AkuSuffianFauzi

Nuffnang Adds

Follow My Facebook, Twitter, Instagram

 Add Me Follow Me Follow Me

Wednesday, 24 September 2014

Cara-cara Menjaga Kesihatan Badan




 Cara-cara Menjaga Kesihatan Badan

Setiap daripada kita mengimpikan badan yang sihat. Dengan memiliki badan yang sihat, kita berupaya menjalani kehidupan seharian dengan sebaik-baiknya. Bahkan, pepatah Cina ada menyebut, “Kesihatan adalah kekayaan”. Hal ini menggambarkan kepada kita bahawa, kesihatan adalah aset terpenting yang harus dititikberatkan semua pihak. Persoalannya, apakah kaedah-kaedah efektif yang boleh diimplementasikan dalam kehidupan seharian untuk kita mencapai kesihatan yang maksimum?
Cara-Cara Menjaga Kesihatan Badan
Secara analoginya, antara langkah-langkah efektif dalam usaha untuk melahirkan kesihatan tubuh badan ideal adalah dengan mengamalkan pengambilan makanan seimbang setiap masa. Umumnya, kita disaran memperbanyakkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam diet seharian kerana ia boleh membekalkan pelbagai jenis mineral dan vitamin yang diperlukan oleh badan. Malah, elakkan pengambilan makanan-makanan berlemak secara berlebihan kerana ia memperdekap kita dengan pelbagai penyakit seperti penyakit diabetis, jantung dan sebagainya. Sesungguhnya, hendak seribu daya, tak hendak seribu upaya. 
Selanjutnya, pemeriksaan kesihatan bertujuan memastikan tahap kesihatan seseorang itu berada dalam keadaan baik sentiasa hendaklah dilakukan sekurang-kurangnya dua kali setahun.  Hal ini penting agar kita dapat mencegah diri daripada mendapat penyakit kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Malahan, bagi mereka yang didapati menghidap penyakit pula, seelok-eloknya kekerapan pemantauan kesihatan haruslah dilakukan seawal mungkin  agar penyakit tersebut tidak bertambah teruk lagi besok lusa.
Seterusnya, setiap individu mestilah mendapatkan rehat yang secukupnya sepanjang masa. Malah, kesibukan menjalani aktiviti sehari-harian bukanlah menjadi alasan untuk kita tidak cakna akan perkara ini kerana sesungguhnya, badan kita sememangnya memerlukan rehat yang cukup untuk ia terus berfungsi dengan baik sentiasa. Sebaliknya, ketidakcukupan rehat pula akan membuatkan badan seseorang itu akan menjadi lesu sekali gus menatijahkan aktiviti-aktiviti seharian mereka akan tergendala amnya.
Kesimpulan
Konklusinya, terdapat banyak langkah yang boleh diaplikasikan untuk memaksimumkan kesihatan badan kita. Sesungguhnya, kesihatan yang baik adalah anugerah tidak ternilai dikurniakan Allah SWT kepada kita semua. Justeru, ayuhlah kita mengorak langkah untuk bersama-sama menjaga kesihatan badan sepanjang masa kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. 

