lagi usaha-usaha ke arah membantu industri
kraf ini. Tamsilnya, penubuhan MyCreative
Venture pada 20 April 2012 di bawah Akta Syarikat Malaysia 1965 yang diterajui oleh
Pengerusinya, Dato’ Sri Ahmad Farid Ridzuan serta Ketua Pegawai Eksekutifnya,
Encik Johan Ishak itu diharap dapat memberikan satu suntikan modal yang boleh
dipohon dalam bentuk pelaburan ekuiti atau sistem pinjaman.
Umum
mengetahui, MyCreative Ventures adalah
merupakan salah satu cabang pelaburan kerajaan untuk merangsang industri
kreatif Malaysia termasuklah juga seni tradisional yang terdiri daripada seni
kraf tangan ini. Malahan, dengan peruntukan dana sebanyak RM200 juta sebagaimana
yang telah dibentangkan dalam bajet 2012 negara yang lalu diharapkan dapat
menyokong serba sedikit perniagaan kraf yang berpotensi dalam negara ini sekali
gus mencapai hasrat dan aspirasi kerajaan untuk meletakkan industri kreatif
negara di peringkat yang boleh membanggakan Malaysia kelak.
Tidak cukup
dengan itu, bagi membangunkan usahawan muda (start-up) dalam pengeluaran kraf secara komersial, Skim Inkubator
Pengeluaran Kraf pula diwujudkan pihak kerajaan dalam usaha untuk membantu dan
melahirkan usahawan kraf tangan yang memiliki ilmu keusahawanan yang mantap
dalam diri mereka masing-masing. Mereka juga
dibantu dari sudut prasarana dan seumpamanya.
“Saya yakin
kalau kita bekerja dengan bersungguh-sungguh daripada mula kita buat strategic
planning, kita dapat mengeluarkan, melahirkan idea-idea bernas. Inilah harapan
saya supaya kita berfikir in a more holistic manner tentang apa yang patut kita
lakukan. It’s a small change, but it’s meaningful change.” ( Datuk Seri Najib
Tun Razak)
Daripada
perenggan kata-kata Perdana Menteri Malaysia di atas jelaslah bahawa, intensif
kerajaan menyediakan pelbagai jenis bantuan khususnya dalam bentuk bantuan
kewangan dan kemahiran seyogianya dihargai masyarakat terutamanya para
pengusaha kraf serta generasi pelapis sekalian.
Ekoran itu,
tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa pengusaha kraf hari ini dijaga ibarat ‘menatang minyak yang penuh’ dengan pelbagai bantuan yang diberikan pihak
kerajaan kepada pengusaha-pengusaha kraf sekalian agar hal ini akan dapat
memastikan kemahiran serta minat mereka itu tidak ‘luntur dek hujan dan tidak lekang dek panas’
Walau
bagaimanapun, bantuan yang melimpah ruah, mesin perusahaan secanggih mana
sekalipun, jikalau masyarakat tidak mahu memanfaatkan apa yang berada di
hadapan mereka pasti tidak ada gunanya jua. Bahkan kelak, ia akan membawa
kepada kerugian yang amat besar kepada masyarakat dan negara semata-mata, malar-malar
pula jika aspek ‘the man behind the job’
itu tidak diambil kira.
Justeru,
seiring dengan seruan kerajaan untuk memartabatkan industri ini, maka sudah
pastilah minat yang mendalam serta perasaan tidak mudah mengaku kalah pengusaha-pengusaha
kraf dalam menempuhi suka duka industri ini mestilah dipupuk segar dalam diri
masing-masing.Hal ini penting agar kita semua berupaya untuk bangkit
bersama-sama menyahut seruan kerajaan dan seterusnya mengubah stigma masyarakat
mayapada yang semakin memandang serong akan kraf tangan negara sejak
kebelakangan ini.
Kesimpulan
Sebagai
pengitlakan, ternyata keistimewaan kraf tangan Malaysia bukan sahaja terletak
pada keunggulannya menjulang reputasi negara di puncak jagat, bahkan ia sememangnya
telah diakui menjadi sumber penjana ekonomi mampan masyarakat mahupun negara
dan telah terbukti dengan beberapa siri kejayaan pengusaha-pengusaha kraf hari
ini. Walaupun industri kraf sekarang ini terpaksa berdepan dengan pelbagai isu
dan cabaran yang melanda, namun perencanaan jitu pelbagai strategi yang mantap oleh
pihak kerajaan dengan komitmen bersepadu antara pengusaha, penjual dan pembeli telah
berjaya melonjakkan industri ini semakin berdaya maju setanding dengan
lain-lain industri.
Malahan, tindakan
bersepadu pelbagai pihak dalam membangunkan serta melonjakkan industri kraf di
peringkat pasaran semasa mahupun global ini tidak ubah seperti patah tongkat
berjeremang, hulubalang habis bersiak. Tambahan lagi, sememangnya usaha
yang jitu daripada pelbagai pihak ini secara tidak langsung akan dapat
memendekkan lagi masa untuk mencapai misi memartabatkan industri kraf negara
kita kelak.
Manakala,
pengekalan kepada pembangunan sosioekonomi selain peranan yang dimainkan
institusi kraf serta agenda-agenda kerajaan terutamanya hal-hal yang berkaitan pelestarian
industri kraf ini dilihat merupakan antara aset terpenting kepada usaha-usaha untuk
memartabatkan industri ini agar terus bercambah di peringkat domestik mahupun
antarabangsa kelak.
Kendatipun begitu,
adalah terlalu absurb untuk mengatakan bahawa usaha yang dilakukan pihak
kerajaan dalam memartabatkan industri ini hanyalah omongan kosong sahaja. Hal
ini kerana, kepelbagaian evolusi dalam industri kraf yang direncanakan
kerajaaan mengikut keperluan hari demi hari ini tidak lain dan tidak bukan
hanyalah bertujuan untuk meneruskan legasi seni budaya bangsa ini agar tidak
ditelan dek zaman yang pantas berubah ini.
Ironinya, elemen
inovasi yang diadunkan bersama ke dalam penghasilan produk-produk kraf hari ini
telah terbukti berjaya meningkatkan lagi nilai tambah dalam setiap produk kraf yang
berada di pasaran marcapada sehinggakan kini, ia mampu bersaing dengan
jenama-jenama mewah antarabangsa yang lain.
Bertitik
tolak daripada beberapa siri kejayaan demi kejayaan yang berjaya dicipta
industri ini, maka secara keseluruhannya, sudah tiba masanya masyarakat hari
ini sedar akan kemampuan kraf yang mampu menjana ekonomi masyarakat dan
pembangunan sosioekonomi negara yang mampan menjelang tahun 2020 kelak.
Sesungguhnya, Allah
tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu mengubah nasib mereka
sendiri (Al-Arad:11).
“Untuk mencapai wawasan ini, perancangan dan
pendekatan mapan perlu dilakukan bagi memastikan industri kraf akan terus kekal
menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara di samping menjana sumber
pendapatan pengusaha.” (Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Mohd Kamil Mohd
Ali)
5999 Patah Perkataan