299 Patah Perkataan

Tajuk esei: Pemahaman Anda Tentang Perubahan Iklim



Tajuk esei: Pemahaman Anda Tentang Perubahan Iklim


Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)
Firman Allah SWT dalam surah Ar-Rum ayat ke-14 sebagaimana di atas merupakan antara peringatan tegas Allah SWT kepada umat manusia hari ini. Umum mengetahui, ayat ini mengaitkan betapa tangan manusialah yang mengheret kepada berlakunya kebinasaan dunia sama ada di laut mahupun di darat. Bahkan, sejak akhir-akhir ini, sikap manusia yang berlumba-lumba membina bangunan pencakar langit telah mengakibatkan kedudukan bumi semakin menjadi tidak seimbang lantaran ruang udara di sekeliling kita juga semakin terganggu.
Dalam pada itu, kita sebagai umat Islam sewajarnya meningkatkan keimanan kepada Allah SWT dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebagai contoh, dalam apa jua situasi yang dihadapi umat kontemporari, Allah melarang kita bersikap berlebih-lebih sehingga melewati batas-batas yang telah ditetapkan syariat. Bahkan, sikap sebegini merupakan antara sikap tercela yang ditegah Allah sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW, “Janganlah kamu bersikap berlebih-lebihan. Sesungguhnya, faktor penyebab kehancuran umat-umat yang sebelum kamu adalah berlebih-lebih.
Namun, apakah yang dimaksudkan dengan sikap berlebih-lebih? Menurut Imam ar-Raaghib al-Ashfahani, sikap berlebih-lebih adalah sikap yang melampaui batas dalam segala bentuk perbuatan yang dilakukan seseorang manusia. Manakala, pemahaman sebenar di sebalik takrifan ini secara izharnya boleh digambarkan melalui hubungan di antara manusia dengan alam sekitar amnya. Masakan tidak, manusia yang melampaui batas selalunya tamak bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dalam menguasai kekayaan sumber alam sehinggakan alam semesta menjadi mangsa akibat daripada kerakusan mereka sekalian.
Walhal, Allah menganugerahkan alam semesta ini kepada manusia, dengan harapan untuk menjadi khalifah di muka bumi yang dapat memanfaatkan alam ini demi kepentingan sejagat. Sungguhpun demikian, apa yang berlaku di dunia mutakhir ini ibarat indah khabar dari rupa. Tanpa kita sedari, penerokaan hutan, pembangunan tidak terancang dan sebagainya sedang rancak berlaku di sekeliling kita sekarang ini sehinggakan, berlakunya perubahan iklim yang telah mengundang pelbagai kesan negatif kepada masyarakat seantero dunia amnya.  
Sementara itu, perubahan iklim lazimnya dipengaruhi secara langsung atau tidak langsung oleh aktiviti manusia, Hidayati (2001). Bahkan, keserakahan manusia menggondol  hutan demi memenuhi tuntutan pemodenan sejak kebelakangan ini telah banyak merubah komposisi atmosfera sehinggakan, perubahan iklim berlarutan pada masa yang panjang.
Bukti konklusif menunjukkan, kesan penyimpangan iklim secara umumnya boleh dilihat melalui apa yang disebut sebagai fenomena El-Nino. Bahkan, apabila kita menyingkap kembali sejarah El-Nino yang pernah melanda negara pada tahun 1998, nescaya berlegar-legar di fikiran masyarakat bagaimana keadaan pada masa itu tidak ubah seperti mimpi buruk yang terpaksa dihadapi masyarakat sejagat. Pada masa itu, catuan air, cuaca yang panas terik, bekalan makanan asas berkurangan, tanam-tanaman kering kontang telah melanda negara kita sehinggakan mengundang 1001 kesusahan kepada negara dan rakyat jelata sekalian, malar-malar pula negara pada masa itu sedang sibuk membuat persiapan penganjuran Sukan Komanwel 1998.  
Bertitik tolak daripada peristiwa itulah, maka dapat disimpulkan di sini bahawa, perubahan iklim merupakan perubahan jangka panjang yakni dalam tempoh masa sepuluh hingga berjuta-juta tahun lamanya. Manakala, corak perubahan ini pula biasanya bergantung kepada faktor-faktor perubahan dalam purata keadaan iklim seperti corak suhu, angin, musim dan sebagainya.
Dimensi baharu perubahan iklim dan sejarahnya
            Pada keseluruhannya, perubahan iklim sebenarnya bukanlah perkara baharu dalam sejarah dunia era kini termasuklah di Malaysia.Dikatakan, sejak pembentukan bumi 6500 tahun yang lampau, terdapat banyak siri litupan ais benua yang disabitkan dengan faktor keadaan aras laut yang bersifat relatif rendah dan juga pencairan ais yang dikaitkan dengan keadaan aras laut yang bersifat relatif tinggi. Dua keadaan ini memberikan gambaran jelas kepada masyarakat dunia bahawa, kepelbagaian variasi suhu bumi yang berlaku zaman kini boleh ditafsirkan melalui fenomena litupan ais benua (gambaran kepada keadaan suhu yang rendah) dan juga pencairan ais (gambaran kepada keadaan suhu yang panas).
Selain itu, menurut laporan rasmi Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC), sejak lebih 10,000 tahun yang lalu, telah berlakunya pencairan mendadak litupan ais sehingga mengakibatkan peningkatan paras air laut (Fairbridge 1961; Kidson & Heyworth 1973; Tjia 1977). Hal ini mencerminkan dengan jelas akan hakikat bahawa, terdapatnya peningkatan suhu dunia sejak dahulu lagi dan peningkatannya sejak 10,000 tahun yang lalu masih lagi berlaku hingga era ini.  
Contohnya, laporan terperinci kajian kes yang diterbitkan IPCC juga menyebut bahawa, purata suhu global kini meningkat sehingga 1.40 F berbanding permulaan abad ke-20 sementalahan, kenaikan suhu bumi ini berterusan meningkat sebanyak 1.10 F sejak tiga dekad yang lalu. Secara puratanya, perubahan suhu global ini naik 2.00 F hingga 11.50 F pada tahun 2011. Bahkan, pemanasan menyeluruh empat dekad yang lalu bermula awal kurun ke-20 dan penyejukan semenjak tahun 1950, serta pemanasan kembali sejak tahun 1975 telah menyedarkan masyarakat bahawa  dunia zaman ini sedang mengalami ketidakstabilan iklim sejak dahulu hinggalah sekarang.
Justeru, begitulah beberapa ilustrasi jelas berkaitan sejarah perubahan iklim global ini yang berkait rapat dengan peningkatan suhu bumi sejak berkurun-kurun dahulu sementara masih kekal meningkat sehinggalah saat ini. Sehubungan dengan itu, kita sebagai manusia seharusnya cakna akan perkara ini dengan segala aktiviti manusia yang boleh mengundang kepada berlakunya perubahan iklim terutamanya pemanasan global seyogianya dielakkan sama sekali. Sesungguhnya, “Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka.”( Ar-Ra'd;11)
Perubahan Iklim Dan Kesan-Kesannya di Malaysia
            Secara relatifnya, perubahan iklim di Malaysia boleh mendatangkan kemudaratan kepada negara, masyarakat dan juga individu sama ada melalui aspek fizikal mahupun aspek psikologi. Manakala, gabungannya sudah tentu menimbulkan krisis besar kepada keselamatan awam, kestabilan politik dan keutuhan ekonomi jika sekiranya ia tidak diuruskan dengan baik pada masa akan datang.Di Malaysia, tanda-tanda perubahan iklim khususnya akibat pemanasan global dapat dilihat menerusi kejadian bencana alam yang melanda beberapa kawasan di seluruh negara seperti kenaikan paras air laut, jerebu, banjir, kekurangan sumber air bersih dan sebagainya.
Malah, bencana alam banjir tamsilnya, dengan sembilan peratus daripada kawasan daratan di Malaysia (lebih kurang 29,000 kilometer persegi) yang terdedah kepada fenomena ini, maka dianggarkan sejumlah 2.7 juta masyarakat negara kita akan menjadi mangsa akibat bencana alam itu. Sementara itu, pada tahun 2006 dan 2007, fenomena banjir besar di negeri Johor akibat daripada kesan perubahan iklim juga pernah direkodkan dalam lipatan sejarah negara.Pada ketika itu, banjir besar ini telah mengakibatkan kemusnahan secara total infrastruktur seperti jambatan jalan raya selain tanah-tanah pertanian, harta benda penduduk dan sebagainya. Bahkan, keadaan ini telah mengakibatkan kerugian terbesar direkodkan negara akibat masalah banjir dengan kerugian mencecah RM1.5 bilion
Dalam mendepani masa depan yang tidak menentu, Malaysia turut terkesan akibat perubahan iklim ini dengan penurunan kadar taburan hujan lantaran mengakibatkan kesukaran kepada isi rumah, sektor pertanian dan perindustrian untuk mendapatkan bekalan air bersih. Umum mengetahui, walaupun bumi Malaysia amat bertuah kerana mempunyai sumber air yang banyak dek kedudukannya di tengah-tengah Garisan Khatulistiwa dengan penurunan hujan berjumlah lebih daripada 2,000 mm setahun sementara purata kira-kira 5,000 mm di kawasan Pantai Timur, namun begitu, terdapat juga krisis air bersih berlaku di negara kita seperti mana yang berlaku di Lembah Klang pada bulan Januari tahun 1998.
Pada masa itu,  tiga empangan air di Lembah Klang iaitu Empangan Klang Gates, Empangan Batu dan Empangan Semenyih mengalami penurunan air secara mendadak disebabkan fenomena perubahan iklim. Lantaran itu, hal ini telah menyebabkan berlakunya kekurangan sumber air bersih yang menjejaskan hampir keseluruhan penduduk negara khususnya penduduk di Lembah Klang. Krisis ini berlanjutan sehingga kerajaan terpaksa mengambil langkah sederap, mencatu bekalan air secara besar-besaran di seluruh negara.  
Selain itu, kesan perubahan iklim dan pemanasan global turut mengancam keselamatan dan kesihatan manusia. Malah, menurut laporan rasmi yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), perubahan iklim global secara langsung atau tidak langsung menyebabkan kira-kira 77,000 kematian setiap tahun di rantau Asia Pasifik.
Walaupun rakyat di negara kita tidaklah terkesan secara jelas akan masalah ini, namun ancaman lain pula banyak menghantui penduduk di negara kita sehinggakan adakalanya menyebabkan kematian orang tersayang. Buktinya, akibat kesan-kesan perubahan iklim dunia, rakyat di negara ini boleh dikatakan secara keseluruhannya terdedah dengan masalah seperti penyakit katarak, kanser kulit dan sebagainya.
Malah, perubahan cuaca ekstrem kesan daripada perubahan iklim menjurus kepada berlakunya pertambahan kes wabak penyakit yang berpunca daripada haiwan-haiwan pembawa seperti malaria dan denggi amnya. Tidak cukup dengan itu, perubahan suhu turut menyebabkan gelombang haba berlaku di beberapa tempat sementalahan hal ini akan mengakibatkan penduduk terutamanya warga tua akan mudah diserang strok haba yang kebanyakannya berakhir dengan kematian.
Seperti mana yang kita ketahui, peningkatan paras air laut akibat kesan perubahan iklim sedikit sebanyak akan menghasilkan gelombang ganas yang boleh mengancam garis pantai dan struktur hakisan pantai lantaran ia sekali gus akan mengundang kemusnahan menyeluruh zon-zon penampan paya bakau sehingga mengakibatkan kerosakan habitat asli kehidupan akuatik seperti ikan, udang, ketam dan lain-lain lagi.
Malah, kajian yang dilakukan oleh Ketua Program Geo-Informasi, Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr. Khali Aziz Hamzah bersama saudara Hamdan Omar yang bertajuk, ‘Vulnerability Assestment of Coastal Zones Using Geospatial Technologies’ turut memetik laporan IPCC 2001 yang menjangkakan, peningkatan tambahan 48 sentimeter air laut, menjelang 2100, iaitu dua kali ganda kadar peningkatan untuk abad ke-20. Tambahan pula, menurut kajian tersebut, peningkatan paras air laut akan mengakibatkan terjadinya masalah banjir dan hakisan, malar-malar pula kenaikan satu sentimeter boleh menghakis pantai kira-kira satu meter secara mendatar.
Selain itu, kajian itu turut memetik sumber daripada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, (NRE) tahun 2008 yang menjelaskan bahawa, sebanyak 40 meter tanah di sebanyak 33 lokasi sepanjang pantai Malaysia hilang pada setiap tahun dan masalah ini berpunca akibat daripada pelbagai faktor, termasuklah faktor peningkatan air laut selain  faktor hakisan dan sebagainya. Bahkan, fenomena ini tidak mustahil akan mengakibatkan beberapa kawasan pinggir pantai negara akan hilang daripada peta Malaysia dalam tempoh 50 tahun akan datang.
Di samping itu, akibat kelemahan urus tadbir sumber hutan negara, ia sedikit sebanyak mempercepatkan lagi kesan-kesan akibat perubahan iklim besok lusa. Bahkan, pembalakan haram, pemusnahan hutan dan pembukaan kawasan baharu bagi tujuan pembangunan merupakan antara kegiatan manusia yang menjejaskan kitaran karbon yang merupakan proses semulajadi pengurangan karbon dioksida di atmosfera.
Pada waktu yang sama, sememangnya diakui tumbuhan hijau bertindak sebagai agen utama keseimbangan atmosfera.dengan menyerap karbon dioksida dan mengeluarkan oksigen untuk kegunaan penduduk bumi. Sekiranya tumbuhan hijau tiada, maka terjadinya pengumpulan secara langsung lapisan karbon dioksida di atmosfera.
Bahkan, lapisan ini pula diibaratkan seperti selimut yang boleh memerangkap kepanasan di atmosfera sehinggakan mengundang peningkatan suhu secara mendadak. Sebagai lanjutan daripada itu, perubahan iklim atau pemanasan global pula akan menjadi semakin cepat berlaku dengan dikatakan, tahun 2010 adalah merupakan tahun yang paling panas (menurut kajian IPCC) berlaku di seantero dunia, termasuklah juga di negara kita amnya.
Justeru, kesan-kesan negatif perubahan iklim dan kajian kes yang dipaparkan seperti di atas adalah merupakan antara sebahagian kecil daripada ribuan impak negatif yang boleh berlaku akibat kesan daripada perubahan iklim  sejak akhir-akhir ini. Apa yang pasti, perubahan iklim sudah pasti menjejaskan kehidupan dan keselamatan manusia dan tidak terkecuali turut menimpa masyarakat di negara ini. Bahkan, krisis yang berlaku akibat perubahan iklim ini sepatutnya dipandang serius semua pihak khususnya pihak kerajaan dalam menguruskan keresahan rakyat yang semakin hari semakin bimbang akan perkara ini demi kemaslahatan generasi mendatang.
Malahan, tidak mustahil, kegagalan pihak kerajaan menangani krisis dan bencana alam akibat perubahan iklim dunia yang turut menempiaskan kesan-kesan sampingannya kepada negara kita ini akan mengakibatkan keruntuhan kepada institusi keluarga dan masyarakat yang secara tidak langsung bakal melemahkan sistem pentadbiran negara kita suatu hari nanti.
Kalau hendak bersihkan kekotoran di atas permukaan meja, ianya memerlukan air dan tualanya juga bersih. Maka, bertitik tolak daripada kenyataan ini, jelaslah perlu adanya langkah-langkah pencegahan yang proaktif bukan sahaja di peringkat kerajaan, bahkan menagih komitmen dan pengertian serius seluruh masyarakat agar kesan-kesan akibat perubahan iklim ini dapat diatasi secara total kelak. Sesungguhnya, “Kita bukan mewarisi alam ini daripada datuk nenek kita tetapi kita meminjamnya daripada anak cucu kita”( Mahatma Gandhi)
Cabaran Akibat Perubahan Iklim Dan Peranan Masyarakat Menghadapinya
            Di Malaysia, sememangnya cabaran paling dominan dalam menghadapi kesan perubahan iklim ini adalah untuk memperkenalkan langkah-langkah adaptasi dalam sektor-sektor tertentu demi mengurangkan lagi kesan jangka panjang akibat fenomena ini. Sehubungan dengan itu, terdapat keperluan untuk menyedarkan rakyat semua peringkat umur berkenaan ancaman perubahan iklim ini.
Secara keseluruhannya, walaupun perkara ini sukar dicapai, namun peranan dan komitmen menyeluruh yang boleh dimainkan masyarakat untuk mengaplikasikan langkah-langkah pencegahan akibat daripada kesan-kesan perubahan iklim ini sewajarnya dipupuk sejagat agar ia sedikit sebanyak menyedarkan golongan murba akan kepentingan menjaga alam sekitar kelak.
            Bumi yang tiada rimba
            Seumpama hamba
            Dia dicemar manusia
            Yang jahil ketawa
Jika kita hayati kembali lagu Hijau dendangan penggiat seni tersohor negara, Zainal Abidin, maka apa yang cuba disampaikan beliau ialah betapa eratnya hubungan alam sekitar dengan manusia masa kini. Bahkan, bait-bait awal lagu tersebut secara jelasnya memberikan isyarat kepada kita bahawa, sebagai manusia kita hendaklah memanifestasikan akal fikiran dan bertindak sewarasnya untuk menjaga warisan alam yang tidak terbanding ini demi kepentingan generasi mendatang.  

Dalam hubungan ini, masyarakat disaran mengitar semula barang-barangan terpakai kerana 40 peratus sampah yang terdiri daripada tin, besi buruk, botol, kertas, barangan plastik dan sebagainya boleh dikitar semula selain ia mendatangkan banyak manfaat kepada masyarakat kelak. Masakan tidak, dengan mengitar semula satu tin aluminium, kita seumpama menjimatkan penggunaan tenaga elektrik tiga jam untuk televisyen.
Tidak cukup dengan itu, dengan mengitar semula botol kaca, kita seumpama menjimatkan penggunaan tenaga elektrik mentol lampu (100 watt) selama empat jam tempoh penggunaannya. Manakala, jika sekiranya kertas dikitar semula secara maksimum, maka kita dapat mengurangkan 4360 tan sampah sehari yang bersamaan 78,000 batang pokok yang ditebang.
Selain itu, elakkan juga pembakaran secara terbuka. Ghalibnya, pembakaran secara terbuka ini dilakukan petani yang memungar hutan untuk tanaman padi bukit, jagung dan getah. Ada juga dalam kalangan mereka yang membakar jerami padi selepas musim menuai. Akibatnya, berlakulah pencemaran udara dan jerebu yang boleh memudaratkan kesihatan kita semua.
Contoh yang boleh diketengahkan dalam hal ini ialah ketika mana masalah jerebu yang pernah melanda negara pada tahun 1997. Ketika itu, hampir seluruh negara seolah-olah diselubungi ‘asap’ sehinggakan telah menganggu kesihatan golongan marhaen, apatah lagi golongan kanak-kanak. Lanjutan itu, seharusnya masyarakat mengambil iktibar akan perkara ini agar ia tidak lagi berlaku pada masa hadapan.
Jika ditelusuri, ibu-bapa juga boleh mengambil langkah-langkah proaktif mentarbiahkan anak-anak mereka tentang kepentingan menjaga alam sekitar dengan mendedahkan kepada mereka impak serta kesan perubahan iklim seperti pemanasan global dan lain-lain lagi. Kesudahannya, hal ini secara tidak langsung akan membuatkan generasi muda lebih menghargai alam sekitar nanti. Sesungguhnya, hendak seribu daya, tak hendak seribu upaya. 
Justeru itu, walaupun cabaran dalam menghadapi kesan-kesan akibat perubahan iklim ini sememangnya diakui sukar untuk diatasi secara total, namun begitu, segala peranan serta tindakan proaktif masyarakat dalam membendung kepada berlakunya perubahan iklim melampau pada masa akan datang hendaklah diimplementasikan secara menyeluruh bermula dari hari ini lagi. Hal ini penting kerana, perjalanan seribu batu bermula dari satu langkah (Lao Tze).  
Kesimpulan
Perubahan iklim dewasa ini yang telah banyak mengundang pelbagai permasalahan kepada masyarakat dunia termasuklah di negara kita sewajarnya menyentap kesedaran sejagat agar lebih menghargai alam sekitar. Hakikatnya, walaupun negara Malaysia sekarang ini berada dalam keadaan suasana yang aman tenteram, namun begitu, negara kita sebenarnya sedang berhadapan dengan ‘peperangan’ yang mampu mengancam keselamatan rakyat yang bernaung di bawahnya.
            Masakan tidak, kesan-kesan dominan yang dapat dilihat dek mata kasar akibat perubahan iklim yang melanda Malaysia dewasa ini seperti bencana alam dan sebagainya sebenarnya telah merungkai ketidakacuhan warga bumi yang tidak pernah menghiraukan akan masa depan alam ini.
Umpama patah tongkat berjeremang ,hulubalang habis bersiak, maka ayuhlah kita beriltizam dan melangkah dengan seribu kekuatan untuk berganding bahu dalam usaha memelihara alam sekitar. Ingatlah, kesensitifan, kepekaan dan keprihatinan kita semua hari ini penting demi kemapanan dan kelestarian alam yang kekal berpanjangan sekali gus menghadirkan seribu satu manfaat untuk keperluan generasi mendatang.
 “Alam ini sediakalanya cantik dan semua usaha dalam alam ini asalnya cantik, tinggal kita saja nak bagi lebih cantik atau tak nak bagi cantik.”
(Dr. Hm. Tuah Iskandar Al-Haj)
2499 Patah Perkataan

Khutbah Jumaat: Kasih Sayang Disemai, Perpaduan Dituai








Thursday, 11 September 2014

KAEDAH BERKESAN: KESEDARAN KEWAJIPAN ZAKAT SAHAM DI KALANGAN PELABUR MUSLIM



“Zakat saham suatu kewajipan”. Begitulah ungkapan yang seringkali diuar-uarkan di ruangan media massa era ini yang secara umumnya membincangkan perihal kewajipan bagi mereka yang bergelar para pelabur ini untuk mengeluarkan zakat-zakat mereka sekalian. Bahkan, memang tidak dapat disangkal lagi bahawa, setiap saham itu wajib dikenakan zakat ke atasnya dan ia juga telah diputuskan di sisi syarak bersesuaian dengan kaedah-kaedah yang diguna pakai dalam zakat perniagaan amnya. Hal ini persis firman Allah SWT dalam Al-Quran berbunyi, “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (zakat) sebahagian hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu.(Al-Baqarah, 267)
Namun, apakah yang ditakrifkan dengan saham? Saham pada bahasanya merupakan kalimah yang berasal daripada perkataan Arab bermaksud bahagian yang dimiliki manakala dari segi istilahnya pula, perkataan saham mengikut kepada Kamus Dewan Edisi ke-4 adalah beerti ‘bahagian dalam modal sesuatu perniagaan’. Tambahan lagi, menurut istilah dalam Kamus Ekonomi, saham ditakrifkan sebagai syer ataupun modal sah syarikat yang dicarumkan oleh pemiliknya.
Maka, dapat disimpulkan bahawa, saham adalah wang yang dilaburkan dalam sesebuah syarikat atau perniagaan tersebut bertujuan dijadikan modal bagi bisnes-bisnes yang akan dijalankan besok lusa. Kebiasaannya, terdapat dua kategori pembahagian saham paling dominan setakat ini yakni saham yang tersenarai dan tidak tersenarai. Sijil-sijil bagi saham tersenarai seperti di Bursa Malaysia dan sebagainya, ia mudah untuk dijadikan wang tunai bagi melicinkan lagi perjalanan jatuh bangun sesebuah syarikat tersebut belakang hari. Lain pula jika hendak dibandingkan dengan saham tidak tersenarai (ataupun dalam koperasi) yang menyaksikan sijil-sijil bagi kategori saham seperti ini amatlah sukar untuk dijadikan wang tunai sekali gus menyukarkan lagi kelicinan perjalanan sesebuah syarikat tersebut pada hari-hari yang mendatang.
Tambahan pula, pemilik saham lazimnya bertindak menjadi pemilik bagi sesebuah syarikat itu selain mereka juga memiliki kuasa veto untuk berkongsi keuntungan ataupun kerugian syarikat tersebut. Dan, pada kebiasaanya, prestasi ini selalunya diukur melalui pulangan dividen yang diagihkan dan juga harta atau nilai saham seperti mana yang telah tersenarai di pasaran saham tersebut.     

Dimensi Baharu Pelaburan Saham di Malaysia

         Pada keseluruhannya, fikah Islam sebenarnya amatlah fleksibel bagi meraikan perkara-perkara baharu dalam kehidupan seharian golongan murba hari ini. Hal ini kerana, gaya hidup manusia yang senantiasa berubah-ubah mengikut kehendak masa dan ketika ini telah menjurus kepada pemerolehan harta masa kini sudah pasti tampaknya jauh lebih berbeza jika hendak dibandingkan dengan zaman dahulukala amnya. Dahulunya, manusia mengamalkan sistem barter ketika menjalani proses jual beli, kini matawang menjadi perantaranya. Bahkan, jika sewaktu purbakala, matawang yang seringkali digunakan adalah berbentuk emas dan perak (dinar dan dirham), maka, kini wang kertas (fiat) pula menjadi gantinya.
         Jadi, begitulah antara beberapa contoh kaedah pemilikan harta kekayaan khususnya pada zaman lampau ini. Namun, berlainan pula jika hendak dibandingkan dengan pemilikan harta pada alaf ini. Hal ini kerana, kini terdapat 1001 evolusi dalam ekonomi lantaran memanifestasikan banyak kaedah yang boleh diguna pakai bagi pemilikan harta baharu termasuklah melalui kategori pemilikan saham ini yang semakin terkenal dalam kalangan masyarakat setempat sekali gus mencerminkan bagaimana manusia menjadikan saham sebagai mata pencarian dengan membolehkan manusia mencipta kekayaan dengan sekelip mata sahaja melaluinya.
         Dalam pada itu juga, di Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti (SC) adalah badan yang dipertanggungjawabkan dalam mengawal selia pasaran saham ini. Malah, pasaran saham merupakan mekanisma terbaik kepada proses penyediaan aktiviti dalam penghasilan dana dan pelaburan jangka masa panjang ini selain ia dapat memperkasakan lagi kecairan dalam sistem kewangan bagi sesebuah syarikat tersebut. Mutakhir ini juga, pasaran saham telah mulai berkembang secara aktif dalam kalangan pelabur yang menyaksikan pelbagai variasi saham dan dana diurusniagakan mengikut kepada bentuk pasaran saham yang disertai masing-masing.
Antaranya adalah seperti, saham biasa dan keutamaan, Saham Amanah (kerajaan atau swasta), Saham Amanah Hartanah (REITs), Dana Dagangan Bursa (ETFs) dan lain-lain lagi. Bahkan, modus operandi untuk pelaburan seperti ini biasanya melibatkan empat kategori utama bagi produk-produk yang diniagakan seperti ekuiti (Saham/Unit Trust/ REITs/Index Fund/ ETFs dan sebagainya), bon dan debentur, derivatif dan juga produk berstruktur.

Zakat Saham Dan Syarat Wajibnya Terhadap Pelabur Muslim

         Berbalik kita kepada mauduk perbincangan berkenaan zakat saham ini, persoalan yang bermain di gawang minda kita sekarang, apakah syarat-syarat wajib zakat saham yang dikenakan ke atas para pelabur Muslim sekarang ini? Jawapannya ialah, zakat saham ini diwajibkan kepada para pemiliknya yang beragama Islam sahaja dengan syarat, saham yang dimiliki itu adalah milik sempurna, yakni pelabur Muslim itu mestilah mempunyai kuasa menjual dan memperoleh manfaat daripada portfolio saham ataupun pelaburan tersebut. Malah, bagi saham yang dimiliki pihak-pihak tertentu seperti pihak masjid, surau, atau dana-dana untuk maslahat am dan seumpamanya, tidak wajib zakat saham itu dikenakan ke atas saham-saham tersebut kerana saham ini dikategorikan mengikut kepentingan orang ramai dan bukannya milik persendirian.   
         Selain itu, nisab portfolio bagi sesuatu pelaburan yang dijalankan itu mestilah cukup nisabnya, iaitu mengikut kadar nilaian yang bersamaan dengan atau 85 gram emas (20 mithqal). Apabila nilai bagi pemilikan portfolio pelaburan tersebut bersamaan atau melebihi nisabnya, maka diwajibkan ke atas para pelabur untuk melaksanakan zakat saham seperti mana yang telah disyariatkan itu sementalahan, haul bagi saham dan pelaburan yang lain hendaklah genap setahun dari tempoh pemilikan portfolio pelaburan (cukup haul), barulah para pelabur Muslim diwajibkan untuk dikenakan zakat saham ke atasnya nanti. Seyogia diingatkan bahawa, saham yang diterbitkan bagi tujuan operasi perniagaan teras itu mestilah halal di sisi syarak, jika tidak, zakat saham yang dikeluarkan itu tidak akan sama sekali diterima oleh-Nya kelak.  

Pemupukan Kesedaran Kewajipan Zakat Saham Berteraskan Dalil

         Seterusnya, terdapat banyak dalil yang menerangkan tentang perihal zakat saham ini sementalahan dalil-dalil seperti ini tidak lainnya bertujuan untuk mengingatkan para pelabur akan peri pentingnya untuk kita bersama-sama berganding bahu dalam menunaikan zakat saham ini kerana sesungguhnya, mengeluarkan zakat itu adalah merupakan kaedah yang begitu signifikan dalam usaha kita menzahirkan rasa syukur terhadap Allah SWT setelah memperoleh rezeki melimpah ruah hasil daripada pelaburan saham yang kita sertai ini bersesuaian dengan pesanan Nabi Muhammad SAW berbunyi, Bayarlah zakat kekayaan kamu yang dengannya kamu memperoleh kesenangan” (Riwayat Tabrani daripada Abu Darda).
Menurut ahli-ahli fuqahak, apa yang disebutkan sebagai hasil usaha itu adalah segala apa yang diperoleh sama ada daripada dalam perut bumi ataupun di atasnya mencakupi segala rezeki yang halal seperti penternakan, perdagangan dan lain-lain lagi. Malah, semua rezeki ini wajiblah dizakatkan agar segala rezeki yang diperoleh itu dapat dibersihkan dengan keberkatan zakat yang telah ditunaikan tersebut. Dan, begitulah juga jika hendak dibandingkan dengan pelaburan saham dewasa ini, selagi mana saham itu halal, maka wajiblah dikeluarkan zakat sebagai memenuhi perintah Allah SWT ini. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan hadis diriwayatkan daripada Abi Amru Ibnu Hammas daripada bapanya, bahawa dia berkata: Dia menjual kulit dan bekas panah daripada kulit. Kemudian Umar Ibn Khattab singgah padaku. Dia bertanya: Adakah engkau keluarkan sadaqah (zakat) hartamu? Aku menjawab: Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya ia adalah kulit.” Umar berkata: Taksirlah kemudian keluarkan sadaqahnya.”
         Sementara itu, Ibnu Asyir (1300-1362), seorang wali tersohor pada suatu ketika dahulu pernah mengungkapkan erti sebenar kekayaan menurut kepada pandangan beliau dengan menyatakan, “kekayaan pada mulanya beerti emas dan perak; tetapi kemudian berubah pengertiannya menjadi segala barang yang disimpan dan dimiliki”. Hal ini secara izharnya telah memberikan indikator terbaik kepada kita bahawa, walaupun apa sahaja namanya, selagi mana ia adalah kekayaan, maka hendaklah dikenakan zakat ke atasnya berteraskan kepada syarat-syarat wajib yang telah ditetapkan oleh agama Islam ini amnya.
Bahkan, bagi memudahkan orang ramai, para ulama mutakhirin menjelaskan, saham sebenarnya pembuka jalan kepada terjadinya sesuatu perniagaan tersebut. Dan, jika sekiranya ada dalam kalangan pelabur zaman ini memperniagakan saham tersebut, nescaya saham itu sudah dikira sebagai barang yang telah diperdagangkan. Natijahnya, akan wujudnya pula kewajipan bagi para pelabur Muslim itu untuk mengeluarkan zakat-zakat mereka sebagaimana perkara ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan Rasulullah SAW daripada Samrah, bahawa: Adalah Rasulullah SAW menyuruh kami mengeluarkan zakat daripada barang-barang yang disediakan untuk jual beli.” (Riwayat Abu Daud).
Malah, ada afdalnya jika sekiranya kita mengambil iktibar daripada pesanan yang disampaikan oleh Saidina Ali, bahawa beliau mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda: "Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham. Dan tidak diwajibkan mengelurkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar. Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya, diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun."

Kaedah Berkesan Dalam Memupuk Kesedaran Kewajipan Zakat Saham 

Seorang ahli perniagaan saham mengadu dirinya berasa begitu tertekan setelah menyedari bahawa, beliau tidak pernah menunaikan zakat saham selama hampir lima tahun lamanya. Mengecewakan lagi keadaan, beliau tidak pernah merasakan insaf atas perbuatannya yang melanggari syariat Islam ini walaupun dirinya sudah acap kali menerima teguran demi teguran daripada Allah SWT. Bagaimanapun, setelah perniagaan sahamnya benar-benar jatuh merudum, barulah beliau menyesali akan perbuatannya lalu memohon taubat kepada Allah SWT atas segala dosanya itu.
Begitulah antara satu analogi daripada ribuan kes yang menceritakan tentang perihal keengganan pelabur-pelabur Muslim ini untuk mengeluarkan zakat, sedangkan kewajipan menunaikan zakat itu merupakan rukun Islam ketiga yang tidak boleh dipandang enteng masyarakat Islam sejagat. Kendatipun begitu, harus diingatkan bahawa, azab yang perit itu disediakan Allah SWT bagi sesiapa yang diperintahkan untuk membayar zakat, namun mengingkari kewajipan tersebut. Firman Allah SWT berbunyi: Dan jangan sesekali orang yang bakhil dengan hartanya yang Allah SWT kurniakan. Mereka menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya, kebakhilan itu amat buruk bagi mereka. Harta yang mereka sayangi itu akan dikalungkan pada lehernya pada hari kiamat kelak. ” (Al-Imran: 180).
Berdasarkan kajian kes seperti di atas, benarlah perlu adanya beberapa strategi membina yang harus diimplementasikan di peringkat nasional khususnya melibatkan para pelabur Muslim sekalian agar dengan terlaksananya langkah sederap seperti ini, diharap mampu membangkitkan lagi gelombang kesedaran pelabur-pelabur Muslim untuk mengeluarkan zakat saham mereka kemudian hari. Malah, komitmen menyeluruh agensi-agensi yang terlibat haruslah diperkukuhkan lagi agar segala usaha untuk mengkodisifikasikan undang-undang yang lebih ketat nanti boleh dilaksanakan dengan lebih teratur amnya demi kepentingan sejagat kelak.
Lain daripada itu, penyelarasan undang-undang ini termasuklah seperti, pihak kerajaan memperkenalkan kaedah-kaedah baharu iaitu dengan mewajibkan para pelabur Muslim menghadiri kursus bersiri terlebih dahulu sebelum mereka hendak berjinak-jinak dalam pelaburan saham masa kini. Malah, tindakan secara kolaboratif ini boleh dijayakan melalui peranan yang dimainkan pihak Pusat Pungutan Zakat di setiap negeri masing-masing sementalahan, ia juga turut merupakan instrumen yang paling berkesan dalam usaha untuk menanam roh zakat yang utuh ke dalam diri setiap pelabur Muslim kontemporari agar segala bentuk kefahaman tentang kewajipan berzakat terutamanya zakat saham ini akan berjaya disampaikan kelak. Walaupun pada ghalibnya, penguatkuasaan tegas ini memang akan menerima kritikan hebat pada peringkat awalnya, tetapi lama-kelamaan, perkara ini akan menjadi relevan pula mengikut kehendak zaman kerana sesungguhnya, para pelabur mulai sedar akan tanggungjawab mereka mengeluarkan zakat pada hari-hari mendatang persis aforisme, alah bisa, tegal biasa.
Seterusnya, perlaksanaan kempen-kempen kesedaran peraturan zakat alaf baharu ini haruslah dipergiatkan lagi dalam usaha kita untuk membibitkan kesedaran golongan marhaen secara menyeluruh akan kewajipan bagi mereka menunaikan zakat saham ini khususnya dalam kalangan para pelabur Muslim sekalian sebagaimana diperintahkan Allah SWT dalam Al-Quran bermaksud,  Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat” (Surah Al-Baqarah, ayat ke-43). Malah, jika ditelusuri, orang tua-tua juga ada berpesan, Kalau hendak bersihkan kekotoran di atas permukaan meja, ianya memerlukan air dan tualanya juga bersih”.
Sehubungan dengan itu, pasti jalan yang paling efektif dalam menyedarkan para pelabur Muslim untuk mengeluarkan zakat saham ini adalah dengan cara, pihak kerajaan melalui kerjasama bersama Pusat Pungutan Zakat di setiap negeri perlulah menyemarakkan lagi aktiviti-aktiviti dakwah yang berbentuk kempen seperti pengedaran poster-poster serta artikel-artikel yang berkaitan kepentingan menunaikan zakat kepada orang ramai, pengadaan ceramah-ceramah keagamaan bagi membicarakan tentang kepentingan menunaikan zakat saham serta kaedah-kaedah perlaksanaannya menurut perspektif Islam, penganjuran program-program santai untuk bersemuka dengan golongan-golongan korporat dan lain-lain lagi amnya.
Seyogia diingatkan bahawa, usaha-usaha murni sebegini diakui mampu mendorong para pelabur Muslim untuk mendalami rasa persamaan sebenarnya yang diajar agama Islam apatah lagi menjadikan kita untuk sentiasa cakna akan nasib sesama saudara kita yang lain sekali gus membuatkan keimanan kita itu akan menjadi lebih sempurna hari demi hari seperti mana sabda Rasulullah SAW, Tidak sempurna iman seseorang di antara kalian sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.
Rentetan itu, berusahalah kita menjauhi sifat jumud seperti katak di bawah tempurung dengan melazimi sifat keterbukaan terutamanya dalam diri para pelabur Muslim sekalian untuk bersama-sama menggembleng tenaga dalam merealisasikan aspirasi kerajaan yang sentiasa menginginkan masyarakat sedar akan kewajipan mengeluarkan zakat saham sebagaimana yang disyariatkan agama Islam ini sesuai dengan peribahasa Melayu berbunyi, tak ada gunung yang tinggi yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang dalam yang tak dapat dituruni. 

Kesimpulan

Konklusinya, revolusi baharu dalam kaedah pemilikan harta kekayaan pada zaman ini telah menyaksikan, pelaburan saham menjadi salah satu punca utama rezeki masyarakat di segenap empat penjuru dunia, termasuklah juga di negara kita amnya. Bahkan, dimensi baru pemerolehan harta ini dikatakan semakin popular sehinggakan golongan pelabur juga digalakkan untuk bersaing sesama mereka bagi menempatkan diri dalam pelaburan saham seperti ini yang dikatakan mampu mendatangkan pulangan keuntungan yang amat lumayan dalam masa yang singkat sahaja.
Namun, dalam konteks agama Islam pula, pelabur-pelabur Muslim juga turut digalakkan untuk menyertai pelaburan saham ini selagi mana ia halal di sisi syarak dengan syarat, mereka sentiasa terikat dengan kewajipan mengeluarkan zakat saham seperti mana yang telah diperintahkan Allah SWT dalam banyak dalil serta hadis-hadis yang membahaskan akan kewajipan menunaikan zakat saham ini selain perkara ini juga turut disahkan sendiri oleh Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.
Menyedari hakikat inilah, pihak kerajaan melalui kerjasama Pusat Pungutan Zakat sentiasa mencari resepi terbaik dalam mengimarahkan lagi pelbagai aktiviti serta kempen ke arah memberikan kefahaman sepenuhnya kepada para pelabur Muslim sekalian terutamanya berkaitan dengan kesedaran akan kewajipan menunaikan zakat saham ini kerana jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Malah, diharapkan agar, para pelabur Muslim marcapada akan sentiasa mengambil berat akan perkara ini dan menjadikan zakat saham ini sebagai salah satu cara untuk mereka menyucikan diri daripada sifat-sifat mazmumah seperti sifat kedekut dan sebagainya, barulah hidup ini akan sentiasa diberkati oleh-Nya kelak.
Dengan membayar zakat, beerti harta benda kita akan dikelilingi dengan dinding Illahi, yang akan melindunginya.

(Petikan Sabda Nabi Muhammad SAW)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...